Serangan berterusan ke atas Rom Barat sejak kejatuhannya pada tahun 410, terus-menerus menjadikan Eropah Barat berada dalam keadaan buruk berkurun-kurun lamanya. Kejatuhan kerajaan pusat, telah memunculkan kerajaan-kerajaan feudal di sekitar Eropah yang selalunya kerajaan-kerajaan tersebut adalah berbangsa penakluk iaitu Jerman daripada pelbagai suku seperti Visigoth, Lombard dan Franks. Hasil integrasi dan asimilasi dengan kepelbagaian budaya terutamanya budaya tempatan Rom dan kaum barbarik, telah melahirkan suku-suku bangsa yang baru.
Kemajuan ekonomi yang sebenar adalah kemajuan yang menyeluruh pada setiap peringkat sosial masyarakat. Bukan saja golongan elit dapat hidup senang, tetapi rakyat yang paling ‘miskin’ pun berkecukupan. Sistem feudal yang muncul pada Zaman Pertengahan di Eropah hanyalah menguntungkan golongan elit sahaja, terutamanya golongan raja-raja. Paling teruk, golongan bawahan hidup susah dan terbeban. Kemunculan sistem feudal, bermaksud terhapusnya ekonomi berpusat. Maka, ekonomi Eropah pada masa itu tidak mempunyai kesatuan ekonomi dan pasarannya kacau bilau.
Tambahan lagi, keadaan Eropah pada masa itu yang huru hara dengan pelbagai peperangan antara kerajaan feudal serta kadar jenayah yang tinggi telah memaksa golongan bawahan mencari perlindungan dengan mana-mana raja feudal. Lantas, itu pun terpaksa membebankan ekonomi mereka sendiri.
Sistem feudal mempunyai tiga kelas masyarakat, bermula dari raja hinggalah golongan petani. Setiap kelas mempunyai peranan masing-masing dan saling bergantung antara satu sama lain. Feudalism bukanlah seperti sistem kelas elit boleh sewenang-wenangnya mengatur keadaan, tetapi hubungan mutual dan kebergantungan yang menjadi dasar feudalism itu sendiri. Raja memerlukan kesetiaan golongan bangsawan dan Gereja, sebagai pulangan, bangsawan dan Gereja akan dikurniakan habuan berbentuk emas ataupun tanah, selalunya tanah. Zaman Gelap di Eropah, Gereja merupakan institusi yang paling cepat berkembang kekuasaanya. Selain mempunyai sokongan golongan elit, golongan rakyat juga menjadikan Gereja sebagai tumpuan dalam masalah sosial mereka. Kelas bangsawan pula memerlukan kesatria ataupun tentera untuk melindungi tanah mereka. Sebagai pulangan, mereka akan menerima ganjaran berbentuk emas ataupun tanah. Para petani dan orang awam akan bekerja untuk bangsawan dalam sektor pertanian dan memajukan tanah sebagai pulangan melindungi mereka daripada jenayah dan ancaman luar.
Para petani merupakan kelompok yang bekerja dalam menggerakkan sistem ekonomi dan sosial serta merupakan kelompok yang terbesar dalam masyarakat Eropah. Tidak semua para petani berstatus hamba, kebanyakkannya adalah berstatus semi-hamba yang dipanggil serf dan bekerja di tanah bangsawan yang mereka duduki sebagai pulangan memberikan perlindungan dan tempat tinggal kepada mereka. Terdapat golongan petani yang bebas dan tidak terikat dengan sebarang kontrak. Walau bagaimanapun, kedua-duanya tidak mempunyai banyak hak. Tanpa kebenaran tuan tanah (bangsawan), mereka tidak boleh berburu di hutan, tidak boleh menukar lokasi pekerjaan, ataupun mengahwinkan anak perempuan mereka.
Menurut John M. Riddle (2008), bagaimana kebebasan dan bagaimana perhambaan yang dialami oleh serf bergantung pada penafsirannya. Perbezaan dibuat antara petani bebas dan petani yang tidak bebas. Secara umumnya, kami gunakan serf merujuk pada tidak bebas, dan villein merujuk pada petani bebas sejak lahir, tetapi mempunyai kewajipan bekerja. Melihat pada kajian ke atas tanggungjawab antara dua kelompok ini, didapati terdapat perbezaan yang samar. Secara umumnya, petani bebas mempunyai tanggungjawab ketenteraan, sebaliknya pada petani tidak bebas. Obligasi antara petani bebas dan tidak bebas saling berkaitan dan perkahwinan antara mereka boleh berlaku. Pada era Carolingian, lelaki tidak bebas mengahwini perempuan bebas akan melahirkan anak petani yang bebas. Villeins mempunyai hak untuk melakukan kontrak pemilikan tanah, tetapi serf tidak boleh. Villeins boleh terlibat dalam perundangan, tetapi mahkamah tidak mempunyai hak untuk memaksa melainkan dipaksa oleh tuan tanah sendiri.
Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, serf memang tidak mempunyai hak kebebasan yang mutlak. Regulasi kebebasan dan perikatan antara tuan tanah dan petani berbeza pada setiap wilayah bergantung pada keperluan masing-masing dan status tuan tanah.
Bangsawan dan raja pula adalah kelompok yang menikmati pelbagai jenis kemewahan. Status bangsawan atau aristokrat mempunyai pelbagai jenis ukuran. Kadangkala ia dilihat pada kehandalan dalam berpedang. Kadangkala ia dilihat pada keluasan tanah. Semakin luas tanah yang dimiliki, maka semakin tinggilah status tersebut. Pemilikan tanah selalunya dimiliki melalui peperangan ataupun perkahwinan antara keluarga bangsawan. Status bangsawan juga boleh dedefinisikan melalui jawatan yang dimiliki dalam ketenteraan ataupun hubungan dengan raja atau duke. Anak perempuan mempunyai kepentingan yang sama dengan anak lelaki.
Kelompok bangsawan sangat mementingkan kemuliaan, wang, dan pakaian berfesyen. Sangat ambil berat mengenai barang rampasan dan undang-undang. Kelompok bangsawan dan kelompok bukan bangsawan dapat dibezakan melalui pemakaian mereka. Kebiasaannya kelompok bangsawan mempunyai logo atau lambang tertentu yang melambangkan keluarga mereka.
Kelompok Gereja juga mempunyai keistimewaan seperti kelompok bangsawan. Perlantikan paderi atau biskop oleh raja mempunyai keistimewaan yang tersendiri sehingga golongan bangsawan berpusu-pusu menghantar anak-anak mereka untuk perlantikan tersebut. Maka, institusi Gereja pada masa itu kebanyakannya dipenuhi oleh anak-anak bangsawan atau saudara-saudara mereka. Malah, institusi Paus juga tidak terkecuali. Korupsi dan amalan-amalan yang bertentangan dengan Bible menular dalam kalangan kelompok Gereja akibat lambakan perlantikan kerabat diraja ke dalam badan Gereja. Para reformis Gereja cuba untuk menentang gejala ini kerana mereka mendakwa, sepatutnya Gereja diduduki oleh mereka yang mementingkan spiritual, bukan golongan berkepentingan.
Gereja juga merupakan golongan yang kaya. Dikurniakan tanah oleh raja dan tidak perlu membayar cukai. Mereka menyediakan perkhidmatan seperti servis upacara perkahwinan, pendidikan dan keagamaan. Para petani dikehendaki membayar cukai kepada Gereja sebanyak 10% daripada hasil pendapatan mereka. Petani yang ingkar akan dibawa ke mahkamah. Pada tahun 700 Masihi, Gereja telah menguasai satu pertiga tanah dan estet di Perancis dan memerintah sebagai penguasa feudal.
Kelompok terkecil dalam masyarakat Eropah adalah kelompok kesatria. Kesatria terdiri daripada pelbagai kelompok, termasuk raja, bangsawan, dan petani. Petani pula bukanlah petani, tetapi mempunyai taraf yang lebih sedikit daripada petani. Mereka bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada tuan tanah yang mereka berkhidmat serta para petani daripada ancaman luar.
Landskap kehidupan setiap kelompok ini dapat dilihat perubahannya menjelang tahun 1300M. Susunan sosial masyarakat menjadi semakin kompleks, pekerjaan semakin berkembang selari dengan perkembangan peluang ekonomi, berlakunya revolusi dalam kalangan rakyat serta reformasi dalam kalangan intelektual.
Kekuatan sumber ekonomi Eropah pada Zaman Pertengahan adalah pada aktiviti agrikultur, khususnya pertanian. Perdagangan pernah menjadi salah satu kekuatan ekonomi, tetapi semenjak kejatuhan kerajaan pusat, perdagangan menjadi semakin perlahan. Laut Mediterannean merupakan tumpuan pesat perdagangan yang pernah dikuasai oleh Eropah. Selain faktor kerajaan pusat, penguasaan orang Islam ke atas laut tersebut juga menjadi faktor penting.
Pada peringkat awal Zaman Pertengahan, aktiviti agkultur sangat perlahan kerana kebantutan teknologi, kekurangan baja, seterusnya mengurangkan produktiviti. Hasil tanaman juga hanya cukup-cukup untuk sara keluarga dan tidak mempunyai lebihan untuk diperdagangkan. Sekiranya mempunyai lebihan hasil sekalipun, penduduk tidak mampu berjalan jauh untuk berdagang atas faktor pengangkutan, jarak dan keselamatan. Disebabkan tiada kesatuan ekonomi, maka pusat perdagangan juga terbantut. Setiap wilayah Eropah pada masa itu membangunkan perdagangan atas inisiatif sendiri dan tidak berpusat. Pernah juga cuba diwujudkan pusat untuk menjalankan dan menghubungan aktiviti perdagangan antara wilayah-wilayah Eropah, tetapi tidak berjaya atas faktor pedagang itu sendiri, seperti yang telah disebutkan, jarak, pengangkutan dan keselamatan. Kadar jenayah yang tinggi mengakibatkan keselamatan sering tergugat.
Terhapusnya kesatuan wilayah, yakni kerajaan pusat telah mewujudkan peperangan yang berterusan antara wilayah. Kesannya pada ekonomi adalah ia juga menjadi faktor perdagangan terbantut. Penguasa-penguasa feudal sering mengambil kesempatan ke atas para pedagang yang singgah di wilayah mereka dengan mengenakan kadar cukai yang tinggi.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih