Ciptaan Ilahi tidak pernah sia-sia baik di langit mahupun di bumi. Dan ia juga mampu mengejutkan manusia kerana masih banyak rahsia ciptaan-Nya yang masih belum diketahui. Siapa sangka, sesetengah terumbu karang yang dihuni oleh pelbagai hidupan laut mampu mengubati penyakit kulit yang dialami ikan dolfin.
Menurut penulis kajian Angela Ziltener, ikan lumba-lumba ini akan menggaru badan mereka pada terumbu karang yang mengandungi khasiat perubatan. Antara bahagian yang digaru ialah bahagian perut, depan dan belakangnya.
Tambah Ziltener lagi, beliau tidak pernah melihat tingkah laku sebegitu rupa dan percaya ikan dolfin tahu terumbu karang mana yang sesuai untuk kesihatan mereka. Kali pertama tingkah laku ini dilihat Ziltener dan pasukan penyelidiknya ialah di utara Laut Merah kira-kira 13 tahun lalu.
Ikan lumba-lumba mempunyai kulit yang tebal, halus dan tahan lasak. Tetapi ia juga mudah terdedah kepada jangkitan bakteria dan yis serta lesion berbentuk parut atau tatu yang dicetuskan oleh jangkitan virus berjangkit. Dua keadaan ini dijangka akan diburukkan lagi dengan situasi perubahan iklim termasuk pemanasan global.
Selain membantu menghilangkan sakit kulit, ikan dolfin membantu terumbu karang melepaskan mukus polipnya. Pemerhatian Ziltener mendapati dolfin-dolfin ini akan beratur dan menggaru badan pada terumbu karang sebaik saja bangun seolah-olah seperti rutin mandian pagi manusia. Selain itu, dolfin-dolfin ini juga selalu kembali kepada terumbu karang yang sama setiap kali ingin menggaru badan mereka.
Bagi mengetahui ciri perubatan yang ada pada sesebuah terumbu karang termasuk bahagian yang selalu digaru ikan lumba-lumba, 48 sampel karang, span dan mukus karang pilihan dolfin diambil. Ini termasuk karang gorgonia Rumphella aggregata, kulit karang Sarcophyton sp. dan span Ircinia sp.
Analisis kajian yang diterbitkan dalam jurnal iScience mendedahkan terdapat 17 metabolit bioaktif dengan ciri anti-oksida, anti-bakteria dan hormon persis oestrogen. Semua ciri ini amat berguna untuk rawatan penyakit kulit tetapi jarang digunakan sebagai antibiotik untuk manusia atau haiwan. Tetapi satu kajian lain yang dijalankan mendapati sesetengah karang mempunyai manfaat perubatan termasuk anti-mikrob.
Begitupun, lebih banyak kajian perlu dibuat bagi mengenalpasti ciri perubatan karang mana yang membantu ikan dolfin dan bagaimana ia memberi kesan positif kepada setasea itu. Ini boleh dilakukan dengan mengkaji rangkaian sosial dan demografi haiwan mamalia marin itu. Sekiranya bilangan ikan dolfin yang mengalami penyakit kulit berkurangan, ini menjadikan hujah terumbu karang sebagai farmasi ikan itu lebih kukuh.
Menariknya, selain digunakan sebagai ubat sakit kulit, dolfin turut menggunakan span karang sebagai alat mencari makanan. Bagi pengkaji biologi Sarah Powell, beliau tidak menolak sekiranya dolfin menggunakan karang untuk tujuan-tujuan lain yang belum diketahui oleh komuniti saintifik.
RUJUKAN
Massey, N. (2022, 20 Mei). Dolphins line up to self-medicate skin conditions with coral, research suggests. The Independent.
Quaglia, S. (2022, 19 Mei). Pharmacy in the sea: Dolphins ‘use coral as medicine for skin ailments’. The Guardian.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih