Pada 24 Ogos 1945, jentera perang Soviet sudah digerakkan sebagai persediaan untuk menduduki Pulau Hokkaido, Jepun. Pesawat-pesawat pengebom jarak jauh Soviet sudah berlepas dari pangkalan mereka di Vladivostok dan mengebom pulau tersebut. Pada pukul lima pagi, dua rejimen Soviet mendarat di pulau itu disusuli pasukan tentera yang lebih besar di mana ia membahagikan Hokkaido kepada dua bahagian. Ini sebahagian daripada perancangan Laksamana Armada Kesatuan Soviet, Ivan Yumashev sekiranya negara tersebut menyerang Hokkaido.
Askar-askar sudah bersedia, unit-unit kapal selam telah digerakkan ke perairan Hokkaido untuk mengintip sebagai persediaan untuk serangan darat dan ada ketikanya, menenggelamkan kapal-kapal yang membawa pelarian Jepun. Pihak Soviet perlahan-lahan menguasai Pulau Sakharin dan memaksa tentera Jepun keluar dari rantaian Kepulauan Kurille dari Hokkaido hingga ke Semenanjung Kamchatka. Apa yang diperlukan Yumashev ialah lampu hijau dari Moscow tetapi arahan yang patut dikeluarkan Joseph Stalin tidak muncul. Ia sesuatu yang tidak masuk akal memandangkan Hokkaido merupakan kunci kepada peluang mengakses laluan Soviet ke Lautan Pasifik, sesuatu yang pasti diingini kepimpinan parti di Moscow. Namun, Stalin mengeluarkan arahan membatalkan operasi Yumashev.
Lapan hari sebelum itu, Stalin mengajukan tuntutan Soviet untuk menduduki Hokkaido kepada Presiden Amerika Syarikat, Harry S. Truman. Sekiranya tuntutan ini ditolak, Stalin memberi amaran ia bakal menyinggung perasaan rakyat Rusia. Beberapa bulan sebelum itu, tuntutan ini sebenarnya sudah dipertimbangkan oleh Jabatan Perang Amerika Syarikat di mana mereka lihat tiada masalah bagi Kesatuan Soviet bukan saja menguasai seluruh pulau Hokkaido tetapi juga sebahagian daripada pulau terbesar Jepun, Honshu. Namun selepas Washington mengebom Hiroshima dengan bom atom, ia dilihat memberi keyakinan kepada Truman untuk menetapkan syarat perhubungannya dengan Stalin. Pada 18 Ogos, Truman menolak permintaan Stalin. Ini memaksa beliau menimbang semua pilihan yang ada sebelum mengeluarkan arahan membatalkan operasi tersebut.
Pasti ada yang kata sebab Stalin menarik balik operasi tersebut atas alasan bimbang dengan kekuatan atom Amerika Syarikat. Dan ini sentimen yang dikongsi oleh pegawai Amerika Syarikat termasuk diplomat George Keenan menyifatkan Moscow amat sensitif dengan permainan kuasa pesaing atau musuhnya. Bagi Truman pula, kejayaan bom tersebut membantu mereka menang ke atas Jepun. Maka tidak hairanlah mengapa selain menjadi sebahagian daripada unit persenjataan mereka, ia menjadi sebahagian daripada senjata diplomatik Washington. Dalam erti kata lain, Truman tidak perlu mengugut Kesatuan Soviet, cukup sekadar memiliki bom tersebut saja sudah cukup sebagai ancaman kepada Moscow. Namun satu fakta yang tidak diketahui pentadbiran Truman ialah Stalin menyifatkan tindakannya itu sebagai keanak-anakan dan melihat mereka seolah-olah memandang rendah kekuatan Moscow.
Buktinya, apabila berita pengeboman Hiroshima dan Nagasaki diketahui Stalin, beliau sama sekali tidak terkejut. Ini kerana menerusi rangkaian perisikan mereka, Stalin sudah mengetahui program rahsia senjata atom yang dibangunkan Amerika Syarikat dan Britain. Jika Truman menyangka beliau tidak memahami konsep senjata atom semasa persidangan di Potsdam pada Julai 1945, Truman sudah tersalah langkah. Pada tahun 1941, agensi-agensi perisikan Soviet seperti NKVD dan GRU mengumpul maklumat berkenaan senjata tersebut dan setahun selepas itu, Jawatankuasa Pertahanan Negara yang dipengerusikan oleh Stalin meluluskan projek pembangunan senjata atom versi mereka. Pada mulanya, usaha ini terhad berikutan ketika itu, perang masih lagi meletus antara Soviet dengan rejim Nazi Jerman. Tetapi pada tahun 1944, Stalin melantik Lavrentiy Beria untuk memantau perlaksanaan projek tersebut. Pengembangan NKVD dan sumber diperlukan untuk kajian senjata atom sudah cukup memperlihatkan keazaman Stalin untuk tidak membiarkan Amerika Syarikat ke hadapan dalam soal teknologi atom.
Selepas Hiroshima, Stalin melipatgandakan usaha membina senjata atom miliknya sendiri. Ini termasuk melantik Beria mengetuai satu jawatankuasa khas untuk meneruskan aspirasi senjata atom, memberi insentif kepada pasukan saintis termasuk saintis Jerman dan memperbanyakkan operasi melombong uranium dari Siberia hingga ke Eropah Timur dan Korea Utara. Ketua pasukan saintis projek tersebut, Igor Kurchatov menyifatkan cara ini sebagai mustahil semasa bertemu dengan Stalin pada 25 Januari 1946. Tetapi Stalin tetap bertegas ia harus diteruskan dan perlu dipercepatkan berdasarkan maklumat yang dikumpul oleh pengintip-pengintip Soviet. Stalin menyifatkan semua ciptaan hebat pada mulanya kasar seperti mana keretapi stim tetapi ciptaan tersebut mengubah dunia dalam tempoh beberapa tahun. Dan apa yang dihajati Stalin menjadi kenyataan apabila senjata atom menjadi sebahagian daripada persenjataan Soviet pada Ogos 1949, lebih awal dari apa yang dijangkakan perisikan Amerika.
Namun minat mendalam Stalin terhadap bom atom tidaklah bermakna Stalin takut dengan kuasanya. Sebaliknya, beliau melihat ia sebagai simbol sebuah kuasa besar dan tidak tertarik dengan keberkesanan senjata tersebut. Buktinya, ahli-ahli GRU dan diplomat-diplomat Soviet di Tokyo yang melawat Hiroshima dan Nagasaki merakam kerosakan sekitar kedua-dua bandar ini dan menemubual mangsa-mangsa yang terselamat. Dalam satu laporan September 1945, duta Soviet ke Tokyo, Yakov Malik melihat insiden pengeboman kedua-dua bandar tersebut dibesar-besarkan dengan tujuan propaganda dan melihat akhbar-akhbar Jepun membesar-besarkan kesan bom tersebut. Selepas membaca laporan Malik, Stalin sendiri ragu-ragu akan kekuatan bom atom. Ini disokong dengan kenyataan pemimpin komunis Poland, Wladyslaw Gomulka pada November 1945, “Tentera bukan bom atom yang menentukan peperangan.” Stalin menambah, “Mereka telah melucutkan senjata mereka kerana diganggu dengan keinginan keamanan dan tidak akan mengangkat senjata melawan kita.”
Jika ada yang berpandangan Stalin berbohong, lihat pula peristiwa menarik beberapa minggu selepas operasi Hokkaido dibatalkan. Menteri Luar Soviet, Vyacheslav Molotov bersikap keras kepala dan enggan tunduk kepada tuntutan Amerika Syarikat semasa Persidangan Menteri-Menteri Luar London. Dalam persidangan tersebut, Washington menuntut mahu diberi hak campur tangan di Romania dan Bulgaria serta mahu membina pangkalan-pangkalan tentera di Mediterranean. Keengganan Molotov menurut tuntutan Washington menyebabkan Setiausaha Negara ketika itu, James Byrnes mengugut akan menggunakan senjata atom ke atas Kesatuan Soviet. Di sebalik tabir, Stalin meminta Molotov tidak tunduk kepada ugutan mereka dan bersikap tegas dalam menunjukkan pendirian Moscow. Namun itu masih tidak menjelaskan mengapa Stalin membatalkan operasi Hokkaido itu.
Sebab sebenar di sebalik pembatalan operasi tersebut ialah Stalin tidak mahu kehilangan wilayah-wilayah yang dikuasai Soviet selepas Perang Dunia Kedua (WWII) termasuk Pulau Sakhalin dan Kepulauan Kurille. Ya, dari segi kedudukan strategik, Hokkaido tampak menggoda tetapi Hokkaido juga bukan sebahagian daripada perjanjian yang dimeterai di Yalta pada Februari 1945. Jika Stalin berkeras mahu menguasai Hokkaido, pasti semua yang diraih akan hilang begitu saja. Buktinya pada 18 Ogos 1945, Truman secara tiba-tiba bertanya apakah boleh pihak Amerika membina pangkalan udara di Kurille, sekaligus membuat lubang besar pada pertahanan Soviet di Timur Jauh. Nampak biasa pertanyaan ini tetapi ini sudah cukup untuk Stalin berfikir dua kali berkenaan Hokkaido.
Bagi Stalin, beliau mahu menjaga hubungan sedia ada dengan Washington termasuk menghormati hak masing-masing. Benar, Amerika menang di Teater Pasifik tetapi Soviet juga menang di Eropah dan secara tidak langsung, memaksa negara Matahari Terbit tunduk dan menyerah kalah tanpa syarat. Atas sebab itu, Stalin mengutarakan cadangan Hokkaido tersebut atas alasan Soviet menghormati kehadiran Amerika di Jerman, maka seharusnya Amerika turut menghormati cadangan kehadiran Moscow di Hokkaido. Namun cadangan tersebut ditolak Truman dan ini menimbulkan kemarahan Stalin. Pada bulan Oktober 1945, duta Amerika Syarikat ke Moscow, Averell Harriman bertemu dengan Stalin di mana Stalin menyatakan kemarahannya pada ketidaktentuan berkenaan Hokkaido walaupun isu itu dianggap selesai oleh Truman. Pada Stalin, Truman tidak memiliki aura dan karisma yang dimiliki penjawat jawatannya terdahulu untuk beliau berurusan, Franklin Delano Roosevelt. Dua tahun selepas itu, Yumashev dilantik sebagai Menteri Tentera Laut Soviet dan beliau membangkitkan subjek pembatalan operasi dengan Stalin. Dalam pertemuan tersebut, Yumashev mendedahkan beliau mahu meneruskan operasi tetapi selepas mempertimbangkan semula, memutuskan untuk tidak berbuat demikian.
Selepas Perang Dingin meletus, Stalin tidak lagi berminat dengan rangka kerja Yalta dan menyifatkan Truman sebagai tidak boleh dipercayai. Pada tahun 1950, Stalin bersekutu dengan Parti Komunis China dan memberi lampu hijau kepada pembentukan rejim Kim Il-Sung di Korea Utara dan permulaan serangan ke atas Korea Selatan. Stalin menyifatkan perubahan ini perlu disokong memandangkan situasi perjanjian terdahulu yang dirangka sudah berubah. Siapa sangka tindakan Truman mengugut Stalin untuk membatalkan hasrat menduduki Hokkaido sebenarnya menyebabkan sebarang bentuk kerjasama antara kuasa besar menjadi mustahil. Dan Hiroshima menyebabkan Perang Dingin satu prospek yang tidak dapat dielak. Jika ada hikmah di sebalik semua ini, bagi penduduk Hokkaido, mereka tidak mengalami penderitaan sama seperti penduduk Korea Utara hari ini berikutan tindakan Stalin membatalkan operasi tersebut. Jika diteruskan, bukan saja Hokkaido menjadi sebahagian daripada negara satelit Soviet tetapi juga menyaksikan kemunculan rejim sama seperti Korea Utara.
SUMBER
Radchenko, Sergey. (2015). Foreign Policy. Did Hiroshima Save Japan From Soviet Occupation? http://foreignpolicy.com/2015/08/05/stalin_japan_hiroshima_occupation_hokkaido/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih