Hari ini ramai sambut Hari Pekerja dengan rehat, mungkin scroll media sosial atau keluar bersama keluarga. Tapi pernah tak kita tanya kenapa sebenarnya kita kerja 8 jam sehari, 5 hari seminggu? Kenapa bukan 12 jam? Atau 4 hari? Atau tiada cuti langsung?
Jawapannya tidak bermula dari pejabat buruh atau buku HR moden tetapi ianya bermula jauh lebih awal, dalam perjuangan panjang industri buruh. Dan ya, salah satu tokoh penting yang mengubah landskap ini ialah seorang kapitalis terkenal: Henry Ford.
Namun, sebelum masuk kisah Ford, kita perlu tahu bahawa idea kerja 8 jam sehari mula diperjuangkan sejak abad ke-19. Robert Owen, seorang reformis buruh British, adalah antara orang pertama yang mempromosikan konsep “8 jam kerja, 8 jam rekreasi, 8 jam rehat” seawal tahun 1817. Di Amerika Syarikat, National Labor Union pada tahun 1866 telah menyeru Kongres untuk menetapkan 8 jam sehari bagi semua pekerja.
Perjuangan ini berterusan. Pada 1 Mei 1886, ribuan pekerja di Amerika mogok besar-besaran untuk menuntut waktu kerja 8 jam, yang membawa kepada insiden berdarah di Haymarket, Chicago. Sejak itu, tarikh 1 Mei dikenang sebagai Hari Pekerja Antarabangsa — simbol perjuangan untuk hak buruh yang adil.
Kini, masuk kepada peranan Ford. Sebelum 1900-an, rutin kerja di kilang sangat kejam 10 hingga 16 jam sehari, 6 atau 7 hari seminggu, termasuk kanak-kanak. Pekerja diperah tanpa perlindungan sewajarnya. Tapi pada tahun 1926, Henry Ford membuat kejutan besar: beliau mengumumkan bahawa pekerjanya hanya akan bekerja 8 jam sehari, 5 hari seminggu dan tetap menerima gaji penuh.
Ramai pengusaha anggap Ford sudah hilang akal. Kurang masa kerja, tapi gaji sama? Tapi Ford bukan bertindak ikut emosi. Pertama, dia percaya pekerja yang cukup rehat akan lebih produktif. Kedua, strategi ini sebahagian daripada visi ekonomi jangka panjang bila orang ada masa dan wang, mereka akan mula berbelanja, melancong, dan membeli kereta. Dan kereta itu adalah kereta Ford.
Langkah Ford ini tidak berlaku secara tiba-tiba ia lahir dari suasana industri dan tekanan masyarakat yang makin menuntut perubahan. Ia berlaku selepas Akta Adamson pada tahun 1916 telah mula menetapkan 8 jam kerja untuk pekerja kereta api di AS. Tapi tindakan Ford-lah yang mempercepatkan penyebaran konsep 40 jam kerja seminggu ke sektor lain kerana ia terbukti berkesan dari sudut ekonomi dan sosial.
Daripada situ, konsep ‘8 jam kerja, 8 jam rehat, 8 jam untuk keluarga’ mula diangkat sebagai piawai. Ia bergerak dari Amerika ke Eropah, dan akhirnya menjadi norma global sekurang-kurangnya di negara-negara yang mempunyai sistem perlindungan buruh yang stabil.
Namun realitinya, tidak semua tempat mengamalkannya. Di banyak negara membangun hari ini, masih ramai yang bekerja lebih 10 jam sehari tanpa cuti tetap atau perlindungan undang-undang. Maka Hari Pekerja bukan sekadar cuti tahunan, tapi juga peringatan bahawa keseimbangan antara kerja dan hidup adalah hasil perjuangan kolektif — bukan hadiah dari sistem.
Apa yang kita warisi hari ini adalah hasil keberanian generasi lalu yang sanggup mogok, dipenjara, malah mati demi mendapatkan apa yang kita anggap biasa hari ini: masa untuk berehat, masa untuk keluarga, dan hak untuk hidup dengan bermaruah.
Dan kadangkala, perubahan paling besar tak datang dari kerajaan atau undang-undang tapi dari satu idea kecil yang berani, yang mencabar sistem dan membuka jalan baru untuk semua.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.