Ramzan Kadyrov, diktator Chechnya merangkap sekutu Rusia yang paling rapat dan pemimpin yang paling berkuasa di Rusia selepas Vladmir Putin, suatu ketika dahulu pernah menjadi seorang ‘instafamous‘.

Cabut gigi dulu.

Siapa sangka pemimpin Muslim yang penuh kontroversi ini ada obsesi yang tinggi dengan tabiat yang amat gemar memuat naik foto diri sendiri, dari gambar swafoto hinggalah segala apa yang dia rasakan perlu dimuat naik, biasanya gambar dia bersama rakan-rakan pemimpin sedunia.

Tetapi dari keseluruhan gambar yang pernah memenuhi akaun Instagramnya, mungkin koleksi gambar-gambar beliau berswafoto dan beraksi bersama pelbagai jenis haiwan domestik, eksotik dan haiwan liar adalah yang paling unik, ia menonjolkan sisi lembut dirinya sebagai seorant pencinta haiwan.

Kadyrov di ladang kambing

Selain daripada itu, dia juga gemar bergambar dengan selebriti-selebriti terkenal. Tidak cukup dengan gambar binatang dan artis, gambar dia sedang menjalani rutin penjagaan gigi bersama pakar pergigiannya turut dimuat naik.

Diktator Chechnya itu telah memuat naik lebih 4,800 hantaran foto dan mempunyai kira-kira 905,000 pengikut di akaun Instagram @kadyrov_95 yang kini telah pun dipadamkan oleh pihak Facebook.

Pada Mei 2013 dia memuat naik gambar dirinya bersama aktres terkenal Liz Hurley dan seekor anak kucing putih di Instagram selepas bertemu dengan pelakon itu ketika Liz tiba di Chechnya untuk penggambaran filem Turquoise.

Kadyrov dan Liz Hurley

Semenjak dari tahun 2012, Kadyrov telah memuat naik berpuluh atau beratus gambar dalam masa sehari di akaun Instagram beliau, kebanyakan gambar yang disiarkan pasti ada yang pelik-pelik. Namun hakikatnya, inilah dia, seorang lelaki yang paling digeruni di Rusia selepas Vladmir Putin, dan memiliki pasukan militia ‘Kadyrovtsy‘ yang sangat kuat.

Kadyrov dilaporkan mengendali sendiri setiap akaun sosial medianya.

Ramzan Kadyrov lahir di Chechnya pada tahun 1976, dan sama seperti kebanyakan pemuda generasinya, dia telah membesar dalam kehidupan yang hampir keseluruhannya ditentukan oleh dua peperangan ganas yang melanda republik itu pada tahun 1990-an dan 2000-an.

Dalam perang Chechen pertama 1994 hingga 1996, dia berjuang bersama-sama dengan bapanya, Almarhum Akhmad Kadyrov, sebagai anggota kumpulan pejuang pemisah Chechen yang menentang Rusia.

Kucing peliharaan Kadyrov yang pernah hilang dan ditemui semula.

Tetapi pada tahun 1999, selepas Vladmir Putin melancarkan Perang Chechen Kedua untuk memulihkan kembali kawalan Rusia ke atas republik yang dipisahkan separatis, Kadyrov bertindak mengalihkan sokongannya kepada Putin.

Bapa beliau, Akhmad, kemudian dilantik sebagai presiden republik pro-Rusia itu. Namun, apabila Akhmad dibμnuh melalui serangan bom pada tahun 2004, tampuk kepimpinan pro-Rusia itu diserahkan kepada anaknya.

Tentera militia Kadyrovsky.

Peninju dan ahli bina badan ini pada asalnya bukanlah seorang ahli politik yang ada pendirian politik yang jelas, tetapi selepas menerima sokongan dan mandat dari Putin, Kadyrov menjadi salah seorang lelaki yang paling berkuasa di Rusia dalam masa sekelip mata.

Bagi penyokongnya, Kadyrov adalah seorang patriot Rusia yang berjasa dalam mengembalikan keamanan terhadap wilayah yang musnah kerana perang, serta memimpin fasa pemulihan dan pembinaan semula negara pasca perang.

Bagi musuh-musuhnya, dia adalah seorang pemberontak yang telah menjadikan Chechnya sebagai wilayah persendirian di mana undang-undang Rusia tidak terpakai di sana.

Vladmir Putin

Mereka menganggap Kadyrov mempraktikkan keganasan dan pembμnuhan untuk menghapuskan bukan sahaja pemberontakan puak pemisah Islamis, tetapi pesaing politik, aktivis hak asasi manusia, jurnalis dan pembangkang domestik.

Dia seorang peminat sukan tinju yang menganggap Mike Tyson dan pelakon aksi Steven Seagal sebagai kawan-kawannya, dan dia juga ada satu lagi tabiat iaitu gemar menghadiahkan gumpalan wang kertas 1,000 Rouble (lebih kurang RM50) kepada sesiapa saja yang dianggap sebagai subjeknya.

Bersama Mike Tyson.

Dia juga adalah seorang yang amat gilakan sukan, malah dia pernah memilih dirinya sendiri untuk bermain dalam pasukan bola sepak kebangsaan semasa perlawanan persahabatan bola sepak bersama para bintang pasukan Brazil semasa Brazil menjuarai Piala Dunia 2002.

Presiden Chechnya dalam perlawanan persahabatan bersama Brazil.

Aktivis hak asasi manusia menuduh pasukan bersenjata yang dikawal oleh Kadyrov sebagai bertanggungjawab di atas beberapa kes individu hilang, penyeksaan, hukuman bunμh di luar undang-undang, dan menghukum secara kolektif terhadap seluruh anggota keluarga mana-mana suspek individu yang terlibat dalam perjuangan pemberontak Islamis.

Dan pasukan bersenjata Kadyrov juga telah dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan rentetan kes pembunμhan musuh-musuh politik, aktivis hak asasi manusia, atau wartawan.

Walau bagaimanapun, bukan satu perkara yang mudah untuk membawa Kadyrov ke muka pengadilan kerana ketiadaan dan kesukaran untuk menemui walau sedikit bukti yang kukuh dan jelas tentang penglibatan Kadyrov secara peribadi.

Selfie…

Kekurangan ini telah diakui oleh pihak Human Rights Watch Moscow sendiri. Segala tuduhan dan kaitan yang dilemparkan adalah berdasarkan karakter peribadi Kadyrov sendiri yang gemar memberikan ancaman secara terbuka terhadap penentangnya.

Selain kes-kes setempat, Kadyrov turut dituduh sebagai dalang terhadap beberapa kes pembμnuhan figura politik dan ketenteraan Chechnya yang berlaku di luar negara.

Amboi dia..

Namun masih juga tiada sebarang bukti kukuh mengaitkan Ramzan Kadyrov secara peribadi dengan mana-mana pembμnuhan ini, dan beliau sendiri juga berulang kali menafikan sekeras-kerasnya terlibat dalam mana-mana kes jenayah sedemikian.

Di sebalik setiap tuduhan liar yang menyebabkan imejnya dipandang sebagai seorang pemimpin yang kejam dan bahkan secara terbuka dianggap sebagai seksis dan anti kebebasan seksual songsang, Kadyrov sebenarnya adalah seorang pengguna Instagram yang amat tegar sehingga kadang-kala dia boleh terlanjur memuat naik sesuatu yang menjadi sumber kontroversi.

Comel lah pula.

Kemuncak obsesinya yang jelas terhadap media sosial adalah ketika dia mengancam untuk memadamkan akaunnya selepas menerima kritikan kerana telah memuat naik foto dirinya bersama Bekkhan Ibragimov, seorang lelaki Chechen yang terlibat dalam kes pembμnuhan seorang penyokong kelab bola sepak Rusia pada tahun 2010.

Namun Kadyrov yang sebenarnya tidak sanggup menutup akaun Instagramnya itu bertindak menarik balik kenyataannya, bahkan dia berjanji untuk terus menggunakan Instagram, Twitter, dan LiveJournal bagi menghiburkan sesiapa sahaja yang meminati akaun media sosialnya dan gambar-gambar lawatan kerjanya sebagai presiden.

Diktator pencinta haiwan.

Tetapi sebenarnya, mungkin Kadyrov sendiri sudah jemu setelah menghadapi puluhan tindakan sekatan kekal atau sekatan bertempoh terhadap akaun-akaun sosial medianya, terutama akaun Instagram dan Facebook. Dia pernah mendedahkan bahawa akaun peribadinya sudah berulang kali dikenakan tindakan ‘zucc‘.

Dan yang paling terkini iaitu hanya beberapa hari yang lepas, sebuah halaman pembantu Ramzan Kadyrov di Instagram, yang digunakan pemimpin Chechnya tersebut sebagai akaun ‘backup‘ kerana semua akaun peribadinya di setiap platform media sosial sudah disekat, tetapi kini akaun backup juga sudah tidak boleh diakses lagi.

Halaman @ya_pomoshnik_kra_95 yang telah beroperasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini bagi pihak Kadyrov, kini telah dialih keluar atau dinyahdayakan secara kekal. Setakat 1 Februari 2022, akaun tersebut telah meraih sebanyak lebih 8.4 juta subscribers.

Halaman Instagram Kadyrov yang telah disekat.

Pada Disember 2017, Amerika Syarikat memasukkan nama Kadyrov ke dalam senarai sekatan, kerana dipercayai bertanggungjawab di atas hukuman bμnuh di luar undang-undang, penyeksaan dan pelanggaran hak asasi manusia lain di Chechnya.

Pada Mei 2020, akaun Instagram yang digunakan secara peribadi oleh Ramzan Kadyrov telah dipadamkan gara-gara sekatan Amerika Syarikat.

Bayangkan jika Malaysia ada seorang pemimpin seperti Ramzan Kadyrov di dalam mana-mana parti politik, mungkin parti politik itu sudah tidak memerlukan khidmat ‘cybertrooper’ lagi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Leave A Reply