Al-kisah, diceritakan tentang seorang dapunta terbuang, adapun baginda teramatlah bengis akan negaranya. Maka, dihimpunkan kekuatan berjuta manusia bagi melupuskan bapanya, Maharaja Charles zi Britannia. Dibekalkan dengan kuasa Geass, bermulalah petualangan seorang lagenda bernama Lelouch vi Britannia, sang pemberontak.
Eksperimen Pemikiran: Cincin Gyges
Katakanlah anda sedang berjalan-jalan di dalam hutan dan terjumpa cincin aneh. Anda membawa pulang cincin tersebut dan memakainya. Tiba-tiba, perkara yang pelik berlaku. Anda menjadi lutsinar! Oleh kerana panik, anda mencabut kembali cincin tersebut dan kembali menjadi normal. Selepas itu, anda memakai cincin itu balik dan kembali menjadi lutsinar. Waktu itu, anda mula sedar bahawa anda mempunyai kuasa untuk menjadi lutsinar melalui cincin tersebut.
Menyedari kuasa cincin tersebut, anda mula memikirkan bagaimana untuk mengeksploitasikan kuasa ini dengan sebaiknya. Anda teringat bahawa beberapa hari yang lepas, anda telah dibuli oleh seseorang. Mungkin inilah masanya untuk membalas kembali. Sewaktu anda dalam perjalanan ke rumahnya, anda terserempak dengan kedai emas. Anda mempunyai kuasa untuk menjadi lutsinar, orang takkan perasan dengan kewujudan anda. Sekiranya kalau anda mencuri barang kemas di kedai tersebut, orang takkan perasan.
Kemudian, anda berfikir lagi. Sekirnya barang kemas yang dicuri itu dijual, anda boleh gunakan wang tersebut untuk bermacam-macam perkara. Anda boleh berlibur ke seluruh dunia, membeli gajet canggih, mungkin juga pergi ke rumah artis kegemaran anda untuk lihat kehidupan mereka…termasuk semasa mereka sedang mandi, dan pelbagai lagi. Persoalan di sini adalah dengan perolehan kuasa tersebut, apakah yang anda patut buat? Apa yang anda akan buat?
Inilah eksperimen pemikiran yang disoal oleh Socrates terhadap Thrasymachus dalam karya agung Plato, Republik. Menurut Thrasymachus, kita sepatutnya curi barang kemas tersebut dan lakukan perkara-perkara yang kita idamkan. Menurutnya, eksperimen pemikiran Cincin Gyges sendiri telah membuktikan kita takut untuk mengambil peluang kerana takut kantoi dan ditangkap. Melalui cincin tersebut, kita berjaya elakkan diri daripada ditangkap, oleh itu, kita ialah manusia yang tak cerdik kalau tak ambil peluang ini bagi memenuhi impian kita.
Walau bagaimanapun, Socrates mempunyai pandangan yang berlainan. Beliau beranggapan sebab kenapa manusia takut untuk lakukan perkara tersebut bukanlah kerana takutkan pihak berkuasa, tapi kerana nilai keadlian itu tersemat dalam diri kita. Mencuri, mengintai, membunuh, itu semua ialah perkara yang jahat dan mampu untuk merosakkan masyarakat. Apa yag menjadikan kita manusia ialah kerana kita mengaplikasikan ilmu, dan teknik pengaplikasian itu bermakna kita meletakkan perkara pada sesuatu tempat, bermakna kita ialah insan yang menegakkan keadilan.
Persoalan utama di sini ialah, apa itu keadilan? Apa yang menjadikan sesuatu itu adil? Sebagai contoh, kalau anda gunakan cincin tersebut untuk membunuh pembunuh bersiri, bukankah itu perkara yang adil? Pada masa yang sama, anda telah melakukan pembunuhan, bukankah itu bermaksud anda seorang yang tak adil? Sepatutnya hal tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa. Oleh itu, Plato memberitahu kita bagaimana untuk mengenal pasti bagaimana untuk untuk tahu perkara itu adil ataupun tak.
Secara analogi, saya yakin tak ramai yang dapat memikirkan syurga. Semua orang berbeza-beza pandangan, tapi semua dapat fikirkan apa yang dimaksudkan dengan ‘sangat indah’. Kalau kita minta mereka lukiskannya, kita akan dapati pelbagai jenis lukisan yang cantik-cantik belaka, dan ada yang lebih cantik dari kesemua lukisan.
Oleh kerana ada satu lukisan ini sangat cantik, makan kita anggap lukisan itu tercantik. Walaupun lukisan itu tak menggambarkan keadaan syurga yang sangat cantik, tapi sebab lukisan itu yang paling cantik, makan lukisan itu dianggap sebagai yang paling dekat dengan rupa ideal syurga. Sebagaimana kecantikan, keadilan juga sama dengannya.
Kita mungkin tak mampu nak jumpa keadilan yang sempurna, tapi konsep keadilan yang paling dekat dengan ideal itulah yang paling tepat. Jadi macam mana nak cari? Dengan meletakkan perkara tersebut sesuai di tempatnya yang paling layak (sebab itulah falsafah Socrates-Plato ini selari dengan falsafah agama Ibrahim, seperti Islam).
Kes ini sama dengan anime Code Geass. Watak utama kita, putera terbuang Lelouch telah diberi kuasa Geass yang mampu mengawal dan memerintah manusia secara mutlak. Pada masa yang sama, dia sangat berdendam terhadap empayar Brittania. Jadi, apa yang patut dia lakukan dengan kuasanya?
Dia memilih untuk hancurkan empayar tersebut kerana ingin mengetahui siapa pembunuh ibunya, Maharani Marianne dan juga untuk mencipta dunia di mana adik perempuannya, puteri Nunally mampu hidup dengan aman tanpa sebarang ancaman konspirator. Sepanjang perjalanannya, dia telah melakukan pelbagai kerosakan dan manipulasi sehinggalah dia berjaya menjadi Maharaja Brittania.
Tema 1: Utilitarianisme
Kalau ikutkan, saya tak nak sentuh ideologi ini lagi sebab sudah diceritakan dalam artikel Nisekoi dan juga artikel admin Zamir berkenaan Madara tapi sebab falsafah ini sangat berkaitan dengan personaliti Leluoch, jadi saya sentuh kembali. Dalam falsafah utilitarianisme, apa yang penting ialah penghujungnya, bukan cara. The end justifies the means. Seperti yang saya sebut sebentar tadi, sepanjang perjalanannya, dia telah melakukan pelbagai kerosakan dan manipulasi sehinggalah dia berjaya menjadi Maharaja Brittania.
Sebagai contoh dalam Perang Narita, dia telah meletupkan bukit di situ dan menyebabkan tanah runtuh berlaku. Sekalipun efisien, taktik ini menyapu habis kesemua orang di situ, termasuk rakyat biasa di kaki bukit tersebut. Lelouch menganggap perkara itu hanyalah ralat dalam perkiraanya. Perkara yang sama terjadi semasa dia meruntuhkan benteng di Tokyo dan mengakibatkan kematian yang banyak termasuk rakyat biasa yang tak bersalah.
Menyedari bahaya kumpulan Geass, Lelouch telah bertindak drastik dengan menghantar sekumpulan skuadron bagi menyerang dan membantai ahli-ahli Geass di tempat persembunyian kumpulan ini. Rata-rata ahli ini ialah kanak-kanak kecil. Kalau kita fikir sejenak, membunuh kanak-kanak yang tak bersalah ialah perkara yang sangat tak bermoral, tapi bagaimana kalau kanak-kanak itu akan menyebabkan masalah yang sangat besar di masa depan?
Katakanlah kalau ahli-ahli Geass ini tak mempunyai prinsip moraliti yang baik seperti Lelouch dan Nunally, apa yang akan jadi? Mereka akan membawa kecelakaan di masa depan dan oleh itu harus dilupuskan. Perkara ini sebenarnya ada disoal dalam kisah Nabi Musa dan Nabi Khidir, tentang kenapa Nabi Khidir membunuh seorang kanak-kanak.
Semasa dia menjadi Maharaja, Lelouch telah meminta untuk menjadi ahli UFN (seperti UN) supaya dia dapat terlibat dalam kesatuan diplomatik ini. Menyedari kemasukan Brittania ke dalam UFN akan menyebabkan Lelouch menjadi Yang Di-Pertua UFN kerana wilayah yang besar, YDP Kaguya bertindak dengan menyuruh empayar Brittania memecahkan kawasan jajahannya menjadi negara bebas. Lelouch yang sudah pun memikirkan tentang perkara ini bertindak menghantar askar-askarnya dan menangkap diplomat-diplomat UFN sebagai tebusan dan akhirnya, Lelouch berjaya menjadi YDP kedua UFN sekaligus mendapat kemenangan diplomatik.
Kesemua tindakan Lelouch sepanjang dia menjadi Maharaja adalah bersebab. Baginda sedar tentang kejahatan empayar Brittania, maka dia memilih untuk hentikan semua ini. Baginda telah menjadikan dirinya sebagai diktator, menghancurkan sistem bangsawan, memerangi kumpulan Black Knights, menculik diplomat dan pelbagai lagi perkara untuk menjadikan dirinya sebagai orang yang sangat jahat, supaya segala kejahatan Brittania itu tertumpu kepadanya.
Baginda akhirnya dibunuh oleh Zero pada episod akhir sebagai simbolik bahawa Diktator Lelouch telah berjaya ditumbangkan dalam komplot yang dirangka oleh Lelouch sendiri. Baginda menghancurkan sistem bangsawan kerana penyalahgunaan kuasa dan juga sistem kasta yang tak adil. Baginda menyerang dan menculik kesemua diplomat UFN bagi menunjukkan pemerintahan mutlak itu sangat teruk, secara tak langung memberi isyarat kaedah diplomatik sebagai jalan yang terbaik seperti yang dilakukan oleh UFN.
Akhir sekali, Baginda dibunuh oleh Zero bagi memberi mesej bahawa kejahatan telah ditumbangkan. Dalam fahaman utilitarianisme Lelouch, penghujungnya itulah yang terpenting dalam misinya bagi mewujudkan dunia yang aman, sekalipun korban itu adalah dirinya. Lelouch selama-lamanya dikenang sebagai diktator maha jahat yang akhirnya mati dibunuh, walaupun dialah hero yang sebenar.
Tema 2: Deontologi Kant
Seteru Lelouch ialah Kururugi Suzaku, yakni sahabat baiknya sendiri. Saya kira hal ini agak menarik kerana antitesis bagi falsafah utilitarianisme ialah falsafah deontologi. Deontologi ialah falsafah berkenaan kepentingan tugas seseorang manusia sebagai pokok moraliti, berbanding utilitarianisme yang menjadikan kebahagian majoriti sebagai pokok moraliti.
Suzaku ialah seorang yang sangat berpegang pada prinsipnya sendiri. Dia berpendapat bahawa segala kejahatan di dunia (baca: empayar Brittania) ini dapat diselesaikan melalui kaedah dalam, yakni bermula dalam sistem empayar itu sendiri. Oleh itu, dia telah mendaftarkan diri menjadi askar empayar tersebut supaya dia dapat menjadi seseorang yang berpengaruh dalam sistem tersebut dan sekaligus dapat mengubahnya dari dalam.
Deontologi berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud ‘duty’, iaitu tugas. Dalam konsep falsafah ini, seseorang itu haruslah bertindak mengikut etika moral kerana itulah tugasnya sebagai manusia yang beretika. Katakanlah ada seorang lelaki menyorok di rumah anda kerana dikejar musuh, dan musuh itu akhirnya tiba di rumah anda. Musuh tersebut bertanyakan tentang kelibat lelaki yang dikejarnya, dan anda ada dua pilihan:
>katakan anda tak tahu
>katakan anda tahu
Sebagai seorang yang berprinsip dan bermoral, mengikut deontologi Immanuel Kant, anda harusa katakan anda tahu di mana lelaki itu. Hal ini kerana anda tak boleh menipu, kerana jika anda menipu, anda melanggar etika moraliti. Oleh itu, anda tak harus menipu. Samalah kes ini dengan Suzaku. Sewaktu dia hendak dijatuhkan hukuman mati, dia telah diselamatkan oleh ahli kumpulan pemberontak pimpinan Zero (pada masa ini, Lelouch masih menyamar sebagai Zero sebelum digantikan Suzaku bagi operasi Rekuiem).
Zero mengajaknya ikut mereka mengalahkan Brittania dengan memberontak. Walau bagaimanapun, Suzaku menolak ajakannya dan memilih untuk mengubah sistem tersebut dari dalam, sekalipun tujuan mereka adalah sama. Berkat usaha kerasnya, Suzaku akhirnya dimasukkan sebagai ahli Knights of the Round, skuad elit tentera terkuat diraja setaraf Janissari Turki ataupun Praetorian Guard Rom, dengan Suzaku sebagai Knight of Seven (tentera ketujuh paling kuat).
Ini membolehkan Suzaku untuk bersuara terhadap pihak atasan Brittania kerana status Knight of Rounds ialah kedua tertinggi selepas keluarga diraja Brittania, lebih tinggi daripada keluarga bangsawan. Knight of Rounds juga kebal daripada tindakan undang-undang (melainkan dihukum Maharaja) dan diberikan wilayah sendiri untuk ditadbir.
Deontologi Kant secara umumnya ialah berkenaan ‘categorical imperative’ (perintah mutlak). Kant mengkritik sikap manusia yang menjadikan tugas dan undang-undang sebagai ‘hypothetical imperative’ (perintah hipotetikal). Sebagai contoh, kita tengok ayat di bawah:
>kalau nak masuk syurga, kita perlu jadi baik
Menurut Kant, nilai moraliti ayat di atas adalah kurang sekalipun menjurus ke arah kebaikan. Mengapa kita perlu jadi baik kalau nak masuk syurga? Mengapa perlu ada ‘kalau nak’? Ayat di atas memberi makna bahawa manusia tersebut bukanlah orang begitu beretika sebab dia jadi baik kerana nafsunya yang nak masuk syurga, dan juga nilai teragak-agak daripada perkataan ‘kalau nak’ dan ‘perlu’. Kant berpendapat bahawa orang yang beretika akan bertindak berdasarkan ayat di bawah:
>jadi baik
Tiada lagi perkataan ‘kalau nak’ dan ‘perlu’, juga tiada lagi tujuan utama dia berbuat kebaikan iaitu syurga. Seseorang yang yang beretika haruslah bertindak dengan etika bermoral kerana itulah tugasnya, tiada pilihan lain. Oleh sebab itulah, orang yang jadi baik kerana itulah tugasnya ialah lebih beretika berbanding orang yang jadi baik kerana mahu masuk syurga. Anda boleh baca lebih lanjut tentang formulasi ini dalam falsafah Kant bagi anime Parasyte:
https://thepatriots.asia/archives/2694
Dalam formulasi kedua perintah mutlak, Kant menyebut bahawa kita perlu bertindak di atas sifat kemanusiaan. Maksud di sini ialah jangan jadikan orang lain mahupun diri kita sebagai korban untuk kehendak kita, sekalipun untuk perkara yang baik seperti Lelouch. Matlamat tak menghalalkan cara (berbanding utilitariasnime, matlamat menghalalkan cara). Sebagai contoh, kalau ada pasangan yang mahukan anak, mereka tak boleh berkehendak begitu sekiranya tujuan tersebut adalah untuk membantu mereka di ladang dan kebun.
Dalam kes Suzaku, dia tak menjadikan orang lain sebagai cara untuk menghalalkan matlamat. Dia teruskan berjuang melawan pemberontak tanpa perlu menganggu gugat orang yang tak bersalah. Walau bagaimanapun, falsafah deontologi Suzaku ini hanya eksklusif pada musim pertama sahaja, atau lebih tepat lagi sebelum Puteri Euphimia mangkat.
Tema 3: Falsafah Sifat Baik Aristotle
Pada mulanya, puteri Euphimia menganut fahaman deontologi. Namun, fahamannya ternyata berlainan. Baginda bertindak berdasarkan falsafah etika Aristotle, etika sifat baik (virtue ethics).
Bahagian pertama bagi etika sifat baik ialah ‘arete’, sifat baik itu sendiri. Sifat baik yang dimaksudkan di sini ialah nilai yang bagus dalam sesuatu karakter. Bagi memiliki sifat yang baik, kita perlu melakukan sesuatu perkara yang menyentuh nilai moraliti tanpa sebab lain melainkan itulah perkara yang seharusnya dilakukan. Sebagai contoh, kita tak boleh meniru semasa peperiksaan bukan sebab takut digantung sekolah, tapi sebab itulah perkara yang patut dilakukan untuk keadilan.
Kedua ialah ‘phronesis’, hikmah praktikal. Ketiadaan hikmah yang praktikal akan membuatkan kita kurang bermoral. Masalah menjadi manusia ini ialah tak semua orang itu betul-betul sempurna. Katakanlah ada si fakir miskin yang bermoral, tapi apabila dia melihat ada orang tinggalkan uncang-uncang emas di atas meja, tanpa berfikir panjang dia terus mencuri uncang-uncang tersebut dan berlalu pergi.
Sekalipun si fakir miskin ini bermoral menurut sudut ‘arete’, tapi memandangkan dia gagal menerapkan nilai moral tersebut pada sikapnya, maka dia kurang bermoral. Saya taknak hurai panjang-panjang berkenaan hujah kedua ni sebab saya dah tulis panjang lebar dalam artikel falsafah ilmu Islam Prof. Naquib Al-Attas:
Karakteristik Pengetahuan al-Quran:
https://thepatriots.asia/archives/1013
Korupsi Terhadap Ilmu:
https://thepatriots.asia/archives/2025
Secara ringkasnya, orang yang bermoral harus bertindak berdasarkan ilmu mereka.
Point ketiga ialah ‘eudaimonia’. Eudaimonia secara kasarnya bermaksud kebahagiaan dan kegembiraan. Masalahnya di sini ialah terma tersebut subjektif. Apakah yang dimaksudkan dengan kegembiraan? Andai kata merogol itu membahagiakan, adakah itu bermakna kebahagiaan perogol adalah sesuatu yang beretika baginya? Sudah tentu tidak!
Oleh itu, eudaimonia diertikan sebagai kegembiraan yang bermoral, semacam kegembiraan mutlak, kegembiraan yang wajar diperjuangkan. Kalau ikut utilitarianisme, moraliti itu ialah kegembiraan majoriti, deontologi pula etika itu apabila kita melakukan tugas kita tanpa melihat perkara tersebut membahagiakan kita, manakala eudaimonia menjadikan kegembiraan yang bermoral sebagai nilai etika moraliti.
Maka, kita gabungkan kesemua hujah falsafah etika Aristotle dan kita akan dapati nilai-nilai ini semua ada pada puteri Euphemia li Brittania. Baginda merupakan seorang yang bermoral. Baginya, semua orang berhak hidup dengan adil dan gembira. Baginda bertindak melanggar arahan penasihatnya sewaktu baginda menjadi naib gabenor jeneral/naib raja muda Jepun dengan mewujudkan zon Kawasan Pentadbiran Istimewa.
Zon tersebut akan menyebabkan rakyat Jepun diberi hak sama rata seperti orang Brittania dan tidak lagi didiskriminasi. Dalam bahasa mudahnya, proses dekolonisasi seperti Malayan Union (negara boneka/crown colony?). Sebagai penganut deontologi, hal ini tak patut dilakukan sebab dia melanggar tugasnya, namun baginda lakukan perkara ini sebab inilah apa yang patut dilakukan.
Sama juga sewaktu baginda dapat tahu identiti sebenar Zero sebagai Lelouch (puteri Euphie ialah orang pertama yang tahu), baginda tak memilih untuk membunuh Zero.
Sebaliknya, baginda memilih untuk menarik Zero ke arah diplomasi, melalui cara tersendiri puteri Euphie. Ini bermakna, baginda bukanlah seorang utilitarian. Seorang utilitarian secara dasarnya pasti akan membunuh Zero pada masa tersebut tanpa teragak-agak kerana apabila matinya Zero, maka keamanan akan dapat dicapai semula sekalipun dengan cara yang salah.
Hal ini kerana puteri Euphie bertindak menghakimi Zero dengan sifatnya. Baginda tahu Zero seorang yang baik, dan baginda bertindak dengan menyentuh hatinya. Sekiranya kalau bukan kuasa Geass Zero/Lelouch menjadi tak terkawal, sudah pasti keamaan dunia dapat dicapai di bawah perintah puteri Euphimia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih