Pada Zaman Ais, terdapat banyak spesis megafauna menarik yang pernah merayap di bumi satu ketika dahulu. Antara spesis megafauna yang dikenali seperti gajah mamot, harimau bertaring lengkung, burung moa dan tenuk California. Sebut pasal harimau bertaring lengkung ini, terdapat banyak fakta menarik berkenaan haiwan ini.
1. Bukan harimau sebenarnya
Selalunya bagi harimau moden seperti harimau Malaya dan harimau Siberia, kesemua harimau moden ini diletakkan di bawah subspesis Panthera tigris. Contohnya bagi harimau Malaya, ia diberi nama saintifik Panthera tigris jaksoni sementara harimau Siberia pula ialah Panthera tigris altaica. Tetapi bagi harimau bertaring lengkung, ia merupakan sebahagian daripada keluarga kucing prasejarah yang dikenali sebagai Smilodon fatalis dan dianggap saudara jauh kepada singa, harimau dan cheetah moden.
2. Kucing bertaring lengkung seperti Smilodon
Kalau ikut gambaran haiwan prasejarah, sudah tentu harimau bertaring lengkung ini yang paling dikenali semua selain mamot. Tetapi tidak ramai tahu dalam subkeluarga Machairodont di mana harimau ini merupakan sebahagian daripada subkeluarga berkenaan, terdapat 12 jenis kucing yang amat digeruni dan punya reputasi sama seperti haiwan bertaring lengkung. Antara spesis yang mempunyai taring sama seperti harimau itu ialah Barbourofelis dan Megantereon. Selain itu, pakar paleontologi turut membuat penemuan sesetengah spesis marsupial di Amerika Selatan dan Australia turut mempunyai kebolehan menyimpan taring lengkung seperti harimau bertaring lengkung.
3. Tiga spesis berbeza Smilodon
Dalam keluarga Smilodon, terdapat tiga spesis berbeza. Smilodon gracilis ialah spesis yang paling kecil dengan berat 150 paun. Sementara Smilodon fatalis yang sentiasa dikaitkan dengan imej harimau bertaring lengkung lebih besar sedikit dengan berat 200 paun atau lebih. Tetapi Smilodon populator dari Amerika Selatan dianggap spesis yang terbesar dalam keluarga berkenaan dengan berat separuh tan bagi jenis jantan.
4. Panjangnya taring…
Smilodon fatalis tidak akan menarik minat ramai orang jika ia hanya diketahui sebagai seekor kucing besar. Dengan taring lengkung berukuran 12 inci, ia menjadikan harimau bertaring lengkung ini mempunyai senjata yang digeruni. Malangnya, ia juga cukup rapuh dan mudah patah terutama bila berebut makanan dengan spesis karnivor lain seperti dire wolf (sejenis spesis serigala yang telah pupus). Dan bila ia patah, gigi tersebut tidak akan tumbuh lagi!
5. Lemahnya rahangku…
Harimau bertaring lengkung ini berupaya membuka rahangnya sehingga mencapai sudut 120 darjah, dua kali ganda lebih besar berbanding singa moden atau kucing yang menguap di rumah. Tetapi kebanyakan spesis Smilodon tidak boleh mengigit mangsa mereka dengan kuat kerana perlu melindungi aset taring mereka yang rapuh dan mengelakkan ia patah secara tidak sengaja semasa memburu mangsa.
6. Teknik memburu khas
Dengan kombinasi taring yang rapuh tapi tajam dengan rahang yang lemah, harimau bertaring lengkung ini terpaksa mengubah taktik pemburuan mereka. Berdasarkan analisis pakar paleontologi, harimau ini akan menyerang dari bahagian dahan rendah pokok sebelum mencucuk taringnya pada mana-mana bahagian mangsanya yang terdedah termasuk leher sebelum berundur kembali ke tempat selamat. Haiwan yang cedera akibat serangan itu akan mengalami pendarahan yang banyak sebelum mati dan menjadi sajian makanan harimau itu.
7. Haiwan berkumpulan
Seperti mana kebanyakan spesis kucing besar moden hari ini, spesis Smilodon ini juga berkemungkinan menjalani kehidupan secara berkumpulan. Ini berdasarkan analisis saintis pada beberapa fosil Smilodon dan mendapati ada sesetengah harimau ini mati akibat usia tua atau penyakit kronik. Dengan keadaan mereka yang lemah, mereka tidak boleh bertahan di belantara tanpa sebarang bantuan atau sekurang-kurangnya perlindungan kumpulan mereka.
8. Lubang Tar La Brea
Kebanyakan fosil Smilodon ini dijumpai di Lubang Tar La Brea di Los Angeles. Pakar-pakar paleontologi berspekulasi lambakan fosil ini berlaku kerana mereka mengintai peluang merebut makanan mudah dalam bentuk spesis megafauna lain yang terperangkap dalam lubang berkenaan tanpa menyedari mereka juga akan terperangkap semasa mengambil makanan mudah ini.
9. Perbezaan saiz
Saiz harimau bertaring lengkung dengan kucing besar moden boleh saja dibezakan menerusi saiz badan. Bentuk badannya amat lasak termasuk leher tebal, dada lebar dan kaki pendek tetapi berotot. Ini sebenarnya ada kaitan dengan gaya hidup Zaman Ais ketika itu di mana pemangsa seperti Smilodon tidak mempunyai keperluan mengejar mangsa seperti kucing besar moden hari ini dan melakukan serangan hendap dari kawasan dahan rendah pokok. Ini membolehkannya berevolusi dengan menyaksikan bentuk badannya menjadi lasak.
10. Pupus selama 10,000 tahun
Tidak ramai tahu apa punca harimau bertaring lengkung ini pupus sejak 10,000 tahun lalu. Saintis menyifatkan kombinasi perubahan iklim dengan penurunan mangsa bersaiz besar dan berotak udang menjadi punca kepupusan megafauna itu.
SUMBER
Strauss, Bob. (2019). Top 10 Saber-Toothed Tiger Facts. ThoughtCo. https://www.thoughtco.com/facts-about-the-saber-tooth-tiger-1093337
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih