Sebut saja Korea Selatan, ramai membayangkan BTS, Running Man, Penthouse dan Keajaiban Sungai Han. Tetapi Keajaiban Sungai Han bukan sekadar membawa kemajuan kepada Korea Selatan tetapi juga masalah berbentuk chaebol. Kerana chaebol juga, generasi muda negara itu melabel negara mereka sebagai ‘Neraka Joseon’.
Neraka? Untuk negara macam Korea Selatan? Mungkin ada menganggap label sebegini terlalu kasar tetapi itulah hakikat yang dihadapi warga di sana. Malah, ia turut menjadi inspirasi salah satu lagu popular BTS berjudul No More Dream.
Klip video No More Dream:
Neraka Joseon merupakan kritikan halus mereka terhadap pelbagai masalah sosioekonomi Korea Selatan hari ini. Antara masalah yang dibangkitkan ialah kadar kelahiran yang rendah, persaingan sengit untuk mendapatkan tempat di sekolah/universiti dan pekerjaan, kadar pengangguran yang tinggi dan populasi warga emas yang bertambah.
Bagi generasi muda Korea, isu yang paling menyusahkan mereka ketika ini ialah pengangguran. Mengikut data OECD pada 2018, 21.6% individu berusia 25-29 tahun masih lagi menganggur di negara itu. Dengan peratusan sedemikian, ini menjadikan Korea Selatan mempunyai statistik pengangguran paling tinggi dalam kalangan negara OECD untuk kumpulan umur berkenaan.
Data sama turut menunjukkan satu daripada lima orang dalam kumpulan umur sama merupakan penganggur walaupun hanya membentuk 7.8% populasi berusia 15 tahun ke atas. Kadar pengangguran bagi populasi berusia 15-24 tahun pada 2019 pula menyaksikan ia sekitar 10.4%, pertambahan sebanyak 2% daripada 8% lima tahun sebelumnya.
Dengan angka sebegini, tidak hairanlah persaingan mendapatkan pekerjaan amat sengit. Persaingan sebegini memberi kesan kepada pelajar-pelajar dari segi cara pembelajaran, persediaan ke universiti dan sebagainya. Kebiasaannya, mereka memilih kelas-kelas tambahan sebagai cara menyiapkan diri mengharungi kelas-kelas di sekolah, kadang-kadang sehingga larut malam.
Bagi pelajar sekolah tinggi Kim Ju-hee, dia mengakui semua ini sebagai melampau. Ju-hee sedang membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan kebangsaan di mana keputusan cemerlang melayakkan pelajar berkenaan memasuki universiti-universiti ternama di Korea. Tetapi itu tidak bermakna tekanan sudah berakhir bila mereka berada di kampus.
Ini kerana mereka perlu memenuhi setiap kriteria resume bila menempuh alam pekerjaan. Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah lulus Ujian Kemahiran Bahasa Inggeris, konsisten mencatat purata gred markah yang tinggi dan menyertai pelbagai pertandingan atau kursus. Dan jangan terkejut ada pelajar sanggup menjalani pembedahan plastik bagi mencantikkan wajah mereka bagi meningkatkan peluang mereka mendapat pekerjaan.
Disebabkan semua ini, generasi muda Korea Selatan turut mendapat label generasi sam-po atau generasi yang mengaku kalah. Malah, ia turut menjadi inspirasi satu lagi lagu BTS berjudul Dope. Dope merupakan luahan golongan muda terhadap masyarakat yang terlalu menekan dan meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap mereka.
Klip video Dope:
Generasi sam-po di sini terlalu tertekan untuk mencapai tiga ‘pencapaian hidup’ mengikut standard masyarakat Korea. Tiga perkara tersebut ialah mempunyai teman wanita/teman lelaki, berkahwin dan mempunyai anak. Nak ada semua ini tatkala mereka bergelut dengan permasalahan yang dinyatakan? Jangan mimpilah.
Ini diakui sendiri pelajar Universiti Donguk, Kim John-hun. Dia tidak ingin mempunyai anak tetapi teman wanitanya inginkan zuriat. Dan ini sesuatu yang membuatkannya gelisah kerana kos membesarkan anak di Korea Selatan amat mahal. Sentimen sama turut dikongsi Ju-hee dan dia menganggap dirinya mampu melakukan perkara sama seperti ibu bapanya.
Disebabkan taraf hidup yang tinggi, golongan muda Korea Selatan sanggup tinggalkan tiga itu kerana tidak mahu ia menjadi beban generasi terkemudian. Tetapi ada juga yang bersedia mempertimbangkannya seperti akauntan Sienna Ha, 30. Walaupun mengakui bersedia untuk berkahwin dan mempunyai anak, dia tidak mahu mengorbankan kerjanya sebagai akauntan.
Bagi golongan warga emas, gelaran Neraka Joseon terhadap Korea Selatan merupakan satu penghinaan kepada mereka. Mereka merupakan generasi yang membina semula Korea Selatan pasca-Pe.ra.ng Korea dan menjadi antara penjana tenaga Keajaiban Sungai Han. Bagi mereka, generasi hari ini dianggap sebagai manja, tak kenang budi dan terlalu materialistik.
Di sebalik label tidak enak terhadap golongan muda, hakikatnya taraf hidup yang tinggi turut memberi kesan kepada warga emas Korea Selatan. Ini kerana separuh daripada mereka hidup dalam belenggu kemiskinan. Dan usah terkejut jika meneliti kadar kes bu.nu.h diri yang Korea, terdapat angka kes yang tinggi membabitkan mereka.
Kerja keras? Usah persoal komitmen ubi-ubi muda ini. Mereka memang bekerja keras bagi mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik. Tetapi apa yang perlu dilakukan apabila ketidakadilan ekonomi terus berlaku terhadap mereka terutama membabitkan golongan chaebol?
Perlu diingat, chaebol menyumbang kepada ketidakadilan ini. Dari segi perbezaan gaji saja, gaji pekerja industri kecil dan sederhana (IKS) 63% lebih kecil berbanding gaji pekerja syarikat-syarikat yang dikawal chaebol. Dengan perbezaan saiz gaji sebegitu rupa, ia sudah pasti mengecilkan kuasa mereka sebagai pengguna.
Selain itu, chaebol ini sebenarnya dasar pemalas dari segi kajian dan penyelidikan (R&D). Benar, mereka turut mengeluarkan sejumlah besar untuk pelaburan hal berkenaan. Tetapi hakikatnya, mereka lebih suka meniru ciptaan pesaing mereka atau menyerapnya sebagai satu lagi anak syarikat mereka. Bila sudah diserap, apa jaminan pekerja-pekerja ini akan dikekalkan oleh bos-bos baru mereka? Jawapannya mudah, tipis.
Di samping itu, sikap orang-orang yang lebih berautoriti daripada guru hinggalah penyelia/pengurus mereka turut merimaskan generasi muda. Bukan satu rahsia sesetengah individu ini suka membuli dan memperlekeh ubi-ubi muda dengan tujuan kononnya mendorong mereka lebih rajin bekerja dan tidak curi tulang. Sesetengah mereka ini didorong oleh pelbagai bentuk stigma negatif membabitkan jantina, taraf pendidikan atau latar belakang mereka sendiri.
Atas sebab itulah, BTS mengkritik perihal ini menerusi lagu mereka berjudul Silver Spoon. Dalam lagu tersebut, generasi muda merasakan mereka sentiasa menjadi mangsa ketidakadilan dalam pelbagai segi. Apabila ia dibangkitkan, kelompok yang berkuasa enggan mendengar kerana mahu mengekalkan status quo sedia ada. Pendek kata, ia seolah-olah menggambarkan peluang kejayaan warga Korea sebenarnya amat tipis.
Klip video Silver Spoon:
Mungkin ada yang menepuk dahi tetapi inilah hakikat mengapa generasi muda di sana terlalu tertekan. Gabungan pelbagai faktor politik, ekonomi dan sosial menyumbang kepada kemuraman taraf kehidupan mereka. Lantas, gelaran Neraka Joseon amat bertepatan dengan situasi mereka hari ini.
RUJUKAN:
Lazore, Courtney. (2020). BTS, Hell Joseon, and the Give-Up Generations. Medium. Diambil dari https://medium.com/revolutionaries/bts-hell-joseon-and-the-give-up-generations-fef9f2ba2377
Williams, Mike. (2020). A hope in hell. Australia Broadcasting Corporation. Diambil dari https://www.abc.net.au/news/2020-01-30/south-korea-hell-joseon-sampo-generation/11844506?nw=0
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih