Ahad, 27 September 202627 Sep 2026
Mutiara Islam

Ibn Rusyd: Tanpa Beliau, Barat Tak Mungkin Keluar Dari Zaman Gelap

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Ibn Rusyd ataupun nama sebenarnya,  Abu al-Walid Muhammad bin Ahmad bin Muhammad
bin Rushd ataupun lebih dikenali sebagai Averroes di dunia Barat. Ibn Rusyd
telah dilahirkan di Kota Cordova iaitu salah sebuah kota Islam yang terkenal di
Andalusia dan pernah menjadi pusat pemerintahan buat Kerajaan Islam Umayyah
ketika berada di fasa kedua.  Sarjana
Islam ini telah dilahirkan pada tahun 1126M ketika era pemerintahan Kerajaan Islam
al-Muwahhidin.

Barat memandang susuk tubuh ini sebagai
seorang yang sangat hebat. Mereka menyanjung dan menggelarkan Ibn Rushd sebagai
Prince of Science. Beliau yang lebih dikenali sebagai Averroes diangkat kerana
sumbangan beliau dalam menjadi pengulas terhadap falsafah Aristotle. Akibat
daripada ulasannya, beliau berjaya mempengaruhi pendeta Kristian paling
konservatif semasa Zaman Pertengahan termasuklah St. Thomas Aquinas.

Bukan itu sahaja, penulisan beliau turut
menjadi tulang belakang buat Eropah keluar dari zaman gelap mereka. Perkara ini
kerana, hasil penulisan Ibn Rushd telah berjaya membuka mata dan memberikan
idea kepada ahli falsafah barat seperti Voltaire dan Rousseau. Mereka
menggunakan konsep pemikiran Averroes dalam karya beliau seterusnya berjaya
mencetuskan era Renaissance sehingga mengubah landskap Eropah seperti yang kita
dapat lihat pada hari ini.

Ibn Rushd hidup di dalam keluarga yang
berpengaruh, dipandang tinggi oleh masyarakat dan berilmu pada ketika itu.
Dikisahkan bahawa, Ibn Rushd merupakan generasi ketiga daripada keluarganya
yang memegang jawatan qadi selepas datuknya yang juga merupakan Imam Besar
Masjid Cordova serta ayahnya turut pernah memegang jawatan qadi. Qadi berasal
daripada perkataan Arab yang membawa maksud seorang hakim yang membuat
keputusan berlandaskan syariat Islam dan bukannya berlandaskan hawa nafsu
semata-mata.

Ibn Rushd merupakan pengikut aliran Fiqh
Maliki yang merupakan mazhab fiqh rasmi Andalus pada ketika itu. Pendidikan
awal Ibn Rushd adalah hasil daripada ajaran bapanya yang juga pengikut fiqh
mazhab Maliki. Ibn Rushd mempelajari dan menghafaz karya kitab agung karangan
Imam Malik iaitu Al-Muwattak. Beliau turut mentelaah bidang ilmu pengetahuan
seperti al-Quran, kesusasteraan Arab al-Mutanabbi dan ilmu kalam.

Kisah tentang sarjana Islam ini amat hebat
sehingga beliau diiktiraf oleh dunia barat. Ibn Rushd memulakan perjalanan
dunia keilmuan dengan mempelajari ilmu Hadith, bahasa, usul al-fiqh, kalam,
perubatan, matematik dan sebagainya sehingga beliau menguasai bidang-bidang
tersebut. Sepanjang hayat beliau telah menghasilkan sangat banyak penulisan
dalam pelbagai bidang seperti yang berikut:

  • Karya dalam bidang falsafah (28 buah)
  • Karya dalam kalam (5 buah),
  • Karya dalam fiqh dan perundangan (8 buah)
  • Karya dalam tatabahasa (4 buah)
  • Karya dalam perubatan (20 buah)

Turut dicatatkan bahawa beliau pernah menulis
buku di dalam bidang astronomi
(4 buah), teologi (5 buah) serta sastera dan puisi (2 buah). Dikatakan juga
bahawa terdapat lebih banyak buku yang pernah dikarang oleh Ibn Rushd tetapi
telah dilenyapkan oleh pemerintah apabila beliau difitnah dan dibuang negeri.

Antara karya agung yang mengangkat nama tokoh falsafah Islam ini adalah seperti Kitab al-Kulliyat fi Tibb (Buku Keseluruhan Mengenai Perubatan). Di dalam kitab ini, beliau telah mengarang pelbagai perkara yang melibatkan bidang perubatan.

Lebih mengagumkan, beliau berjaya mengeluarkan teori yang tidak pernah difikirkan oleh orang sezaman dengannya. Antaranya ialah beliau menyatakan bahawa demam campak hanya akan dialami oleh seseorang itu sekali seumur hidup. Karya tulisan Ibn Rushd ini berjaya mendidik masyarakat tentang ilmu perubatan yang amat penting buat manusia.

 Antara isi kandungan kitab perubatan tersebut
adalah seperti:

  • Tashrih al-a’lda’ (Anatomi
    Organ Manusia)
  • al-Sihha (Kesihatan)
  • al-Marad (Penyakit)
  • al-’Alamat (Simptom)
  • al-Adwiya wa ‘l-aghdhiya
    (Ubat dan Makanan)
  • Hifz al-sihha (Kebersihan)
  • Shifa al-amrad (Terapi)

Selain itu, Ibn Rushd turut menyumbang pemikirannya di
dalam bidang astronomi. Antara salah satu kejayaan terhebat beliau ialah
berjaya menentukan titik suria. Beliau turut menulis kitab dalam bidang
astronomi yang berjudul Kitab Fi Harakat al-Falak. Bukan itu sahaja, beliau
turut merumuskan Almagest tulisan Ptolemy yang merupakaan manual buat ilmu
astronomi.

Atas kehebatan pemikiran Ibn Rushd di dalam pelbagai bidang, beliau telah berjaya menambat hati pemerintah pada  ketika itu seterusnya telah menjawat pelbagai jawatan yang besar. Pada tahun 1169M, beliau telah dilantik sebagai Hakim di Sevilla. Selepas itu, beliau dihantar di Cordova untuk menjawat jawatan sebagai seorang Ketua Hakim pada tahun 1171M.

Selain itu, beliau turut menjadi doktor peribadi buat pemerintah yang berkuasa pada tahun 1182M. Akibat daripada perasaan cemburu terhadap kehebatannya, Ibn Rushd telah difitnah yang menyebabkan beliau dibuang ke Lucena, Cordova pada tahun 1195M. Dua tahun selepas itu, barulah khalifah menarik kembali hukuman yang dijatuhkan terhadapnya.

Tahun 1198M menjadi tahun terakhir buat sarjana ulung ini hidup sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berumur 72 tahun. Kisah kehebatannya amat unggul dan wajar diangkat serta diperkenalkan kepada setiap lapisan masyarakat agar mereka mengenali figura hebat ini Ia merupakan suatu kehilangan yang amat besar bukan sahaja buat umat Islam tetapi kepada seluruh dunia.

Kebanyakkan karyanya lebih diiktiraf oleh pihak barat berbanding pihak timur. Tiada sarjana lain yang sezaman dengannya  mampu menyaingi kehebatan beliau. Kecintaan beliau terhadap ilmu telah berjaya membantu masyarakat dunia untuk memperbaiki kualiti hidup. Diharapkan ada individu yang terinspirasi dan menjadikan sarjana ini sebagai idola yang perlu dicontohi seterusnya menyumbangkan ilmu yang bermanfaat buat masyarakat.

Saya akhiri artikel ini dengan beberapa mutiara kata
daripada sarjana serba boleh Islam ini

‘Kejahilan membawa kepada ketakutanKetakutan membawa kepada kebencianKebencian  membawa kepada keganasanBegitulah rumus dan persamaanya’

 – Ibn Rushd

“Two
truths cannot contradict one another.”

―
Averroès

“Knowledge
is the conformity of the object and the intellect”

―
Averroes

Ikuti penulis:

https://www.instagram.com/_hairulfaizi/

https://www.facebook.com/hairul.faizi.07

https://twitter.com/_hairulfaizi

RUJUKAN:

I- Averroës MUSLIM PHILOSOPHER. https://www.britannica.com/biography/Averroes/Contents-and-significance-of-works

II- Ibn Rushd (Averroës): Prince of Science. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6074522/

III- Ibnu Rushd. https://www.academia.edu/6267164/Ibnu_Rushd?auto=download

IV- Falsafah Ibn Rushd.  http://separaparanoid.blogspot.com/2013/04/falsafah-ibn-rushd.html

Kongsi

No comments yet