“Osmanli Torunu!” (Pewaris Uthmaniyyah!) Demikianlah antara laungan kemenangan mengiringi kejayaan Recep Tayyib Erdogan mengubah sistem pemerintahan Turki menjadi sistem berpresiden bulan lalu. Tidak sampai sebulan selepas kejayaan referendum Perlembagaan Turki itu, Presiden Erdogan telah pun giat merencanakan percaturan geostrategi imbangan kuasa besar yang boleh dianggap sebagai menebus kembali maruah Turki yang kian lama tercalar sejak Perang Dunia Pertama. Umum mengetahui bahawa Empayar Turki Uthmaniyyah hancur musnah selepas Perang Dunia Pertama. Malah sehingga tamat Perang Dunia Kedua, Turki kekal menjadi negara bangsa yang terpaksa menuruti telunjuk kuasa-kuasa Barat. Jika sewaktu Perang Dunia Pertama dahulu Empayar Uthmaniyyah dikepung British, Perancis, dan Rusia, negara Turki yang wujud kemudiannya selepas Perang Dunia Kedua terkongkong pula dalam Pertubuhan Perjanjian Atantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Namun lain keadaannya apabila Erdogan muncul di pentas politik Turki. Meskipun beliau dianggap banyak bersandiwara dan beretorik dengan menggunakan isu-isu Islam demi menarik sokongan rakyat Turki dan masyarakat Islam antarabangsa, namun beliau terbukti menjadi watak yang cukup tangkas untuk memimpin Turki menghadapi percaturan terbaharu antara AS yang dipimpin Donald Trump dengan Rusia yang dikuasai Vladimir Putin. Posisi Turki sejak dahulu lagi sememangnya menjadi tumpuan dalam persaingan sesama kuasa Barat. Namun pemerintah Turki, khususnya selepas Khalifah Abdul Hamid II digulingkan, seringkali gagal mencongak strategi dan taktikal imbangan kuasa yang seterusnya merugikan Turki. Terjerumusnya Uthmaniyyah ke kancah Perang Dunia Pertama dalam keadaan logistik, infrastruktur, serta kelengkapan yang serba kekurangan merupakan antara percaturan yang paling merugikan. Pada waktu itu Uthmaniyyah berhadapan dengan persaingan antara dua blok iaitu British, Perancis, dan Rusia pada satu sisi dengan Jerman dan Austria-Hungary pada sisi yang lain.

Situasi ini hampir sama dengan keadaan geopolitik pada hari ini di mana AS, Britain, serta anggota NATO pada satu sisi sedang dicabar oleh blok Rusia, China, Iran, dan Syria pada sisi yang lain. Jika sewaktu Perang Dunia Pertama Uthmaniyyah yang dipimpin secara de facto oleh Tiga Pasha (Talat Pasha, Jamal Pasha, dan Envir Pasha) telah secara terburu-buru mengambil pendirian menyertai Jerman dan menyerang Rusia, Erdogan jelas mengambil jalan yang lebih strategik. Erdogan meskipun mendapat mandat pemusatan kuasa, namun tidak secara tergesa-gesa berpihak kepada Trump (AS) mahupun bersekutu dengan Putin (Rusia). Hal ini terbukti dengan langkah beliau mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pemimpin kuasa besar itu pada Mei 2017. Pada 3 Mei baru-baru ini, Erdogan telah pun ke Sochi, Rusia di mana hubungan Turki-Rusia telah pun dipulihkan. Hubungan ini sebelumnya bermasalah apabila jet pejuang F-16 Turki menembak jatuh pesawat SU-24 Rusia pada November 2015 yang menyaksikan kedua-dua negara berbeza pendirian dalam kes usaha menumbangkan rejim Bashar al-Assad.

Erdogan pada awalnya berpihak sepenuhnya kepada AS dengan menyertai usaha menumbangkan rejim Assad di Syria. Namun disebabkan oleh tindakan AS yang tidak bekerjasama dengan Erdogan sewaktu cubaan rampasan kuasa sebahagian tentera Turki serta tindakan AS menyokong pihak YPG Kurdish yang dianggap sebagai pemberontak oleh Turki, maka langkah yang pragmatik telah diambil. Erdogan bukan sahaja telah membawa Turki menyertai Rusia dan Iran dalam usaha menaja perjanjian damai Syria yang terkini menyaksikan empat zon selamat diisytiharkan, tetapi juga membincangkan isu kerjasama Turki-Rusia untuk Loji Nuklear Akkuyu serta paip minyak Turki. Hal yang lebih menarik ialah perbincangan tentang persetujuan Turki untuk membeli aset ketenteraan sistem pertahanan udara S-400 Triumf Rusia di mana pada waktu ini Turki tidak memiliki sistem anti-pesawat udara jarak jauh. S-400 ini bahkan berupaya memusnahkan pesawat pejuang Generasi Kelima seperti F-22 Raptor yang dimiliki AS.

Walau bagaimanapun, Erdogan tidak terlalu terikut-ikut dengan rentak Moscow dan masih mengekalkan keanggotaan Turki dalam NATO. Menjelang pertemuan dengan Trump yang turut dijadualkan pada Mei 2017, Erdogan mengekalkan sebahagian strategi beliau dengan menyokong serangan Tomahawk AS ke atas pengkalan tentera udara Syria baru-baru ini di samping kritis terhadap Bashar al-Assad. Pilihan raya Presiden Perancis dan pemilihan Canselor Jerman yang bakal berlangsung turut menambah pelbagai kemungkinan senario geostrategi yang perlu dihadapi Erdogan kelak. Apa yang pasti, Erdogan jelas telah belajar dari kesilapan para Jeneral Uthmaniyyah sewaktu Perang Dunia Pertama. Laungan “Osmanli Torunu!” (Pewaris Uthmaniyyah) terus bergempita di Turki.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Leave A Reply