Setiap
kali saya mendengar single Super Junior bertajuk Sorry Sorry, saya menyangka ia
hanyalah satu lagi single K-Pop biasa sebagai halwa telinga para pendengar di
luar sana. Namun, siapa sangka single yang dilancarkan pada tahun 2009 itu
bukan saja menaikkan nama Super Junior sebagai antara kumpulan legenda K-Pop.
Bahkan, ia sebenarnya memberi impak kepada pendengar di luar Korea melebihi
lagu Gangnam Style yang dibawa Psy pada tahun 2012.
Mungkin
ada yang membangkang kenyataan ini tetapi realitinya sudah ramai mendengar
K-Pop sebelum tahun 2012 yang menyaksikan fenomena tular Gangnam Style. Di
Amerika Syarikat sahaja, satu kaji selidik yang dibuat oleh Korea Creative
Content Agency USA pada tahun 2014 mendedahkan 39.5% responden sudah mendengar
lagu-lagu K-Pop sebelum tahun 2009 lagi berbanding 26.8% yang hanya mula
mendengar pada tahun 2012 atau 2013. Ya, Psy menjadikan K-Pop satu fenomena
tular tetapi ia tidak akan berlaku tanpa batu asas yang disediakan
kumpulan-kumpulan K-Pop pada tahun 2009.
Pada
tahun 2009, artis-artis K-Pop mula menghasilkan lagu-lagu yang memikat hati
pendengar seperti Gee (Girl’s Generation) dan Abracadabra (Brown Eyed Girls).
Wonder Girls juga tidak ketinggalan menyumbang lagu siulan ramai pada tahun itu
iaitu Nobody dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Korea. Sebut pasal versi Bahasa
Inggeris Nobody ini, ia mencipta sejarah sebagai lagu Korea pertama yang
disenaraikan dalam carta single Billboard’s Top 100. Lagu ini dilancarkan
sehari sebelum mereka menyertai Jonas Brothers mengadakan konsert jelajah di
Amerika Syarikat. Selain Wonder Girls, artis legenda BoA turut menempa nama
apabila album BoAnya yang dipasarkan ke pasaran Amerika tersenarai dalam carta
album Billboard 200.
Tahun
2009 dianggap tahun penting yang amat membantu proses globalisasi muzik Korea.
Pada tahun itu, platform laman media sosial dan YouTube sudah mula membenarkan
kandungan K-Pop seperti muzik video dan koreografi tarian diakses oleh
pengguna. Ini yang mempercepatkan lagi penyebaran maklumat dan kegilaan
terhadap tarian dan muzik K-Pop. Dan antara kumpulan yang bertanggungjawab
mencetuskan kegilaan ini ialah Super Junior menerusi single mereka Sorry Sorry.
Pada awalnya, ia dilancarkan sebagai single digital sebelum disusuli oleh album
menggunakan tajuk sama dan muzik video yang dilancarkan pada 12 Mac 2009. Lagu
ini bukan saja mengangkat nama Super Junior sebagai artis pujaan K-Pop ketika
itu bahkan merevolusikan K-Pop itu sendiri.
Dari
awal sampai akhir, lagu ini hanya membicarakan satu subjek secara visual iaitu
gerak tari yang menarik hasil koreografi Nick Bass dan Trent Dickens. Sorry
Sorry turut mengandungi korus lagu yang berulang dan susunan vokal Super Junior
yang sesuai dengan rangkap lagu itu, satu formula pop yang dibuat dengan
sempurna dan menjadi kegilaan ramai. Selepas ia dilancarkan, album Sorry Sorry
menduduki tangga pertama carta muzik penting Korea dan ia turut menduduki carta
lagu mingguan Korea. Bukan sedikit carta lagu di mana ia menduduki nombor satu
dari Taiwan hingga ke Thailand di mana di Taiwan, Sorry Sorry menjuarai carta
sebanyak 36 minggu berturut-turut. Dan lagu ini mendorong ramai artis dari
artis amatur kepada penghibur industri menari atau menyanyikan semula Sorry Sorry
versi mereka.
Contoh
versi tarian Sorry Sorry banduan penjara Filipina: https://www.youtube.com/watch?v=_43TO_OPj-8
Sorry
Sorry turut menandakan kematangan artis yang bernaung di bawah syarikat SM
Entertainment selepas membuat kemunculan pertama pada tahun 2005. Penampilan
mereka dalam Sorry Sorry menunjukkan penampilan yang bersifat sofistikated dan
lari dari imej kei (imej fesyen jalanan Jepun) serta menerima aspek astetik
yang menjadi inspirasi kepada dekad K-Pop seterusnya. Koreografi tarian Super
Junior juga turut menonjolkan kekuatan ahli kumpulannya yang ramai sekaligus
membuka peluang kepada artis berkumpulan lelaki yang ramai seperti SEVENTEEN
dan The Boyz. Super Junior turut memecah tradisi dengan sebagai artis lelaki
berkumpulan yang menari kerana aspek ini selalunya didominasi oleh artis wanita
berkumpulan. Selepas Sorry Sorry, kumpulan seperti 2PM dan SHINee juga mula
melakukan perkara sama.
Selain
itu, Super Junior juga turut membuka peluang kepada artis-artis bukan Korea
berkecimpung dalam dunia muzik Korea. Mereka merupakan kumpulan pertama yang
mempunyai anggota bukan berasal dari Korea Selatan bernama Hankyung atau Han
Geng. Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran termasuk isu undang-undang
dengan SM Entertainment, Han Geng membuka peluang kepada artis bukan Korea
menyertai industri muzik Korea hari ini.
Super
Junior turut mengikut jejak langkah BoA dengan membuka jalan kepada
pengembangan K-Pop di China. Antara cara yang digunakan mereka ialah membentuk
sub-unit spesifik seperti Super Junior-M yang aktif menghasilkan lagu dan
mempromosikan lagu mereka di China. Kumpulan ini dianggotai anggota asal Super
Junior dan turut disertai oleh dua artis China iaitu Zhou Mi dan Henry. Terima
kasih kepada single seperti Sorry Sorry, Bonamana dan Mr. Simple, Super Junior
mendominasi pasaran Asia dan mula mengintai pasaran Barat.
Pada
tahun 2015, Super Junior merupakan artis Korea pertama yang memenangi anugerah
Teen Choice Award untuk kategori Choice International Artist dengan kumpulan
peminat mereka ELF memenangi anugerah kumpulan peminat popular. Selain itu pada
tahun 2018, Super Junior juga mula berkolaborasi dengan dua karyawan Latin
iaitu Leslie Grace dan Play-N-Skillz untuk lagu Lo Siento dan Otra Vez.
Percubaan yang dianggap berani bagi kumpulan yang sudah bertapak selama 13
tahun dalam industri muzik Korea tetapi berbaloi kerana menjadi artis Korea
pertama memasuki carta lagu Latin Billboard sebanyak dua kali.
Disebabkan
oleh pelbagai isu seperti khidmat negara (kerahan tentera) dan isu
undang-undang, komposisi anggota Super Junior juga berubah sepanjang sedekad
selepas Sorry Sorry. Ketika ini, kumpulan ini dianggotai oleh Leeteuk (nama
sebenar Park Jeong-su), Kim Heechul, Yesung (Kim Jong-woon), Shindong (Shin
Dong-hee), Eunhyuk (Lee Hyuk-jae), Lee Donghae, Choi Siwon, and Kim Ryeowook.
Bila Cho Kyunhyun menamatkan tugas khidmat negaranya pada Mei tahun ini, Super
Junior akan mempunyai komposisi anggota tetap yang aktif buat kali pertama
dalam tempoh sedekad.
Hari
ini, lagu Sorry Sorry merupakan lagu wajib bukan saja bagi peminat K-Pop tetapi
juga bagi mana-mana artis berkumpulan yang hendak menceburi industri muzik
K-Pop. Cakaplah siapa yang diminta menyanyi dan menari lagu ini dari EXO dan
SEVENTEEN hingga BTS dan TWICE di mana mereka menyanyi bersama Leeteuk dalam
pelbagai rancangan hiburan pelbagai Korea. Malah, lagu ini turut menjadi
pilihan ramai peserta rancangan pertandingan nyanyian seperti Produce 101.
Boleh
rujuk video persembahan Leeteuk bersama BTS, GFRIEND dan TWICE: https://www.youtube.com/watch?v=9oVZDspxn2g
Video
persembahan peserta Produce 101 Musim Kedua menyanyikan lagu Sorry Sorry: https://www.youtube.com/watch?v=Gg6b6VUIW80
SUMBER
Hodoyan-Gastelum,
Alexis. (2019). MTV. 10 YEARS AGO, SUPER JUNIOR’S ‘SORRY, SORRY’ CHANGED K-POP
FOREVER. http://www.mtv.com/news/3116871/super-junior-sorry-sorry-10-years-k-pop/




No comments yet