Frank Abagnale Jr. atau nama panjangnya, Frank William Abagnale Jr. telah dilahirkan pada 27 April 1948 di sebuah pekan kecil yang bernama Bronxville di New York, Amerika Syarikat. Frank Jr. merupakan putera kepada Frank Abagnale Sr. dan Paulette.
Sejak daripada usia kecil lagi, Frank Jr. lebih rapat dan manja dengan bapa berbanding ibunya. Hal ini seterusnya telah membuatkan Frank Jr. menjadikan bapanya sebagai idola dan contoh kepadanya terutamanya dalam bidang perniagaan memandangkan bapanya merupakan seorang usahawan yang boleh dikatakan masyhur di kawasan mereka menetap.
Frank Jr. yang sememangnya nakal semenjak dari usia muda telah mula bergiat solo dalam aktiviti-aktiviti jenayah kecil seperti mencuri di kedai dan pasaraya di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Lama kelamaan, aktiviti tersebut dirasakannya bosan dan tidak mencabar membuatkannya beralih ke arah aktiviti jenayah yang lebih mencabar.
Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Ibu dan bapa Frank Jr. telah berpisah oleh kerana sengketa antara mereka berdua. Tambahan pula, perniagaan bapanya sedang merudum jatuh justeru menjadikan ekonomi keluarga mereka kurang stabil.
Taring Frank Jr. Mula Diasah
Oleh kerana dirinya yang nakal dan selalu tidak berkelakuan baik, ibunya telah mendaftarkannya ke dalam sebuah sekolah bagi murid-murid yang mempunyai masalah disiplin seperti Frank Abagnale Jr.
Frank Jr. kemudian telah melarikan diri dari rumah ibunya semasa masih lagi berada di bangku persekolahan. Di dunia luar dengan bersendirian, Frank Jr. telah berkerja bagi menampung kehidupannya.
Walaupun begitu, gaji yang diterimanya itu berada pada paras yang sangat rendah berbanding dengan apa yang biasanya diterima orang ramai untuk pekerjaannya itu. Salah satu faktor yang menyumbang kepada berlakunya hal ini adalah kerana umurnya yang masih muda iaitu 16 tahun.
Di sinilah titik permulaan kepada aktiviti penipuannya itu. Oleh kerana Frank Jr. merasakan yang umurnya menjadi penghalang kepadanya untuk mendapat gaji yang setimpal, dirinya telah mendapatkan sebuah kad pengenalan palsu di mana umurnya pada kad penganalan tersebut adalah 10 tahun lebih tua daripada usia sebenarnya.
Penipuan Frank Abagnale Jr.
Frank Abagnale Jr. menggunakan teknik menukar nombor pada kod cek bagi mendapatkan sejumlah wang berdasarkan nilai yang ditulisnya pada cek tersebut. Namun begitu, Frank Jr. mendapati yang bank sukar untuk mempercayainya dan keuntungan yang diterimanya selalunya amat minimum.
Oleh itu, Frank telah mendapat satu idea yang bernas di mana dirinya menyamar sebagai seorang juruterbang memandangkan profesion juruterbang ini merupakan sebuah profesion yang amat dipandang tinggi dan dihormati di Amerika Syarikat pada ketika itu. Frank Jr. telah menyamar sebagai juruterbang di syarikat penerbangan ternama di Amerika Syarikat, Pan American World Airways atau lebih dikenali sebagai, Pan Am.
Dengan usahanya mendapatkan maklumat berkenaan pakaian seragam juruterbang dan tipu helah yang prosesnya rumit. Frank Jr. telah mendapatkan pakaian seragam juruterbangnya di lapangan terbang dengan menggunakan kad pengesahan palsu berserta dengan lesen penerbangan yang juga palsu. Dalam aktiviti penipuannya sebagai juruterbang, Frank Jr. telah menggunakan nama Frank Williams.
Dikatakan bahawa sepanjang tempoh berlakunya penyamarannya sebagai juruterbang Pan Am, Frank Jr. telah terbang sebagai juruterbang penumpang atau istilahnya, “deadheading” di mana staf syarikat terutamanya juruterbang boleh menumpang mana-mana penerbangan dengan hanya menunjukkan dokumen yang mengesahkan bahawa diri seseorang merupakan staf syarikat.
Hasil penyamarannya, Frank Jr. telah mengikuti lebih 250 penerbangan dengan jumlah jarak kumulatif lebih daripada 1.6 juta kilometer. Penyamarannya sebagai juruterbang Pan Am lah yang telah melonjakkan kekayaannya di mana Frank Jr. telah berjaya mengaut keuntungan hampir $2.5 juta.
