Beberapa hari lepas, sekatan internet mobile data dan WiFi telah dilaksanakan di Bandar Ulyanovsk, Rusia, yang akan kekal diteruskan sehingga tamat apa yang Kremlin panggil sebagai “operasi ketenteraan spesial”, merujuk kepada operasi pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. Malah, beberapa distrik di Ulyanovsk sudah pun mengalami sekatan internet ini selama beberapa minggu.
Menurut Oleg Yagfarov, Menteri Pembangunan Digital Ulyanovsk, sekatan ini bukan hanya terhad kepada bandar Ulyanovsk tetapi turut meliputi seluruh Rusia di kawasan yang berhampiran fasiliti khas yang dianggap sensitif. Minggu lalu, kerajaan pusat memperluas “zon keselamatan” di sekitar fasiliti tersebut. Yagfarov mengatakan bahawa langkah ini merupakan sekatan kekal, dan bukan langkah sementara ketika serangan berlaku.
Bukan itu sahaja, malah, dalam langkah baru yang lebih ketat, telco Rusia telah mula menguatkuasakan penyekatan akses internet mobile data selama 24 jam bagi pengguna yang baru pulang dari luar negara. Langkah ini diambil di atas alasan bagi tujuan pengesahan di mana kad SIM yang telah dibawa ke luar negara itu hanya digunakan oleh pengguna dan tidak digunakan oleh dron dalam proses navigasi. Ini juga bertargetkan penduduk di ‘border regions’ atau wilayah-wilayah sempadan kerana mereka boleh menggunakan telco kepunyaan negara jiran untuk mendapat akses media sosial dan aplikasi yang telah di-ban dan jika diakses melalui telco Rusia, perlu dilayari melalui VPN.
Contohnya, bandar Kursk yang bersempadan dengan Ukraine. Menurut pemerhatian saya sendiri, sekatan internet ini berlaku sekurang-kurangnya setiap minggu, tetapi pada masa yang lebih singkat (3-5 jam) tiap kali.
Walaubagaimanapun, ironinya adalah apabila akses kepada internet tidaklah disekat sepenuhnya, telco Rusia memberi akses internet hanya kepada aplikasi-aplikasi Rusia seperti VK (VKontakte), Yandex , Ozon, Max, dan sebagainya. Ini disebabkan oleh firewall nasional Rusia atau sistem “Sovereign Internet” di mana:
– Trafik ke aplikasi atau laman yang dibenarkan tidak disekat (whitelisted), jadi pengguna masih boleh mengakses perkhidmatan domestik.
– Trafik ke platform asing seperti WhatsApp dan Telegram diblok pada tahap rangkaian, walaupun telefon masih bersambung.
– Semua trafik internet boleh diperiksa dan disaring di peringkat rangkaian.
Pada masa yang sama, Kremlin sedang meneliti pindaan undang-undang yang akan memberi kuasa langsung kepada Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) untuk mengarahkan penutupan rangkaian mobile data atau internet atas alasan “jika adanya ancaman”. Jika diluluskan, FSB akan mempunyai kuasa untuk mengarah syarikat telco memutuskan rangkaian, mengehadkan akses internet di kawasan tertentu, dan menentukan bila sekatan boleh ditamatkan.
Pada Ogos 2025 pula, Kremlin mengumumkan sekatan baharu ke atas panggilan suara melalui WhatsApp dan Telegram, menuduh kedua-dua platform milik syarikat asing itu gagal bekerjasama dalam siasatan berkaitan “penipuan dan keganasan” dan akses akan dibuka semula hanya apabila syarikat-syarikat tersebut mematuhi undang-undang Rusia. Sejak Ogos ini, jika penduduk di Rusia ingin membuat panggilan telefon di WhatsApp, memang akan dengar bunyi yang mengganggu dan “buzzing” dan di Telegram pula hampir tidak berfungsi.
Isu ini bermula apabila Kremlin meminta pemilik Whatsapp dan Telegram untuk membuka entiti sah di Rusia, bekerjasama dengan Roskomnadzor (penyelia MassKom), dan menyerahkan data-data dan maklumat kepada pihak keselamatan.
Walaubagaimanapun, kedua-dua Whatsapp dan Telegram yang dimiliki oleh Pavel Durov, rakyat Rusia sendiri enggan membuat penyerahan ini. Dalam satu kenyataan, pemilik WhatsApp, Meta, berkata “WhatsApp ada privasi, end-to-end encrypted, dan kami menentang percubaan kerajaan untuk melanggar hak orang ramai terhadap komunikasi yang selamat, sebab itulah Rusia cuba menyekatnya daripada lebih 100 juta rakyat Rusia.
Kami akan terus melakukan segala yang kami mampu untuk memastikan komunikasi yang disulitkan end-to-end encrypted ersedia kepada semua orang di mana-mana, termasuk di Rusia.” Telegram berkata ia “secara aktif membanteras penyalahgunaan platformnya, termasuk seruan untuk sabotaj atau keganasan, serta penipuan”.
Meta telah dilabel sebagai organisasi ekstremis oleh Moscow pada 2022, tetapi WhatsApp, yang sangat meluas penggunaannya di Rusia, dibenarkan untuk terus beroperasi. Aplikasi mesej itu walaubagaimanapun telah menerima beberapa penalti kerana gagal memadamkan maklumat yang diharamkan oleh Rusia.
Pendapat orang Rusia?
Ramai dari rakyat Rusia menentang perlaksanaan ini. Kajiselidik (VCIOM) mengatakan 1 daripada 10 responden merasakan kekesalan kerana tiada akses kepada Youtube dan separuh dari itu, yang lahir selepas 1991 (selepas kejatuhan Soviet Union), merasakan perkara ini adalah negatif. Ramai dari pelajar-pelajar di Universiti merasakan terbeban kerana mereka tidak boleh belajar dan membuat kerja. Bagi penduduk, hidup di bawah bayang-bayang firewall dan sekatan ini adalah pengingkaran terhadap hak asasi digital mereka.
Kita boleh nampak bahawa sebalik alasan “keselamatan” dan “zon keselamatan”, rakyat Rusia nyata menjadi mangsa kawalan digital yang mengekang kebebasan mereka. Internet yang sepatutnya menjadi ruang untuk bersuara, berhubung, dan mendapat maklumat kini menjadi alat pengawasan dan penindasan. Aplikasi asing disekat, panggilan disekat, dan SIM dimatikan. Semua demi mengekalkan naratif kerajaan dan mengawal apa yang rakyat boleh lihat atau katakan. Langkah-langkah ini bukan sekadar perlindungan, tetapi peringatan bahawa di Rusia, kebebasan bersuara dan akses kepada maklumat semakin terancam setiap hari.




No comments yet