Firman Allah Taala dalam Surah Al Hadid ayat 25,

“Dan kami ciptakan (turunkan) besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan pelbagai manfaat bagi manusia (supaya mereka menggunakan besi itu)..”

Musuh kepada bilah keris ialah karat. Ini suatu perjanjian yang sudah tersurat. Oleh itu, pemakai atau penyimpan keris bukan sekadar seronok menyimpan akan tetapi wajib mengambil tahu tatacara penjagaan agar termasuk golongan yang bersyukur setelah mendapat amanah keris pusaka atau memiliki keris yang tinggi maharnya.

Oleh kerana karat adalah musuhnya, keris mesti ditatacarakan dengan mandian yang bertujuan merawat keris. Di luar sana, terdapat mereka yang menuduh amalan ini dipenuhi unsur khurafat dan syirik. Sepanjang pemerhatian dan praktikal saya sendiri melakukan mandian keris ini, tidak terdapat unsur khurafat atau syirik seperti tuduhan yang dilemparkan. Hanya sebenarnya mereka tidak faham atau jahil lalu berperang dengan kejahilan mereka sendiri.

Waktu Memandikan Keris

Bila-bila sahaja yang dirasa perlu. sebaiknya setahun sekali. Pemakai keris tidak selalu memandikan keris kerana bimbang pamor keris rosak selain meninggalkan kesan dama pada bilah. Memadai sekali setahun.

Hanya keris yang rosak, berkarat teruk sahaja dirawat. Oleh kerana itu, adab berkeris, kita mesti meminta izin pemilik jika ingin melihat kerisnya. Sekiranya kita dipercayai memperlaku dengan baik akan keris itu, kita akan diizinkan. Apatah lagi memegang dan menyentuh bilah. Cara dan adab memegang bilah keris dengan betul adalah tidak memegang hulu dan meletakkan bilah atas kuku ibu jari. Ia bertujuan agar bilah keris tidak disentuhi tapak tangan. Tapak tangan mengandungi lembapan peluh yang bersifat asid boleh mempercepatkan kerosakan bilah.

Sinonimnya, istiadat mandikan keris ini dilakukan pada bulan Muharam. Bulan itu dipilih kerana ia adalah tahun baru dan mudah diingati kerana catatan kalendar secara lengkap tidak mudah didapati seperti kita sekarang. Apabila mereka mencuci pada tahun sekian, mereka ‘setting’ di memori mereka, keris dicuci kembali bila masuk tahun akan datang.

Tatacara Memandikan Keris :

Suka untuk saya jelaskan disini, di sana ada pelbagai cara penjagaan termasuk memandikan keris. Istilah-istilah yang digunakan juga setengah tempat berbeza.  Namun, ‘content’nya tetap sama yakni merawat keris. Tatacara yang saya terima dari Guru saya adalah seperti berikut :

1. Pemilihan Keris

Tidak semua keris dirawat. Hanya merawat yang ‘sakit’ dan keris yang sihat, tidak perlu melalui proses tersebut. Mulakan melihat akan koleksi keris terlebih dahulu, nilai mana yang rosak dan mana yang masih baik. Asingkan keris yang sudah rosak dan keris yang masih baik. Keris yang dikenal pasti sudah rosak akan dirawat seperti proses-proses yang akan disebutkan dibawah. Sementara keris yang masih berkeadaan baik hanya dibersihkan sahaja (rujuk proses membersihkan keris).

2. Keris ditelanjangkan

Keris ditelanjangkan dengan mencabut sarung dan hulu keris. Hanya tinggal bilah yang tidak ‘berbaju’ kerana bilah itu yang hendak dimandikan. Adapun sarung dan hulu hanya dibersihkan jika terdapat kotoran.

3. Merendam keris

Keris direndam selama satu malam. Larutan yang digunakan ialah, air kelapa tua atau mengkudu atau nenas atau limau nipis. Kelapa, mengkudu atau nenas hendaklah tidak terlalu muda.

Sekiranya bilah keris tidak terlalu rosak, memadai direndam salah satu bahan di atas. Jika bilah sudah terlalu rosak, boleh rendam keris dengan campuran semua bahan di atas.

Semua bahan (air kelapa, mengkudu, nanas dan limau) sebenarnya bersifat asid. pH air kelapa muda sekitar bawah 5.2 (Campos et. al, 1996).

Semua jenis larutan itu ada 3 benda penting dalam rawatan besi:

i. Mengandungi Asid organik. Ini yang membuatkan semua jenis larutan tersebut berasid dan mempunyai kebolehan untuk menghakis lapisan oksida (karat) pada logam keris tersebut. Keris pada kebiasaannya diperbuat dari besi dan nikel sebagai logam utama. Asid malik, asetik, sitrik, tartarik merupakan asid yang wujud dalam air kelapa (Prades et. al, 2011). Limau mempunyai banyak asid sitrik dan asid malik, tartarik, oksalik, laktik dan askorbik (vitamin C) dalam kuantiti sedikit. Nenas pula mempunyai asid malik, asetik dan sitrik dan kuantitinya semakin kurang apabila nanas semakin matang. jadi kemungkinan nanas muda lebih kuat dalam rawatan rendaman ini.

Kesimpulannya, asid organik dalam larutan ini akan menghakis oksida logam (ferum oksida dan nikel oksida yang tidak larut air) ke bentuk yang larut air. Jadi kita nampak macam karat itu hilang. Oksida tersebut akan larut dalam air dalam bentuk ion Fe3+ dan Ni2+. Oleh itu, sebatian yang terhasil boleh terdiri dari ferum sitrat, ferum malat, ferum tartarat, ferum laktat, ferum asetat, ferum askorbat dan pasangan nikelnya yang sama.

Asid organik digunakan kerana sifat hakisannya yang lebih lembut berbanding dengan asid mineral. Sifatnya yang lembut mengurangkan potensi untuk bilah   dirosakkan oleh asid akibat daripada hakisan berlebihan. Tambahan pula,  sumber sumber asid organik yang digunakan merupakan tumbuhan   tumbuhan yang lazim dalam adat    melayu.

ii. Mengandungi antioksidan seperti vitamin C, catechin (dalam mengkudu), beta-carotene dan sebatian phenolik dalam nanas boleh menghalang daripada logam keris untuk bertambah karat dalam air. Pembentukan karat memerlukan oksigen dan kelembapan, dan kedua -dua faktor ini ada apabila keris direndam dalam air. Jadi secara hipotesisnya, bahan antioksida mampu untuk menghalang keris daripada terus karat.

iii. Mengandungi agen chelating (disebut “kileting” dengan e taling). Ini bahan yang membantu untuk mengikat ion logam. Jadi bahan chelating ini mampu membantu untuk mencabut karat dan meningkatkan kadar larutan ion logam. Rendaman bersama agen chelating ini membuatkan ion logam ini lebih mudah larut dalam air. Jadi, karat dapat dihakis lebih cepat dan dilarutkan dalam air dengan kuantiti yang lebih daripada biasa. Ia membantu asid organik menghakis karat dengan lebih lancar.

4. Membersih keris

Setelah rendaman, kotoran yang terdapat pada bilah keris yang dibersihkan dengan menggunakan bahan yang kesat. Misalnya sabut kelapa atau lidi atau juga berus gigi. Caranya, bilah keris digosok, dikutil atau apa sahaja cara yang boleh mencapai maksud membersihkan bilah keris.

PERHATIAN : Dulu sebelum pergi ke langkah selanjutnya iaitu membilas bilah Keris, ada proses namanya Mewarangi Keris. Tujuan Mewarangi Keris untuk menimbulkan pamor. Walaubagaimanapun, proses ini sudah jarang dilakukan kerna 3 faktor :

i. Proses mewarang keris sangat bahaya kerana mengandungi bahan beracun dan tujuan berkeris pada hari ini bukan lagi untuk bertikam.

ii. Bahan-bahan untuk kelangsungan proses ini sukar didapati.

iii. Memakan masa yang lama.

5. Membilas Keris

Keris kemudian dibilas dengan air supaya kotoran-kotoran jatuh menyembah bumi.

6. Menyirami Keris

Keris disirami menggunakan 7 jenis bunga yang berbeza warna dan jenis. Mandian bunga ini boleh mencuci saki baki asid organik dan bahan-bahan lain dalam proses sebelum ini. Ia juga meneutralkan kembali keadaan berasid sebelum dan juga membuah bau-bauan pada bilah keris. Menyirami keris dengan mandian bunga ini juga akan menambah ‘seri’ pada bilah keris.

7. Mengelap keris

Keris dilap dengan kain perca supaya basahan dan lembapan air dapat diminimumkan. Elakkan menggosok kerana akan meninggalkan bulu-bulu kain dan bebenang pada bilah keris.

8. Mengeringkan keris

Meskipun telah dilap dengan kain, bilah keris masih dalam kondisi lembap, oleh itu dilanjutkan dengan perasapkan keris dengan kemenyan. Kemenyan dipilih kerana ia berfungsi:

i. mengeringkan kerisi

ii. Mengawet (menguatkan bilah)

iii. Memberi haruman

Boleh sahaja menggunakan asapan lain seperti asapan wangian lain akan tetapi ia tidak mencapai kesempurnaan iaitu hanya boleh mewangikan dan mengeringkan tetapi tidak boleh mengawet bilah seperti kemenyan. Tambahan lagi, penggunaan selain kemenyan adalah tidak tradisi menurut adat dan adab yang diwarisi sejak zaman berzaman.

Komposisi kemenyan terdiri daripada terpene pepejal. Terpene adalah hidrokarbon, sejenis minyak), ester, alkohol. Namun semua bahan ini pepejal pada suhu bilik. Oleh itu, permukaan keris yang diperasap dengan kemenyan akan mengurangkan permukaan yang terdedah kepada udara dan kelembapan (faktor pengaratan). Perlindungan kemenyan tidak tahan lama akan tetapi mampu melambatkan proses karat.

Selain itu, bauan kemenyan boleh menghalau serangga, binatang lain yang berpotensi merosakkan bilah.

Kemenyan dapat membantu melindungi keris dari kuman-kuman yang boleh mempercepatkan proses oksida logam bilah.

9. Meminyakkan sedikit pada bilah keris

Keris diminyakan sedikit supaya tidak  berlaku tindak balas terhadap bilah seperti pengewapan hingga boleh merosak dan mengarat keris. Dicadangkan minyak Singer (minyak mesin jahit) berbanding minyak athar atau wangian lain.

Ini kerana minyak Singer adalah hidrokarbon petroleum.  ia kurang berpotensi untuk bertindak balas dengan apa-apa. Tambahan pula, terdapat bahan antikarat yang sedia ditambah pada minyak Singer tersebut.  Berbanding minyak athar, kandungan pelbagai dan kehadiran lembapan boleh ada di dalam minyak athar mengancam bilah keris.

Selain itu, minyak Singer juga berfungsi menghalang logam terdedah kepada oksigen dan lembapan udara disebabkan haba dari proses asapan tidak memadai untuk menghasilkan lapisan perlindungan yang menyeluruh

Oleh itu, lapisan minyak singer boleh melindungi bilah yang diperbuat dari logam disamping menjaga warna asli keris.  Perlu diketahui bahawa, warna oksida boleh sedikit menggelapkan bilah keris.

Minyak Singer juga boleh melarutkan sedikit partikel kemenyan atas bilah keris selepas proses perasap. Kesannya, lapisan kemenyan akan menjadi lebih rata.

10. Memakai pakaian keris

Pasangkan kembali hulu keris dan masukkan bilah ke dalam sarung seperti sebelum agar keris lengkap berpakaian.

11. Membaluti Keris

Keris dibaluti dan ikat kemas pada sebahagian sampir dan ganja keris supaya bilah mata keris terjaga rapi dalam sarung. Ia juga bertujuan agar memampatkan keris. Haruman lebih kekal dan menghalang kemasukan unsur tidak baik dan mencegah ia tercabut.

Warna kain terpulang kepada individu cumanya adat keris dulu, jika keris milik panglima, keris akan dibaluti warna merah. Sekiranya keris itu bertujuan mistik atau perdukunan, dibaluti warna hitam. Warna kuning pula membaluti keris Raja.

12. Berdoa penutup

Apa-apa doa yang dirasakan sesuai.

Rujukan:

Abdul Mua’ti @ Zamri Ahmad (2015),Keris Melayu Semenanjung, Suatu Pengenalan, UPM Press

Mohd Zainuddin Abdullah, Shahrim Senik (2009),Senjata Warisan, Muzium Negeri Selangor

Camara, M., Diez, C., Torija, M., & Cano, M. (1994). HPLC determination of organic acids in pineapple juices and nectars. Zeitschrift Fur Lebensmittel-Untersuchung Und -Forschung, 198(1), 52-56. http://dx.doi.org/10.1007/bf01195284

Camarda, L., Dayton, T., Di Stefano, V., Pitonzo, R., & Schillaci, D. (2007). Chemical Composition and Antimicrobial Activity of Some Oleogum Resin Essential Oils fromBoswellia SPP. (Burseraceae). Annali Di Chimica, 97(9), 837-844. http://dx.doi.org/10.1002/adic.200790068

Campbell-Falck, D., Thomas, T., Falck, T., Tutuo, N., & Clem, K. (2000). The intravenous use of coconut water. The American Journal Of Emergency Medicine, 18(1), 108-111. http://dx.doi.org/10.1016/s0735-6757(00)90062-7

CAMPOS, C., SOUZA, P., COELHO, J., & GLÓRIA, M. (1996). CHEMICAL COMPOSITION, ENZYME ACTIVITY AND EFFECT OF ENZYME INACTIVATION ON FLAVOR QUALITY OF GREEN COCONUT WATER. Journal Of Food Processing And Preservation, 20(6), 487-500. http://dx.doi.org/10.1111/j.1745-4549.1996.tb00761.x

Dussossoy, E., Brat, P., Bony, E., Boudard, F., Poucheret, P., & Mertz, C. et al. (2011). Characterization, anti-oxidative and anti-inflammatory effects of Costa Rican noni juice (Morinda citrifolia L.). Journal Of Ethnopharmacology, 133(1), 108-115. http://dx.doi.org/10.1016/j.jep.2010.08.063

Kung, H. (1991). Transition metal oxides. Amsterdam: Elsevier.

Levand, O., & Larson, H. (1979). Some Chemical Constituents of Morinda citrifolia. Planta Medica, 36(06), 186-187. http://dx.doi.org/10.1055/s-0028-1097264

Mang, T. (2014). Encyclopedia of lubricants and lubrication. Heidelberg: Springer.

Manna, K., Khan, A., Kr. Das, D., Bandhu Kesh, S., Das, U., & Ghosh, S. et al. (2014). Protective effect of coconut water concentrate and its active component shikimic acid against hydroperoxide mediated oxidative stress through suppression of NF-κB and activation of Nrf2 pathway. Journal Of Ethnopharmacology, 155(1), 132-146. http://dx.doi.org/10.1016/j.jep.2014.04.046

Prades, A., Dornier, M., Diop, N., & Pain, J. (2012). Coconut water uses, composition and properties: a review. Fruits, 67(2), 87-107. http://dx.doi.org/10.1051/fruits/2012002

Walker, P., & Tarn, W. (1991). CRC handbook of metal etchants. Boca Raton: CRC Press.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.