Newcastle United akhirnya menang trofi selepas kemarau selama 70 tahun! Carabao Cup kali ni jadi milik The Magpies lepas mereka berjaya menang 2-1 ke atas Liverpool dalam final di Wembley.
Tapi, kalau kita selak sejarah bandar Newcastle ni, bukan kali pertama tempat ni ada ‘benteng’ yang mampu menahan serangan musuh.
Sebelum bola sepak wujud pun, Newcastle dah ada satu pertahanan paling hebat zaman dulu iaitu Hadrian’s Wall.
Sebagaimana Newcastle United berjuang dalam final, Hadrian’s Wall juga pernah jadi benteng terakhir menahan serangan puak Pict dari utara Britain.
Kalau Dan Burn jadi ‘tembok’ yang menanduk masuk gol pertama Newcastle, Hadrian’s Wall pula berdiri sepanjang 117 kilometer, dibina khas untuk memastikan Empayar Rom tak mudah ditembusi.
[Kenapa Hadrian’s Wall Dibina?]
Tahun 122 Masihi, Maharaja Hadrian datang melawat Britain. Dia tengok keadaan kat utara Britain ni tak stabil. Puak Pict dari Scotland asyik buat serangan gerila ke atas wilayah Rom.
Kalau Rom tak buat sesuatu, kawasan jajahan mereka boleh terancam. Jadi, Hadrian buat keputusan untuk bina satu tembok besar, bukan sekadar nak halang serangan, tapi juga nak tunjukkan bahawa “sampai sini je wilayah Rom, kalau kau berani, cuba masuk.”
Tembok ni jadi lebih dari sekadar kubu pertahanan. Ia juga macam pos sempadan zaman moden.
Setiap kali ada pedagang atau pelawat nak masuk wilayah Rom, mereka kena lalu pintu khas yang dikawal rapi. Nak seludup barang? Nak masuk secara haram? Jangan harap boleh lepas.
[Struktur dan Saiz Hadrian’s Wall]
Panjang tembok ni memang luar biasa. Dari Wallsend di Newcastle sampai ke Bowness-on-Solway, hampir 120 kilometer!
Bahagian timur lebih kukuh sebab guna batu, tapi bahagian barat lebih banyak guna tanah dan kayu sebab tak cukup sumber batu.
Tingginya boleh cecah 6 meter, cukup untuk buat musuh fikir dua kali sebelum cuba panjat. Setiap batu Roman mile (lebih kurang 1.5km), ada milecastle, kubu kecil untuk askar berkawal.
Antara milecastle ni pula ada dua menara tinjau yang pastikan setiap inci tembok ni diawasi.
Selain tembok utama, ada juga parit besar di bahagian depan yang buatkan lagi susah nak serang.
Dan jangan lupa, sepanjang tembok ni ada lebih 10,000 tentera Rom yang siap siaga. Memang sistem pertahanan yang cukup sempurna untuk zaman tu.
[Siapa Yang Jaga Tembok Ni?]
Hadrian’s Wall dikawal rapi oleh tentera bantuan Rom yang datang dari pelbagai bahagian empayar seperti Sepanyol, Jerman, Syria dan banyak lagi.
Mereka ditempatkan di kubu-kubu sepanjang tembok ni dan tugas utama mereka ialah halang serangan, kawal sempadan dan pastikan perdagangan berjalan lancar.
Tapi, jangan ingat hidup mereka ni macam askar biasa. Ada di antara mereka yang dah mula bina keluarga dengan penduduk tempatan.
Mereka tak boleh kahwin secara rasmi (sebab undang-undang Rom tak benarkan), tapi ramai yang tetap ada pasangan dan anak-anak di kawasan sekitar.
Bila Empayar Rom runtuh, ramai askar yang masih tinggal di situ, mungkin sebab mereka dah anggap tempat tu sebagai rumah sendiri.
[Apa Jadi Dengan Hadrian’s Wall?]
Tahun 410 Masihi, Rom tarik balik tenteranya dari Britain. Hadrian’s Wall mula terbiar. Batu-batu tembok ni mula diambil untuk bina rumah, gereja dan jalan raya.
Tapi, tak semuanya lenyap. Sebahagian besar masih kekal dan hari ni, ia jadi salah satu tapak pelancongan paling popular di Britain.
Tahun 1987, Hadrian’s Wall diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Ramai yang datang ke sini, bukan saja nak tengok runtuhan sejarah, tapi nak hayati bagaimana satu tamadun besar pernah bertapak di sini.
Hari ni, Newcastle dah tak perlukan Hadrian’s Wall sebagai pertahanan fizikal. Tapi, semangatnya masih ada.
Dari dinding batu purba ke dinding pertahanan The Magpies di Wembley, Newcastle masih berdiri gagah sebagai ‘benteng’ yang sukar ditembusi.
___
Korang nak tahu macam mana Rom boleh jajah UK?
Sebenarnya ada banyak sejarah menarik pasal empayar Rom ni. Alang-alang kita cakap pasal Rom ni, apa kata korang cuba dapatkan KITAB TAMADUN ROM.
Cepat beli di: https://shope.ee/9pEhausmkG




No comments yet