Setelah dua minggu terperangkap di dalam gua, pasukan penyelamat masih tidak dapat memutuskan apakah cara terbaik bagi menyelamatkan 12 orang remaja Thailand yang terperangkap di dalam gua bersama-sama dengan jurulatih mereka. Masa semakin suntuk bagi Pasukan Search and Rescue (SAR) kerana hujan lebat diramal akan turun dengan lebat dan membanjiri tempat perlindungan mereka yang terperangkap. (CBS News 2018)
Penulisan ini tidak bertujuan untuk menganalisis kaedah menyelamat yang digunakan oleh Pasukan SAR bertugas tetapi untuk mengenali dengan lebih dekat dengan seorang lelaki yang menawarkan teknologi angkasa dalam membantu misi menyelamat itu.
Pada saat artikel ini ditulis, 8 daripada 13 orang mangsa telah berjaya diselamatkan. Bersumberkan Twitter beliau, Elon Musk bersama ‘Kapal Selam Mini’ telah tiba di ‘Cave 3’. Dikhabarkan ‘Mini-Sub’ tersebut sedia beraksi jika diperlukan.
4 Julai, Elon Musk menyatakan beliau telah mendapat maklum balas pakar gua dari Thailand bahawa ‘escape pod’ merupakan satu pilihan yang selamat untuk dicuba. Kemudian, mereka mendapati terdapat satu ‘choke-point’ sempit bersaiz seorang kanak-kanak menjadi halangan. Musk memberikan satu lagi idea iaitu ‘Mini-Sub’ bersaiz kanak-kanak dilengkapi dengan ‘liquid oxygen transfer tube’ yang digunakan dalam roket Falcon milik SpaceX. (Morse 2018)
Kita dapat lihat disini salah satu ciri Elon Musk adalah menyelesaikan semua masalah dengan memanfaatkan semua sumber yang ada. Beliau seolah-olah Tony Stark yang menggunakan segala teknologi dan pengetahuan, menghasilkan gajet yang bermanfaat untuk seluruh penduduk Bumi.
Pendidikan dan Permulaan Kejayaan
Elon Musk melanjutkan pendidikan tertier di University of Pennsylvania dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi. Seterusnya beliau mendapatkan ijazah kedua dalam bidang Fizik di universiti yang sama.
Setelah meninggalkan Pennsylvania, Musk ‘mengejar’ pula PhD dalam bidang Fizik Tenaga di Stanford University namun hanya sempat mengikuti program tersebut selama dua hari. Hal ini kerana, beliau menghidu satu peluang keemasan pada era ledakan Internet dan menubuhkan syarikat pertamanya, Zip2 Corporation. Zip2 berfungsi sebagai direktori atas talian bagi bandar-bandar besar di Amerika. Tidak lama kemudian, Zip2 turut bertindak sebagai penyedia bahan dan kandungan untuk laman web The New York Times dan Chicago Tribune.
Pada 1999, satu anak syarikat Compaq Computer Corporation telah membeli Zip2 Corporation dengan harga $307 juta dalam bentuk tunai dan $34 juta dalam bentuk saham.
Kejayaan seterusnya tiba apabila beliau menjadi pengasas bersama X.com, satu syarikat perkhidmatan pembayaran atas talian. Pengambilalihan X.com oleh eBay pada $1.5 billion dalam bentuk saham menjadikan X.com sebagai PayPal yang kita semua kenali pada masa kini.
Space X
Syarikat ketiga beliau, Space Exploration Technologies Corporation ditubuhkan pada 2002 dengan visi membina kapal angkasa bagi tujuan penerokaan angkasa dari segi komersial. ‘Fast forward’ ke tahun 2008, syarikat ini telah dianugerahkan kontrak oleh NASA untuk mengangkut kargo ke International Space Station (ISS) – dengan rancangan untuk membawa pula angkasawan bagi menggantikan Misi Syatel Angkasa yang telah ditamatkan perkhidmatannya.
22 Mei 2012, SpaceX melakar sejarah dengan melancarkan roket Falcon 9 ke ISS dengan kapsul tanpa pemandu. Roket itu membawa 1000 pound bekalan kepada para angkasawan yang betugas di sana, menjadikan SpaceX badan bukan kerajaan pertama menghantar kapal angkasa ke ISS. Pelbagai lagi kejayaan dicapai susulan daripada misi pertama itu.
Terbaru, pada bulan Februari 2018, Falcon 9 yang dikuasakan dengan 9 ‘booster’ menjadikan roket itu kini digelar sebagai Falcon Heavy telah membawa sebuah kereta Tesla-Roadster bersama-samanya ke angkasa lepas. Kejayaan ini menandakan penerokaan ‘deep space’ semakin hampir menjadi kenyataan untuk umat manusia.
Lebih banyak pencapaian SpaceX boleh dibaca di laman web www.spacex.com/
Tesla
Tujuan penubuhan Tesla adalah supaya lebih ramai pengguna dapat memiliki kereta elektrik dengan harga mampu milik. Lima tahun berkembang, syarikat itu memperkenalkan Roadster. Sebuah kereta ‘sport’ elektrik berkeupayaan memecut dari kelajuan 0mph – 60mph dalam hanya 3.7 saat. Roadster juga mampu bergerak sejauh 250 batu dengan hanya sekali pengecasan bateri lithium ion yang digunakan. Model ini turut terkenal kerana Justin Bieber pernah menerima kereta ini sebagai hadiah hari lahir yang ke 18.
Kejayaan tambahan hadir dengan Tesla Model S. Kereta sedan elektrik yang telah dianugerahkan sebagai 2013 Car of The Year oleh majalah Motor Trend. April 2017, Tesla mengumumkan mereka telah mengatasi General Motors sebagai ‘the most valuables U.S. car maker’. Hasil perkongsian kepentingan bersama Daimler dan kerjasama strategik dengan Toyota, Tesla telah mengumumkan tawaran IPO yang berjaya memungut sehingga $226 juta.
Penciptaan dan Inovasi Yang Lain
Ogos 2013, Elon Musk mendedahkan satu konsep pengangkutan baru yang dinamakan Hyperloop, berfungsi menyediakan pengangkutan yang lebih cekap antara bandar yang jauh dengan penjimatan masa yang sangat signifikan. Secara ideanya, Hyperloop akan meggerakkan penumpang dalam ‘travel pod’ melalui satu tiub bertekanan rendah pada kelajuan yang boleh mencecah sehingga 700mph. Sistem ini akan mengambil masa antara 7-10 tahun untuk disiapkan.
Menurut Musk, Hyperloop adalah lebih selamat berbanding pengangkutan udara dan tren dengan anggaran kos sebanyak $6 billion – dianggarkan hanya 1/10 dari kos sistem keretapi yang dicadangkan oleh California. Walaubagaimanapun, cadangan ini menimbulkan keraguan dari banyak pihak. Beliau tetap teguh dengan idea ini dan melancarkan pertandingan mencipta ‘Hyperloop Travel Pod’ pertam yang telah berlangsung pada Januari 2017 bertempat di fasiliti SpaceX. (The Biography.com 2018)
Kejayaan dan kesungguhan Elon Musk mencerminkan keperibadian seseorang yang tidak mudah mengalah. Bukan sahaja Elon Musk, malah semangat semua yang terlibat dalam misi menyelamat ini wajar diberikan penghargaan yang sewajarya. Dalam keadaan terdesak dan kekurangan sumber, seorang manusia perlu memerah otak dan mengerahkan segala kudrat yang ada serta jangan mudah berputus asa. Sikap sebegini patut kita jadikan contoh dan semangat dalam membina keperibadian untuk kembali menjadi salah satu bangsa yang pernah disegani dunia.
Dengan ilmu, seseorang itu dapat menyumbang banyak manfaat kepada masyarakat. Dalam sejarah ribuan tahun manusia, ilmu merupakan antara penyumbang terbesar dalam kemajuan sesebuah tamadun dimana gelombang ilmu turut memberi tempias terhadap kemuculan tamadun-tamadun baharu.
Jika 200 tahun dahulu manusia berbangga dapat hidup sezaman dengan inovator agung bernama Thomas Edison, kita juga boleh berbangga hidup sezaman bersama dengan Elon Musk.
Rujukan:
1. Morse, Jack. 2018. mashable.com. july 10. Accessed july 10, 2018. https://mashable.com/2018/07/09/elon-musk-thailand-trapped-soccer-team/#6oLCvVMyfqqp.
2. 2018. The Biography.com. July 2. Accessed July 10, 2018. https://www.biography.com/people/elon-musk-20837159.
3. Akaun Twitter Elon Musk
4. 2018. CBS News. july 9. Accessed July 10, 2018. https://www.cbsnews.com/live-news/thai-cave-rescue-operation-latest-thailand-boys-soccer-team-2018-07-09-live-updates/.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih