1 November 1917.

Tarikh yang diingati oleh seluruh dunia terutama rakyat Palestin dan dunia Islam betapa lemahnya pihak British dan betapa jeleknya Zionis untuk mendapatkan tanah Palestin sebagai negara baru mereka. Bertitik tolak dari peristiwa ini juga telah membawa kepada peristiwa An-Nakbah 1948 iaitu peristiwa malapetaka kepada rakyat Palestin dan negara Arab yang lain.

Tapi tulisan kali ini saya nak bawakan 5 perkara yang perlu kita tahu berkaitan Deklarasi Balfour yang menjadi dosa lampau tidak terhapus British terhadap rakyat Palestin. Lebih 100 tahun selepas Lord Balfour membuat deklarasi ini, ada satu perjanjian kecil yang dibuat oleh mantan Setiausaha Perdana Menteri British, David Lloyd atau kerajaan yang selepasnya yang berkaitan dengan tindakan mereka ke atas Palestin.

Ia bukan lagi sesuatu yang misteri di mana British menginginkan Palestin untuk empayarnya, dan dari sudut geostrategiknya terlahirnya Perang Dunia I. Sehingga ke akhirnya, kerajaan British cuba mengeksploitasi gerakan Zionis tapi bukan untuk membina Jewish State atau Negara Yahudi. Gabungan mereka hanyalah untuk British menguruskan Palestin kerana telah menjangkakan pemberontakan dari majoriti Arab Palestin.

Sebelum Perang Dunia I, Britain tidak berminat langsung dengan kawasan jajahan Uthmaniyah di Palestin. British terus mengekalkan tidak minat mereka ke atas Palestin sehingga selepas tercetusnya perang. De Bunsen Committee, yang diadakan pada April dan Mei 1915 untuk kerajaan British mempertimbangkan minat mereka ke atas kawasan Uthmaniyah di Asia termasuk Palestin. Boleh pula berubah pendirian British atas sebab kuasa.

Laporan De Bunsen Committee telah membuat satu kesimpulan bahawa,

“Palestine must be recognised as a country whose destiny must be the subject of special negotiations, in which both belligerents and neutrals are alike interested”

  1. Diplomasi untuk Memecahkan Wilayah di Palestin

Diplomasi yang dipandu British ini muncul apabila Sir Mark Sykes membuat perjanjian bersama Charles Francois Georges-Picot di antara April dan Oktober 1916 yang telah menyebut bahawa Palestin perlu diletakkan dan dibahagikan kepada Russia, Perancis dan British, manakala Britain terus menguasai Haifa yang merupakan pelabuhan Mediterranean pihak British.

Antara Oktober 1916 dan November 1917, kedudukan Britain berubah dari tidak berminat kepada berminat terhadap Palestin untuk manfaat empayarnya selepas tercetusnya Perang Sinai. Banyak pertempuran kecil yang berlaku dalam merebut tanah Palestin antaranya Perang Gaza I, Perang Gaza Kedua I dan Pertempuran Beersheba.

British telah mengalami kekalahan dalam Perang Gaza I dan II dan ini menyebabkan British lagi berhati-hati untuk menyusun serangan ke atas Palestin yang masih dibawah kerajaan Uthmaniyah. Pada 31 Oktober 1917, British melancarkan pertempuran Beersheba yang telah memecahkan pertahanan Uthamniyah di selatan Palestin dan pasukan Uthmaniyah mengaku kalah pada Disember 1917. 3 hari selepas perang, Lord Balfour mohon kepada kerajaan British untuk menubuhkan negara Yahudi.

  1. British Menyokong Cita-Cita Zionis

British sebenarnya langsung tak berminat dengan ideologi Zionism sebelum Perang Dunia I. Buktinya adalah pada 1913, Sir Arthur Nicolson yang merupakan pegawai di Jabatan Luar Negeri menolak untuk menerima kedatangan Nahum Sokolow yang merupakan ahli eksekutif World Zionist Organization. Sir Arthur hanya menghantar setiausahanya  dan selepas dijelaskan oleh setiausahanya, Nicolson membalas,

 “In any case we had better not intervene to support the Zionist movement. The implantation of jews is a question of internal administration on which there is great division of opinion in Turkey”

British tidak menyokong Zionis sehinggalah pada 1917 mereka melihat ada nilai strategik yang boleh digunakan oleh mereka untuk perluasan empayar mereka. Kalau korang nak tahu, Britain adalah negara anti-semitik tetapi disebabkan mereka nampak peluang untuk menjatuhkan musuh mereka, mereka akur untuk bersama Zionis dalam menarik Rusia dan Amerika dalam kancah Perang Dunia I. Sasaran mereka sebenarnya hanyalah untuk menjatuhkan Turki Uthmaniyah yang melindungi Palestin ketika itu.

  1. Tentangan dari Rakyat Palestin

Britain tidak pernah meragukan rakyat Palestin akan melawan mereka setelah perancangan mereka untuk meletakkan Palestin di bawah mandat British. King-Crane Report 1919 telah menyatakan,

“That non-Jewish population of Palestine – nearly nine-tenths of the whole- are empathically against the entire Zionist program. The table show that there was no one thing upon which the population of Palestine were more agreed that upon this”

King-Crane Report juga menyatakan, “no British officer consulted by the Commissioners believedthat thee Zionist program could be carried out except by force of arms”. Di sini British tahu betapa kuatnya rakyat Palestin akan melawan niat dan perancangan mereka.

  1. Kemerdekaan Separuh Masak

Rakyat Palestin telah menolak Peel Report 1937 yang memberi kesan selama 2 tahun ketegangan antara rakyat Palestin dan British sehinggakan British telah mengerahkan 25,000 askar dan polis untuk meredakan Revolusi Arab yang berlaku.

Untuk mendamaikan keadaan, British telah mengeluarkan White Paper 1939. White Paper 1939 telah memberi bayangan lagi jelas untuk menubuhkan negara haram Israel kerana isi kandungan perjanjian ini telah membenarkan kemasukan imigran Yahudi selama lima tahun sahaja tetapi dikawal mengikut tahap tertentu dan populasi Yahudi bertambah kepada 35 peratus.

Ini memberi ketidakpuasan kepada imigran Yahudi kerana mereka masih tidak menjadi majoriti di tanah Palestin. Arab Palestin juga menolak kerana imigran yang datang ini telah diberikan tanah secara percuma untuk membina penempatan mereka.

Pada 1939, British sepatutnya memberi kemerdekaan kepada Palestin kerana undang-undang menuntut siapa yang majoriti maka dia mempunyai kuasa untuk menentukan kemerdekaan Palestin. Tetapi British masih lagi meletakkan Palestin di bawah mandat mereka dengan alasan Palestin belum bersedia untuk merdeka sepenuhnya.

  1. ‘Kutukan’ Terakhir kepada British

Pemberontakan Yahudi pada 1994-1947 membuktikan mandat British hampir musnah, apabila mereka membunuh pegawai tertinggi British, menyerang bangunan, mengebom balai polis dan pada 1946 mereka telah mengebom Hotel King David dan itu adalah permulaan.

Apa yang menyebabkan British menjadi lemah di Palestin adalah kerana keruntuhan sokongan Yishuv yang merupakan salah satu badan pertubuhan penduduk Yahudi di Tanah Israel terhadap pemerintahan British di Palestin. British sentiasa menginginkan Palestin menjadi sebahagian jajahan takluknya.

Kesilapan besar British adalah dengan mereka merasakan mereka boleh menguruskan permusuhan dan semangat nasionalisme yang telah mereka adakan di Palestin. Dengan bertambahnya imigran Yahudi di Palestin, maka British menjadi tidak relevan di Palestin.

Maka British yang tamak akhirnya jatuh kerana ketamakannya. Orang yang tidak bersalah seperti rakyat Palestin telah menerima tempias yang besar sehingga kini. Maka sepatutnya British menyokong negara-negara dunia untuk menekan Israel dari bertindak berterusan membunuh rakyat Palestin yang hilang negara dan tanah mereka.

RUJUKAN:

Gregory Harms, The Palestine-Israel Conflict: A Basic Introduction, 2017, Pluto Press

Ilan Pappe, The Ethnic Cleansing of Palestine, 2006, OneWorld Publication Ltd.

Phillip Wirtz, Depicting The Late Ottoman Empire in Turkish Autobiographies, 2017, Routledge Taylor and Francis Group


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan seorang Jurutera Mekanikal Lapangan di The Hub's Engineering Bergiat aktif dengan YADIM dan merupakan Presiden Kluster Belia di bawah YADIM iaitu Sahabat YADIM.

Comments are closed.