SEBELUM
kedatangan kaedah perubatan moden yang kita kecapi sekarang, suatu waktu dahulu
setiap masyarakat di dunia sudah tentu mempunyai rawatan perubatan
tradisionalnya yang tersendiri. Di dalam
konteks Sarawak Bumi Kenyalang yang mempunyai kepelbagai kaum sudah tentu
mempunyai kaedah perubatan tradisional yang tersendiri. Dan rawatan tradisional
kaum-kaum di Sarawak turut sentiasa diselimuti dengan unsur-unsur mistik dan
supernatural.
Rawatan
tradisional dahulukala kaum Melanau turut tidak terkecuali dengan unsur-unsur
mistik dan supernatural namun sayangnya dek kerana peredaran zaman kebanyakan
daripada kaedah rawatan tradisional ini sudah lenyap ditelan waktu lebih-lebih
lagi tatkala kebanyakan kaum Melanau sudah berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing
seperti Islam, Kristian dan agama samawi yang lain. Banyak adat-adat lama
tinggalan nenek moyang turut sama ditinggalkan kerana ianya melanggar
nilai-nilai agama yang dianuti sekarang.
Pisak
Bubou, Bebayoh, Payun Peseladai adalah antara ritual mistik yang sering
mendominasi kaedah rawatan tradisional dahulukala kaum Melanau. Boleh dikatakan
ritual-ritual ini sudah hampir pupus kerana ketiadaan penerusnya ditambahlagi
amatlah kurang permintaan untuk mengadakannya di dalam masyarakat Melanau itu
sendiri. Kepesatan dunia moden dengan
kaedah yang serba moden maka ramai memilih untuk mendapat rawatan moden yang
disediakan oleh klinik-klinik yang berselerakan di sana sini di Sarawak.
Penggunaan
patung sebagai media tengah untuk memindahkan penyakit yang dialami oleh si
pesakit adalah antara kaedah rawatan tradisional kaum Melanau dahulukala. Bagi Melanau yang mendiami kawasan seperti
Bintulu dan Mukah menggelar patung ini dengan nama “Dakan” manakala untuk
mereka yang mendiami kawasan seperti Dalat misalnya akan memanggilnya dengan
nama “Bilum”. Dakan atau Bilum adalah
satu patung yang diperbuat daripada pokok rumbia iaitu ianya diukir dengan
menggunakan pisau kayan dan bahannya adalah isi pokok rumbia atau dikenali
sebagai betok balau.
Bagi
mengukir satu dakan atau bilum bukanlah satu kerja yang mudah kerana walau
sebaik mana “a bayoh” atau bomoh itu belum tentu dia boleh mengukir dakan atau
bilum. Ini kerana hanya orang-orang
tertentu sahaja yang boleh mengukirnya setelah didatangi dengan “titah” atau
diperturunkan di dalam mimpi. Dan antara
pantang larang kaum Melanau pula tidak membenarkan orang-orang muda untuk
membuatnya kerana diistilahkan sebagai tulang masih muda atau kurang
berpengalaman hidup. Jadi kebanyakan
dakan dan bilum yang sedia ada sekarang adalah hasil daripada “a bayoh” yang
sudah lanjut usia.
Sementara itu sebelum membuat dakan atau bilum, “a bayoh” akan terlebih dahulu mengenalpasti penyakit yang dihidapi oleh pesakit. Ini kerana dakan atau bilum mempunyai saiz, bentuk dan jenis yang tertentu bergantung kepada keadaan penyakit. Jika diikutkan setiap dakan mempunyai sembilan jenis maka dianggarkan ada lebih kurang 1000 ke 1500 jenis dakan atau bilum yang pernah ada.
Antara nama-nama dakan atau bilum yang diperbuat daripada betok bilau adalah seperti “Dakan Sebelang Langit” untuk mengubati sakit kepala, “Jakau Nerading” untuk sakit perut, “Belagan Siau” bagi rawatan sakit dada, “Balun Belaga”, “Naga Pemalei atau Naga Pekulieng”, “Bu’aw Tow”, “Pulum”, “Duhig Balow”, “Belalangan Yang”, “Naga Sebalun”, “Naga Semalayang”, “Naga Pesilieng” serta banyak lagi. Selain itu ada juga dakan atau bilum yang dianyam dari daun rumbia seperti “tagak eyeng”, “sayag” serta banyak lagi. Setiap satu anyaman turut mempunyai sembilan jenis dan dianggarkan ada 500 ke 700 bentuk dan saiznya.
Setelah dikenalpasti penyakitnya melalui upacara Bebayoh baharulah dakan itu akan dihasilkan dan bentuknya sudah pasti seperti yang dijelmakan di alam mimpi “a bayoh”. Isi daripada betok balau akan diambil dan proses pengukiran akan bermula dari bahagian badan dahulu dan seterusnya ke bahagian kepala.
Difahamkan ketika proses pengukiran dakan itu berlangsung, “a bayoh” akan turut membaca jampi dan mentera yang tertentu. Banyak pantang larang yang harus diikuti di sepanjang proses berlangsung dan tidak boleh dilanggar misalnya dakan ketika digunakan tidak boleh sesekali dicucuk. Jika sekiranya ianya diingkari nescaya sesuatu yang buruk akan menimpa si pesakit ketika proses rawatan berjalan kelak.
Melalui
ritual Pesilok, pesakit kemudiannya akan diubati dengan menggunakan dakan. Di
dalam ritual ini, pesakit adalah didalam posisi duduk dan “a bayoh” akan
meletakkan dakan atau bilum diatas kepala pesakit dan seterusnya dimandikan
bersama-sama. Siraman adalah bermula
dari atas kepala dan pada masa itulah “a bayoh” akan memainkan peranan dengan
menyembur dakan atau bilum dengan sireh pinang yang dikunyahnya dan setiap
titisan air yang mengalir dari dakan akan turun membasahi tubuh badan pesakit.
Bagi pesakit
yang sudah lumpuh atau tidak terdaya untuk bangun dan berada di posisi duduk
pula mempunyai kaedah yang lain. “A
Bayoh” akan memandikan dakan dan seterusnya disembur terlebih dahulu dan
titisan air yang mengalir dari badan dakan akan ditakung di dalam satu
bekas. Kemudian baharulah air di dalam
bekas takungan itu digunakan untuk mandian atau dilap kepada badan
pesakit.
Setiap jampi
serapah dan mantera yang digunakan untuk proses ini turut berbeza mengikut
jenis dakan atau bilum yang digunakan. Antaranya
adalah seperti berikut yakni sekiranya menggunakan jenis Dakan Belalangan
Tugan:
“Oi
Belalangan Tugan, kaau a menyingen, wak menyebuyak a itou, kaau lah bak
mengediak, pit supit nou penyakit sien, padak diak lah dana, lah mula lah”.
Proses
terakhir setelah upacara memandikan selesai adalah urusan penting “a bayoh”
yang mana untuk membuang dakan atau bilum ke satu lokasi yang telah
ditetapkan. Difahamkan lokasi untuk
membuang dakan tersebut hanya “a bayoh” si pembuat dakan yang mengetahuinya. Dek kerana itulah ada antara dakan-dakan itu
sengaja diletakkan di atas atau dibawah pokok, di tebing-tebing sungai atau
dihanyutkan ke dalam sungai. Untuk ritual Payun Peseladai pula, dakan yang
digunakan kebiasaannya akan diletakkan di dalam sebuah tempat khas iaitu yang
dinamakan sebagai Nabun.
Di dalam
kepercayaan masyarakat Melanau menyatakan bahawa sekiranya ada yang terserempak
atau terjumpa dengan mana-mana dakan atau bilum yang haruslah jangan sama
sekali untuk menegur atau mengusik dakan tersebut. Sekiranya ditemui haruslah segera beredar dan
menjauhkan diri daripada lokasinya.
Selain itu adalah dilarang keras untuk cuba membawanya pulang ke rumah
kerana natijahnya amat buruk. Cubaan untuk mengusik seperti menetak kepala
dakan dengan sengaja atau tidak sengaja misalnya boleh membawa maut kepada yang
mengusiknya kerana roh jahat yang
meresapi dakan akan membalas dendam.
Begitulah
serba sedikit informasi di dalam kita cuba mengenali apakah itu Dakan atau
Bilum yakni patung rawatan tradisional kaum Melanau yang menjadi media
peralihan penyakit yang diamalkan oleh masyarakat Melanau sejak dari dahulu
lagi. Ritual-ritual mistik yang
diselimuti alam-alam ghaib mewarnai proses rawatannya dari mula sehingga ke
akhir. Biar ianya tidak begitu
dipraktikkan lagi namun keberadaannya sebagai satu warisan dan tradisi
masyarakat Melanau wajar diketahui umum biarpun kita sudah berada di zaman
millenium.
Tidak
Kenal Maka Tidak Cinta.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
RUJUKAN:
- Analisa Terhadap Adat Dan Keistimewaan Masyarakat Melanau Di Sarawak. http://www.ukm.my/rsde/wp-content/uploads/2014/11/09-adat-Malanau.pdf
- Dakan / Bilum. https://museum.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=photo_gallery&sub=photo_listing&menu_id=&sub_id=&alb=32
- Dakan. https://www.facebook.com/ILoveMelanau
- Temubual bersama
aktivis kebudayaan Melanau, Encik Sapan Puloh Sungai Teloh pada 4 Julai 2019.




No comments yet