Sabtu, 24 Oktober 202624 Okt 2026
Alam Melayu

Gendang Silat: Alat Muzik Yang Mengiringi Pesilat

“Mereka bersilat kami berirama, bila bergabung berdirilah bulu roma.”

Ungkapan di atas sudah cukup menggambarkan justifikasi antara silat dengan gendang yang mengiringi para pesilat.

Perkaitan gendang silat dengan silat itu
sendiri boleh dikatakan bersilat tanpa gendang umpama seorang penyanyi yang
menyanyikan lagu tanpa iringan muzik.

Sebagai seorang pesilat yang menjiwai seni silatnya,
jika sedang memperagakan silat tanpa iringan gendang silat, ia umpama tubuh
badan tanpa roh.

Jika seseorang pesilat
menjiwai irama, dia akan tidak senang duduk hingga ada yang melompat masuk ke gelanggang.

Tamsilnya, dengan iringan gendang silat yang
dimainkan oleh kumpulan gendang yang berada di penjuru gelanggang dapatlah memberikan
jiwa atau semangat kepada pesilat supaya memperagakan seni silat dengan lebih
baik.

Sejarah perkembangan gendang silat agak
kabur, namun gendang silat dipercayai datang atau berasal dari istana. Jika di
istana, alunan muzik untuk istana dikenali sebagai nobat.

Tidak juga diketahui siapa yang bertanggungjawab membawa nobat Istana menjadi gendang untuk rakyat. Oleh hal yang demikian, dapatlah disimpulkan bahawa Nobat untuk raja, manakala kumpulan gendang untuk rakyat.

Nobat adalah salah satu cabang seni muzik
tradisi yang terdapat di Malaysia. Sebagaimana yang kita tahu, terdapat empat
buah negeri di Malaysia yang mempunyai kumpulan alat muzik Nobat iaitu Kedah,
Perak, Terengganu dan Selangor.

Nobat Diraja dan gendang rakyat tidak banyak berbeza dari segi alat muziknya. Yang membezakan antara gendang rakyat dan juga nobat adalah serunai, manakala nobat menggunakan Nafiri.

Gendang Pantai Timur berbeza dengan gendang di Negeri Utara. Ia berbeza dari segi serunai yang mana bunyi serunai utara lebih nyaring berbanding serunai kawasan Pantai Timur. Ini kerana struktur serunainya lebih pendek dan mempunyai lubang serombong yang lebih besar.

Bagi kawasan Pantai Timur, gendang dipalu
menggunakan rotan, manakala di negeri lain, ia dipalu menggunakan tangan.

Penulis berpeluang untuk bertemu dengan
sebuah kumpulan gendang silat yang berasal dari Taiping. Sekumpulan anak muda
berusia awal 20an ini bergiat aktif memainkan alat muzik tradisi orang Melayu dengan
penuh adat.

Sewaktu mengiringi para pesilat di gelanggang,
mereka juga turut mengenakan busana Melayu lengkap bertanjak melambangkan adat
yang luhur dalam diri mereka.

Mereka adalah Kumpulan Gendang Silat Anak
Warisan yang berpusat di Mukim Bukit Gantang. Mereka terdiri daripada 6 orang
anak tempatan iaitu Fazwie Bin Roslan, Ahmad Amir Hanif Bin Abdullah, Farizal
Bin Roslan, Muhammad Shahrien Bin Abdullah Halim, Mohamad Sajarathul Muttaha
Bin Mat Husin, Muhammad Safwan Bin Mohd Samhudi dan dipimpin oleh Cikgu Rizal
Lokman.

Dalam pertemuan tersebut, penulis
didedahkan secara terperinci mengenai gendang silat. Antaranya adat yang
terdapat dalam gendang silat yang lazimnya hanya diamalkan di negeri sebelah
Utara.

Antara adat dan adab yang perlu dipatuhi adalah
tidak melangkah gendang, tidak mendirikan gendang di atas simen yang tidak beralas
dan alatan hendaklah disimpan secara berdiri.

Menurut mereka lagi, para pemain gendang
perlu melalui satu istiadat yang dikenali sebagai istiadat ‘turun tangan’ untuk
semua jenis alat muzik tradisional.

Dalam istiadat tersebut, mereka akan diberi
sirih pinang yang telah didoa dan hendaklah dimakan sebanyak tiga kali selama
tiga hari. Ia sebagai simbolik bahawa semua ahli gendang diakad untuk belajar
pada guru mereka. Upacara ini dilakukan bersama guru-guru tua di negeri Kedah.

Terdapat empat jenis alat muzik asas pada
kumpulan gendang iaitu serunai, gendang ibu, gendang anak dan juga gong.

Serunai lazimnya dimainkan oleh dua orang
pemain secara berganti. Dalam kumpulan ini serunai dimainkan oleh saudara
Farizal bin Roslan dan Muhammad Shahrin.

Struktur sebatang serunai terdiri dari tiga
bahagian iaitu nail, batang dan serombong. Pada bahagian nali terdapat pipit yang
diikat dengan benang gedung sebagai alat untuk meniup. Pipit diperbuat dari
daun kelapa laut dan dilapik dengan tempurung kelapa sebagai penampan mulut.
Getaran pada pipit berfungsi untuk menghasilkan bunyi.

Serunai berperanan sebagai pembawa irama
lagu atau melagukan sesebuah lagu gendang silat. Terdapat 8 lubang pada serunai
yang membentuk beberapa not.

Konsep meniup serunai sangat mudah iaitu
dengan meniup tanpa memutuskan angin, namun teknik pernafasan yang betul bagi
mengelak angin terputus sangat sukar dilakukan iaitu menghembus sambil nafas
menyedut kembali udara. Teknik ini menjadikan irama serunai tidak putus bila
didendangkan.

Gendang ibu pula bertindak sebagai bass. Bahagian
badang gendang dipanggil baloh yang diperbuat daripada kayu nangka atau batang
kelapa.

Terdapat dua permukaan pada gendang ibu,
permukaan gendang kecil di panggil ‘pak’ diperbuat daripada kulit kambing
manakala permukaan yang lebih besar dipanggil ‘bam’ atau ‘duh’ diperbuat
daripada kulit lembu. Kedua permukaan kulit ini diikat menggunakan bingkai besi
ataupun rotan. Pada bahagian badan gendang diikat dengan tali bertujuan untuk
menegangkan bahagia kulit atau untuk melaraskan
bunyi gendang.

Gendang anak sama juga dari segi pembuatannya
manakala perbezaan hanya pada permukaan gendang lebih kecil dan mengeluarkan
bunyi yang berbeza dari gendang ibu. Gendang anak berfungsi memberi rentak lagu
dengan bertingkah pada gendang ibu supaya lagu menjadi harmoni.

Alat yang keempat adalah gong yang terdiri
darpada badan gong, kaki dan pemukul. Gong yang digunakan diperbuat daripada logam.
Bagi muzik gamelan gong berfungsi sebagai tulang belakang pada irama gamelan.

Begitu juga muzik gendang, gong turut
memainkan peranan sebagai melengkapkan sesebuah lagu pada kumpulan gendang.

Antara rentak yang boleh dibawa oleh
sesebuah kumpulan gendang silat ialah rentak gendang silat Kedah, rentak
Pattani, tomi, joget, zapin, rentak cha-cha, dangdut dan rentak ‘jalan’.

Manakala lagu-lagu yang dimainkan ketika
persembahan ialah lagu layang mas, ayam didik, aladum, jong-jong  inai, wau bulan dan banyak lagi.

Terdapat beberapa instrumen lain yang boleh
berkolaborasi dengan irama gendang silat ini seperti biola, seruling,
accordion, tamborin dan lain-lain lagi.

Ketika persembahan silat yang berlansung dengan
iringan gendang silat, antara lagu-lagu yang lazimnya dimainkan bagi mengiringi
pesilat ialah lagu gendang silat Kedah bagi persembahan tempur.

Manakala untuk persembahan tari pula
diiringi dengan lagu Pattani, persembahan jurus akan dimainkan lagu-lagu
tradisional yang lain, juga turut dimainkan pada sesuatu majlis seperti majlis
rasmi dan majlis perkahwinan.

(Kumpulan Gendang Silat Anak Warisan. Dari kiri Farizal, Fazwie, Cikgu Rizal, Amir Hanif, Shahrien)

Ketika menceritakan pengalaman sebagai
pemain serunai untuk Kumpulan Gendang Anak Warisan Menurut saudara Farizal dia telah
bermain serunai sejak berumur 16 tahun.

“Saya sudah 5 tahun meniup serunai bersama
Kumpulan Gendang Silat Anak Warisan. Antara pencapaian tertinggi saya ialah pernah
mewakili pasukan gendang silat hingga ke peringkat kebangsaan”.

Bagi Cikgu Rizal pula, sebagai pembimbing dan
jurulatih untuk kumpulan Gendang Silat Anak Warisan, beliau sememangnya menaruh
harapan supaya seni tradisional ini akan terus dilestarikan oleh generasi muda.

Menurutnya, agak sukar bagi menarik minat
golongan muda untuk bermain muzik tradisional ini.

“Bagi
menarik minat, generasi sekarang perlu didedahkan kepada persembahan gendang
silat. Namun, ia bergantung kepada minat individu”.

Beliau yang sudah berkecimpung dengan
gendang silat sejak tahun 2003 kini bergiat aktif bersama kumpulan gendang
silatnya.

“Seharusnya
lebih ramai generasi sekarang menyertai aktiviti gendang silat bukan sekadar
memainkan lagu silat dan juga lagu-lagu tradisional malah boleh dimainkan
dengan lagu-lagu moden supaya seni tradisonal ini tidak pupus dan terus berkembang.
Jangan sampai anak muda kita tidak tahu apa itu gendang silat”,
tambahnya.

RUJUKAN:

Kumpulan Gendang Silat Anak Warisan

Cikgu Rizal Lokman

Nobat Diraja. http://www.istananegara.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=104:nobat-diraja&catid=91&Itemid=582

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet