Sebut saja megalodon, ramai membayangkan imej haiwan pemangsa laut itu yang ditonjolkan dalam filem lakonan Jason Statham pada 2018, The Meg. Hilang dari rekod fosil secara misteri kira-kira 3.6 juta tahun lalu, saintis kini percaya mereka telah menemui sebab kepupusan megalodon: jerung Great White!
Sebelum ini, wujud hipotesis kajian sebelumnya yang mengatakan kemunculan jerung tersebut membawa kepada kemerosotan bilangan megalodon. Ini berikutan kedua-dua pemangsa marin itu memburu sumber makanan yang sama.
Menurut Jeremy McCormack dari Institut Antropologi Evolusi Max Planck yang berpangkalan di Leipzig, Jerman, teori ini disokong oleh penemuan tanda gigitan pada fosil-fosil haiwan laut yang ditemui. Tanda gigitan ini berkemungkinan dibuat oleh megalodon dan jerung sekaligus menunjukkan kedua-duanya saling bersaing mendapatkan makanan yang sama.
Tetapi ini saja tidak mencukupi. Bagi mendapatkan bukti kukuh yang menyokong teori ini, saintis menganalisis kandungan zink pada fosil gigi kedua-dua haiwan pemangsa laut itu. Zink amat penting kerana ia dapat membantu saintis mengenalpasti kedudukan haiwan dalam rantaian makanan. Sekiranya haiwan tersebut mempunyai isotop zink yang rendah, ini menunjukkan ia berada di bahagian atas rantaian makanan – amat sesuai untuk jerung dan megalodon.
Jerung Great White dikatakan berevolusi kira-kira empat juta tahun yang lalu sebelum hidup sezaman dengan megalodon selama 400,000 tahun. Pada awalnya, kedua-dua spesies pemangsa marin ini memburu sasaran haiwan yang berbeza dan tidak bersaing sesama mereka.
Namun begitu, kadar zink pada gigi jerung dan megalodon mendedahkan berlakunya perubahan dalam hubungan kedua-dua haiwan pemangsa itu. Perubahan itu dikesan pada awal era Pliocene atau kira-kira 5.3 juta tahun lalu. Perubahan itu menyaksikan sesetengah jerung mula naik ke kedudukan teratas rantaian makanan sekaligus mencabar kedudukan megalodon sebagai pemangsa utama.
Akibatnya, kedua-dua spesies haiwan pemangsa itu terpaksa berkongsi makanan yang sama. Seperti jerung Great White hari ini, megalodon pastinya memburu ikan-ikan bersaiz besar. Disebabkan jerung tidak memerlukan sumber makanan yang banyak berbanding pesaing mereka yang berbadan besar itu, ia mendapat kelebihan dalam menyaingi megalodon.
Selain persaingan sengit dengan jerung Great White dalam mendapatkan makanan, para saintis percaya faktor lain turut menyumbang kepada kepupusan megalodon. Faktor tersebut ialah perubahan iklim dan kemerosotan bilangan ikan yang menjadi sumber makanan utama haiwan pemangsa marin itu. Perubahan dunia pada awal era Pliocene pasti mengakibatkan haiwan tersebut kelaparan sebelum menemui ajalnya.
Baru-baru ini, megalodon kembali menjadi tumpuan selepas seorang budak lelaki berusia enam tahun menemui fosil gigi haiwan itu di Pantai Bawdrey, Suffolk baru-baru ini. Ia menjadi berita hangat kerana gigi megalodon jarang ditemui di Britain. Kebiasaannya, ia banyak ditemui di pantai timur Amerika Utara atau pesisir pantai Maghribi.
RUJUKAN
Duke, C. (2022, 3 Jun). Great white sharks may have driven megalodon to extinction. Live Science.
Gamillo, E. (2022, 1 Jun). Great White Sharks May Have Driven Megalodons into Extinction. Smithsonian Magazine.
Briggs, H. (2022, 1 Jun). Megalodon shark extinction may have been linked to great white competition. BBC News.
Schultz, I. (2022, 1 Jun). Great White Sharks May Have Pushed Megalodons to Extinction. Gizmodo.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih