Kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei 2020 lepas yang merupakan permulaan awal sebahagian pekerja mula bergerak ke tempat kerja masing-masing setelah lama berkurung dalam rumah kerana PKP. Pemandangan jalan dan lebuh raya yang lengang seketika telah kembali sibuk sejak PKPB dan PKPP sekarang ini.
Memandangkan sesi persekolahan untuk beberapa kumpulan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan besar (SPM, STPM, SVM, STAM dan peperiksaan antarabangsa setara) telah diumumkan kerajaan iaitu bermula pada 24 Jun 2020, maka sedikit sebanyak menyumbang kepada kesesakan jalan raya walaupun tidak sesesak sewaktu sesi persekolahan sepenuhnya.
Saya sendiri yang berulang alik kerja hampir 75 km setiap hari boleh merasakan perbezaan tahap kesesakan jalan raya sejak PKPB, PKPP dan pembukaan semula sekolah. Boleh dikatakan hampir semua orang tidak suka jalan sesak dan terkesan olehnya sama ada secara langsung ataupun tidak.
Tetapi pernahkah kita terfikir atau tahu bagaimana commuting atau ulang alik ke tempat kerja boleh menjejaskan kesihatan kita? Maka artikel ini akan menjelaskan secara ringkas kesannya terhadap kesihatan kita.
Peningkatan kadar gula dalam darah
Memandu melebihi 16km sehala dikaitkan dengan peningkatan gula dalam darah seperti yang telah dilaporkan oleh University of Medicine di Saint Louis dan Cooper Institute di Dallas yang diterbitkan dalam The American Journal of Preventive Medicine. Kandungan glukosa yang tinggi boleh membawa kepada pra-diabetes dan diabetes.
Kolesterol semakin tinggi
Dalam laporan yang sama mencatatkan bahawa perjalanan 16km sehala juga dikaitkan dengan kolesterol yang tinggi dalam kalangan orang yang berulang alik kerja. Peningkatan kolesterol tanpa kawalan merupakan petanda awal untuk mendapat penyakit jantung.
Cenderung terhadap penyakit mental
Kajian yang sama juga melaporkan bahawa perjalanan seminimum 16km sehala ke tempat kerja pada setiap hari boleh menyebabkan kecenderungan yang tinggi untuk mendapat kemurungan (depression), kegelisahan (anxiety) dan keterasingan daripada masyarakat (social isolation).
Peningkatan kegelisahan (anxiety)
Kajian daripada Office of National Statistics di United Kingdom mendapati bahawa orang yang berulang alik melebihi setengah jam sehala mendapat peningkatan stres dan kegelisahan berbanding orang yang berulang alik kurang daripada setengah jam atau tidak berulang alik langsung. Walaupun rutin ini tidak dapat dielakkan, tekanan atau rasa tidak suka akan perjalanan pergi balik kerja boleh dikurangkan dengan mendengar radio atau lagu, atau membaca buku sekiranya menaiki pengangkutan awam.
Kebahagiaan dan kepuasan hidup berkurang
Kajian juga mendapati orang yang berulang alik kerja, tak kira sama ada perjalanan yang jauh atau dekat mengalami pengurangan kebahagiaan dan kepuasan hidup berbanding orang yang langsung tidak berulang alik. Manakala orang yang menaiki bas selama 30 minit atau lebih lama sering dikaitkan dengan tahap kepuasan hidup yang paling rendah sekali.
Peningkatan tekanan darah untuk sementara
Bergerak ke tempat kerja pada waktu puncak – terutamanya apabila anda rasa mungkin akan terlewat – boleh menyebabkan kenaikan sementara tahap stres yang mencanakkan tekanan darah, walaupun tekanan darah sebelumnya normal sahaja. Satu kajian juga daripada University of Utah, mereka menjalankan eksperimen dengan menetapkan peserta kajian dalam senario sedang memandu.
Para peserta diberitahu yang mereka terlambat ke tempat kerja dan ada ditawarkan insentif kewangan untuk mereka sampai ke tempat kerja secepat mungkin. Separuh daripada mereka diletakkan di trafik yang sesak, dan separuh lagi diletakkan di trafik yang tidak sesak. Peserta yang memandu di trafik yang sesak dilaporkan mengalami tahap stres yang tinggi, termasuk juga tekanan darah yang meninggi.
Sekiranya anda sentiasa rasa sentiasa nak cepat sampai ke tempat kerja, lebih baik bertolak awal sebelum waktu puncak. Walaupun anda akan sampai dalam tempoh masa yang sama seperti waktu puncak, sekurang-kurangnya anda tidak rasa stres dan bimbang.
Tekanan darah anda meningkat dari semasa ke semasa
Walaupun ada peningkatan tekanan darah secara sementara semasa memandu dan kembali normal di luar waktu pemanduan, tekanan darah tetap akan naik untuk jangka masa yang panjang. Kajian di Texas terhadap 4,297 orang mendapati – semakin jauh tempat tinggal, semakin lama tempoh perjalanan, semakin tinggi tekanan darah mereka.
Stamina kardiovaskular menurun
Kajian yang sama di Texas mendapati semakin lama perjalanan ke tempat kerja, semakin rendah tahap stamina kardiovaskular dan aktiviti fizikal. Kekurangan pada aktiviti dan stamina kardiovaskular memberikan kesan kepada tidak baik pada kesihatan jantung.
Tidur terganggu
The Regus Work-Life Balance Index untuk tahun 2012 mendapati mereka yang memandu selama lebih 45 minit sehala dilaporkan mengalami kualiti tidur yang rendah dan juga mengalami keletihan yang bersangatan berbanding dengan orang yang memandu pada jarak dan tempoh yang lebih pendek.
Sakit belakang
Menghabiskan berjam-jam seminggu dalam keadaan duduk ketika memandu sama ada sebagai pemandu atau penumpang bakal mendatangkan kesan buruk pada postur badan bahagian belakang anda. Sebahagian besar akan mengadu sakit belakang dan tengkuk kerana terlalu lama memandu.
15 Jun 2020 pula merupakan pembukaan semula sesi persekolahan yang akan menyebabkan jalan raya bertambah sibuk seperti sebelum PKP lagi. Maka rancanglah waktu perjalanan pergi dan balik kerja supaya ia tidak mengganggu kesihatan kita.
RUJUKAN:
Carolyn Kylstra. (2014). 10 Things Your Commute Does to Your Body. Time. https://time.com/9912/10-things-your-commute-does-to-your-body/
N.A. (2018). How Does That Work Commute Affect You? Passport Health. https://www.passporthealthusa.com/employer-solutions/blog/2018-3-how-does-that-work-commute-affect-you/
Annette Schaefer. (2005). Commuting Takes Its Toll. Scientific American Mind. https://www.scientificamerican.com/article/commuting-takes-its-toll/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih