Semasa proses penggambaran filem “Ibu Mertuaku” pada tahun 1962, P. Ramlee menghadapi cabaran besar kerana tidak dapat menepati deadline yang telah ditetapkan oleh Malay Film Productions (MFP).
Setiap hari beliau masih menjalankan penggambaran selepas tarikh akhir tersebut, gajinya akan dipotong sebanyak RM1000 sehari.
Keadaan ini menyebabkan P. Ramlee berada dalam tekanan yang hebat untuk mengejar deadline tersebut, namun akhirnya beliau gagal memenuhi jangkaan itu.
Namun, bukan itu sahaja masalah yang dihadapinya. Sebagai hukuman kerana melanggar tarikh akhir, P. Ramlee diarahkan untuk menghasilkan dua filem komedi tambahan.
Hasilnya, terhasillah filem “Labu Labi” dan “Nasib Si Labu Labi”. Kedua-dua filem ini dihasilkan dengan usaha yang sederhana, lebih untuk memenuhi denda yang dikenakan.
Sebab itulah terdapat adegan seperti peragawati catwalk yang kelihatan seolah-olah ditarik panjang.
Menurut beberapa sumber, naskah Labu-Labi ini disiapkan dalam masa yang singkat dan P. Ramlee sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa skrip dan naratif Labu-Labi ini dibuat dengan “cincai” sahaja.
Walaupun begitu, kedua-dua filem komedi ini tetap berjaya menghiburkan penonton hingga ke hari ini, dengan banyak adegan yang kekal diingati seperti watak Haji Bakhil, Cikgu Murni, dan banyak lagi.
Tambahan lagi, filem “Ibu Mertuaku” pula telah membawa pengiktirafan besar kepada P. Ramlee.
Beliau diiktiraf sebagai Most Versatile Talent) di Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang diadakan di Tokyo pada tahun 1963.
Pada zaman kegemilangannya, P. Ramlee pernah menerima bayaran sehingga RM30,000 untuk satu filem atas peranannya sebagai pengarah, pelakon, penulis skrip, komposer dan lain-lain.
Namun, kerana kurang kemahiran dalam menguruskan kewangan yang banyak, beliau sering menyerahkan gajinya kepada Mr. Kwek Chip Jian, pengurus studio Shaw, untuk disimpan.
Jika beliau ingin menggunakan wang tersebut, barulah beliau meminta kepada Mr. Kwek.
Malah, P. Ramlee pernah menyuruh Mr. Kwek menggunakan wang gajinya jika perlu dengan berkata, “Lu gunalah wang itu kalau lu mau”.




No comments yet