MUNGKIN ramai antara kita beranggapan bahawa komunis durjana itu berjaya dihapuskan sekitar tahun 1970-an setelah gerak gempur berhabis-habisan dilakukan oleh anggota keselamatan kita. Untuk konteks Sarawak, walaupun Perjanjian Damai Sri Aman berjaya ditandatangani antara Bong Kee Chok dan Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun 1972, sebenarnya komunis itu masih ada cuma ianya lebih kepada gerakan bawah tanah.
Pemangkin kepada tiadanya pengaruh komunis menular di seluruh Malaysia adalah apabila termaktubnya Perjanjian Damai Hadyai yang ditandatangani pada tanggal 2hb Disember 1989 di Hotel Le Garden, Hadyai Selatan, Thailand. Perjanjian penuh bersejarah itu ditandatangani di antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya serta Thailand pada masa itu. Bertitik tolak daripada perjanjian ini juga menyaksikan segala bentuk aktiviti komunisme di seluruh Malaysia dan tidak terkecuali Sarawak harus dihentikan serta-merta.
Dan apabila kita berbicara mengenai kegiatan komunisme di Sarawak selepas Bong Kee Chok menyerah diri suatu waktu dahulu muncul pula seorang lagi ketua komunis yang bernama Chu Ting. Sebenarnya Chu Ting di ketika era Bong Kee Chok yang menjadi Ketua PARAKU, beliau merupakan orang kanan pada masa itu. Mungkin kerana beliau masih lagi mempunyai semangat yang kuat kepada kefahaman komunisme pada masa itu, dikatakan tiga tahun selepas Perjanjian Damai Sri Aman ditandatangani menyebabkan beliau kembali ke hutan Sarawak.
Kembali ke hutan bukan bermakna Chu Ting diam sebegitu sahaja. Sebaliknya dengan segala informasi sewaktu beliau bebas di Sarawak menjadikan beliau semakin kuat pula. Ini kerana menurut ceritanya, Chu Ting bersama-sama dengan pengikutnya yang baharu telah menggunakan kaedah memeras ugut tauke-tauke balak yang beroperasi di hutan-hutan Miri, Kanowit dan kawasan sekitarnya. Begitulah cara mereka mencari dana kerana kita mengetahui sudah tentu tauke-tauke balak tidak mahu kegiatan pembalakan mereka diganggu oleh orang-orang Chu Ting pada masa itu.
Bertindak daripada laporan yang disediakan oleh Cawangan Khas PDRM Sarawak, makanya Kerajaan Malaysia telah mengarahkan agar PDRM Bukit Aman untuk menghantar satu pasukan yang paling berpengalaman di dalam dunia risikan kepolisian ke Sarawak. Dan operasi yang dijalkankan di Sarawak ini dinamakan dengan “Ops Chien Meh” atau Ops Paraku II, 1990.
Pasukan elit PDRM yang dihantar pula dikenali dengan nama Pasukan F atau F-Team. Ianya bukanlah unit kepolisian yang calang-calang malah keanggotaan mereka sahaja cukup “dirahsiakan” kerana bidang tugas mereka begitu istimewa. Difahamkan keanggotaan F-Team adalah terdiri tidak kurang daripada 50 orang sahaja dan mereka yang terpilih adalah dari pelbagai kaum yang ada di Malaysia.
Mereka juga adalah pakar di dalam gerak gempur di hutan seperti ada sebahagiannya dipilih dari Polis Hutan, anggota tentera yang sudah bersara yang kemudiannya diambil secara kontrak berkala malah turut dilaporkan ada juga merupakan mantan komunis yang sebenarnya sudah kembali ke pangkal jalan tetapi menjadi mata dan telinga anggota keselamatan. Dan sumbangan F-Team sudahpun terserlah kehebatan sejak dari tahun 1948 sehinggalah terakhir sekali 1989 suatu waktu dahulu.
Turut dikatakan bahawa F-Team juga sewaktu melakukan sebarang operasi tidak akan disediakan dengan bekalan dan mereka harus membeli sendiri sebarang “ration” untuk kegunaan mereka. Dan sekiranya bekalan kehabisan sewaktu di hutan makanya mereka harus keluar atau mencari sendiri untuk survival tanpa ada bantuan daripada mana-mana pihak. Boleh dikatakan unit F-Team ini adalah antara pasukan elit PDRM yang langsung tidak dikenali oleh mana-mana anggota keselamatan dan hanya ketua mereka sahaja yang mengetahui mereka siapa.
Misi utama F-Team bukanlah untuk memerangi komunis sebaliknya keutamaan adalah untuk menangkap gerila komunis yang bersembunyi di hutan dibawa keluar secara hidup-hidup. Disinilah kita boleh mengjangkakan bagaimana F-Team ini terserlah kehebatan mereka baik dari segi dunia penyamaran, diplomasi, risikan dan sebagainya.
Cerita Ops Chien Meh, Sarawak 1990 ini bermula apabila Deputi Superintenden Kamaruddin Hashim atau lebih dikenali sebagai Kenny bersama-sama dengan pasukan F-Teamnya terbang ke Sarawak usai menerima arahan daripada Pengarah Cawangan Khas iaitu Datuk Rahim Noor. Setibanya di Kuching, mereka bergabung tenaga dengan unit Cawangan Khas Sarawak yang terlebih dahulu membuat hubungan dengan Chu Ting di hutan Kanowit.
Dikatakan Unit Cawangan Khas Sarawak telah cuba berunding dengan Chu Ting secara aman jauh sebelum kedatangan unit F-Team ke Sarawak namun Chu Ting sebagai ketua kumpulan pada masa itu tidak bersetuju dengan beberapa syarat yang dikenakan sehingga rundingan itu hanya tinggal rundingan tanpa ada keputusan akhir.
Usai menerima taklimat, Kenny bersama-sama dengan seorang detektif Cawangan Khas Sarawak yang fasih berbahasa cina telah menaiki kapalterbang ke Sibu. Dari Sibu, mereka berdua telah menaiki pacuan empat roda menempuhi perjalanan jauh sehingga ke pekan Kanowit. Dari Kanowit pula menumpang kenderaan lori balak yang mana jauh perjalanannya adalah kira-kira lima jam sebelum ditinggalkan di satu lokasi di tepi hutan.
Walau hanya berdua namun bukanlah menjadi kegentaran bagi Kenny dari unit F-Team. Setelah menunggu hampir tiga jam barulah ada kelibat seorang lelaki berpakaian seragam hijau memunculkan diri di sebalik hutan Kanowit pada masa itu. Lelaki itu diceritakan lengkap dengan senjata dan membawa mereka berjalan darat menyelusuri denai-denai hutan sehinggalah jauh ke dalam hutan Kanowit.
Sebenarnya jauh sebelum Kenny dan detektif Cawangan Khas menjejakkan kaki ke Sibu, seorang lagi pegawai F-Team iaitu Inspektor Zahaliman bersama-sama anggota F-Team yang lain telah diterbangkan ke Miri dan terus memasuki hutan di Baram. Ini kerana dikatakan pasukan komunis Chu Ting ramai di hutan Baram pada masa itu. Jadi Inspektor Zahaliman hanya menunggu arahan daripada Kenny di Kanowit untuk memungkinkan segalanya membawa keluar anggota komunis Chu Ting dari hutan Baram pada masa itu.
Berbalik kepada proses diplomasi Ops Chien Meh bermula sekitar jam 7.30 malam iaitu apabila Kenny dan detektif tiba di kem komunis Chu Ting di Kanowit. Sejurus tiba perbincangan terus diadakan dengan Kenny sebagai seorang pakar diplomasi turut memainkan peranannya memujuk Chu Ting pada ketika itu. Tiada masalah komunikasi memandangkan Chu Ting amat fasih berbahasa Indonesia pada ketika itu. Bagi orang biasa mungkin sudah kecut kerana sekiranya tersalah bicara nyawa Kenny mahupun detektif boleh melayang bila-bila masa. Ini disebabkan kedua-duanya berada betul-betul di dalam kawasan gerila komunis.
Sehingga menjelang larut malam, dikatakan masih belum ada kesefahaman yang mampu dipersetujui sebaliknya Chu Ting dengan bangganya menunjukkan jumlah senjata yang mereka ada. Di dalam kesamaran malam itu juga, Kenny dan detektif cuba mengira sejauhmana kekuatan kumpulan komunis Chu Ting dan sememangnya ianya adalah sesuatu yang harus dibimbangkan demi keselamatan Sarawak mahupun Malaysia pada masa itu.
Oleh kerana masih lagi di dalam usaha memujuk akhirnya kedua-duanya akur dengan arahan Chu Ting untuk mereka melelapkan mata kerana hari sudah jauh malam. Bukanlah masanya untuk lena diulit mimpi malah kedua-duanya mereka hanya tidur-tidur ayam sahaja pada ketika. Kenny dan detektif sentiasa bersiaga pada sebarang kemungkinan sebenarnya.
Menjelang dinihari dan seterusnya apabila mereka berdua meneguk kopi panas bersarapan bersama-sama Chu Ting barulah berita gembira dikhabarkan kepada mereka. Usaha diplomasi seperti misi dan visi Ops Chien Meh dengan kedatangan F-Team telah berjaya apabila Chu Ting bersama-sama dengan pengikutnya baik di hutan Kanowit dan Baram telah bersetuju untuk menyerah diri dan meletak senjata tanpa sebarang syarat.
Pada hari itu juga setelah segala persediaan dibuat dengan di pihak anggota keselamatan Malaysia iaitu baik dari F-Team yang ada di Baram bersama-sama dengan tentera telah berjaya membawa keluar kumpulan komunis Chu Ting keluar dari hutan secara aman. Dan begitu juga Chu Ting dan kumpulannya di Kanowit, dibawa keluar oleh Kenny dan detektif sendiri dengan pasukan tentera menunggu di satu lokasi yang diarahkan.
Begitulah ceritanya kehebatan berdiplomasi yang dimiliki oleh anggota elit F-Team yang memungkinkan 59 orang pengganas komunis berjaya menyerah diri tanpa perlu berperang dan memungkinkan adanya korban nyawa di pihak anggota keselamatan kita. Kesemua anggota komunis berserta senjata yang mereka miliki telah dipindahkan ke Kuching untuk tindakan selanjutnya.
Satu perjanjian damai antara Chu Ting dan Kerajaan Malaysia pada 17 Oktober 1990 menjadi saksi kejayaan Ops Chien Meh, Sarawak, 1990. Sekaligus ianya juga menjadi pemangkin kepada tamatnya era pengganas komunis di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.
Cerita sejarah mengenai operasi terakhir ini sudah tentu tiada siapa yang begitu mengetahuinya kerana tidak diwar-warkan. Hargailah apa yang kita miliki sekarang kerana ramai perwira yang tidak didendang meletakkan nyawa mereka ditangan musuh semata-mata untuk kita mengecapi keamanan seperti sekarang. Bukan senang membina sebuah negara.
“Hanya Yang Berani” motto F-Team.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
Rujukan:
1. Utusan Online 16 Julai 2017 – Ops PARAKU II: 59 Komunis Serahdiri
http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/op-paraku-ii-59-komunis-serah-diri-1.503438
2. Harian Metro, 24 Disember 2016 – F Team: Mengakhiri Era Keganasan Komunis
https://www.hmetro.com.my/node/191342
3. The Star, 19 Mac 2017 – F Team, Only The Brave
http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/03/19/fteam-only-the-brave-sunday-star-talks-to-the-men-who-helped-take-down-communism-in-malaysia/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih