Semua orang tahu bahawa Presiden Amerika Syarikat sememangnya kaya-raya. Barack Obama membuat AS$15.6 juta daripada royalti dua bukunya (Alexander, 2017).
Bill Clinton pula mendapat AS$106 juta daripada royalti buku dan ucapan politik, belum lagi sebagai penasihat kewangan (Alexander, 2016).
Senang kata, siapa yang masuk White House tentu sekali keluar dengan akaun bank berangka-angka. Tetapi sebenarnya ada seorang pemimpin Amerika Syarikat yang jatuh miskin selepas keluar White House.
Harry S. Truman bernasib baik kerana popularitinya dalam kalangan Parti Demokratik yang tidak menyukai Naib Presiden Henry A. Wallace.
Jadi Presiden Franklin D. Roosevelt pun memilih Truman sebagai “orang kedua” (running mate).
Kemenangan Roosevelt pada tahun 1944 menjadikan Truman Naib Presiden. Dan Roosevelt tidak lama kemudian pergi buat selamanya. Jadi Truman pun menjadi Presiden Amerika Syarikat.
Lapan tahun Truman memimpin negara. Ramai yang berkata beliau akan tewas dalam pilihan raya 1948.
Kutipan suara pihak media pun berkata Thomas E. Dewey akan menang.
Perpecahan dalam kalangan Parti Demokratik tidak menjadi penghalang, kerana Truman mendapat majoriti diperlukan untuk memimpin sehingga 20 Januari 1953.
Beliau keluar daripada White House untuk kembali ke sebuah rumah berwarna putih di Missouri. Rumah Truman memang tidak megah pun. Untuk mencari makan, Truman mengajar di beberapa universiti tempatan.
Tetapi Truman enggan menyertai mana-mana badan korporat kerana tidak mahu menjejaskan integriti seseorang daripada White House.
Jadi Truman sebenarnya tiada simpanan tetap mencukupi sampai mengalami masalah kewangan. Satu-satunya pendapatan beliau ada ketika itu ialah pencen seorang t3nt3ra iaitu AS$112.56 sebulan [nilai sekarang: AS$1,076] (McCullough, 1992). Ketika itu bekas presiden tiada pencen (Dallek, 2008).
Truman terpaksa mengambil pinjaman peribadi daripada sebuah bank di Washington untuk menampung sara hidup sendiri. Sama seperti Clinton dan Obama, Truman pun mencuba nasib dalam dunia buku.
Tetapi bukan mudah untuk menulis sebuah memoir. Seramai 12 penulis profesional membantu Truman untuk siapkan buku ini. Tetapi semuanya tidak sesuai, bagi Truman.
Siap saja memoir tersebut, Truman mendapat AS$670,000 dalam bentuk pendahuluan royalti. Tetapi hampir AS$450,000 perlu dibayar kerana Truman berhutang dengan pihak cukai.
Baki AS$220,000 pula bukan milik Truman sepenuhnya, kerana beliau perlu membayar gaji penulis-penulis yang membantunya. Apabila beliau melangsaikan semua bayaran, hanya AS$37,000 sahaja tinggal dalam simpanannya (Ferrell, 1994).
Buat seketika, Truman memang selamat dari segi kewangan. Tetapi beberapa tahun kemudian, beliau membuat suatu pengakuan pada John McCormack. Bahawa kalau tidak jual hartanah diwarisi daripada ibundanya, Truman perlu memohon bantuan kewangan (financial relief).
McCormack yang merupakan Pemimpin Majoriti Dewan Perwakilan menggunakan pengaruhnya untuk meluluskan suatu rang undang-undang baharu untuk manfaat bekas-bekas presiden.
Dibawah akta baharu, bekas presiden akan mendapat pencen AS$25,000. Jadi Truman pun boleh menghela nafas lega kerana tidak lagi perlu risau tentang kewangan. Malah Herbert Hoover yang ditewaskan Roosevelt 20 tahun sebelumnya pun menerima pencen ini… untuk menjaga aib Truman.
Nasib yang menimpa Truman ini benar-benar mendidik politik Amerika Syarikat bahawa bekas presiden pun perlu dipelihara.
Tetapi ia juga menunjukkan bagaimana orang miskin hidup di tanah air dikatakan negara paling kaya dunia.
Keturunan Truman tidak lagi miskin hari ini, kerana cucunya Clifton Daniel mempunyai jawatan dalam Institut Perpustakaan Harry S. Truman, juga sebagai penulis buku sendiri.
RUJUKAN:
Alexander, D. (2016, November 8). How Bill and Hillary Clinton Made $240 Million In The Last 15 Years. Forbes.
Alexander, D. (2017, Januari 20). How Barack Obama Has Made $20 Millon Since Arriving in Washington. Forbes.
Dallek, R. (2008). Harry S. Truman. Times Books. Halaman 150.
Ferrell, R.H. (1994). Harry S. Truman: A Life. University of Missouri Press. Halaman 387.
McCullough, D. (1992). Truman. Simon & Schuster. Halaman 1,099.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih