King Charles III, Raja United Kingdom duduk di majlis makan malam rasmi bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Suasananya nampak mesra, penuh senyum, penuh protokol istana dan penuh bahasa diplomasi. Tetapi di tengah-tengah semua itu, King Charles sempat menyelit satu ayat yang agak pedas, tapi dibalut dengan jenaka British yang halus.
Beliau kata kepada Trump, lebih kurang begini:
"Kalau bukan kerana British, orang Amerika hari ini mungkin bercakap Bahasa Perancis."
Kalau faham konteks sejarahnya, ini cara seorang raja membalas semula gaya Trump sendiri, tetapi dengan cara yang lebih kemas, lebih berkelas dan lebih susah untuk dibalas dengan marah.
Sebelum itu, Trump pernah membuat kenyataan bahawa kalau bukan kerana Amerika Syarikat, negara-negara Eropah mungkin sudah bercakap Bahasa Jerman dan sedikit Bahasa Jepun, merujuk kepada peranan Amerika dalam Perang Dunia Kedua. King Charles kemudian mengambil semula logik itu dan memulangkannya kepada Trump, tetapi kali ini dari sudut sejarah Amerika sendiri.
Di sinilah menariknya.
Sebab Amerika yang kita kenal hari ini bukan muncul tiba-tiba sebagai kuasa besar. Sebelum Amerika menjadi Amerika, benua Amerika Utara adalah medan persaingan kuasa-kuasa Eropah. British ada tanah jajahan. Perancis pun ada tanah jajahan. Sepanyol pun ada pengaruh. Belanda pun pernah masuk. Kawasan-kawasan seperti New England, Virginia, New York, Quebec, Louisiana dan lembah Sungai Mississippi semuanya pernah menjadi sebahagian daripada perebutan kuasa kolonial.
Maksudnya, sebelum Amerika menjadi negara merdeka, orang Eropah sudah lama berebut kawasan itu macam orang berebut tanah corner lot.
British dan Perancis khususnya memang bersaing hebat di Amerika Utara. Dalam sejarah, antara perang paling penting ialah French and Indian War yang berlangsung dari 1754 hingga 1763. Perang ini sebenarnya sebahagian daripada konflik lebih besar antara Britain dan Perancis untuk menguasai kawasan kolonial, perdagangan dan laluan strategik.
Kalau Perancis menang besar dalam persaingan itu, peta Amerika Utara mungkin sangat berbeza hari ini. Bahasa, budaya, sistem undang-undang dan identiti politik Amerika mungkin tidak sama seperti yang kita kenal sekarang. Jadi apabila King Charles kata “kalau bukan kerana kami, kamu mungkin bercakap Perancis,” beliau sedang mengingatkan Trump bahawa sejarah Amerika sendiri pun berdiri atas warisan British.
Bahasa Inggeris yang digunakan Amerika hari ini datang daripada warisan British. Sistem common law Amerika juga berakar daripada tradisi undang-undang British. Institusi parlimen, idea hak rakyat, perdebatan cukai, malah semangat memberontak terhadap raja pun lahir dalam konteks dunia British itu sendiri.
Ironinya, Amerika melawan British untuk merdeka. Tetapi dalam masa yang sama, Amerika juga mewarisi banyak benda daripada British.
Sebab itu perli King Charles ini sedap. Dia sebenarnya mengingatkan bahawa sebelum Amerika jadi kuasa besar yang boleh menasihati dunia, Amerika sendiri pernah jadi anak jajahan British.
Lagi menarik, King Charles juga sempat menyindir kerja ubah suai White House yang dikaitkan dengan Trump. Trump dilaporkan mahu membina ballroom besar bernilai sekitar AS$400 juta selepas merobohkan sebahagian East Wing White House. King Charles kemudian bergurau bahawa British pun pernah membuat “real estate redevelopment” terhadap White House pada tahun 1814.
Ini lagi satu sindiran sejarah yang tajam.
Pada tahun 1814, ketika Perang 1812 antara Amerika Syarikat dan Britain, tentera British masuk ke Washington, D.C. dan membakar beberapa bangunan penting termasuk White House. Peristiwa ini berlaku pada 24 Ogos 1814 dan menjadi salah satu detik paling memalukan dalam sejarah Amerika kerana ibu negara mereka berjaya diserang oleh kuasa asing.
King Charles juga menyebut Boston Tea Party, satu lagi peristiwa penting dalam sejarah Amerika. Beliau bergurau bahawa makan malam itu jauh lebih baik daripada Boston Tea Party. Dalam sejarah, Boston Tea Party berlaku pada 16 Disember 1773 apabila sekumpulan kolonis British di Boston membuang ratusan peti teh milik East India Company ke dalam pelabuhan sebagai bantahan terhadap cukai teh dan dasar British yang dianggap menindas. Peristiwa ini menjadi antara pencetus besar kepada Revolusi Amerika.
Maksudnya, dalam satu ucapan sahaja, King Charles berjaya menyentuh tiga lapisan sejarah Amerika. Pertama, perang British-Perancis di Amerika Utara. Kedua, Revolusi Amerika dan Boston Tea Party. Ketiga, Perang 1812 dan pembakaran White House.
Semua itu disebut bukan dalam bentuk ceramah sejarah yang membosankan, tetapi dalam bentuk gurauan halus yang membuatkan Trump sendiri terpaksa senyum.
Sebenarnya, inilah kekuatan diplomasi British. Mereka jarang menyerang secara kasar dalam majlis rasmi. Mereka lebih suka menggunakan sindiran lembut, sejarah panjang dan bahasa yang nampak sopan tetapi ada duri. King Charles mungkin tidak menjerit, tidak memerli secara terbuka macam ahli politik biasa, tetapi ayatnya cukup untuk menjadi tajuk berita seluruh dunia.
Dan Trump pula memang tokoh yang terkenal dengan gaya bercakap besar, menyindir lawan dan menggunakan sejarah untuk mengangkat peranan Amerika. Jadi apabila King Charles membalas dengan gaya yang sama, tetapi lebih kemas, sebab itulah ramai kata Trump “kena roast” oleh King Charles.
Namun, penting untuk faham bahawa ini bukan permusuhan terbuka antara kedua-dua pemimpin. Majlis itu masih berlangsung dalam suasana mesra. King Charles dan Trump sama-sama bercakap tentang hubungan istimewa antara Britain dan Amerika, atau apa yang selalu disebut sebagai “special relationship.” Britain dan Amerika pernah berperang, pernah bermusuhan, tetapi akhirnya menjadi sekutu paling rapat dalam banyak konflik moden termasuk Perang Dunia Kedua, NATO, Perang Dingin dan pelbagai isu keselamatan global.
Dalam majlis itu juga, King Charles menghadiahkan kepada Trump loceng daripada kapal selam British era Perang Dunia Kedua bernama HMS Trump. Kapal selam itu dilancarkan pada tahun 1944, ketika Britain dan Amerika sedang berada di pihak yang sama menentang Nazi Jerman dan kuasa Paksi. Hadiah itu jelas dipilih dengan teliti kerana namanya “Trump”, tetapi simboliknya lebih besar daripada sekadar nama.
King Charles kemudian bergurau lagi, kalau Trump mahu menghubungi Britain, “just give us a ring.” Maksudnya, bunyikan loceng itu.




No comments yet