Dalam mitologi Yunani Kuno, wujud seorang figura yang terkenal dengan sifat didikannya dan mengajar ramai pelajar-pelajar berdarah demigod (manusia berdarah dewa-dewi) dan dewa-dewi menjadi pahlawan dan raja yang disegani ramai. Figura itu adalah Chiron (sebut Kai-ron).

Chiron adalah makhluk dari puak Centaur (manusia berbadan kuda). Chiron dikenali dengan gelaran ‘Centaur paling bijak dan adil’. Chiron adalah anak lelaki dari hubungan pasangan Titan bernama Kronus dan Philyra dari keluarga Oceanid. Chiron juga mempunyai dua orang adik-beradik bernama Dolops dan Aphrus.

Chiron tinggal di Gunung Pelion dan berkahwin dengan makhluk nymph (roh yang menetap di kawasan berair) bernama Chariclo dan dikurniakan 3 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Terdapat sumber lain menyatakan bahawa isteri Chiron bernama Nais dan mempunyai anak lelaki bernama Aristaeus.

Kisah kanan-kanak Chiron agak sedih. Kronus mengandungkan Philyra dan menjadikan Chiron mempunyai badan kuda. Setelah Chiron dilahirkan, Philyra meninggalkan bayi itu kerana merasa malu dan jijik. Kemudian dewa Apollo mengambil Chiron menjadi anak angkatnya.

Sepanjang Chiron membesar, Apollo mengajar Chiron tentang ilmu perubatan, herba, muzik, memanah, dan ramalan. Kembar Apollo iaitu dewi Artemis juga mengajar Chiron tentang ilmu memanah dan memburu.
Kerana didikan Apollo, Chiron bebas dari menjadi sebahagian puak Centaur yang sifatnya liar dan sentiasa mengikuti nafsu. Chiron menjadi makhluk Centaur yang bertamadun, pintar, dan berbudi bahasa.
Chiron kemudian menjadi pakar dalam ilmu perubatan dan orang Yunani Kuno memilih Chiron sebagai penemu dunia botani, farmasi, herba, dan perubatan.

Sepanjang Chiron menjadi pakar perubatan dan peramal, ramai pelajar yang telah beliau didik kemudian menjadi para pewira dan raja yang disegani rakyat. Sebanyak 27 orang pelajar yang telah Chiron didik dan pelajar yang terkenal dalam kisah legenda Chiron ini adalah Achilles.

Hubungan Chiron dan Achilles sebagai guru dan pelajar dicatat dalam dua buah puisi: Precepts of Chiron dan Statius’ Achilleid. Dalam Precepts of Chiron karya Hesoid, terdapat lukisan Chiron mengajar Achilles dan Chiron menerangkan ilmu tentang manusia, dewa-dewi, dan alam. Chiron juga dikatakan mengajar pelajar bermula umur 7 tahun.

Manakala dalam Statius’ Achilleid, hubungan Chiron dan Achilles dijelaskan lebih mendalam. Terdapat dua buah buku hasil karya Statius tetapi buku kedua tidak dapat disiapkan kerana Statius telah meninggal dunia pada abad pertama Masihi.

Dalam karya Statius ini, Chiron dilihat mempunyai sifat kebapaan semasa mengajar Achilles di dalam gua bersama ibu Achilles iaitu dewi air bernama Thetis. Achilles melihat Chiron sebagai bapanya dan Achilles menyatakan Chiron menyuap makanan ke mulutnya. Semasa Chiron menghembus nafas terakhir, Achilles merayu kepada Chiron untuk tidak meninggalkannya dan memanggil Chiron ‘ayah’.

Selain menunjukkan sifat kebapaan, Chiron juga seorang guru yang tegas dalam mengajar Achilles sebagai pahlawan. Salah satu latihan Achilles lalui adalah berdiri di sungai yang berombak sambil Chiron berada di sebelah Achilles dan melontarkan kutukan dan caci-maki kepadanya. Achilles akan berhenti jika gurunya menyuruh berhenti. Inilah salah satu latihan tegas yang Achilles hadapi.

Di akhir riwayat Chiron, insiden berlaku ketika Hercules pergi ke rumah Chiron dan seorang lagi Centaur bernama Pholus untuk berehat dari melaksanakan misi 12 Labours. Chiron dan Pholus ketika itu sedang menikmati makan malam dan Hercules meminta wain untuk ikut serta bersama dua sahabatnya ini.
Pholus membuka wain khas yang dia dapat dari dewa Dionysus namun bau wain itu menarik perhatian para Centaur liar di luar rumah. Para Centaur itu menyerang rumah Chiron dan mereka bertiga bertahan dengan menyerang balas.

Hercules banyak membunuh ramai Centaur dengan panah beracun beliau namun malang tak berbau, salah satu panahnya mengena tubuh Chiron. Biasanya Chiron kebal dengan sebarang alat-alatan tajam yang mampu membunuhnya tetapi panah beracun Hercules mampu melukakan Chiron.

Saat Hercules dan Pholus membantu mengubati Chiron, beliau mahu kekebalannya dikorbankan untuk bebaskan dewa Prometheus yang korbankan kebebasannya supaya rakyat Yunani memperoleh api.
Hercules menunaikan permintaan Chiron dan membawanya pergi ke Gunung Olympus, tempat dewa-dewi berada. Bagi menghargai pengorbanan Chiron, Zeus iaitu ketua dewa-dewi Yunani menghantar roh Chiron ke angkasa dan menjadi bintang. Di sinilah kisah asal-usul buruj Centaurus bermula.

Inilah kisah legenda guru terkenal dalam mitologi Yunani Kuno bernama Chiron. Semoga kisah ini dapat manfaat yang baik kepada guru-guru yang banyak mendidik pelajar supaya menjadi manusia yang berguna di masa hadapan.

RUJUKAN:

Hornblower & Spawforth (2004). The Oxford Companion to Classical Civilization. Oxford: Oxford University Press.

Hesiod II (1936). The Homeric Hymns and Homerica. Translated by H. G. Evelyn-White (2nd ed.). Loeb Classical Library 503. pp.

William Smith. A Dictionary of Greek and Roman biography and mythology. s.v. Cheiron. London (1848)


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.