Selain daripada melonjakkan harta kekayaanya, Frank Jr. juga telah berjaya melonjakkan namanya dalam senarai paling dikehendaki Biro Penyiasatan Persekutuan atau dalam bahasa Inggerisnya, Federal Bureau of Investigation yang juga lebih dikenali sebagai FBI di serata dunia.
Apabila menyedari yang dirinya merupakan antara individu paling dikehendaki selepas hampir ditangkap oleh ejen FBI di lapangan terbang, Frank Jr. telah ‘menyepikan diri’ daripada menyamar sebagai juruterbang Pan Am. Frank Jr. telah beralih kepada profesion lain bagi meredakan sedikit namanya yang berada dalam senarai dikehendaki FBI.
Frank Abagnale Jr. kemudian telah berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai seorang doktor di sebuah hospital di Georgia, Amerika Syarikat sekali lagi hasil daripada tipu helahnya dengan pemalsuan dokumen-dokumen yang dilaksanakannya dengan begitu teliti. Frank Jr. telah menyamar sebagai seorang doktor di sana selama hampir 1 tahun ataupun tempoh yang lebih tepat iaitu 11 bulan.
Walaupun telah berhenti daripada bekerja sebagai doktor di sana, Frank Jr. tidak pernah berhenti dalam menyamar dalam profesion-profesion yang megah dan hebat. Frank Jr. telah berjaya memalsukan dokumen di mana dirinya telah berjaya mendapatkan kerja sebagai seorang peguam dengan menyatakan bahawa dirinya merupakan graduan Universiti Harvard yang tidak terus mendapatkan pekerjaan sebagai peguam sebaik menamatkan pengajian.
Frank Jr. telah menelaah subjek undang-undang selama 7 bulan untuk meluluskan dirinya dalam Ujian Bar yang boleh melayakkan dirinya sebagai peguam. Namun begitu, Frank Jr. hanya berjaya untuk lulus dalam ujian tersebut pada percubaan ketiganya. Frank Jr. kemudian telah melarikan diri apabila mendapati bahawa salah seorang rakan sejawatnya telah cuba untuk memeriksa latar belakangnya.
Kejatuhan Frank Abagnale Jr.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Itulah ungkapan Melayu yang biasa kita dengar untuk menggambarkan situasi seseorang yang licik dalam melaksanakan kerja kotornya namun tumpas di tangan pihak bertanggungjawab pada akhirnya.
Frank Abagnale Jr. pada asalnya telah terbang ke Perancis bagi memulakan hidup baru dan berhenti bergiat dalam aktiviti jenayahnya itu. Namun begitu, pihak berkuasa Perancis berjaya mengesannya di sana dengan bantuan seorang kenalan lamanya yang menyedari keberadaannya di sana.
Frank Jr. kemudian telah diberkas dan dibawa ke muka pengadilan di mana dirinya telah dijatuhkan hukuman penjara. Frank Jr. kemudian telah melaksanakan tempoh hukumannya di Perancis kira-kira selama 6 bulan dan di Sweden juga selama kira-kira 6 bulan sebelum dibawa pulang ke tanah airnya.
Di Amerika Syarikat, Frank Abagnale Jr. telah dihadapkan ke muka pengadilan di mana mahkamah menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara di atas kesemua kesalahan jenayah yang telah dilaksanakannya.
Walaupun begitu, Frank Jr. hanya melaksanakan 4 tahun daripada keseluruhan 12 tahun tempoh hukumannya kerana Kerajaan Persekutuan Amerika Syarikat telah menawarkannya untuk bebas dengan syarat yang dirinya perlu bekerja bersama FBI.
Frank Jr. diminta untuk menjadi penasihat kepada FBI terutamanya dalam bidang jenayah yang menjadi kepakarannya iaitu penipuan cek palsu dan penyamaran seperti yang telah biasa dilakukannya sebelum ditangkap oleh pihak berkuasa. Frank Jr. telah menerima tawaran daripada kerajaan itu dan telah dibebaskan dari penjara.
Frank Jr. kemudian telah menubuhkan syarikat penasihat keselamatannya sendiri setelah mendapati bahawa dunia luar tidak akan menerima bekas banduan seperti dirinya. Syarikat bernama Abagnale & Associates itu telah menjamin keselamatan belasan ribu syarikat di seluruh dunia dengan invosi yang telah diciptanya.
Dalam pada masa yang sama, Frank Abagnale Jr. juga telah terus menerus menasihat FBI daripada jenayah-jenayah yang biasa dilakukannya sebelum itu sehinggalah ke hari ini.
RUJUKAN :
- History Collection (n.d.). Catch Me If You Can: The Real Story of Frank Abagnale, Jr.. https://historycollection.co/catch-can-real-story-frank-abagnale-jr/
- The University News (28 April 2014). The true tale of Frank Abagnale. https://unewsonline.com/2014/04/the-true-tale-of-frank-abagnale/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih