Etnik Iban sejak dari dahulu lagi sememangnya amat digeruni kerana mereka adalah antara etnik Dayak Borneo yang gah dengan ekspedisi Kayau iaitu perang perluasan wilayah yang melibatkan tradisi memenggal kepala musuh. Bangsa Eropah amat gerun dengan tradisi ini namun begitu mungkin ramai yang tidak mengetahui, etnik Iban juga amat digeruni dengan satu lagi aktiviti yang pernah mendominasi perairan Borneo sehingga mereka juga dikenali dengan panggilan “Vikings Of The Eastern Seas” atau “Raja Di Laut”.

Pada abad ke-18 dan ke-19 telah menyaksikan kemunculan orang-orang Dayak Laut di Sarawak sebagai “hero” Borneo kerana pernah menjadikan bangsa Eropah sebagai tawanan dan hamba mereka. Penguasaan Dayak Laut yang juga dikenali sebagai ”Raja di Laut” dan “Vikings daripada Laut Timur” di perairan kepulauan Borneo ini telah menggerunkan dan sekaligus menjadi mimpi ngeri kepada para pelayar dan pedagang Barat yang belayar ke kawasan perairan kepulauan Borneo dan Asia Tenggara pada waktu itu,

Pendominasian Dayak Laut di Sarawak serta 2 lagi etnik iaitu Balangingi dan Iranun di Borneo Utara ini telah menyebabkan pihak British di Borneo Utara, Brooke di Sarawak, Sepanyol di Filipina dan Belanda di Indonesia “pusing kepala” kerana kegagahan mereka di lautan amat sukar ditandingi biarpun dengan peralatan perang yang cukup moden. Inilah yang dilaporkan oleh Gomes;1954, Nigel:1969, Warren;1981 dan Reid;1988 di dalam penulisan mereka mengenai sejarah maritime di Borneo

The practice of piracy in Southeast Asian in the nineteenth century was to a very large extent a continuation of a phenomena which was widespread from the ancient beginnings of sea traffic in the straits and along the coasts of the area […]There were, however, several strong and organized Lanun Pirate communities on the northern coasts of Borneo […] Many young Muslim Malay seafares from Borneo were led on marauding expeditions in the nineteenth century by Arab sheriffs […] Their allies were Iban of Sarawak on the northeast coast of Borneo […] Balingini from the island of that name east of Jolo in the Sulu Archipelago […] (Wright, 1966:3-4).

Siapa itu Dayak Laut (Sea Dayak)?

Di kalangan etnik Sarawak, orang Dayak Laut ini lebih dikenali sebagai orang Iban. Walaupun dikenali sebagai “Dayak Laut” namun etnik ini bukanlah menjadikan maritim sebagai budaya kehidupan mereka sepertimana orang-orang Iranun dan Balangingi di kepulauan Sulu, tetapi lebih bersifat masyarakat agraria yang mengamalkan “shifting cultivation” dan aktiviti pemburuan. Perlulah diketahui bahawa sebenarnya maritime raiding di kalangan orang Dayak Laut pada abad ke-18 dan ke-19 bukanlah merupakan budaya asal nenek-moyang mereka tetapi dipengaruhi oleh luar (Dickson, 1956; Sandin, 1967; dan Richards ed., 1992).

Tindakan orang Iban yang seringkali merompak kapal-kapal dagang Barat dan menjadikan anak-anak kapal sebagai komoditi dagangan iaitu dalam bentuk hamba telah menyebabkan berlakunya transformasi dalam asal-usul identiti mereka sendiri iaitu dari sebuah bangsa bernama Dayak di Sarawak yang telah lama wujud sebelum kedatangan bangsa Barat lagi kepada satu bangsa baru yang dikenali sebagai bangsa pirates yang dicipta oleh Barat (Sandin, 1967; dan Ongkili, 1973).

Maka disinilah munculnya etnik Iban yang sebenarnya hanya mengenal diri mereka sebagai Dayak dan akhirnya kerana panggilan Barat lebih-lebih lagi semasa pemerintahan James Brooke di bumi Sarawak Kingdom akhirnya mereka digelar Dayak Laut.

Kaitan Dayak Laut Dengan “Maritime Raiding” Di Borneo

Penguasaan Dayak Laut atau juga dikenali sebagai ”Raja di Laut” (King of the Seas) ke atas perairan kepulauan Borneo ini telah menggerunkan para pelayar terkemuka Eropah seperti Alexander Dalrymple (1808), William Dampier (1960), Thomas Forrest (1961), J. Hunt (1967), dan lain-lain lagi. Lalu, mereka menggelarkan kawasan perairan di Laut China Selatan, Laut Sulu, dan Laut Celebes pada pertengahan abad ke-18 dan ke-19 sebagai age of the pirate dan melabelkan bulan Ogos-Oktober sebagai “musim lanun” atau pirates seasons atau pirate wind.

The heartland of piracy in Southeast Asia has been considered for centuries to be in the waters around the southern Philippines and Borneo, especially the Sulu and Celebes seas […] including the Sultanate of Brunei, engaged in maritime riding and warfare before the arrival of Europeans in the sixteenth century… . (Warren, 2002:20).

Berdasarkan kepada catatan-catatan oleh pelayar terkemuka Barat pada abad ke-18 dan abad ke-19, seperti Alexander Dalrymple dalam Oriental Repertory (1808), William Dampier dalam A New Voyage Round the World (1960), Thomas Forrest dalam A Voyage to New Guinea and the Moluccas (1961) dan lain-lain lagi, banyak melaporkan kegiatan perlanunan di perairan Asia Tenggara. Owen Rutter, misalnya, dalam bukunya yang berjudul The Pirate Wind (1930) pula telah menggelarkan Dayak Laut di perairan Borneo dan sebagai Vikings of the Eastern Seas, yang menyamai kehebatan orang-orang “Viking” yang cukup digeruni di Eropah.

No merchant ship of the colonial powers and no shore village was immune from
their attack which, in their rampant ferocity, made the threat of extreme violence and anarchy an everyday fact of life for the coastal populations of Southeast Asia for long periods of time […] fierce, dangerous and merciless […] European, American, Chinese, and native vessels who had been sold into slavery (Rutter,
1930:19).

Melalui Rawlins pula menyatakan bahawa pada 8 Disember 1848, Dayak Laut di Sarawak telah merompak dan menculik anak kapal Minerva di pantai barat kepulauan Borneo. Pada tahun 1810 pula, kapal layar British yang bernama Comerse pada ketika itu mengalami kerosakan di muara Sungai Sarawak telah diserang dan ditawan oleh Dayak Laut serta merampas semua kargo dan senjata, termasuk menjual anak kapalnya ke Brunei sebagai hamba. (Rawlins, 1969:11).

Menurut jurnal pengembaraan yang ditulis oleh James Brooke iaitu ketika beliau dalam pelayaran dari Singapura ke Sarawak (Kuching) pada tahun 1841 dengan kapalnya yang bernama Royalist telah terserempak dengan beberapa buah perahu besar Dayak Laut (Iban) di muara sungai Sarawak.

Sementara itu Munsyi Abdullah seorang tokoh yang membuka Kuala Lumpur yang pada ketika itu belayar ke Kelantan juga pernah bertembung dengan orang Dayak Laut di pantai timur Malaya sekitar tahun 1830-an dengan membuat penyataan yang teliti mengenai betapa Dayak Laut berani membadai laut luas dengan perahu tradisional mereka yang besar (Warren, 2002:44).

Sebenarnya aktiviti ini sudahpun wujud sebelum tahun 1840an lagi kerana aktiviti maritime raiding oleh orang Dayak Laut begitu berleluasa di perairan kepulauan Borneo dan Asia Tenggara amnya. Juga dinyatakan bahawa aktiviti ini bukanlah sesuatu yang biasa kerana kekuatan Dayak Laut di dalam untuk menjalankan pemburuan hamba dan rompakan kapal-kapal dagang Barat di perairan Sarawak. akan menggunakan perahu perang yang dikenali sebagai bangkong (Tate, 1988).

Perahu bangkong ini adalah perahu perang tradisional yang mempunyai kekuatan luar biasa sehingga mampu menyusupi perairan di waktu malam yang gelap tanpa disedari oleh kapal-kapal besar. Inilah antara igauan ngeri bagi bangsa Barat mengenai kekuatan “Vikings Of The Eastern Seas” ini.

Mengapa menjadi “Maritime Raiding”?

Sebenarnya keberadaan mengapa adanya Dayak Laut yang turut serta di dalam aktiviti perlanunan dan perhambaan ini di perairan Borneo adalah kerana pengaruh di dalam Kerajaan Brunei yang menjadikan wilayah-wilayah di Sarawak sebagai tanah kuripan mereka. Kerajaan Brunei telah melantik para pembesarnya untuk mentadbir tanah jajahan bagi pihak Sultan Brunei. Dalam kes di Sarawak, pentadbiran Kerajaan Brunei pada peringkat awal telah diterajui oleh seorang bangsawan Brunei bernama Pangeran Indera Mahkota yang berpusat di Kuching.

Di bawah pentadbiran Pangeran Indera Mahkota telah membangkitkan kemarahan penduduk Sarawak apabila beliau mula mengambilalih kuasa daripada pemimpin tempatan, mengeksploitasi penduduk, dan mengenakan cukai yang tinggi kepada penduduk di Sarawak. Dalam tempoh pemerintahannya, beliau telah menyaksikan beberapa siri pemberontakan penduduk Sarawak sehingga memaksa Sultan Brunei menghantar Pangeran Raja Muda Hashim dan beberapa pembesar Brunei lain untuk menggantikan Pangeran Indera Mahkota dan lain-lain pembesar Melayu Sarawak yang bersengkongkol dengannya (Halim & Jamillemar, 1958).

Pada masa yang sama, kekusutan dalam pentadbiran Brunei di Sarawak ini telah dipergunakan oleh Pangiran Indera Mahkota (mantan Gabenor Brunei di Sarawak), Sherif Masahor (mantan Gabenor Brunei di Rejang), Sherif Sahap di Sadung, Sherif Jaffar dan Sherif Mulla (Mular) di Skrang untuk mempengaruhi orang-orang Dayak Laut (Sea Dayaks) menyertai ekspedisi pemburuan hamba dan rompakan kapal-kapal dagang Barat dan telah disambut baik oleh beberapa orang pemimpin Dayak.

Sebelum kedatangan James Brooke di Sarawak, Kerajaan Brunei di bawah pemerintahan Sultan Bolkiah hingga Sultan Omar Ali Saifuddin I merupakan salah satu pusat perdagangan hamba yang terpenting di kepulauan Borneo. Para pembesar Brunei seperti Pangiran Usop dan para pembesar Brunei yang mentadbir tanah jajahan Brunei di Sarawak seperti Sherif Masahor, Sherif Sahap, Sherif Mulla dan lain-lain lagi telah terlibat dalam aktiviti pemburuan hamba dan rompakan kapal-kapal dagang Barat yang diterajui oleh orang Iranun yang berpengkalan di Pulau Labuan (Rawlins,1969:63).

Penglibatan para pembesar Brunei dalam aktiviti perdagangan hamba ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan kemunculan Kesultanan Sulu sebagai pusat perdagangan hamba di Asia Tenggara pada abad ke-18 dan permulaan pertapakan James Brooke di Sarawak yang sedikit sebanyak telah mula membawa kepada kemerosotan ekonomi para pembesar Brunei dan Melayu di Sarawak (Nicholl, 1996).

Kemerosotan kuasa para pembesar Brunei dan Melayu di Sarawak menjadi lebih ketara lagi apabila James Brooke berjaya mendapatkan Sarawak pada tahun 1841 dan Pulau Labuan pada tahun 1846 daripada Kesultanan Brunei. Contohnya, tindakan Sultan Mumin (Brunei) menyerahkan bahagian hilir lembah Rejang kepada James Brooke pada tahun 1853 dan tindakan Charles Brooke mengusir Sherif Masahor dari Sarikei pada tahun 1855 telah menjejaskan kekuasaannya selaku Gabenor Brunei di kawasan tersebut. Selain Sherif Masahor, Datu Patinggi Abdul Ghapur yang menjadi pembesar Melayu di Kuching juga menerima nasib yang sama apabila dilucutkan jawatannya oleh James Brooke pada tahun 1854 kerana dikatakan telah mengenakan cukai yang tinggi kepada penduduk di Kuching (Tarling, 1971; dan Pollard, 1997).

Sebagai tanda penentangan para pembesar Brunei dan Melayu di Sarawak terhadap kekuasaan Brooke di Sarawak pada ketika itu, para pembesar ini dengan bantuan orang-orang Iranun yang bergelar sherif telah memobilisasikan
orang Dayak Laut yang menetap di kawasan lembah sungai dan pedalaman di Sarawak untuk menjadi lanun. Di sinilah nama-nama individu seperti mantan pembesar Brunei dan pembesar Melayu di Sarawak seperti Sherif Sahap (Iranun), Pangiran Indera Mahkota (mantan Gabenor Brunei di Sarawak) di Patusan, Sherif Jaffar (keturunan Arab) di Lingga, dan Sherif Mulla (keturunan Arab) di Undup. Dua orang pemimpin ulung orang Dayak Laut yang bergiat aktif bersama Sherif Sahap, Pangiran Indera Mahkota, Sherif Jaffar, dan Sherif Mulla dalam aktiviti maritime raiding di perairan Borneo Utara ialah Linggir dan Luang.

Antara kawasan petempatan utama etnik Dayak Laut di Sarawak yang juga dilabelkan sebagai “pirate river” termasuklah di Sungai Saribas, Sungai Skrang, Sungai Batang Lupar, dan Sungai Rajang. (Sandin,1967).

Perang Brooke Ke Atas “Vikings of The Eastern Seas”

Akibat daripada aktiviti pemburuan hamba dan tindakan merompak kapal-kapal dagang serta serangan ke atas pusat-pusat perdagangan Barat yang semakin berleluasa telah menjejaskan kepentingan para pedagang Barat dan pihak kolonial telah mengundang kepada campurtangan kolonial Barat untuk menghapuskan kegiatan orang-orang Iranun, Balangingi, dan Dayak Laut di perairan kepulauan Borneo.

Selain dari itu, pihak kolonial juga elah menjadikan alasan penghapusan amalan perhambaan yang bertentangan dengan amalan di Barat, rompakan kapal-kapal dagang Barat dan penglibatan para pembesar sebagai salah satu sebab untuk menjajah di kepulauan Borneo dan Asia Tenggara amnya pada abad ke-19. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kedatangan kali pertama seorang pengembara berbangsa Eropah bernama James Brooke ke bumi Sarawak adalah semata-mata untuk menghantar hadiah kepada Raja Muda Hashim yang membantu beberapa orang saudagar Inggeris yang terdampar di Sarawak pada masa itu akibat karam yang sebenarnya adalah cuba menyelamatkan diri daripada serangan Dayak Laut pada ketika itu.

Dari perkenalan itu, kehadirannya pada kali kedua di Sarawak terus menerima pelawaan daripada Raja Muda Hashim untuk membantunya membanteras pemberontakan tempatan telah memungkinkan bahawa beliau akhirnya menjadi Rajah Brooke seperti yang dijanjikan. Antara tugas utama Brooke sebaik sahaja menjadi Rajah of Sarawak Kingdom oleh Kesultanan Brunei ialah membanteras sebanyak mungkin “maritime raiding” di perairan Sarawak pada itu kerana Dayak Laut yang dilabelkan sebagai lanun dan segala aktiviti perlanunan dan system perhambaan dianggap sebagai “devastating system” (Warren, 2002:7). Di kala itulah James Brooke telah menggubal undang-undang dan menubuhkan Court Of Justice di dalam perlembagaan Sarawak Kingdom (Rawlins, 1969 dan Reece, 2002).

Dan kerana itulah di dalam rentetan calendar sejarah Sarawak Kingdom akan muncul nama-nama seperti Kapten Edward Belcher, Kapten Rodney Mundy, Kapten Henry Keppel, Kapten Farquhar, Leftenan R.N Wade dan Sir Thomas Cochrane yang mewarnai nama-nama di dalam kempen penghapusan lanun di bumi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Kempen penghapusan “Vikings of the Eastern Seas” ini dimulai dengan Brooke telah menyerang pusat-pusat penempatan Dayak Laut dan ini juga termasuk penentangnya dari kalangan etnik yang lain.

Sekitar tahun 1843, Kapten Henry Keppel selaku komander kapal H.M.S Dido telah tiba di Sarawak dan menyusur masuk ke Sungai Saribas dan Sungai Batang Lupar untuk membuat tinjauan awal lokasi penempatan mereka yang digelar “Vikings of the Eastern Seas” (Keppel, 1847). Pada waktu itu juga beliau telah mengutus surat kepada Pangeran Raja Muda Hashim untuk memohon bantuan beliau. Setelah persetujuan dipersetujui akhirnya James Brooke dan Kapten Keppel telah memulakan serangan di Rimbas, Paku dan Padeh yang juga merupakan penempatan utama Dayak Laut di Saribas. Pada ketika itu juga James Brooke dan angkatannya telah dibantu oleh Dayak dari Lingga. Mereka berjaya memusnahkan penempatan di Saribas secara totalnya.

Pada bulan Ogos 1844 dengan menggunakan kapal H.M.S Didi dan kapal perang wap bernama Phlegethon milik East India Company serta dibantu oleh Pangeran Badaruddin, mereka telah berjaya menghapuskan pangkalan Dayak Laut yang dipimpin oleh Sherif Sahap, Pangeran Indera Mahkota, Sherif Jaffar dan Sherif Mulla. Di ketika inilah terjadinya Perang Patusan 1844, yang mana ketika itu bala tentera James Brooke telah diserang oleh Sherif Shahap dan Dayak Laut yang kemudiannya berjaya dikalahkan walaupun ramai yang terkorban di kedua-dua belah pihak. (Keppel, 1847 dan Belcher, 2005).

Selesai Perang Patusan 1844, Brooke dan Kapten Henry Keppel mara ke kubu Pangiran Mahkota dan Sherif Mulla di Undup dan berjaya memusnahkan penempatan mereka di Undup. Disini Pangiran Indera Mahkota telah ditawan dan dibawa ke Brunei untuk diadili dan dipenjarakan. Kemudian angkatan Brooke dibawah kepimpinan Kapten Henry Keppel mara pula ke Skrang dan di Skrang ini mereka mendapat tentangan yang hebat daripada Dayak Laut. Disini juga Datu Patinggi Ali dan Leftenan Wade telah turut terkorban termasuk 30 orang tentera Sarawak Kingdom dan 56 yang lain turut cedera parah Kempen terus dilangsungkan dengan menuju ke Lingga untuk memburu Sherif Sahap, Sherif Jaffar dan Sherif Mullah tetapi kesemua mereka berjaya melarikan diri ke wilayah Koloni Belanda iaitu Kalimantan (Mundy, 1848 dan Appell, 1965).

Apabila asakan demi asakan yang dilakukan oleh Brooke dan sekutunya akhirnya Dayak Laut yang dikenali sebagai Vikings of The Eastern Seas memperlahankan aktiviti mereka selama 5 tahun lamanya sehinggalah pada tahun 1849, mereka muncul kembali dengan menyerang Sadong, Sesang, Sarikei, Paloh, Matu, Bruit dan Igan pada tahun 1849. Sultan Brunei yang tidak terdaya pada masa itu sekali lagi memohon bantuan James Brooke dan kali ini Brooke dibantu oleh angkatan tentera laut dari Singapura dibawah pimpinan Kapten Farquhar (Mundy, 1848 dan Appell, 1965).

Kapten Farquhar memimpin 3 buah armada laut untuk memerangi Dayak Laut pada kali ini dengan menggunakan H.M.S Albatross, H.M.S Royalist dan H.M.S Nemesis. Pada Julai 1849, angkatan besar Brooke telah menempatkan H.M.S Royalist di muara sungai Batang Lupar, H.M.S Nemesis di Sungai Saribas dan H.M.S Albatross di muara Sungai Kalaka (Tate, 1988). Di dalam misi ini juga Brooke turut dibantu oleh Orang Kaya Lundu yang mempunyai kekuatan tentera seramai 3,500 orang di bawah arahan Kapten Farquhar (Mundy, 1848 dan Appell, 1965).

Pada 31 Julai 1849, armada “Vikings of The Eastern Seas” dengan kekuatan 150 buah perahu telah menyerang H.M.S Albatross di muara Sungai Kalaka. Perang ini telah memusnahkan 88 buah perahu dan mengorbankan hampir 300 orang Dayak Laut. Pada ketika itu juga Linggir bersama-sama kira-kira 3,000 tenteranya telah berjaya melarikan diri ke hutan yang berdekatan. Perang inilah yang dipanggil Perang Beting Marau kerana terjadi di satu kawasan beting berpasir yang cetek. (Defoe, 1999 dan Reece, 2002).

Dan kemuncak kepada kempen penghapusan Dayak Laut yang digeruni oleh bangsa Eropah mencapai kemuncaknya pada tahun 1862 melalui Kapten Johnson Brooke yang juga merupakan anak saudara kepada James Brooke apabila memerangi mereka di Mukah. Selepas itu dikatakan tiada lagi apa-apa aktiviti yang dilakukan oleh Dayak Laut dan terhenti secara total melainkan adanya penentangan kerana ketidakpuasan pentadbiran Brooke itu sendiri. (Defoe, 1999 dan Reece, 2002).

Inilah sejarah maritime yang ditulis oleh dunia barat di dalam memperkatakan etnik Iban yang mereka panggil “Vikings Of The Eastern Seas” atau “King of The Seas” yang sebenarnya mewarnai calendar sejarah perang Brooke di bumi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Orang Iban bukan sahaja dikenali sebagai “The Headhunter of Borneo” yang pakar di dalam hutan sebaliknya juga adalah mereka yang digeruni di lautan berdasarkan kepada panggilan “Vikings Of The Eastern Seas” oleh bangsa Eropah.

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

Keppel, Henry. (1847). The Expedition to Borneo of H.M.S. Dido for the
Suppression of Piracy.
Belcher, Edward. (1848). Narrative of the Voyage of H.M.S. Samarang During the Years 1843-1846.
Gomes, Edwin H. (1954). The Sea Dayaks of Borneo. London:
Irwin, Graham. (1955). Nineteenth Century Borneo: A Study in Diplomatic Rivalry.
Mundy, Ridney. (1848). Narrative of Events in Borneo and Celebes Doen to the Occupation of Labuan from the Journal of James Brooke.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply