Sejak Neil Armstrong dan Buzz Aldrin mendarat di Bulan, cita-cita manusia dalam penjelajahan angkasa semakin membuak-buak.
Misi Apollo sememangnya bernaratif politik, kerana Amerika Syarikat tidak mahu kalah pada tangan Kesatuan Soviet. Selepas Apollo 11, Amerika Syarikat turut menjayakan misi Apollo 12, Apollo 14, Apollo 15, Apollo 16 dan Apollo 17.
Hanya Apollo 13 sahaja terpaksa berpatah balik, atas masalah struktur yang menghampakan angkasawan Jim Lovell, Ken Mattingly dan Fred Haise.
Pada ketika ramai bertaklid buta pada teori konspirasi dangkal (kononnya pendaratan Bulan itu palsu), pihak Barat sudah jauh ke hadapan.
Sekarang Amerika Syarikat mempunyai beberapa agensi aeroangkasa selain NASA, contohnya Astrobotic Technology, Intuitive Machines dan Rocket Lab.
Ketiga-tiga agensi ini beroperasi secara swasta – dan semuanya sedang berlumba untuk mendarat di Marikh pula.
Zaman ini, anugerah “orang pertama” sudah tidak relevan. Dunia tidak lagi bersaing bagai nak gila macam dulu. Amerika Syarikat dan Rusia sendiri banyak menjalankan kerjasama.
Orang tidak peduli siapa sampai dulu – tetapi agensi-agensi aeroangkasa masih gigih untuk menjadi orang pertama.
Dulu mereka bersaing demi status negara. Sekarang mereka perlu bersaing dengan syarikat-syarikat swasta dalam negara pula.
Masing-masing membawa kepentingan dan matlamat sendiri. Entahnya, satu hari nanti, industri swasta yang menguasai sektor aeroangkasa.
Swasta tidak perlu runsing tentang isu penjelasan awam. Selagi pelabur berpuas hati, mereka pun puas hati kerana tidak bergantung pada kutipan cukai.
Walau bagaimanapun – sehingga hari ini, tiada negara atau syarikat yng sudah mendaratkan manusia di Marikh.
Pertama sekali, jarak antara Bumi dan Marikh terlalu jauh. Paling dekat pun dalam 54.6 juta kilometer… paling jauh pula 401 juta kilometer, tertakluk pada kedudukan orbit dua planet.
Cuaca Marikh pula tidak menentu – boleh membµnµh manusia akibat suhu terlalu tinggi atau rendah.
Jadi industri aeroangkasa menggunakan kuar (probe) dan perayau (rover) sahaja. NASA menggunakan Curiosity dan Opportunity untuk mengenal pasti jika Marikh sesuai untuk didiami manusia… dan mengkaji perkara-perkara lain.
Dua perayau ini bergerak dengan elektrik yang dijana daripada haba plutonium. Curiosity sudah merayau sejauh 25.06 kilometer selama 3,175 hari di Marikh.
Selain Curiosity (dan Opportunity), NASA dan JPL telah menjayakan misi InSight yang mengukur aktiviti seismografi Marikh.
Semua misi yang dijalankan telah menghimpun banyak bukti saintifik sebagai jawapan untuk soalan-soalan asas tentang Marikh.
Contohnya, Marikh ada hujan? Untuk pengetahuan semua, hujan ialah fenomena biasa dalam planet lain. Zuhrah mempunyai hujan. Neptun pun begitu.
Titan yang mengelilingi Zuhal juga ada hujan. Tetapi Zuhrah mencurahkan asid sulfurik. Titan menghujankan gas methane.
Manakala hujan Neptun mengandungi berlian (Andrei, 2019). Senang kata, setiap planet berbeza. Bukan semua hujan mencurhakan air (seperti Bumi).
Macam mana dengan Marikh?
Marikh mempunyai tempat dalam kalangan “jemaah planet” yang berhujan. Cuma hujannya bukan air. InSight pernah menghantar sekeping gambar dari kawasan Elysium Planitia.
Persekitaran pada masa itu kelihatan mendung dan sejuk melam.pau. Suasana mendung memang pelik: awan terjadi kerana wap air yang bertukar menjadi titisan cecair. Tetapi ini tidak bermakna Marikh mempunyai air.
Awan Marikh berkepulan kerana empingan ais nipis mirip kabus. Elysium Planitia sememangnya sejuk. Saintis menjangka kawasan ini kaya dengan ais keluasan seperti sebuah negara (700,000+ kilometer persegi).
Empingan ini takkan jatuh kerana suhu Elysium Planitia yang sangat rendah. Senang kata, awan itu sendiri sudah membeku (Mack, 2019). Mana yang jatuh itu takkan kelihatan… kerana permukaan Elysium Planitia pun sudah beku.
Bacaan lanjut: https://thepatriots.asia/korang-tahu-tak-yang-marikh-dipenuhi-ais/
Inilah cara Marikh hujan, suatu simbahan yang bukan sama sekali berbentuk titisan. Bagi yang bertanya kenapa manusia belum mendarat di Marikh, ini boleh menjadi jawapan ringkas. Marikh terlalu menca.bar dengan suhu terlalu rambang. Ributnya kadang berpasir… kalau di Elysium Planitia, anginnya bersuhu -9ºC. Tak hujan bermasalah; hujan lagilah bermasalah.
RUJUKAN:
Andrei, M. (2019, Julai 24). How it rains on different planets: what the science says. ZME Science.
Mack, E. (2019, Mei 8). NASA’s InSight sees cloudy days on Mars, so why does it never rain? CNET.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih