Di seantero dunia, susuk Count Dracula bukanlah watak asing bagi penggemar fiksyen seram, sama ada menerusi teater, filem, novel ataupun apa sahaja jenis penyampaiannya. Watak ini, yang begitu sinonim dengan makhluk vampira (penghisap darah), mula menjadi buah mulut ketika dimunculkan dalam novel klasik karangan Abraham ‘Bram’ Stoker, yang diterbitkan pada tahun 1897, berjudul Dracula. Sehingga kini, di tahun 2018 ini, namanya masih belum surut daripada bualan ramai. Gila!

Asalnya, tajuk yang diberikan kepada novel tersebut ialah The Undead, hanya untuk ditukar oleh Bram Stoker kepada Dracula pada saat-saat akhir. Di awal penerbitan, novel ini tidaklah begitu mendapat sambutan tetapi perlahan-lahan membina momentumnya sendiri hingga mampu bertahan selama lebih 120 tahun, diterjemahkan dalam pelbagai bahasa, diadaptasi dalam pelbagai medium, dan masih memegang gelaran novel seram terbaik sepanjang zaman.

Penulisan Dracula bermula setelah Bram Stoker, pada satu malam, jatuh sakit kerana terlalu banyak mengambil makanan laut. Dalam demamnya itu, dia diserang mimpi-mimpi ngeri, bertemu makhluk yang menakutkan, yang menghisap darah orang-orang yang tidak bersalah. Setelah pulih dan benar-benar sihat, beliau bertekad untuk menuliskan sebuah cerita berdasarkan makhluk yang telah menghantui mimpi-mimpinya, yang kemudian, dalam novelnya dinamakan Count Dracula.

Sebagai seorang pengurus teater di London, beliau turut terlibat dalam menuliskan skrip dan novel untuk dipentaskan. Namun untuk Dracula, beliau tidak menuliskannya secara suka-suka atau membabi buta. Untuk tempoh yang panjang, beliau membuat rujukan dan kajian bagi dijadikan batu asas penceritaan Dracula. Sebagai contoh terbaik, beliau telah melawat beberapa bandar yang menjadi latar belakang tempat dalam novelnya seperti Whitby. Malah beliau secara peribadi menemui beberapa ilmuwan dan sejarawan Hungary dan Transylvania, bagi mempelajari budaya dan kepercayaan tahyul masyarakat setempat, juga sejarah Vlad III Dracula, seorang putera Wallachia di wilayah Transylvania, yang sejarahnya dalam penentangan terhadap Uthmaniah dijadikan kisah asal-muasal bagi watak fiksyen Count Dracula.

Pun begitu, satu perkara yang terlepas daripada pandangan kita, terutamanya di Malaysia, ialah keterlibatan Melayu, daripada sudut geografi dan kepercayaan, dalam kajian Bram Stoker untuk penghasilan Dracula. Menarik, bukan? Dalam bab ke 18, beliau menulis menerusi dialog Dr. Van Helsing: “…he is known everywhere that men have been. In old Greece, in old Rome, he flourish in Germany all over, in France, in India, even in the Chermosese, and in China, so far from us in all ways.”

Perhatikan perkataan Chermosese. Chermosese atau chersonese ialah perkataan yang berasal daripada Greek, yang bermaksud semenanjung. Antara semenanjung-semenanjung yang digelar chersonese oleh orang barat, hanya satu yang bersesuaian dengan frasa ‘so far from us in all ways’, dan ia adalah Golden Chersonese, ataupun Semenanjung Melayu. Apatah lagi ketika itu negeri-negeri Melayu yang membentuk tanah semenanjung ini sedang berada di bawah pentadbiran kerajaan British. Dakwaan ini bukan sekadar pendapat murahan, sebaliknya disokong oleh bukti yang kukuh. Bram Stoker tahu apa yang ditulisnya. Beliau tahu para makhluk vampira telah lama ‘menghuni’ Semenanjung Emas ini.

Sisipan Explanatory Notes di bahagian belakang cetakan Dracula terbitan Oxford University Press, 2011

Antara helaian-helaian nota kajiannya, terselit dua halaman yang tercetak petikan daripada tulisan Isabella L. Bird, dalam The Golden Chersonese, 1883, halaman 353-355. Isabella Bird secara jelas memperihalkan beberapa hantu Melayu yang bersifat vampira seperti pelesit, polong, dan penanggal.

Pelesit, sebagai contoh, dikatakan berasal daripada perempuan yang mati ketika melahirkan anak, yang kemudiannya mempuakakan hutan dan memangsakan kanak-kanak. Dalam menelusuri bacaan Dracula, Bram Stoker jelas menggunakan sifat utama pelesit seperti yang dinyatakan oleh Isabella Bird. Dalam bab ke 3, diceritakan Count Dracula membawa pulang seorang bayi sebagai habuan untuk vampira-vampira perempuan di kastilnya. Begitu juga, dalam bab yang seterusnya, Jonathan Harker melihat dan mendengar seorang ibu mendatangi Kastil Drakula menuntut kembali bayinya yang telah dilarikan oleh Count Drakula. Dalam bab ke 13 pula, heboh dengan berita beberapa siri kehilangan kanak-kanak di pinggir hutan Hampstead, dan apabila ditemui semula, mereka ditemukan dalam keadaan kekurangan darah, dengan luka dua tusukan kecil di bahagian leher.

Kenapa? Tidak percaya? Wallahualam bissawab!

Rujukan:

  1. Bram Stoker, Dracula, Oxford University Press, 2011, Explanatory Notes, 385
  2. Isabella L. Bird, The Golden Chersonese, John Murray, 1883, 353-355
  3. Bram Stoker, Robert Eighteen-Bisang & Elizabeth Miller, Bram Stoker’s Notes for Dracula, McFarland, 2008
  4. Abbagail Marie, How Did Bram Stoker Create The Dracula Book, quora.com, July 26, 2017

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.