Setiap manusia mempunyai rangka emosi yang berbeza intensiti dan kompleksiti. Kadang-kala emosi yang bergolak dalam diri kita sendiri pun tidak mampu kita fahami, apatah lagi ingin memahami emosi orang lain. Oleh kerana ini lah, kita dapat lihat bahawa kadang-kala perlakuan kita terlalu terdorong oleh emosi berbanding logik yang sepatutnya. Hal ini kerana, bagaimana pun kita cuba menafikan, setiap keputusan yang kita lakukan sebenarnya memang terdorong oleh emosi walaupun sedikit. Alasko (2012) menegaskan bahawa emosi-emosi seperti kasih sayang, kebencian, kemahuan, tamak, bangga dan sebagainya merupakan pengaruh yang kuat dalam pemprosesan fakta. Dalam erti kata lain, soal hati cenderung untuk sentiasa menang apabila berlawan dengan soal akal fikiran.

I Kill Giants merupakan sebuah filem bergenre drama fantasi yang ditayangkan pada tahun 2017. Filem lakonan Madison Wolfe (The Conjuring 2) dan Zoe Saldana (Guardians of the Galaxy) ini juga diterbitkan oleh penerbit filem Harry Potter. Filem ini diadaptasi daripada sebuah novel grafik karya Kelly dan Ken Niimura.

Secara ringkas, filem ini mengisahkan tentang watak utama iaitu seorang pelajar sekolah bernama Barbara (lakonan Madison Wolfe) yang dianggap aneh dan tidak mempunyai rakan di sekolah. Barbara yang suka menyendiri dalam ‘dunia’ nya sendiri menghabiskan masa lapang dalam misi membunuh ‘Giants’ yang dipercayainya menggugat keselamatan penduduk di sekitar kawasan tempat tinggalnya di Jersey. Seorang guru kaunseling yang juga pakar psikologi di sekolah (lakonan Zoe Saldana) cuba merungkai misteri dan membaca minda Barbara yang sentiasa bijak menepis segala soalan yang diajukan kepadanya. Barbara yang tidak mempunyai rakan di samping sentiasa dibuli oleh seorang pelajar bernama Taylor, bertemu dengan seorang rakan yang baru berpindah bernama Sophia. Sophia merupakan satu-satunya rakan Barbara yang menemaninya dan ‘melayan’ segala kisah Barbara mengenai ‘giants’ yang membelenggu pekan kecil mereka.

Filem ini agak sukar untuk difahami oleh penonton pada awalnya. Secara jujurnya, penonton mungkin akan merasa bosan dan tertanya-tanya kerana ‘closure’ ataupun penjelasan filem ini terletak pada pengakhiran cerita. Namun begtu, tidak rugi untuk menonton sehingga ke penghabisan cerita. Filem yang berjudul seperti buku fantasi kanak-kanak ini sebenarnya lebih ‘deep’ daripada yang disangkakan. Dan seperti filem-filem ‘deep’ yang lain, penonton perlu menggunakan akal fikiran untuk benar-benar memahami mesej yang cuba disampaikan menerusi penceritaan.

1. Defense Mechanism

Defense mechanism ataupun mekanisma pertahanan merupakan strategi psikologi yang digunakan secara tidak langsung oleh individu untuk mengelakkan diri daripada kebimbangan mahupun kerisauan yang diakibatkan oleh perasaan ataupun pemikiran yang tidak dapat atau sukar diterima.

Sebagai contoh, terdapat individu yang tidak mahu jatuh cinta kerana risau bahawa diri mereka akan disakiti oleh pasangan. Terdapat juga individu yang sengaja tidak mahu menjalankan hubungan persahabatan kerana tidak mahu dikhianati. Kedua-dua contoh ini merupakan contoh mudah ‘defense mechanism’.

Freud (1936) menjelaskan bahawa antara jenis-jenis utama Defense Mechanism termasuklah:

  1. Repression

Represi ini merupakan mekanisma tidak sedar di mana ego akan sentiasa menghalang pemikiran daripada menjadi ‘sedar’. Pemikiran yang sentiasa dalam keadan represi merupakan pemikiran yang akan menyebabkan kebimbangan dan mekanisma ini memudaratkan dalam jangka masa panjang. Hal ini kerana mekanisma represi ini melibatkan penyembunyian secara paksa akan segala memori, idea mahupun kemahuan yang terlibat. Walaupun disembunyikan, ianya tetap akan menyebabkan kebimbangan melampau. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang didera boleh memilih untuk terus ‘melupakan’ penderaan yang dihadapi apabila meningkat dewasa dan mekanisma ini dikenali sebagai ‘repression’.

2. Projection

Projection merupakan mekanisma di mana individu mengatributkan pemikiran, perasaan mahupun motif diri sendiri terhadap individu lain. Pemikiran-pemikiran yang selalunya diatributkan pada orang lain merupakan pemikiran yang membawa rasa bersalah seperti pemikiran yang bersikap agresif mahupun seksual. Sebagai contoh apabila kita membenci seseorang, superego dalam diri kita akan memberitahu bahawa membenci itu tidak baik. Oleh itu, kita akan menyelesaikan masalah ini dengan meyakinkan diri bahawa orang terbabit yang membenci kita dan bukanlah sebaliknya.

3. Displacement

Displacement pula melibatkan pemindahan dorongan agresif terhadap individu yang lemah. Boleh jadi sasaran merupakan individu mahupun barangan yang dijadikan pengganti simbolik. Hal ini dapat kita lihat apabila mereka yang tidak selesa akan kemahuan seksual sendiri akhirnya menggantikan kemahuan tersebut dengan ‘fetish’. Contoh lain yang lebih mudah adalah apabila kita dimarahi Bos di tempat kerja. Namun begitu, perasaan tidak puas hati kita tidak dilepaskan pada Bos tetapi dilepaskan pada isteri ataupun anak di rumah dengan cara yang agresif seperti memukul ataupun menengking.

4. Sublimation

Sublimation ini lebih kurang sama dengan displacement. Namun, sublimation ini terjadi apabila kita berjaya mendorong emosi dengan cara yang lebih konstruktif. Sebagai contoh, luahan ketidak-puasan hati itu kita lakukan dalam bentuk penulisan atau gubahan lagu berbanding perlakuan yang agresif. Selalunya, artis mahupun penyanyi merupakan individu yang mempamerkan mekanisma berbentuk sublimation ini.

5. Denial

Denial ini mudah. Ianya melibatkan penafian ataupun penahanan peristiwa daripada kesedaran kita sendiri. Dalam erti kata lain, kita menafikan atau menolak kewujudan sesuatu peristiwa apabila kita tidak suka ataupun kita tidak mampu menghadapinya. Mekanisma penafian ini merupakan antara mekanisma yang sangat berbahaya kerana ianya melibatkan realiti. Selalunya mereka yang mempamerkan mekanisma denial ini merupakan mereka yang tidak dapat menerima realiti. Misalnya, seorang perokok tegar mempamerkan mekanisma denial apabila dia tidak mahu mengaku bahawa aktiviti merokok menjejaskan kesihatan.

Aplikasi dalam I Kill Giants

Menerusi filem I Kill Giants ini, defense mechanisme yang amat jelas dipamerkan adalah denial. Watak utama, iaitu Barbara membina ‘dunia’ fantasinya sendiri dengan watak unik seperti dirinya yang membunuh mahkluk gergasi serta kewujudan mahkluk-mahkluk gergasi yang pelbagai jenis. Barbara juga mencipta satu tukul istimewa yang dipercayai paling berkuasa untuk membunuh ‘giant’ yang paling kuat iaitu Titan.

Jika filem I Kill Giants ini berkisar tentang dunia fantasi, kewujudan ‘giants’ mungkin masih masuk akal. Namun dunia yang didiami Barbara adalah dunia realiti dan dia merupakan satu-satunya orang yang mengakui kewujudan raksasa sekali gus mendapatkannya gelaran ‘aneh’. Rakannya, Sophia yang pada mulanya melayan kerenah nya juga akhirnya sedar bahawa ternyata Barbara mempunyai gangguan emosi yang seterusnya menjejaskan pemikiran logiknya dan menyebabkan perlakuannya yang aneh.

Giant’ yang dirujuk dalam filem ini bukanlah raksasa seperti yang dipercayai kewujudan dan sering terpamer dalam khayalan Barbara. ‘Giant’ yang sebenarnya boleh merujuk kepada 2 benda iaitu ketakutan dan juga pasukan pemain baseball New York yang digelar New York Giants. Dan kedua-duanya mempunyai hubungan yang cukup rapat dan kompleks dengan ibu Barbara. Namun, watak ibu Barbara hanya diperjelaskan pada pengkahiran filem sekali gus membuatkan jalan cerita serta mesej di sebalik filem ini mudah difahami apabila penonton menonton dari awal sehingga penamat cerita.

Giant’ yang cuba dilawan dan dibunuh oleh Barbara adalah ketakutan dirinya sendiri yang menjelma sebagai raksasa. Barbara menonjolkan mekanisma yang berbentuk denial ataupun penafian di mana dia menolak segala realiti hidupnya, terutamanya realiti di mana ibunya sedang sakit tenat dan terlantar di atas katil. Barbara langsung tidak menemui ataupun bercerita tentang ibunya walaupun mereka tinggal di dalam rumah yang sama. Barbara meluangkan masa di tingkat bawah dan menghalang dirinya untuk naik ke tingkat atas rumah, di mana bilik ibunya berada. Hal ini kerana, Barbara amat takutkan realiti di mana ibunya yang sakit tenat akan pergi meninggalkan dirinya dan dunia. Oleh itu, dengan menolak segala realiti yang berkait dengan ibunya dan mencipta ‘dunia’ nya sendiri, dia merasakan bahawa ibunya akan dapat diselamatkan, terutamanya apabila dia sendiri meyakinkan diri bahawa dia memburu ‘giant’ kerana raksasa tersebut ingin membunuh ibunya.

  • Kesimpulan

I Kill Giants merupakan sebuah filem yang mengetengahkan genre psikologi yang baik di sebalik CGI yang menarik serta judul yang berbunyi seperti filem aksi. Filem ini juga boleh dikira sebagai filem yang ‘disturbing’ bagi mereka yang tidak memahami apa yang cuba disampaikan, bak kata Barbara sendiri ‘People fear what they don’t understand.’

Namun bagi mereka yang mendalami filem ini, ianya merupakan salah satu filem yang mengetengahkan mesej-mesej yang membina dan menguatkan semangat, terutamanya bagi mereka yang terganggu emosinya atas pelbagai sebab.

I Kill Giants mengajar penonton untuk berdiri dan melawan ketakutan masing-masing. Dan ketakutan yang dimaksudkan tidak kira lah berpunca daripada akal, hati mahupun faktor luaran seperti penderaan mahupun pembulian. Cara melawan juga perlu lah betul iaitu dengan menerima segalanya dahulu. Walau apa pun yang terjadi, kunci utama untuk menyelesaikan masalah adalah dengan menerima realiti. Hal ini kerana, hanya dengan mengakui kewujudan realiti itu baru lah keberanian itu akan muncul dan dapat digunakan untuk berlawan dengan segala jenis kebimbangan dan ketakutan.

Jangan pernah takut lari daripada masalah kerana masalah adalah lumrah kehidupan. Justeru, berdepanlah dengan kehidupan dengan penuh berani. Memetik kata-kata Titan iaitu ‘raksasa’ yang paling digeruni Barbara, ‘All things that live in this world die. This is why you must find joy in the living, while the time is yours. And not fear the end. To deny this is to deny life. But to embrace it. Can you embrace it? You are stronger than you think.

Tontonlah filem ini kerana ianya akan mengajar kita menjadi kuat dan berani berdepan dengan apa jua keadaan. Kerana dalam apa jua pengakhiran, ‘We are all going to be alright. We are stronger than we think.’

Rujukan & bacaan lanjut:

  1. Freud, A. (1937). The Ego and the mechanisms of defense, London: Hogarth Press and Institute of Psycho-Analysis.
  2. Grohol, J. (2017). 15 Common Defense Mechanisms. Psych Central. Retrieved on May 29, 2018, from https://psychcentral.com/lib/15-common-defense-mechanisms/
  3. https://www.psychologytoday.com/us/blog/fulfillment-any-age/201110/the-essential-guide-defense-mechanisms

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku menulis kerana kalian membaca. And for that we compliment each other. Selamat membaca dan semoga terus setia; untuk aku yang bertemankan pena dan kalian yang gigih mendalami kata-kata.

Comments are closed.