Kini dalam dunia Tik-Tok terutama di Indonesia, netizen di sana begitu riuh dengan trend sebuah lagu yang dikatakan merupakan sebuah bacaan Yahudi. Apa-apa yang trending di Tik-Tok Indonesia, selalunya akan masuk ke dalam Tik-Tok anak-anak kita di Malaysia kemudian hari.
Benarkah lagu tersebut berasal dari bacaan Yahudi?
Ya, benar. Lagu tersebut merupakan bacaan doa orang Yahudi. Bacaan tersebut terkandung dalam Sefer Tehilim, fasal 23, ayat 4. Sefer Tehilim ini atau dalam bahasa Inggerisnya Book of Psalm atau dalam bahasa Melayunya Kitab Mazmur merupakan bacaan doa Nabi Daud yang kita kenali sebagai Kitab Zabur di dalam al-Quran. Bacaannya dalam bahasa Hebrew adalah seperti berikut :-
גַּם כִּי-אֵלֵךְ
Gam kiy Elekh’
בְּגֵיא צַלְמָוֶת
B’gey Tzal’mavet
לֹא-אִירָא רָע
Lo iyra-ra
כִּי-אַתָּה עִמָּדִי
Kiy-ata imadiy
שִׁבְטְךָ וּמִשְׁעַנְתֶּךָ
Shiv’tekha umi-shan’tekha
הֵמָּה יְנַחֲמֻנִי
Hemah y’nakh-muniy
Selain orang Yahudi, orang Kristian juga membacanya kerana kitab Zabur ini terkandung dalam Holy Bible bahagian Old Testament yang dipegang oleh semua mazhab Kristian.
Seperti dalam gambar, Holy Bible bahasa Inggeris yang saya miliki adalah versi King James. Versi ini selalunya dibaca oleh penganut Kristian Protestant. Manakala Holy Bible bahasa Melayu yang saya miliki itu pula adalah versi terjemahan yang selalunya diguna oleh penganut Kristian Katolik, bahkan terkadang dipakai juga oleh Kristian Ortodoks walaupun ianya kurang lengkap bagi mereka.
Berikut merupakan terjemahan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu bagi bacaan tersebut :-
“Yea, though I walk through the valley of the shadow of death, I will fear no evil: for Thou art with me; Thy rod and Thy staff, they comfort me.”
“Walaupun aku melalui tempat yang gelap gelita, aku tidak akan takut Ya Tuhan, kerana engkau menyertaiku. Engkau melindungi aku, dengan tongkat dan gadaMu”
Bacaan dalam kitab Zabur ini mengisahkan tentang doa nabi Daud (King David) kepada Allah agar sentiasa membimbing dan melindungi hamba-hambaNya. Doa ini dibacakan dalam bentuk kiasan seperti seorang penggembala yang membimbing dan melindungi haiwan gembalaannya. Kiasan nabi Daud seperti ini adalah kerana baginda merupakan seorang penggembala sepertimana yang diceritakan dalam al-Quran dan Hadis. Nabi Daud juga merupakan Raja yang memimpin Bani Israel.
Doa nabi Daud ini sering dibaca oleh orang Yahudi dalam liturgi mereka. Bacaan ini juga dibaca ketika ada upacara kematian. Penganut Kristian turut menjadikannya sebagai bacaan liturgi mereka. Bagi penganut Kristian, bacaan ini bukan sahaja menggambarkan watak nabi Daud, tetapi turut menggambarkan watak nabi Isa (Jesus Christ) yang menurut mereka sebagai salah satu oknum Ketuhanan.
Penganut Kristian juga membacanya ketika upacara kematian. Bahkan, Kristian Ortodoks turut membacanya ketika upacara Eucharist.
Penganut Yahudi dan Kristian membaca ayat ini secara bernyanyi. Bahkan, nyanyian ini menjadi doa rintihan yang sering dibaca oleh orang Yahudi disaat mereka mengalami H0l0caust semasa Perang Dunia Kedua. Nyanyian ini kemudiannya digubah menjadi lagu-lagu dalam era moden.
Elie Botbol menggubah bacaan ini daripada sebuah doa rintihan menjadi lirik lagu dengan rentak yang rancak. Lagu ini dijadikan soundtrack sebuah filem Itali berjudul “Jona che visse nella balena” (Jonah Who Lived in the Whale/Yunus yang hidup dalam ikan paus). Kemudian, lagu ini di-remix-kan oleh dua orang DJ iaitu Marnik dan Smack pada tahun 2018 sehingga ianya menjadi viral dalam aplikasi Tik-Tok kini.
Begitulah sejarah bagaimana bacaan doa nabi Daud yang memiliki suara merdu ketika membaca kitab Zabur ini dijadikan amalan oleh orang Yahudi dan Kristian yang kemudiannya menjadi nyanyian remix dalam aplikasi Tik-Tok. Ini bukanlah artikel yang menyatakan tentang hukum membacanya, tetapi sekadar sejarah latar belakang bacaan ini.
Semoga anak-anak kita berhati-hati dan ambil tahu dahulu latar belakang setiap lagu untuk dinyanyikan. Jika ada lagu yang boleh membahayakan akidah, tidak kiralah lagu dari agama lain ataupun lagu Melayu sendiri, perlulah dihentikan dan dihalang agar tidak menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian kita. Apatah lagi kita dilarang menyerupai ritual sesuatu kaum yang bukan Islam.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih