Pada akhir abad
ke-13, senjata api seperti Teppo yang menyerupai meriam tangan tamadun China
telah dibawa masuk ke Jepun. Hal ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana
kebudayaan, adat, sistem pentadbiran malahan kepercayaan yang dianuti
masyarakat Jepun dahulu kala banyak dipengaruhi dan berinspirasikan daripada
tanah besar China. Menurut rekod Nihon Shoki, Agama Buddha itu sendiri berkembangnya
daripada China sebelum dibawa masuk ke Jepun melalui kerajaan Baekje, Korea.
Senjata api
seperti Teppo ini pula rekaannya sangat ringkas tanpa sebarang bidik atau picu
untuk menembak. Rupanya tak ubah seperti tiub besi yang berlekuk di bahagian
tengah. Ketika itu, zaman Kamakura yang berasaskan sistem pemerintahan tentera
sedang rancak berlangsung. Bakufu ataupun Keshogunan Kamakura mempunyai kuasa
yang amat luas ke seluruh negara. Tiada yang mampu menggugat hegemoni puak
bushi. Maharaja Jepun pula kehilangan kuasa dan pengaruhnya selepas kekalahan
yang memilukan dalam Perang Jōkyū (1221).
Maka, Teppo
mendapat sambutan yang dingin daripada para pahlawan samurai kerana mereka
tidak minat untuk menggunakan suatu senjata yang kelihatan seperti tiub besi
yang disumbatkan bebola besi di dalamnya. Amat pelik dan janggal buat mereka
yang berhari-harian membanting tulang mengerah keringat melatih seni
mempertahankan diri, memanah, berkuda dan sebagainya. Bukan sahaja pelik,
tetapi juga agak memalukan kerana puak pahlawan lebih gemar menggunakan senjata
melee seperti Katana dan Yari yang biasa
digunakan dalam perlawanan jarak dekat sesuai dengan sifat seorang pahlawan
sejati.
Kehebatan Tanegashima Tiada Tandingan
Pada tahun 1543,
sebuah jong Cina yang membawa sekumpulan pengembara Portugis diketuai Antonio
Mota dan Francisco Zeimoto telah dibadai ribut lalu terdampar di Pulau
Tanegashima, Jepun. Pentadbir pulau tersebut, Tanegashima Tokitaka berasa kagum
dengan apa yang dilihatnya iaitu senjata istinggar. Beliau dikatakan membeli
dua pucuk matchlock muskets
(istinggar) daripada kumpulan Portugis tersebut. Tanpa berlengah lagi, Tokitaka
mengarahkan para tukang besi (Yaita) menggunakan teknik reverse engineering untuk menghasilkan semula senapang api
tersebut.
Mereka berjaya.
Maka, istinggar tersebut dinamakan bersempena nama Tokitaka yakni Tanegashima
sebagai Bapa Senjata Api Jepun. Dan dalam masa hanya 10 tahun sahaja, lebih
kurang 300,000 pucuk Tanegashima telah berjaya dihasilkan dalam skala
besar-besaran sambil dijual dan digunakan oleh para Warlords (Daimyo) kawasan untuk tujuan perang. Salah satu Daimyo
paling popular dan berpandangan jauh yang paling pantas menggarap peluang ini
ialah Oda Nobunaga.
Beliau membeli 500
laras Tanegashima pada tahun 1549 untuk digunakan tenteranya walaupun ketika
itu, Daimyo lain semuanya berasa skeptikal dengan penggunaan Tanegashima. Langkah
Nobunaga ternyata tepat apabila beliau berjaya meluaskan jajahan puak Oda
dengan mengalahkan musuhnya seperti puak Saito dalam Pengepungan Istana
Inabayama, puak Rokkaku, puak Asakura dan Azai dalam Pertempuran Anegawa dan puak
Takeda dalam Pertempuran Nagashino serta banyak lagi pertempuran lain.
Semua pertempuran ini melibatkan pengunaan unit istinggar yang memainkan peranan amat-amat penting dalam mencapai kemenangan bagi puak Oda. Khususnya dalam Pertempuran Nagashino, bala tentera cavalry (samurai berkuda) puak Takeda yang reputasinya digeruni segenap penjuru alam telah berjaya dijinakkan oleh Pakatan Oda-Tokugawa yang berbekalkan 10,000 ashigaru menggunakan Tanegashima.
Musuhnya berjumlah 15,000 yang majoritinya berkuda sudah tentu terkesima apabila melihat ribuan peluru dimuntahkan oleh istinggar tentera Oda-Tokugawa. Bagaikan petir menyambar bumi dan kilat sabung menyabung bunyinya. Bayangkan saja penamatnya.
Pertempuran Nagashino
Disebabkan
pertempuran ini juga, puak Takeda boleh dikatakan hancur lebur. Dengan hanya
menggunakan pagar kayu untuk membidik dan kedudukan strategik sungai yang
menidakkan mobiliti tentera berkuda Takeda, Oda Nobunaga berjaya menumpaskan
tentera pimpinan Takeda Katsuyori dengan mudah. Penggunaan Tanegashima telah
menyebabkan suasana pertempuran berubah daripada bertempur kepada pembunuhan
beramai-ramai. Keseluruhan kepimpinan Takeda sama ada terkorban tatkala ditembusi
peluru ataupun melaksanakan seppuku kerana rasa yang tersangat malu terhadap
kekalahan mereka.
Ironinya, tiga
tahun sebelum tercetusnya Pertempuran Nagashino, Daimyo Takeda; Takeda Shingen
si Harimau Kai pernah menyatakan bahawa, “Maka dengan ini, Tanegashima akan
menjadi senjata yang paling penting. Oleh itu, kurangkan penggunaan tombak
(Yari) bagi setiap unit dan lengkapkan tentera Takeda yang paling berkebolehan
dalam menembak dengan senjata api.” Malangnya, Katsuyori gagal menunaikan
hasrat bapanya itu yang telah meninggal dunia.
Namun yang
menariknya di sini ialah, asal-usul Tanegashima tersebut. Pada tahun tahun 1511,
Kota Melaka telah jatuh ke tangan Feringgi (Portugis). De Burros, seorang
sejarawan Portugis dalam bukunya, A
Descriptive Dictionary of the Indian Islands and Adjacent Countries membicarakan
bahawa apabila Kota Melaka jatuh, pihak Portugis berjaya merampas antara 3000
hingga 8000 senjata api yang terdiri daripada meriam dan istinggar daripada
Melaka. Tambahnya lagi, Portugis sendiri tidak mampu untuk menghasilkan senjata
api sebanyak itu. Tidak cukup dengan itu, Faria e Sousa, juga seorang sejarawan
Portugis pula menyatakan bahawa meriam yang ditemui di Melaka ketika itu adalah
berasal daripada Pahang.
Hal ini
menggambarkan kepada kita bahawa Pahang merupakan salah satu pusat pengeluar
senjata api pada ketika dahulu. Perkara ini dibuktikan lagi apabila aktiviti
pembuatan senjata api di Pahang dicatatkan oleh W. Linehan. Ini berdasarkan
kertas kerjanya yang bertajuk Some
Discoveries on the Tembeling lalu memberikan gambaran bahawa berlakunya
aktiviti pembuatan senjata api di tebing Sungai Tembeling pada suatu masa
dahulu.
Bagaimana pula
dengan kualiti? Sangat mengagumkan kerana Nicholas Tarling dalam The Cambridge History of Southeast Asia memuji
kualiti senjata api Melaka sebagai setara dengan senjata api negara-negara kota
di Jerman pada kurun ke-15. Lebih tinggi mutunya berbanding senjata api
Portugis itu sendiri.
Tesis Lanun Wako
Jadi apa kena
mengena dengan Jepun? Hubungannya di sini ialah, istinggar pertama yang
menjejakkan larasnya di bumi Jepun ini berkemungkinan besar berasal daripada
Melaka. Dan senjata api yang dibawa Portugis di Tanegashima mungkin juga bukan
yang pertama tiba di Jepun. Hal ini dinyatakan oleh Rainer Daehnhardt dalam
bukunya, The Bewitched Gun: The
Introduction of the Firearm in the Far East by the Portuguese. Di samping
itu, Takehisa Udagawa dari Sakura National Museum menguatkan lagi kemungkinan
ini dengan tesisnya yang bertajuk, ‘Wako
Firearms’.
Beliau menyatakan bahawa Wako Pirates iaitu gerombolan lanun Jepun, Korea dan China lah yang telah dari awal lagi mendapat akses (baca: rampas atau beli) senjata api seperti istinggar daripada Melaka yang sememangnya terkenal sebagai hab perdagangan teragung pada zaman itu. Perlu diingatkan bahawa mereka juga berdagang.
Tesis ini menambah bahawa laras Tanegashima yang dihasilkan oleh Tokitaka daripada batch penghasilan terawal senjata api tersebut banyak menyerupai istinggar Kesultanan Melayu Melaka dan bukannya arquebus Portugis. Udagawa juga mempersoalkan kesahihan sumber catatan Jepun mengenai pengenalan senjata istinggar yang terlalu menumpukan kepada kedatangan Portugis.
Sebuah pameran
yang berlangsung pada 3 Oktober ke 26 November 2006 di Special Exhibition
Galleries, National Musuem of Japanese History bertajuk Special Program: “The Introduction of Guns in Japanese
History – From Tanegashima to the Boshin War-“ menyatakan bahawa,
“pada pertengahan abad ke-16 didapati suatu kuantiti besar senjata telah diperkenalkan
di Barat Jepun… dan senjata api ini menunjukkan yang mereka berasal dari Asia
Tenggara dan bukannya Eropah.” Tambahnya lagi, lanun Wako yang bersenjatakan
istinggar berperanan dalam melakukan transaksi perdagangan di Asia Tenggara
lantas bertanggungjawab dalam memperkenalkannya ke Jepun.
Jika benar senjata
api Melaka jauh lebih bermutu daripada senjata api buatan Portugis, mengapa
pula Portugis tidak mahu menggunakan senjata api berdasarkan buatan Melaka
ketika pelayaran mereka ke Pulau Tanegashima? Apakah tiada langsung kemungkinan
untuk pelaut Wako yang beristinggar untuk memperkenalkan senjata tersebut di
Jepun sebelum Portugis? Apa mungkin istinggar buatan Melaka pernah sampai ke
Jepun sebelum ketibaan Portugis lagi memandangkan Melaka itu sendiri merupakan
pusat perdagangan tersohor pada zaman itu?
Jika benarlah tesis berfakta tersebut, maka sudah tentu orang Melayu Melaka secara tidak langsung telah mengubah landskap peperangan di Jepun Feudal. Daripada penggunaan senjata jarak dekat yang lebih dominan, kepada senjata yang lebih moden dan berjarak jauh seperti istinggar dan meriam. Lebih menarik lagi, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Oda Nobunaga akan berterima kasih yang tidak terhingga kepada Melayu Melaka kerana telah mengurniakan suatu alatan perang dan teknologi luar biasa yang telah membantunya menyatukan seluruh Jepun!
RUJUKAN:
Daehnhardt,
R. (1994). The Bewitched Gun: The Introduction of the Firearm in the Far East
by the Portuguese p.26
Helmi
Effendy (2018). Jangan Selewengkan Sejarah Melayu. Patriots Publication.
Kokan
Nagayama (1998). The Connoisseur’s Book of Japanese Swords
Ledbetter,
N. (n.d.). Retrieved August 24, 2019, from https://www.samurai-archives.com/ban.html
National
Musuem of Japanese History (2019). Special Program: “The Introduction of
Guns in Japanese History – From Tanegashima to the Boshin War-“. Retrieved
24 August, 2019, from https://www.rekihaku.ac.jp/english/exhibitions/project/old/061003/index.html
Olof,
G. Lidin. (2002). Tanegashima: The Arrival of Europe in Japan
Quinn,
D. B., Clough, C. H., & Hair, P. E. H. (Eds.). (n.d.). The European
Outthrust and Encounter: The First Phase C.1400-c.1700 . Retrieved from
https://books.google.com.my/books?id=Dg-8ZOeBqcYC&pg=PA116&lpg=PA116&dq=takehisa
udagawa
malacca&source=bl&ots=52yvfW1gy5&sig=ACfU3U2BIkoOStbScCQ3PMvHAr9rs8H0wg&hl=en&sa=X&ved=2ahUKEwigmKyN7pnkAhX47nMBHf-TBC0Q6AEwAnoECAkQAQ#v=onepage&q=takehisa
udagawa malacca&f=false




No comments yet