Semua sedia maklum salah satu kemasukan terbaru dunia filem The Conjuring, The Nun sedang sibuk ditayangkan di pawagam seluruh dunia termasuk di Malaysia. Filem yang menampilkan Demian Bichir dan Taissa Farmiga ini memaparkan asal-usul Valac dan bagaimana ia mengganggu Lorraine Warren (Vera Farmiga) dalam siri filem The Conjuring. Apa yang saya nak sebutkan di sini ialah di sebalik kisah seram menyelubungi biarawati yang dirasuk syaitan, tersirat sebuah kisah bagaimana mereka menjadi ejen ilmu semasa Zaman Pertengahan.
Tidak seperti kaum Hawa lain di tamadun-tamadun lain seperti Tamadun Islam atau Viking yang diberi kebebasan menuntut ilmu dan mendapat hak melebihi kaum Adam, berbeza pula kisahnya di Eropah. Sekiranya wanita mahu menyambung pengajian dalam disiplin ilmu, mahu tidak mahu mereka perlu menyertai gereja dan menjadi biarawati. Mengapa perkara ini berlaku? Selepas kejatuhan Empayar Rom pada abad kelima Masihi, pendidikan bukan lagi menjadi keutamaan kerajaan ketika itu. Sebaliknya, mereka menekankan aspek ketenteraan dan kemahiran berlawan yang dilihat lebih penting bagi menjaga kedaulatan dan kekuasaan sesebuah kerajaan.
Selepas institusi pendidikan dibiarkan terabai selama beberapa abad, peranan institusi tersebut dikembalikan apabila kuasa pihak gereja semakin kukuh di Eropah. Bagi mengisi semula ruang, mereka membangunkan sistem pendidikan bagi tujuan keagamaan. Pihak gereja menjadikan biara-biara sebagai pusat pembelajaran. Namun, tak ramai yang berpeluang menikmati kemudahan sedemikian. Hanya pelajar yang datang dari keluarga bangsawan dan kelas atasan saja yang dibenarkan menerima pendidikan penuh.
Sementara golongan petani dan rakyat biasa pula langsung tidak berpeluang menerima peluang itu kerana selain mengerjakan tanah yang dimiliki tuan tanah mereka, yuran yang dikenakan pihak gereja terlalu mahal untuk mereka melanjutkan pelajaran. Ini kerana sistem pendidikan ketika itu mahukan rakyat biasa dan petani kekal dalam keadaan buta huruf, sekaligus memudahkan golongan pemerintah memerintah mereka tanpa sebarang halangan.
Bagi kaum wanita pula, mereka langsung tidak berpeluang mendapat pendidikan formal terutama sekiranya mereka bertaraf rakyat biasa dan petani. Jika mereka dapat belajar sekalipun, ianya direka bagi membantu mereka menjadi isteri dan ibu yang baik. Ini ditambah pendirian pihak gereja yang melihat golongan wanita lemah dari segi intelektual berbanding golongan lelaki. Dan bagi yang pernah menonton filem The Da Vinci Code, pastinya anda sedar tentang sebutan buku The Malleus Maleficarum dalam adegan diskusi Robert Langdon (Tom Hanks), Sir Leigh Teabing (Sir Ian McKellen) dan Sophie Neveu (Audrey Tautou). Buku tersebut merupakan rujukan pihak gereja untuk memburu dan membunuh golongan yang mengamalkan sihir termasuk kaum wanita. Mana-mana wanita yang terpelajar dan dianggap mengancam idea-idea yang dipromosikan gereja dilabel sebagai sesat dan dihukum dengan pelbagai hukuman yang menakutkan.
Tetapi bagi wanita yang datang dari kelas atasan, mereka diberikan kelonggaran untuk mendapat pendidikan kerana terdapat beberapa kewajipan yang memerlukan mereka celik huruf. Tetapi apa jenis pendidikan yang diterima mereka diterhadkan dan ia dikawal sepenuhnya oleh pihak gereja. Begitu juga dengan biarawati wanita digalakkan menyambung pengajian mereka kerana mereka perlu memahami setiap aspek pengajaran kitab Bible. Jadi tidak hairanlah mengapa kebanyakan cendekiawan wanita datang dari kalangan golongan biarawati. Antara bentuk pelajaran yang diterima biarawati bila mereka belajar di biara ialah membaca dan menulis dalam Bahasa Latin, muzik, pendidikan moral, geometri dan astronomi.
Selain itu, mereka turut melakukan aktiviti pintalan, tenunan dan sulaman yang dianggap sebahagian besar daripada aspek pendidikan dan pekerjaan mereka. Bagi biarawati yang datang dari keluarga yang tidak berkemampuan, mereka dijangka melakukan kerja-kerja yang lebih berat sebagai sebahagian daripada aspek kehidupan beragama mereka. Wanita yang berjaya mendapat pendidikan tinggi akan dianggap setaraf dengan kaum lelaki dari segi kedudukan sosialnya. Biarawati sebegini diangkat sebagai ketua gereja kawasan mereka dan mereka mempunyai kuasa melebihi wanita-wanita lain ketika itu.
Antara cendekiawan wanita yang mendapat pendidikan di biara dan gereja:
- Juliana Morell merupakan biarawati dari Dominican Order berbangsa Sepanyol dan orang pertama menerima ijazah undang-undang. Sejak kecil, beliau merupakan seorang pelajar yang pintar dan berkemampuan menguasai Bahasa Latin, Yunani dan Ibrani. Selepas berhijrah ke Lyon pada usia 8 tahun, Morell menguasai pelbagai subjek seperti muzik dan etika. Pada usia 12 tahun, beliau sudah berkemampuan menghasilkan tesis dan mempertahankannya di khalayak ramai. Antara karya yang dihasilkan Morell ialah terjemahan Spiritual Life karya Frior Vincent Ferrer dari Bahasa Latin ke Bahasa Perancis dan sebuah buku manual bertajuk Spiritual Exercises for Eternity. Morell meninggal dunia pada 26 Jun 1653.
- Francisca de Lebrija merupakan seorang pensyarah universiti abad ke-16 Masihi di Sepanyol. Kisahnya unik kerana jarang didengar wanita diberi peluang belajar dan menjadi pensyarah di sebuah universiti. Sepanyol merupakan antara beberapa tempat yang memberi peluang kepada wanita untuk mendapat peluang sedemikian. Ini disebabkan latar belakang Ratu Isabella sendiri yang pernah mendapat peluang pendidikan formal. Selain itu, de Lebrija berjaya berikutan bapanya juga merupakan seorang penulis dan cendekiawan terkenal.
- Isabella Losa merupakan seorang biarawati merangkap pakar dalam bidang teologi yang hidup antara 1491 hingga 1564. Selain berkemahiran dalam Bahasa Yunani, Latin dan Ibrani, Losa juga dikenali kerana mendapat ijazah dalam bidang teologi dari Universiti Cordova.
SUMBER
- Education in the Middle Ages. The Finer Times. http://www.thefinertimes.com/Middle-Ages/education-in-the-middle-ages.html
- Pak, Eudie. (2018). History.com. When Women Became Nun to Get a Good Education. https://www.history.com/news/women-education-medieval-nuns-church
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih