Ramadan merupakan nikmat Allah SWT yang dalamnya tersimpan 1001 rahmat dan kebaikan untuk umat Islam memperbaharui diri menjadi hamba-Nya yang lebih bertakwa. Justeru, sebelum kita sama-sama masuk dalam dakapan bulan Ramadan, alangkah baik sekiranya persiapan awal dilakukan supaya ibadah dalam bulan yang mulia ini dapat sama-sama dilaksanakan dengan sebaiknya.
Oleh sebab itu, tulisan yang serba ringkas ini akan berkongsikan berkenaan tentang fiqh pergigian sewaktu menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan.
1. Ada sisa makanan terselit sewaktu solat. Sah atau tak solat tersebut?
Jawapan :
Sah dan tidak batal solat selagi makanan tidak ditelan. Makan dengan sengaja sama ada banyak/sikit akan membatalkan solat. Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk menuliskan bahawa,
“Solat akan terbatal jika menelan makanan yang terselit di celah gigi dengan sengaja tetapi tidak batal sekiranya tidak sengaja menelan air liur yang bercampur dengan lebihan makanan”.
Menurut kitab Sabil al-Muhtadin juga, antara perkara yang dapat membatalkan solat seseorang ialah makan atau minum dengan sengaja sama ada banyak atau sedikit. Kenyataan ini bermakna sekiranya seseorang itu menelan sisa makanan di celahan giginya dengan sengaja, maka solatnya akan terbatal.
Justeru, apakah yang harus dilakukan oleh seseorang sekiranya situasi ini terjadi? Maka, para ulama di sini menyarankan supaya disapu pada hujung serban atau kain yang boleh menghilangkan sisa makanan tersebut. perbuatan ini merupakan langkah yang lebih sopan untuk membuang sisa makanan tanpa perlu membatalkan solat.
Sebab itulah sunah Nabi Muhammad SAW bersiwak sebelum solat jangan dipandang enteng. Tindakan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW bersiwak sebelum mendirikan solat merupakan pesanan kepada umat Islam supaya bukan sahaja menjaga kesihatan mulut, bahkan aspek ibadah juga amatlah dititikberatkan penjagaannya. Kita juga digalakkan supaya menggunakan benang flos untuk membersihkan sisa-sisa makanan di celahan gigi yang tidak dapat dibersihkan oleh berus gigi biasa.
2. Batal puasa tak kalau gosok gigi pada siang hari di bulan Ramadan?
Jawapan :
Ada khilaf dalam kalangan ulama’ dalam perihal ini. Sebahagian ulama’ Syafi’e dan Hambali memakruhkan bersiwak bagi mereka yang berpuasa setelah lewat waktu tengah hari sama ada menggunakan siwak kering atau basah. Ini seiring dengan hadis Abu Hurairah RA daripada Nabi Muhammad SAW,
“Demi Tuhan yang Muhammad dalam kekuasaan-Nya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT di Hari Kiamat kelak berbanding bau minyak kasturi”.
(Muslim)
Para ulama Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa dibenarkan seseorang yang berpuasa bersiwak pada siang hari sama ada lewat tengah hari atau tidak berdasarkan hadis Abdullah ibn Rabi’ah daripada bapanya berkata,
“Aku pernah melihat Nabi Muhammad SAW bersiwak beberapa kali hingga tak dapat ku kira banyaknya meskipun saat itu Baginda sedang berpuasa”.
(Ahmad & at-Tirmidzi).
Pendapat yang rajih adalah tidak dimakruhkan gosok gigi sewaktu berpuasa dengan syarat tidak ada sesuatu daripada air, darah atau lain-lain yang tertelan dan masuk ke dalam perut.
3. Batalkah puasa kalau gosok gigi guna ubat gigi biasa atau yang ada ekstrak kayu sugi?
Jawapan :
Tidak batal dan sah puasanya malah digalakkan kerana kayu miswak merupakan sunah yang diwariskan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
4. Batalkah puasa kalau berkumur dengan ubat kumur (mouthwash) semasa puasa?
Jawapan :
Harus hukumnya. Berkumur dibolehkan selagi tidak berlebihan. Puasa sah dan tak batal selagi bahan ubat kumur halal dan tidak ditelan. Jikalau tertelan juga? Maka seseorang itu perlulah membatalkan puasanya dan wajib menggantikannya pada hari yang mendatang.
5. Boleh tak buka puasa kalau mengalami sakit gigi yang amat sangat?
Jawapan :
Dibolehkan dan diharuskan berbuka puasa jika kesakitan itu memudaratkan (Syeikh Yusuf al-Qaradhawi). Ini berdasarkan firman Allah SWT yang mafhumnya,
“Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara yang hak dan yang batil. Disebabkan itu, barangsiapa antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka ia hendaklah berpuasa pada bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka wajiblah baginya berpuasa sebanyak hari-hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah SWT menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”
(al-Baqarah, 185)
Menurut nas dan ijmak, dibolehkan berbuka puasa bagi orang sakit kerana jika dia meneruskan puasanya, maka penyakit itu akan bertambah parah lalu memudaratkannya sehingga dia tidak dapat melakukan aktiviti harian yang biasa dilakukan.
6. Boleh atau tidak berbuka puasa kalau gusi bengkak tapi gigi tak sakit?
Jawapan :
Tidak boleh jika bengkak gusinya kecil setempat dan tidak memudaratkan. Bengkak gusi boleh juga berpunca daripada gigi, gusi, tisu lembut atau tulang rahang. Nanah (abscess) yang menyebabkan gusi bengkak boleh dirawat dengan kaedah ‘drainage’ dan ini tidak membatalkan puasa jika prosedur ini tidak melibatkan bahagian mulut sampai ke kerongkong.
Rawatan bagi gusi yang bengkak juga boleh dilaksanakan melalui pemberian ubat antibiotik. Pilihan kadar pemakanan ubat antibiotik atau ubat tahan sakit setiap 12 jam sehari (dua kali sehari) merupakan tindakan yang prihatin dalam menghormati seseorang yang sedang menjalani ibadah puasa.
7. Batalkah puasa sekiranya menjalani rawatan seperti scaling, tampalan, rawatan akar atau cabutan dan tertelan air liur yang bercampur dengan air cucian gigi?
Semua rawatan yang disebutkan di atas hukumnya adalah makruh dijalankan sewaktu berpuasa di siang hari. Puasa akan terbatal sekiranya tertelan darah dan bahan rawatan bercampur air liur. Sekiranya rawatan dapat ditangguhkan ke waktu malam, maka itu adalah lebih afdhal.
Namun, jika penangguhan boleh mengundang kepada kemudaratan seperti sakit yang melampau maka diharuskan untuk merawatnya dengan syarat semasa rawatan dilakukan, pesakit tidak menelan atau meminum campuran air rawatan.
Sekiranya dia minum dengan sengaja maka puasanya terbatal. Sekiranya dia tidak dapat menahan diri, maka diharuskan untuk berbuka puasa atas dasar darurat atau sakit. Dari segi perubatan pergigian pula, terdapat banyak cara untuk seseorang pengamal pergigian melakukan ikhtiar bagi membantu pesakit tidak terterlan air liur yang bercampur dengan air cucian.
Semasa rawatan scaling misalnya, campuran air cucian akan disedut keluar oleh alat penyedut air liur berkuasa tinggi (high volume suction) agar pesakit tidak menelan air tersebut. Alat ini juga digunakan semasa rawatan pergigian yang lain seperti tampalan gigi. Langkah lain yang dapat dilakukan oleh seorang pengamal pergigian adalah menggunakan empangan getah (rubber dam) semasa memberikan rawatan tampalan atau rawatan akar.
Empangan getah ialah kepingan getah tipis yang digunakan semasa rawatan pergigian bertujuan untuk mengasingkan gigi yang dirawat daripada kontaminasi campuran air liur, darah dan juga termasuk air pancutan peralatan pergigian dan bahan-bahan rawatan yang lain. Empangan ini juga bertindak sebagai tempat takungan untuk menadah air campuran tersebut agar dapat disedut keluar oleh alat penyedut air liur berkuasa tinggi.
8. Batalkah puasa sekiranya rawatan pergigian disertai dengan bius setempat (local anesthesia)?
Jawapan :
Puasa sah dan tidak batal kerana tusukan jarum pembiusan adalah pada tisu dan tidak melibatkan kemasukan bahan ke dalam mana-mana ruang rongga.
9. Batalkah puasa jika terpaksa menjalani pembedahan kecil pergigian (minor surgery)?
Jawapan :
Tidak batal melainkan pesakit tertelan darah dan bahan rawatan berserta air liur. Tetapi perlu diingatkan bahawa biasanya selepas pembedahan, pesakit perlu mengambil ubat untuk menahan sakit. Justeru, perancangan teliti perlulah dilaksanakan supaya prosedur pembedahan dapat dilakukan pada waktu lewat petang atau hampir berbuka puasa.
10. Batalkah puasa kalau menjalani rawatan pembedahan mulut menggunakan bius am (general anesthesia)?
Jawapan :
Batal kerana sewaktu bius dijalankan, tiub endotrakeal untuk pernafasan akan dimasukkan ke dalam rongga mulut atau hidung pesakit.
11. Batalkah puasa jika menerima rawatan pergigian dengan menggunakan gas nitrous oksida sebagai pelalian untuk mengurangkan kesakitan?
Jawapan :
Tidak batal dan puasa sah kerana kegunaan gas nitrous oksida (laughing gas) adalah bertujuan untuk mengurangkan kesakitan. Gas ini juga akan membuat pesakit menjadi khayal serta berada dalam keadaan separuh sedar.
Malahan, tiada apa-apa barang yang dimasukkan ke dalam rongga kecuali gas sahaja. Isu mengenai batal kerana hilang kewarasan yang membatalkan puasa tidak timbul kerana rawatan pergigian ini biasanya akan mengambil masa yang singkat iaitu kurang daripada dua jam. Seperti orang yang terkena sawan (epileptic fit) puasanya juga tak terbatal.
RUJUKAN
1. Dr. Wan Noorina, Dr. Nik Salida Suhaila, Dr. Wan Abdul Fattah (2015). Tanyalah Pakar Tentang Fiqh Dental. Kuala Lumpur : Telaga Biru.
Berserta artikel ini, dilampirkan sekali panduan untuk para pembaca yang budiman sekalian mendapatkan rawatan pergigian sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang yang diambil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih