Semalam berlaku pertikaian tentang hukum seorang Sultan memiliki gundik dari golongan hamba wanita di dalam harem, institusi harem telah bermula seawal zaman Khilafah Abbassiah hingga Uthmaniyyah. Namun syarat bagi seorang lelaki Muslim yang mempunyai gundik atau hamba adalah agak spesifik.
Persoalannya, bolehkah seorang Sultan atau tuan kepada hamba meniduri hamba wanitanya? Berikut adalah petikan dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan :
Mengadakan hubungan kelamin dengan hamba wanita yang menjadi miliknya sendiri adalah dibolehkan berdasarkan nas Ilahi. Firman Allah SWT
“Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”; (Surah al-Mu’minun: 5-8)
Sebaliknya jika hamba itu lelaki maka tuan perempuan tidak dibenarkan melakukan persetubuhan berdasarkan nas di atas.
Manakala bagi hukum perhambaan pula, ia telah diamalkan sejak zaman berzaman sebelum kedatangan Islam lagi, hamba kebiasaannya diambil dari golongan wanita dan anak-anak yang menjaditawanan setelah kekalahan sesebuah kerajaan dalam per*ng.
Malah perhambaan sebelum Islam adalah tidak berperikemanusiaan seperti perhambaan semasa era Empayar Rom atau Parsi dan di zaman Jahiliyyah dimana mereka benar-benar dilayan seperti binatang tanpa meraikan sifat-sifat kemanusiaan.
Kedatangan Islam memberi cahaya dan sinar baru buat golongan hamba. Islam mengajar erti keadilan yang sebenar, para hambalah yang paling ramai beriman kepada Allah sehingga jika diketahui oleh tuan-tuan mereka yang masih kafir, mereka akan didera separuh m*ti seperti kisah Bilal bin Rabah yang dijemur dalam kelaparan di tengah padang pasir yang dibakar panas terik matahari dengan batu diletakkan di atas dadanya.
JARIYAH – HAMBA WANITA MENJADI GUNDIK SULTAN
Ya, sistem perhambaan dan mengadakan hubungan intim dengan jariyah atau hamba wanita tanpa ikatan perkahwinan oleh tuannya adalah dibenarkan dalam Islam, namun ia harus mengikut syarat-syarat tertentu.
Syaratnya ialah wanita itu adalah seorang wanita yang menjadi tawanan per*ng. Dia tidak boleh beragama Islam. Tuannya itu mesti memberinya makanan, pakaian, tempat tinggal, dan pendidikan agama.
Sekiranya jariyah itu mengandung hasil dari benih tuannya, anak itu adalah haknya yang sah dan berhak menjadi anggota keluarga mereka yang setara dengan anak-anak tuannya yang lain.
Jariyah kemudian menjadi seorang Umm Walad (gelaran Arab untuk seorang gundik yang menjadi ibu) dan tidak dipisahkan dengan anaknya, mereka juga berhak memperoleh kebebasannya setelah kem*tian lelaki itu.
Antara contoh terdekat dari kerabat diraja adalah Putera Bandar bin Sultan bin Abdul Aziz, bekas duta besar Arab Saudi ke Amerika Syarikat, beliau merupakan putera raja yang dilahirkan oleh ibu gundik.
Jika hamba wanita itu telah menjadi seorang Muslim, tuannya harus samada membebaskannya atau menikahinya kerana jika tidak, dikhuatiri berlaku perbuatan zina atau membebaskannya untuk menikahi lelaki Muslim pilihannya.
Sekiranya hamba wanita tidak berpuas hati dengan layanan di harem, mereka boleh memohon untuk dijual kembali dan mendapat sokongan undang-undang.
Ada pelbagai pertikaian mengenai perkara ini, lebih-lebih lagi kerana pada zaman sekarang guru agama sudah jarang sekali mengajarkan tentang hukum perhambaan wanita dalam Islam.
