Cakap pasal ikan terbesar, mesti kita bayangkan paus biru dinobatkan sebagai haiwan laut terbesar. Tapi, paus biru bukan ikan tau! Dia sebenarnya mamalia laut. Mungkin anda semua tertanya-tanya, kalau bukan paus biru, spesis ikan apa terbesar dunia?
Memperkenalkan ikan Mola, spesis ikan bertulang terbesar dan paling berat di dunia! Ikan Mola (Mola Mola) yang dipanggil sebagai ikan matahari laut (Ocean Sunfish) mempunyai rupa badan seolah-olah peluru atau misil gergasi, sirip tepi yang begitu panjang, dan hampir tiada ekor namun ada sirip bulat seolah-olah ekor yang dipanggil sebagai clavus.
Ikan yang berwarna perak ini mempunyai berat mencecah 2.5 tan dan panjangnya mencecah 3.3 meter. Rupanya hampir kepada bentuk bulat pula menjadikan ikan Mola diberikan nama ‘ikan matahari’. Memang ikan ini sangat besar kalau dibandingkan dengan penyelam di sisinya!
Kerana badan besar ikan Mola ini, ia mampu hidup selama 10 tahun. Ia biasanya hidup hampir seluruh lautan dan sering disalah anggap sebagai jerung kerana sirip besarnya menonjol keluar apabila ikan ini pergi ke permukaan laut.
Diet pemakanan ikan Mola ialah omnivor, boleh memakan ikan kecil, alga, dan plankton menggunakan mulutnya berbentuk seperti paruh burung. Makanan kegemaran ikan ini ialah obor-obor.
Walaupun besar, tapi ada kelemahan yang ikan ini tidak mampu elak. Antara kelemahannya ialah badan ikan sangat terdedah dengan serangan parasit. Apabila terjangkit oleh parasit, ikan Mola meminta bantuan ikan kecil untuk memakan parasit itu. Burung pun ikan Mola minta bantu dengan hanya dedahkan badan yang diserang parasit ke permukaan laut, menunggu masa burung datang memakannya.
Satu lagi kelemahan ialah badan besarnya mampu menarik perhatian pemangsa seperti jerung dan anjing laut. Jika ikan Mola berada di kawasan ‘jajahan’ jerung, bersiap sedialah jadi santapan jerung. Ikan Mola tidak boleh berenang pantas kerana sirip besarnya menyukarkan ia berenang lagi cepat. Jadi, ikan ini redha sajalah sehingga nyawanya melayang digigit jerung.
Status konservasi ikan Mola sekarang ialah terdedah (vulnerable) kerana ia diancam oleh kehadiran sampah-sarap. Telah banyak Ikan Mola mati akibat termakan plastik kerana menganggap plastik itu sebagai obor-obor.
Ikan Mola merupakan suatu keajaiban dalam alam haiwan laut, membuatkan kita terpegun kemudian mengingati kebesaran Tuhan yang menciptakan alam ini. Harap ikan Mola harus bertahan hidup di habitatnya yang semakin teruk akibat pembangunan manusia.




No comments yet