Bila saya menyebut berkenaan Holocaust, pasti ada yang mengatakan peristiwa tersebut tidak berlaku seperti yang didakwa pemimpin beberapa negara. Dan jika ada yang menerima pun, mereka anggap angka yang dikeluarkan hanya mencecah ratusan atau ribuan orang saja. Hakikatnya, enam juta orang Yahudi dan orang-orang yang diketepikan rejim seperti orang Gipsi dan orang-orang di sebelah Eropah Timur dibunuh dengan kejam semasa Perang Dunia Kedua (WWII). Namun bagaimana semua ini bermula?
Gerakan anti-Semitisme di Eropah bukan bermula dari Adolf Hitler. Sebaliknya ia sudah wujud sejak era tamadun Rom lagi. Buktinya, tindakan tentera Rom membunuh ramai orang Yahudi di Palestin dan memaksa mereka meninggalkan tanah yang pernah dijanjikan kepada mereka itu. Pada sekitar abad ke-17 dan ke-18, negara-negara Eropah mula melaksanakan undang-undang kebebasan beragama. Kemudian pada abad ke-19, Napoleon dan pemimpin-pemimpin negara-negara Eropah meluluskan undang-undang menghapuskan semua bentuk sekatan ke atas orang Yahudi termasuk kebebasan beragama. Walau bagaimanapun, sentimen ini terus wujud dalam bentuk perkauman dan tidak lagi terhad dari sudut agama semata-mata.
Dalam kes Hitler, agak kabur apa punca kebenciannya terhadap golongan ini. Namun seperti rakan-rakannya dalam parti Nazi yang berjuang dalam Perang Dunia Pertama (WWI), mereka menyalahkan orang Yahudi sebagai punca kekalahan Jerman pada tahun 1918. Selepas ditahan dan dipenjarakan atas tuduhan khianat pada tahun 1923 selepas kegagalan plot rampasan kuasa Beer Hall Putsch, beliau menulis memoirnya iaitu Mein Kampf (My Struggle/Perjuanganku). Dalam buku tersebut, Hitler menegaskan apabila perang besar tercetus di Eropah, antara perkara pertama yang akan dilakukannya ialah menghapuskan orang Yahudi. Beliau juga amat obses dengan idea kehebatan bangsa Aryan yang dianggap bangsa Jerman sebenar dan kewujudan ‘Lebensraum’ (Living Space/Ruang Kehidupan) bagi bangsa Aryan ini terus berkembang.
Selepas dibebaskan dari penjara, Hitler mengambil kesempatan dari kelemahan parti-parti pesaingnya termasuk parti komunis dan sosial demokrat dan berjaya menjadi kanselor Jerman pada tahun 1933. Dan selepas Presiden Jerman, Paul von Hindeburg meninggal dunia setahun selepas itu, beliau mengambil alih jawatan tersebut dan menggelarkan dirinya ‘Fuhrer’ atau ketua, seperti mana yang digunakan Benito Mussolini pada gelaran ‘Il Duce’ atau Duke, sekaligus menjadi diktator seperti sekutunya itu.
Pada awalnya, selepas parti Nazi berkuasa, mereka hanya mensasarkan pesaing-pesaing parti seperti komunis dan sosial demokrat. Selepas kem tahanan Dachau dibuka pada Mac 1933, kebanyakan banduan yang ditahan di sana ialah anggota parti komunis. Dan seperti kem-kem lain yang akan dibuka pada tahun-tahun seterusnya, ia di bawah kawalan Schutzstaffen (SS) di bawah pimpinan Heinrich Himmler di mana selepas itu beliau dilantik sebagai ketua polis. Dan pada bulan Julai 1933, kem-kem ini sudah menahan 27,000 tahanan yang diletakkan di bawah kononnya tahanan reman.
Pada era ini juga turut menyaksikan kemunculan perhimpunan-perhimpunan besar Nazi dan tindakan simbolik seperti membakar buku-buku orang Yahudi, komunis, liberal dan orang asing. Semua bentuk tindakan yang dirancang oleh jentera propaganda pimpinan Joseph Goebbels mempunyai satu mesej iaitu menunjukkan kekuatan parti bukan saja pada rakyat Jerman tetapi juga kepada dunia.
Pada tahun yang sama, populasi orang Yahudi di Jerman hanya mencecah 525,000 orang, bersamaan dengan satu peratus daripada keseluruhan populasi Jerman. Namun itu tidak menghalang mereka melaksanakan dasar Aryan iaitu menyucikan Jerman dari mana-mana orang bukan Aryan. Antara tindakan yang dilakukan mereka untuk enam tahun berikutnya ialah memecat kakitangan awam bukan Aryan, mengambil alih perniagaan orang Yahudi dan menarik semua senarai pelanggan golongan profesional Yahudi. Kemuncak kepada semua ini ialah Kristallnacht atau Malam Kaca Pecah di mana mereka membakar saumaah-saumaah orang Yahudi dan memecahkan kaca premis perniagaan orang Yahudi. Pada malam tersebut, 100 orang terbunuh dan ribuan orang Yahudi ditahan. Antara tahun 1933 hingga 1939, bagi yang berkemampuan, mereka segera meninggalkan Jerman tetapi bagi yang masih kekal, mereka hidup dalam ketakutan.
Selepas memeterai Perjanjian Molotov-Ribbentrop, Hitler menggerakkan askar-askarnya untuk menyerang Poland pada tahun 1939. Dan pada September tahun sama, mereka menguasai sebelah barat Poland dan memaksa puluhan ribu Yahudi Poland meninggalkan kediaman dan perniagaan mereka untuk dihantar ke geto-geto sekitar Poland. Kediaman dan premis perniagaan yang dirampas ini diserahkan kepada penduduk asal Poland, orang Jerman dari Reich dan orang bukan Yahudi yang dianggap Jerman yang menetap di luar Jerman. Geto-geto ini dilengkapi dengan dinding tinggi dan pagar kawat berduri di mana mereka ditadbir oleh majlis-majlis Yahudi. Antara masalah yang biasa ditemui di geto-geto ini ialah pengangguran, kebuluran dan penyebaran penyakit berjangkit.
Pada masa sama, Hitler turut mengarahkan mana-mana individu yang mempunyai masalah mental atau kecacatan fizikal dibunuh di bawah Program Eutanasia. Selepas mendapat bantahan pemimpin-pemimpin besar agama Jerman, program tersebut ditamatkan pada tahun 1941 namun ia tetap diteruskan secara rahsia di mana pada tahun 1975, seramai 275,000 orang kelainan upaya (OKU) di seluruh Eropah dibunuh. Ini merupakan permulaan kepada ‘Final Solution’.
Pada tahun 1940-1941, selepas berjaya menguasai sebahagian besar Eropah, Nazi Jerman mula mengumpul ratusan ribu orang Yahudi dan orang yang tidak dikehendaki seperti orang Gipsi dan menghantar mereka ke geto-geto sekitar Poland. Dan selepas Operasi Barbarossa dilancarkan pada tahun 1941, Himmler dan timbalannya, Reinhard Heydrich memperkenalkan Einsatzgruppen, sebuah unit pembunuh bergerak yang membunuh lebih 500,000 orang Yahudi dan Eropah Timur semasa sebahagian kawasan tersebut dikuasai tentera Wehrmacht. Pada 31 Julai 1941, Heydrich menerima memorandum dari Menteri Udara, Hermann Goring yang mahukan keperluan ‘penyelesaian terakhir’ kepada soalan Yahudi. Pada September 1941, semua orang Yahudi di wilayah yang dikuasai Jerman akan ditanda dengan lencana bintang kuning, sekaligus menjadikan mereka sasaran mudah.
Pada tahun ini juga, Himmler dan Heydrich mula bereksperimen cara paling sesuai menghapuskan orang-orang Yahudi di kem-kem tahanan. Ini kerana kedua-duanya mendapati kaedah pembunuhan yang dilakukan Einsatzgruppen tidak lagi dianggap efektif dan ia turut memberi kesan kepada keadaan mental mereka. Ini memaksa kedua-duanya mengkaji cara lain termasuk van gas dan kebuk-kebuk gas yang diperkenalkan di kem-kem tahanan untuk tahun-tahun kemudiannya. Buktinya, 500 pegawai SS menggas 500 tahanan perang Soviet dengan gas racun serangga Zyklon-B. Melihat keberkesanan gas tersebut, SS mula meletakkan pesanan gas tersebut dalam kuantiti banyak.
Pada akhir tahun 1941, Hitler mengarahkan semua tahanan geto di Poland dipindahkan ke kem-kem tahanan bermula dengan individu-individu yang dianggap tidak berguna iaitu sakit, tua, lemah dan terlalu muda. Kejadian pembunuhan beramai-ramai menggunakan gas pertama berlaku di kem Belzec berhampiran Lublin, Poland pada 17 Mac 1942. Ini disusuli dengan pembukaan lima pusat pembunuhan beramai-ramai di kem-kem sekitar Poland termasuk Chelmno, Sobibor, Treblinka, Majdanek dan paling terkenal, Auschwitz. Kebanyakan yang dihantar ialah orang-orang Yahudi dari seluruh Eropah termasuk negara-negara yang bersekutu dengan Jerman seperti Itali dan rejim Vichy Perancis. Penghantaran paling ramai berlaku pada musim panas dan musim luruh 1942 di mana 300,000 tahanan dipindahkan dari geto Warsaw.
Jika anda kata semua angka ini satu pembohongan, mari kita lihat antara kejadian Holocaust yang berlaku semasa WWII:
a) Pembunuhan beramai-ramai di Babi Yar di Ukraine pada September 1941. Seramai 33,771 dibunuh dengan senjata api di mana ada yang terselamat berpura-pura mati dan menceritakan situasi tersebut dalam perbicaraan kes-kes jenayah perang membabitkan pemimpin-pemimpin Nazi. Kurt Werner, salah seorang anggota terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai menceritakan dia menghabiskan seluruh pagi tersebut turun ke bawah dan menembak tanpa henti semua orang Yahudi yang dikumpulkan di situ.
b) Jumlah kematian orang Yahudi di tangan pasukan pembunuh Einsatzgruppen berjumlah sejuta orang dan ini dicatatkan dalam 194 laporan mereka kepada pejabat SS di Berlin.
c) Selain kebuk gas, sesetengah kem turut menggunakan van-van gas untuk mengepam gas beracun yang membunuh tahanan-tahanan orang Yahudi. Cara van ini digunakan ialah paip eksos van dilengkungkan dan dipusing ke bawah ke van dan masuk ke dalam lubang khas di lantai. Selepas van ini dihidupkan, ia akan mengepam gas karbon monoksida dalam ruang tersebut dan membunuh sesiapa di dalamnya. Ramai mati di situ dan buktinya, satu surat seorang pegawai SS memohon menambah bilangan van gas di kemnya kerana ia masih tidak mencukupi untuk membunuh bilangan orang Yahudi yang ditetapkan.
d) Selain kebuk gas, kem-kem tahanan Nazi ini turut dilengkapi dengan rumah mayat, kem buruh paksa dan tempat membakar mayat. Namun sekiranya bilangan mayat yang dibakar terlalu ramai, pengawal-pengawal kem membuat lubang pembakar besar untuk membakar mayat-mayat tersebut.
e) Di Auschwitz pada tahun 1943, pentadbir kem Karl Bischoff menceritakan mereka telah membakar lebih empat ribu mayat orang Yahudi dalam sehari. Nampak mustahil tapi bagi salah seorang tahanan Yahudi di situ, Henryk Tauber menegaskan ia benar-benar berlaku. Semasa proses tersebut berlaku, beliau dan rakan-rakanya yang dipaksa bekerja di tempat pembakar mendedahkan mereka membakar sehingga lapan mayat pada satu-satu masa.
f) Di kem yang sama, operasi pembunuhan di situ boleh diibaratkan seperti operasi industri berskala besar. Dua juta tahanan Yahudi dan bukan Yahudi mati dibunuh. Sebahagian dibunuh di kebuk-kebuk gas sementara bakinya mati akibat penyakit berjangkit atau kebuluran. Selepas peristiwa D-Day dan serangan Soviet pada pertengahan 1944, sebahagian besar populasi Yahudi Hungary dihantar ke Auschwitz di mana 12,000 tahanan mati setiap hari.
Pada musim bunga 1945, perang kembali memihak kepada tentera Bersekutu. Ini ditambah pula dengan perebutan kuasa antara pemimpin-pemimpin Nazi seperti Goring dan Himmler. Hitler yang berang memutuskan mereka berdua dari wasiatnya dan memerintahkan saki-baki kepimpinan, tentera dan rakyat meneruskan kempen mereka ke atas orang Yahudi tanpa sebarang belas kasihan.
Bimbang jenayah mereka diketahui seluruh dunia, tentera Nazi Jerman mula memindahkan tahanan-tahanan dan memaksa mereka berjalan, jauh dari jangkauan tentera Bersekutu. Mereka turut memusnahkan kem-kem tahanan termasuk kebuk-kebuk gas namun ia tidak berhasil. Tahanan-tahanan yang dipaksa berjalan ini sehinggalah ke hari pengganti Hitler, Laksamana Karl Donitz mengisytiharkan Jerman menyerah kalah kepada tentera Bersekutu. Berdasarkan statistik, 250,000 hingga 375,000 tahanan terbunuh semasa dipaksa berjalan meninggalkan kem.
Selepas perang berakhir, luka akibat jenayah kejam Nazi Jerman masih belum sembuh. Ini disebabkan ramai tahanan kehilangan ahli keluarga, harta benda dan kediaman mereka. Dan sekiranya mereka pulang sekalipun, pasti mereka akan dicerca oleh jiran-jiran yang masih terikut-ikut fahaman fanatik Nazisme. Berikutan itu, Tribunal Perang Nuremberg membicarakan ramai pemimpin Nazi termasuk Goring dan Himmler dan kebanyakan mereka dihukum gantung sampai mati.
Situasi ini turut diambil kesempatan oleh tokoh seperti bakal Perdana Menteri Israel, David Ben-Gurion yang mendesak sebuah tanah diberikan sebagai tanah baru bagi orang Yahudi berdasarkan rancangan yang dibuat kerajaan Britain terhadap tokoh Zionis, Theodor Herzl. Berdasarkan rancangan asal, mereka mahu memberi tanah di Argentina, Chile atau Uganda kepada orang Yahudi sebagai kawasan perlindungan berikutan tindakan kejam anti-Semitisme di Eropah dan Rusia tetapi ditolak Herzl. Herzl sebaliknya mahukan Palestin sebagai tanah air baru orang Yahudi sehingga ke akhir hayatnya. Cita-cita ini diteruskan oleh pemimpin-pemimpin Zionis lain dan inilah yang dituntut Ben-Gurion terhadap Britain.
Pada 14 November 1947, selepas membawa usul pembentukan negara Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), PBB meluluskan resolusi pembentukan negara Arab (Palestin) dan Yahudi (Israel) di Palestin dengan sokongan 33 undi berbanding 13 yang menentang. Berang dengan resolusi tersebut, negara-negara Arab lain mahu merujuk resolusi tersebut ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkenaan apakah tindakan tersebut dibenarkan oleh Perhimpunan Agung PBB. Bagaimanapun, resolusi mereka ditolak. Dan pada 14 Mei 1948, Ben-Gurion mengisytiharkan kemerdekaan dan penubuhan Israel sebagai sebuah negara.
Pada tahun-tahun berikutnya, rakyat Jerman masih bergelut dengan legasi gelap Holocaust ini. Ini kerana pada ketika itu, waris-waris dan mereka yang terselamat mendesak mahukan harta benda dan kediaman mereka dikembalikan selepas dirampas pada tahun-tahun WWII. Pada tahun 1953, kerajaan Jerman membayar pampasan kepada individu dan komuniti Yahudi sebagai cara mengakui kebertanggungjawaban rakyat Jerman berkenaan jenayah yang dilakukan terhadap mereka.
SUMBER
1. Oliver, Mark. (2017). Listverse. 10 Facts That Conclusively Prove The Holocaust Really Happened. https://listverse.com/2017/01/10/10-facts-that-conclusively-prove-the-holocaust-really-happened/
2. History.com. World War Two. Holocaust.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih