Semalam pada 26 Februari, pada tahun 1616, gereja Itali yang diterajui oleh Kardinal Bellarmine telah mengeluarkan dekri dan memberi amaran keras kepada Galileo untuk tidak mengajar, tidak menyebar, tidak mempertahankan, tidak menyokong, tidak memperkuatkan dan sama sekali tidak berpegang kepada Teori Copernicus ciptaan Nicolaus Copernicus, seorang ahli astronomi pada tahun 1543. Teori ini dianggap menyalahi ayat-ayat Tuhan kerana ia menyokong Teori Heliosentrik.
Teori Heliosentrik adalah teori di mana matahari adalah pusat kepada sistem suria, dan bumi adalah sebahagian dari jasad yang mengelilingi matahari. Ini amat berbeza dengan kepercayaan gereja ketika itu yang berpegang kepada Teori Geosentrik.
Teori ini yang diperkenalkan oleh Ptolemy (ia juga digelar ‘Ptolemaic System’) mengesyorkan bahawa bumi tidak bergerak dan elemen lain di alam semesta memusatkan bumi dan berpusing mengelilinginya. Ya. Agama Kristian ketika itu percaya bahawa Bumi adalah pusat alam semesta.
Pertembungan teori dan ideologi Galileo dan gereja ini tidak sekadar berhenti di situ sahaja. Selepas larangan ini, Galileo tetap tidak berhenti membuat kajian demi kajian bagi membuktikan kebenaran Teori Heliosentrik oleh Copernicus itu.
Akibatnya, pada 12 April 1633, Galileo dipanggil gereja untuk diadili atas keenganannya untuk melepaskan pembuktian Teori Heliosentrik. Sebenarnya dalam pengadilan tersebut, Galileo tidaklah secara terus mengisytiharkan bahawa beliau berpegang kepada Teori Heliosentrik, malah menafikan bahawa beliau berkiblatkan teori tersebut. Sebaliknya, Galileo membentangkan hasil kajian demi kajian yang telah dilaksanakannya bagi menyokong fahaman bahawa bumi beredar mengelilingi matahari sebagai pusat sistem suria dan bukan sebaliknya.
Kajiannya itu bukan menolak secara mutlak Teori Geosentrik (Ptolemy) dan menyokong terus Teori Heliosentrik (Copernicus), namun beliau membentangkan dapatannnya untuk buka kepada lebih banyak kemungkinan dan ruang perbincangan demi mencapai sepakat antara beliau dan gereja
Namun Galileo gagal mempertahankan pembuktiannya. Hasilnya, beliau dihukum sebagai tahanan dalam rumah kerana kepercayaannya terhadap sifat bumi dan sistem suria serta fahaman heliosentriknya dilihat mampu merosakkan akidah penganut Kristian ketika itu
Teori Heliosentrik oleh Copernicus sebenarnya sudah mula dibuktikan kajian seawal kurun ke-3 oleh Aristarchus lagi. Malah Aristarchus bersama Eratosthenes sekaligus turut membuktikan bahawa bumi berbentuk sfera oleh Phytagoras sekitar 500 SM dan Aristotle 350 SM.
Malah Copernicus pula telah lama merujuk perbahasan lebih awal oleh ahli astronomi Islam seperti Ibnu Shatir, Al-Battani, Al-Biruni, Ibnu Rushd dan Thabit Ibnu Qurra tentang pemahaman manusia tentang sifat bumi dan sistem suria, antara heliosentrik melawan geosentrik.
Akibat fahaman kolot gereja, Galileo terpaksa bersetuju dan menyebarkan pula fahaman heliosentrik ketika itu. Ia berterusan sehingga 300 tahun kemudian apabila pihak gereja sendiri menerima pembuktian Galileo dan membersihkan namanya dari kesalahan sebelum itu.
Jika diteliti, adalah amat ironi apabila krisis pertembungan agama seumpama ini melibatkan golongan yang mendabik dada kononnya mewakili agamawan melawan ahli ilmuwan sains berulang lagi di zaman serba moden hari ini.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih