Dadah dan peperangan tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Dalam sesetengah tamadun atau organisasi, selain digunakan untuk tujuan perubatan, ada juga yang digunakan untuk menambah keberanian pahlawan atau tentera bila melawan pihak musuh. Mungkin ada yang mengatakan ia satu pembohongan tetapi ia digunakan ramai pihak dari Yunani hinggalah pengganas Daish yang mencetuskan situasi kacau-bilau di Timur Tengah.

Dadah dan dunia purba

Keberanian merupakan antara ciri penting seorang perwira dan bagi setiap tamadun dari timur dan barat, pahlawan sebegini menjadi kebanggaan masyarakat ketika itu. Maharaja-maharaja Parsi misalnya memperkenalkan diri mereka sebagai pemerintah yang adil dan berani. Sementara di China pula, Mengzi menerapkan falsafah keberanian seharusnya menjadi sebahagian daripada tujuan utama kehidupan. Keberanian dan kekuatan sebegini berpunca daripada diberi kurniaan Tuhan atau mempunyai asal-usul kayangan seperti kes Hercules dan Achilles.

Ada juga yang bergantung kepada herba atau dadah tertentu bagi membolehkan mereka menjadi pahlawan yang disegani. Dalam kisah Odyssey yang menampilkan Odysseus, pada satu ketika mereka tiba di satu kawasan yang dikenali sebagai ‘tanah si pemakan bunga teratai’, satu wilayah yang dihuni penduduknya yang menghasilkan makanan dari bunga berkenaan. Apabila peninjau-peninjau Odysseus merasa sedikit ‘madu’ yang dihasilkan mereka, mereka merasa tidak bermaya dan khayal sehingga tidak mahu pulang ke kem mereka. Sebarang fikiran untuk kembali ke tanah air hilang sepenuhnya selepas mereka merasa makanan yang dihasilkan penduduk wilayah berkenaan.

Ubat atau dadah sebegini bukanlah asing bagi penduduk di sebelah timur lebih-lebih lagi untuk jenis tanaman yang mempunyai khasiat tertentu. Pokok kayu manis misalnya diminati oleh tamadun China, Parsi dan Mediterranean Timur kerana mempunyai khasiat merawat penyakit seperti sakit perut, sakit kepala dan penyakit jantung. Bahkan, pakar perubatan Yunani terkenal Dioscorides memberi preskripsi kayu manis kepada wanita yang mengalami masalah kitaran haid. Sementara satu buku farmasi dari Sepanyol mendedahkan minyak buah pala boleh merawat muntah-muntah dan cirit-birit manakala minyak buah pelaga pula melegakan usus dan membantu mengurangkan kentut. Semasa era pemerintahan Charlemagne, baginda mengarahkan rakyat memetik bunga mallow (sejenis tumbuhan liar di mana batang dan daunnya berbulu) kerana mempunyai khasiat merawat luka peperangan yang dialami tentera.

Selain sebagai penawar penyakit, orang-orang terdahulu juga tahu bagaimana hendak merangsang diri mereka terutama di ranjang. Satu catatan Arab menceritakan individu yang mengalami masalah saiz alat sulit perlu menyapu campuran madu dan halia pada bahagian alat sulit mereka. Tambah catatan tersebut, campuran tersebut mampu memberi kesan hebat kepada pasangan suami isteri dan sekaligus mengembalikan keharmonian rumahtangga yang terganggu akibat masalah ini.

Sementara kitab Veda pula menceritakan khasiat kanabis atau ganja sebagai sumber kegembiraan, penghapus kerisauan dan pemberi kegembiraan sehinggakan penjaga tanaman itu tidak mahu berjauhan dari tanaman mereka. Sumber-sumber China tidak mendedahkan kesan kanabis/ganja sehinggalah teks yang ditulis Pen Tsao Ching yang mendedahkan sekiranya ia diambil secara berlebihan, ia akan mengakibatkan halusinasi. Jika ia diambil secara jangka panjang, si pengambil boleh berhubung dengan roh-roh dan merasa dirinya tidak terbeban. Peranannya sebagai intoksikan sudah diketahui sejauh India, Parsi dan Timur Tengah sehinggakan ada yang menasihatkan supaya ia tidak diambil secara berlebihan dan jangka masa panjang.

Tetapi ada yang memilih untuk tidak mengendahkan lebih-lebih lagi bila direkrut oleh Hassan as-Sabah, seorang pendukung Syiah Ismailiyah dan pengasas kumpulan Hashashin. Menurut pengembara-pengembara dari Venice, beliau dikatakan menggunakan ganja dan perempuan untuk mengumpan mana-mana individu yang mudah termakan menyertai organisasinya Sebagai tukaran kepada dua perkara berkenaan, mereka menjadi pembunuh atau pengacau kepada mana-mana organisasi di Timur Tengah ketika itu sama ada Dinasti Ayubiyah yang diperintah Salahuddin al-Ayubi atau tentera Salib. Tetapi itu tidak bermakna pula ia menyumbang kepada punca kejayaan mereka dalam sesetengah operasi pembunuhan atau sabotaj.

Dadah sebegini hanyalah ganjaran bagi setiap kejayaan yang diraih dan percayalah, jika Hashashin cuba mengambilnya semasa beroperasi, mereka tidak akan mampu menjayakannya. Mungkin atas sebab itu juga, pada abad ke-14, seorang pemerintah Syria mengarahkan semua pokok ganja dimusnahkan. Jika ada yang masih mengambil hashish semasa operasi pembanterasan ganja dilakukan, gigi hadapan mereka akan dicabut sebagai amaran kepada sesiapa yang masih melakukannya. Ini kerana baginda merasakan ganja menyebabkan orangnya tidak berkemampuan untuk melawan lebih-lebih lagi bila wilayahnya diserang pihak musuh.

Dadah dan peperangan moden

Pada abad ke-19, perdagangan membabitkan dadah masih lagi dibenarkan dan salah satu tempat yang menjadi tumpuan eksport Britain ketika itu ialah candu. Dan apa yang dibimbangkan ramai sejak beribu-ribu tahun lalu berkenaan ganja menjadi kenyataan di China. Terima kasih kepada lambakan candu di pasaran, China yang merupakan antara kuasa ekonomi dunia ketika itu terjejas teruk akibat lambakan candu di pasaran dan mengakibatkan 4.12 juta penduduknya menjadi penagih. Isu sebegini yang akhirnya mencetuskan siri Perang Opium antara China dengan kuasa-kuasa Barat dan secara tidak langsung, benih permulaan kepada kejatuhan Dinasti Manchu.

Jika dadah mampu memusnahkan negara dalam konteks perang ekonomi, lihat pula dari konteks peperangan moden. Pada Perang Dunia Kedua, kita menyaksikan jentera perang Nazi melancarkan kempen perang kilat mereka pada tahun 1939 dan 1940 sehingga mampu menguasai sebahagian besar benua Eropah dari Oslo hingga ke Paris. Kempen Blitzkrieg mereka ini dijana oleh sejenis dadah yang dipanggil pervitin. Pervitin dihasilkan oleh syarikat farmasi Temmler dalam skala perindustrian yang besar menjadi kegilaan ramai di Jerman tanpa mengira sama ada orang awam atau tentera Wehrmacht. Penggunaan pervitin ini seolah-olah mengesahkan teori Ubermen yang diagung-agungkan rejim Nazi Jerman yang melihat orang Jerman sebagai orang Aryan atau bangsa super.

Pervitin menjadikan tentera di perbatasan seperti Superman dan mampu melakukan perkara yang dianggap mustahil seperti penawanan Kubu Eben Emael pada Mei 1940. Apa yang menjadikan peristiwa ini luar biasa ialah kemampuan tentera Wehrmacht seramai lebih 400 orang menawan kubu yang dikawal lebih seribu orang dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Kejayaan ini membentuk imej tentera Wehrmacht sebagai jentera perang yang harus dihormati dan digeruni. Pervitin dikatakan menambah kesedaran tentera, mampu berfungsi dalam keadaan kurang tidur, sebagai perangsang prestasi dan menambah konsentrasi mereka di perbatasan.

Satu kajian yang dibentangkan oleh penulis Jerman Norman Ohler mendedahkan pervitin membantu tentera yang berjuang di Medan Timur. Bila mereka tidak diberi dos pervitin, moral tentera amat lemah kerana dibantai suhu sejuk sebanyak -30 darjah Celsius dan tentangan sengit tentera Soviet. Bila mereka diberi pervitin, ia menambah keyakinan, kesedaran dan moral mereka. Pervitin juga menjadi kegilaan kepimpinan tertinggi Nazi Jerman terutama dalam kalangan pihak tentera. Field Marshal Erwin Rommel misalnya sentiasa mengambil pervitin sehingga menggelarnya roti harian. Pada tahun 1944 dan 1945, Nazi Jerman turut menghasilkan dadah D-IX, satu gabungan koktel kokain, morfin dan pervitin untuk kegunaan tentera mereka. Dadah sebegini diuji pada tahanan-tahanan kem di Sachenhausen di mana mereka dipaksa berjalan di atas satu laluan khas yang direka bukan saja untuk menguji kasut baru pihak tentera tetapi menguji keberkesanan D-IX di luar makmal.

Namun, bukan Nazi Jerman saja yang menggunakan dadah untuk kegunaan tentera mereka. Jepun pula menggunakan amphetamina untuk kegunaan tentera mereka semasa kempen Pasifik dalam WWII. Sementara Britain atau lebih tepat Jeneral Bernard Montgomery membekalkan tenteranya dengan Benzedrine sebelum Pertempuran El Alamein menentang Rommel dan unit Afrika Korpnya. Apa yang digunakan oleh unit Montgomery merupakan sebahagian daripada program sama yang membekalkan 72 juta Benzedrine kepada tentera British yang bertempur semasa WWII.

Jika ada merasakan kegilaan sebegini berakhir pasca-WWII, anda salah. Selepas perang, percayalah kuasa-kuasa besar sentiasa akan menguji dadah perangsang untuk kegunaan tentera mereka sendiri dari tahun 1950-an hingga sekarang. Misalnya, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) membekalkan varian amphetamina yang dipanggil dextroamphetamina kepada juruterbang-juruterbang mereka yang akan menjalani misi dengan durasi panjang. Dadah yang dibekalkan USAF ini bertujuan menjadikan mereka lebih awas semasa berada di udara dan mengurangkan keletihan. Ia turut digunakan semasa Perang Teluk di mana 65% daripadanya melaporkan ia amat berguna atau penting kepada misi mereka.

Tetapi semua ini ada harganya. Ada satu insiden di kem latihan Tarnak Farms, Afghanistan pada tahun 2002 yang mengorbankan empat tentera Kanada dan lapan lagi cedera. Insiden ini berlaku disebabkan kesilapan seorang juruterbang USAF yang tersalah tembak ketika di bawah pengaruh Dexedrine. Dan ada satu insiden di mana dua tentera Amerika mati selepas diberi dimetilamina, sejenis dadah perangsang prestasi yang diharamkan oleh Agensi Anti-Dadah Dunia (WADA).

Pihak Amerika tidak keseorangan dalam bab ini. Daish juga tidak teragak-agak menggunakan Captagon dan membekalkannya kepada pejuang-pejuang mereka untuk membantu mereka merasa senang, menambah tenaga dan meningkatkan kesedaran. Secara tidak langsung, keganasan yang berlaku di Syria terutama semasa Perang Saudara Syria yang berlaku pada tahun 2014 berpunca daripada penyalahgunaan dadah yang berleluasa ketika itu membabitkan bukan saja pihak Daish tetapi juga pihak pemberontak.

SUMBER

1. Frankopan, Peter. (2016). Aeon.co. War, on drugs. https://aeon.co/essays/berserkers-and-jihadis-alike-have-used-drugs-to-help-wage-war

2. Joe, Robert dan Willis, Sam. (2016). Nazi World War Weird. Episod 3: Hitler’s Meth Heads. https://www.dailymotion.com/video/x56mw17


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.