Ia kerana sudah tiada keperluan berikutan sistem perhambaan telah diharamkan mengikut undang-undang antarabangsa, maka tidak ramai yang mengetahuinya.
Selain itu, tidak ada peper*ngan yang sah melibatkan kerajaan Muslim di bawah syariat yang membolehkan perhambaan dibenarkan, itu adalah salah satu masalah, yang ada sekarang hanyalah bersifat mempertahankan sempadan negara dari ancaman pengganas.
MEMPERBETULKAN PERSEPSI TENTANG HAREM
Persepsi negatif tentang institusi ‘harem’ semasa zaman kegemilangan Empayar Uthmaniyyah semakin berubah dari masa ke semasa, kini bertentangan dengan pendapat yang sering mengkritiknya.
Pertama sekali, walaupun harem telah bermula seawal zaman Khilafah Abbassiah, namun jangan disamakan dengan zaman Uthmaniyyah kerana institusi harem di Uthmaniyyah adalah berdasarkan kepada sistem Kesultanan, bukan sistem Khilafah, Kesultanan hanyalah sebuah sistem pemerintahan yang diasaskan oleh bangsa Turk di mana pada waktu itu kebetulan pula orang Turk masih baru memeluk agama Islam.
Tetapi, tidak bermakna harem adalah tempat yang sebagaimana digambarkan oleh orientalis barat, sebagaimana barat gagal membandingkan sistem perhambaan dalam konteks Islam yang lebih mementingkan kebajikan hamba.
Harem terbukti telah mengekalkan strukturnya sebagai pusat pendidikan untuk para jariyah dari pelbagai suku etnik dan memiliki beberapa persamaan dengan sekolah elit untuk pelajar perempuan.
Harem Empayar Uthmaniyyah, yang juga dikenali sebagai seraglio di Barat, adalah sebahagian dari Istana Topkapı. Ia juga menempatkan Valide Sultan selaku ketua di harem, serta puteri-puteri sultan dan saudara perempuan lain.
Para kasim (sida-sida) dan jariyah juga merupakan sebahagian dari harem. Pada masa-masa terkemudian, putera-putera sultan akan membesar di Harem sehingga mereka berumur 12 tahun.
Sama ada di kota atau di desa, setiap rumah orang Turki kebiasaannya pasti ada dua bahagian ini iaitu “harem” dan “selamlık.”
Harem adalah bahagian rumah yang dikhaskan hanya untuk wanita, dan hanya saudara lelaki sahaja yang dibenarkan masuk. Selamlık, sebaliknya, adalah tempat di mana tetamu lelaki akan dilayani tuan rumah.
Perkataan “harem” berasal dari perkataan Arab “hurmet” dan “haram” (perkara yang dilarang dalam Islam) jadi ia bermaksud “tempat yang dilarang untuk orang luar.”
Harem di istana Uthmaniyyah adalah tempat kediaman untuk ahli keluarga sultan bersama para shahzade (putera mahkota), ibu, isteri dan semua anak-anak mereka. Sebagaimana harem di setiap rumah biasa, terdapat ramai para jariyah di harem yang berkhidmat untuk institusi itu.
Para jariyah yang dibawa ke istana dan kebiasaannya diberikan nama-nama Parsi yang indah. Mereka diberi pendidikan secara menyeluruh dan dididik secara berdisiplin.
Mereka belajar bagaimana mengurus diri dengan betul, cara membaca dan menulis, asas matem*tik dan seni sulaman serta pendidikan agama, bahkan diajar seni muzik.
Walaupun ia bukan sejenis institusi yang sistem*tik seperti Enderun (sekolah istana), di mana pemuda yang kuat dan berbakat akan dilatih untuk menjadi askar Janissari, harem pula adalah sejenis sekolah untuk perempuan, tetapi agak berbeza dengan sistem sekolah moden.
Ia adalah tempat menyediakan pendidikan, di mana kanak-kanak perempuan diberi pembelajaran yang penting dan berguna, dan dalam konteks yang lebih penting, mereka dididik supaya bersikap sopan santun.
Harem ibarat jelmaan semula sekolah tinggi wanita yang digunakan oleh elitis bangsa Eropah untuk menghantar anak perempuan mereka belajar.
Sama ada gadis-gadis yang dibawa ke istana itu sesuai untuk kehidupan istana atau tidak akan diketahui hanya di harem. Seperti dikiaskan melalui ungkapan ini :
“Seseorang yang tidak boleh berdisiplin di istana tidak akan boleh berdisiplin di tempat lain,”
Gadis yang enggan bersikap berdisiplin tidak dibenarkan tinggal di istana dan dinikahkan dengan orang biasa. Adab dan prinsip adalah perkara terpenting dalam institusi harem, maka seseorang yang tidak mempunyai adab atau gagal dalam tutur bicara dan amalan agama tidak boleh tinggal di istana.
Jariyah muda yang menamatkan pendidikan dan latihan mereka akan bertugas di pelbagai ruang atau tempat di istana, seperti perbendaharaan, dapur, bilik bawah tanah, bilik dobi, bilik mandi, kafe dan farmasi. Terdapat jariyah senior di setiap ruang ini dan mereka digelar sebagai “usta” (tuan) atau “kalfa” (wanita pertamanya).
Walaupun jariyah adalah hamba, semua jariyah di istana dibayar gaji dan dijaga kebajikan mereka. Bahkan, jariyah diberikan hadiah pada waktu-waktu tertentu, tetapi biasanya mereka menyimpan hadiah-hadiah itu dan memberinya kepada orang lain sebagai sedekah kerana mereka tidak perlu mengeluarkan sebarang perbelanjaan untuk hidup.
Ketika mereka mencapai usia dan tahap pendidikan tertentu, jariyah biasanya berkahwin dengan askar Janissari yang baru menamatkan pendidikan di sekolah Enderun.
Gadis-gadis yang meninggalkan istana selepas perkahwinan boleh menjadi contoh baik kepada masyarakat umum dengan penampilan dan kebijaksanaan akal budi mereka, maka dengan itu adab kehidupan di istana akan disebar secara tidak langsung di kalangan orang awam melalui bekas penghuni harem Uthmaniyyah.
Jariyah yang tidak mahu berkahwin boleh tinggal di istana dan dinaikkan pangkat menjadi kalfa atau usta. Setiap ruang dikawal selia oleh seorang kalfa atau usta, dan di antara semua usta dan kalfa, usta ruang perbendaharaan adalah peringkat tertinggi.
Pada zaman awal Empayar Uthmaniyyah, jariyah kebanyakannya keturunan dari wilayah di Balkan, tetapi kemudian jumlah keturunan Ukraine dengan wanita yang terkenal kerana kecantikannya, meningkat sepanjang tahun.
Gadis-gadis ini merupakan sebahagian dari harta rampasan per*ng atau mereka dipersembahkan kepada sultan sebagai hadiah oleh pemerintah asing. Selama tempoh ketika era penakl*kan, para jariyah yang ditangkap oleh Crimean Khan dikirim ke Istanbul dan dibawa ke istana Uthmaniyyah. Ketika penakl*kan dihentikan sepenuhnya, jariyah mulai diambil dari pedagang hamba.
Pada abad ke-19, kebanyakan jariyah di istana empayar dibawa dari Caucasus. Setelah Sultan Abdülmecid mengeluarkan larangan terhadap perdagangan hamba, jumlah jariyah menurun secara mendadak. Sebaliknya, gadis-gadis muda dari keluarga Caucasia yang telah berhijrah ke Anatolia dibawa ke istana dan dilatih di harem.
Bukan hanya harem imperial, tetapi di harem para puteri, seperti Beyhan Sultan, Hadice Sultan, Adile Sultan, Saliha Sultan dan Cemile Sultan, biasanya memiliki jariyah yang terlatih dan direkabentuk berkonsep seperti sekolah.
Layanan mereka terhadap gadis-gadis ini seperti melayan anak perempuan mereka dan adakalanya ada sultan dan shahzade yang jatuh cinta dengan mereka. Mereka semua adalah orang yang cantik dan pintar.
Mereka pandai menyampaikan deklamasi sajak, memahami Al-Quran dan peraturan Islam serta cara bersolat. Mereka juga berminat dengan seni sulaman, sastera, puisi.
Sebilangan besar wanita boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Perancis pada tahun-tahun akhir empayar. Jariyah biasa membaca dan menterjemahkan majalah fesyen asing kepada orang lain dan jariyah lain ada yang pakar dalam bidang fotografi dengan mengambil gambar di sekitar harem.
Pada abad ke-15-17, tidak dinafikan berlaku penindasan terhadap golongan ini di harem Empayar Uthmaniyyah, dalam beberapa kes, para jariyah yang menjadi gundik tidak diberikan hak dan yang sepatutnya.
Anak lelaki Kösem Sultan yang terkenal, Sultan Ibrahim “The Mad”, pemerintah Empayar Uthmaniyyah dari tahun 1640 hingga 1648, dikatakan telah mengarahkan 280 orang gundik dari haremnya dicampak di tengah selat Bosphorus hingga m*ti lemas.
Sekurang-kurangnya salah seorang gundiknya, Turhan Sultan, seorang gadis Rus (dari daerah sekitar Ukraine moden) yang dibawa ke istana Uthmaniyyah sebagai jariyah yang dijual berjaya terselamat semasa pemerintahannya.
Organisasi harem boleh dibahagikan kepada tiga kategori asas: pentadbiran (Hazinedars), gundik (Kadins, Ikbals, Gozodes), dan hamba (hamba wanita/jariyah biasa dan Kalfa, pengawas mereka). Pada dasarnya Sultan akan memilih salah seorang diantara mereka mengikut pelbagai kaedah tertentu bergantung pada zaman tersebut.
Namun apa yang digambarkan oleh orientalis barat mengenai konsep harem adalah salah sama sekali, harem bukan tempat memuaskan nafsu Sultan, ia adalah institusi untuk kaum wanita dari kelas tertentu termasuklah ahli keluarga Sultan sendiri.
Benar, Sultan Uthmaniyyah lebih cenderung menyambung legasinya dengan memilih pewaris takhta hasil dari kelahiran seorang gundik atau hamba wanita pilihan mereka, sebabnya adalah para hamba wanita ini sudah tentu bukan dari keturunan kerabat diraja, berbeza dengan Sultanah iaitu isteri Sultan yang sah.
Sultanah berpotensi untuk bersaing dalam kes perebutan takhta yang kadangkala hingga melibatkan per*ng saudara, manakala seorang hamba tidak ada hak untuk berbuat demikian. Maka institusi harem ini lebih sesuai jika dianggap sebagai pusat percaturan politik secara peribadi oleh seorang Sultan Uthmaniyyah suatu ketika dahulu.
Adalah lebih baik untuk memiliki keturunan dari hamba wanita yang kesetiaannya adalah eksklusif untuk sultan daripada memiliki isteri dari keluarga bangsawan dan keturunan diraja, yang mungkin berpotensi mencabar kedaulatan Sultan.
Memasuki zaman moden, sekurang-kurangnya sistem perhambaan, poligami, dan peranan gundik dari golongan jariyah bersama-sama dengan institusi harem secara amnya di Turki berterusan sehingga tahun 1908.
RUJUKAN:
- Slavery In The Ottoman Empire
- Imperial Harem of the Ottoman Empire Served the Sultan in More Ways Than One
- Hukum Melakukan Seks Dengan Hamba
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih