“Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan Allah…”.

(at-Taubah ayat 36).

638 Masihi.

Ada dua riwayat tentang bermulanya masalah ini:

1. Seorang sahabat, Maimun bin Mahran mendatangi Khalifah Umar dan menunjukkan beberapa helaian dokumen tentang sebuah kesepakatan antara dua orang pihak. Di dalam dokumen terbabit hanya menyatakan penanggalan bulan Syaaban. Khalifah Umar tidak dapat memastikan apakah ia bulan Syaaban tahun lepas atau bulan Syabaan tahun ini.

2. Khalifah kedua Khulafa ar-Rasyidin, Saidina Umar al-Khattab r.a duduk resah dalam sebuah pertemuan dengan para sahabat dan orang kanan yang menguruskan pemerintahannya. Masalah mula timbul dalam menguruskan beberapa catatan dokumen rasmi negara. Ianya bermula setelah sepucuk surat dari gabenor wilayah Kufah dan Basrah iaitu Abu Musa al-Asyari r.a yang menyatakan permasalahan dalam memahami surat-surat yang beliau terima dari Khalifah Umar.

Dalam isi suratnya, Abu Musa mengatakan bahawasanya sulit ke atasnya untuk memahami apakah surat di dalam tersebut menyatakan bulan Syabaan tahun ini atau tahun sebelumnya, kerana pada masa tersebut segala pengurusan dalam pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin hanya berpandukan pada bulan sahaja dan tiadanya catatan tahun.

Khalifah Umar al-Khattab perlu menyelesaikan masalah ini dengan secepatnya sebelum ia menjadi semakin parah dalam menguruskan pentabiran negaranya. Banyak cadangan dan usulan yang diberikan oleh para sahabat dan orang kanannya dan akhirnya usulan sistem inilah yang diterima oleh Khalifah Umar lalu ianya digunakan sehingga ke hari ini. Antara usulan para sahabat adalah:

1. Menjadikan peristiwa kelahiran Rasulullah saw untuk sebagai permulaan tahun dalam sistem kalendar Islam.

2. Mengambil inisiatif dengan memakai guna sistem kalendar Romawi iaitu kalendar Masihi.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang sejarah penciptaan kalendar Masihi, pembaca boleh membacanya di: 
https://www.google.co.id/…/sejarah-penciptaan-kalendar…/amp/

3. Menerapkan sistem kalendar Parsi iaitu Gahshomariye Irani.

4. Mengenangkan peristiwa Hijrah Rasulullah saw bersama Abu Bakar as-Siddiq r.a keluar daripada kota Mekah menuju ke kota Madinah..

Usulan keempat inilah yang diterima dan digunapakai oleh Khalifah Umar al-Khattab. Jadi, siapakah yang mengusulkan usulan terbabit?

Beliau adalah menantu kesayangan Rasulullah saw dan bakal khalifah keempat dalam pemerintahan Khulafa ar-Rasyidin iaitu Saidina Ali bin Abu Thalib r.a.

Sebenarnya peristiwa hijrah Rasulullah saw yang keluar daripada bumi Mekah menuju ke bumi Yathrib atau kota Madinah berlaku dalam bulan Rabiul Awal 1 Hijrah bukan dalam bulan Muharram 1 Hijrah.

Mengapa bulan Muharram dijadikan sebagai pembuka tahun kalendar Hijrah dan bukannya bukan Rabiul Awal oleh Khalifah Umar al-Khattab?

Ini adalah kerana Khalifah Umar hanya mahu menyelesaikan permasalahan dalam penetapan tahun sahaja dan beliau tidak mahu merombak ataupun mengubah sistem penanggalan 12 bulan yang sudah diamalkan oleh masyarakat Arab sekian lamanya sebelum kedatangan agama Islam.

Walaupun bulan Rabiul Awal tidak dijadikan sebagai pembuka tahun kalendar Hijrah tetapi peristiwa Hijrah Rasulullah saw dijadikan sebagai sandaran utama untuk umat Islam memulakan tahun baharu mereka sebagai sebuah perpindahan baharu dalam kehidupan pada bulan Muharram.

Jadi, apakah sejarah disebalik nama-nama 12 bulan tersebut sehinggakan Khalifah Umar al-Khattab tidak mahu mengubah mahupun merombak penanggalannya?

1. MUHARRAM.

Sebelum kedatangan agama Islam, para pemimpin kabilah Arab bersepakat menjadikan bulan Muharram sebagai bulan yang diharamkan ke atas mereka untuk berperang sesama sendiri. Sudah jelas kita mengetahui, para kabilah Arab kerap berperang demi merebutkan sesebuah kawasan mahupun menuntut bela jika berlaku perselisihan faham diantara para kabilah yang terbabit. Bulan Muharram juga dikenali sebagai bulan Ras Sannah iaitu bulan yang dimana berakhirnya musim panas yang selalunya berketepatan dalam bulan September dalam kalendar Masihi.

2. SAFAR.

Diambil daripada perkataan Arab yang didalam bahasa Melayu ianya bermaksud kuning. Pada waktu ini, sudah memasuki musim gugur. Daun-daun yang berada pada pokok mula berubah warna kekuningan. Riwayat lain menyatakan pada bulan ini, para kabilah Arab keluar meninggalkan rumah untuk berperang setelah sebulan lamanya (Muharram) menahan nafsu untuk mengangkat senjata.

3. RABIUL AWAL.

Rabiul pula adalah sebuah perkataan daripada bahasa Arab yang bermaksud ‘gugur’. Awal pula merujuk pada masa ini, daun-daun di pokok sudah mula berguguran dan jatuh ke bumi. Ianya adalah pertengahan musim luruh atau memasuki bulan November dalam kaledar Masihi.

4. RABIUL AKHIR.

Dalam bulan ini, musim luruh sudah memasuki ke penghujungnya (akhir) dan akan bermulanya musim sejuk.

5. JAMADIL AWAL.

Perkataan bahasa Arab, Jamadil adalah jamak daripada perkataan Jumad yang membawa maksud ‘membeku’. Pada bulan ini, sudah bermulanya (awal) memasuki musim sejuk atau berketepatan bulan Januari.

6. JAMADIL AKHIR.

Memasuki bulan yang dimana pengakhiran kepada musim sejuk. Ianya berada dalam bulan Februari.

7. RAJAB.

Rajab membawa maksud ‘mencairnya salji’. Dalam bulan ini, musim sejuk sudah berlalu dan menunggu ketibaan musim panas. Ais dan salji yang berada di gunung mula mencair dan memenuhi paras air sungai. Ianya berada dalam bulan Mac.

8. SYAABAN.

Syabaan daripada perkataan Syi’ib yang membawa maksud ‘lembah’. Kenapa lembah? Kerana pada masa ini, masyarakat Arab sudah mula keluar dari rumah dan turun ke lembah-lembah untuk bercucuk tanam mahupun menternak haiwan. Pada masa ini, sudah memasuki musim panas dan ianya berada dalam bulan April.

9. RAMADHAN.

Ramadhan yang membawa maksud ‘membakar kulit’ kerana pada masa ini musim panas sudah mencapai ke tahap fasa permulaan yang panas sehingga membakar kulit. Dalam bulan ini, umat Islam diwajibkan untuk menunaikan ibadah puasa selama sebulan. Ianya selalu jatuh pada bulan Mei.

10. SYAWAL.

Syawal yang membawa maksud ‘kemuncak’ atau ‘peningkatan’. Pada bulan ini, musim panas sudah sampai ke tahap tertinggi. Dalam bulan ini, umat Islam meraikan kemenangan mereka pada tanggal 1 Syawal setelah mengerjakan ibadah puasa wajib selama sebulan dalam bulan Ramadhan. Perayaan ini simbolik melambangkan ketaatan seorang penganut agama Islam dalam meraikan kemenangannya mengalahkan nafsu makan, minum dan bersetubuh (suami-isteri) pada siang hari selama sebulan. Ianya selalu jatuh pada bulan Jun.

11. DZULQOIDAH.

Qoidah diambil dairpada perkataan Qoid yang membawa maksud ‘duduk’ atau ‘menetap’. Pada bulan ini, masyarakat Arab lebih suka berada di dalam rumah berbanding keluar berperang mahupun bermusafir kerana pada waktu ini musim panas terus-menerus membahang. Ianya jatuh pada bulan Julai.

12. DZULHIJJAH.

Bulan yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat Arab untuk melaksanakan haji di Mekah sebagaimana ajaran daripada Nabi Ibrahim a.s. Ibadah haji masih diteruskan oleh umat Islam sehingga kini. Pada masa ini, bulan Dzulhijjah selalunya jatuh pada dalam bulan Ogos.

Walaupun terdapat lagi pelbagai riwayat tentang sejarah kemunculan nama-nama dalam bulan Islam mengikut daripada ahli bahasa, sejarah dan tafsir, tetapi perlu kita ketahui khususnya penganut agama Islam yang penciptaan kalendar Hijrah bukan sahaja melambangkan sistem kalendar milik kita bahkan ianya merupakan sebuah detik kejayaan ke atas umat Islam dalam menghayati apakah sebenarnya makna disebalik sebuah perkataan dan peristiwa Hijrah Rasulullah saw. Sebagaimana yang dikatakan Saidina Ali bin Abu Thalib berkaitan usulannya dalam menetapkan peristiwa hijrah dalam penciptaan kalendar Hijrah adalah seperti berikut:

1. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyebutkan tentang perhargaan Allah swt kepada golongan Muhajirin (orang Islam Mekah yang terlibat dalam peristiwa Hijrah) dengan gelaran ‘al-ladzina hajaru’.

2. Umat Islam mula membina sistem kemasyarakatan dan negara setelah peristiwa Hijrah.

3. Umat Islam disarankan selalu mempunyai nilai dalam diri untuk selalu berhijrah atau berpindah ke sesuatu peribadi dan perjuangan yang lebih baik di dalam kehidupan.

Maka pada tahun 638 Masihi berketepatan pada tahun 17 Hijrah, lahirlah sebuah kalendar untuk umat Islam yang dirasmikan sendiri oleh Khalifah Umar al-Khattab.

KALENDAR HIJRAH.

Wallahu’alam.

RUJUKAN:

1. Al Masyhuur fii Asma’il Ayyam was Syuhur oleh Syeikh ‘Alamud Diin As Sakhowi.

2. Tafsir Ibnu Katsir oleh Ibnu Katsir (4: 128-129).

3. Al Mufashhal fii Tarikh al ‘Arab Qabla Al Islam oleh Jawad Ali.

– TAMAT –


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.