Bencana alam sekitar bukan satu perkara baru dalam lipatan sejarah tamadun manusia. Ia memberi impak kepada tamadun manusia sama ada bersifat semulajadi atau buatan manusia dari Pompeii hinggalah Chernobyl.
Sebut pasal Chernobyl, ia dianggap antara bencana nuklear paling buruk dalam sejarah pada 26 April 1986 dan meninggalkan kawasan berkenaan tidak boleh didiami manusia selama 24,000 tahun. Dan bagi bekas pemimpin Soviet Mkhail Gorbachev, beliau menyifatkan bencana berkenaan merupakan punca sebenar kejatuhan Kesatuan Soviet lima tahun kemudian.
Loji kuasa nuklear Chernobyl terletak di utara Ukraine atau lebih tepat 80 batu di utara ibu negara Kiev. Sebuah bandar kecil bernama Pripyat dibina beberapa batu dari loji berkenaan bagi menempatkan para pekerja dan keluarga mereka.
Pada tahun 1986, bandar tersebut mempunyai populasi 50,000 penduduk sementara bandar Chernobyl pula mempunyai 12,000 penduduk. Baki wilayah berkenaan terdiri daripada kawasan pertanian dan kawasan hutan belantara. Projek reaktor ini mula dibina pada tahun 1977 tatkala Ukraine masih lagi menjadi sebahagian daripada Soviet. Menjelang tahun 1983, empat reaktor siap dibina dengan dua lagi dibina pada tahun-tahun berikutnya.
Empat reaktor ini di Chernobyl ialah reaktor jenis RBMK-1000 yang menggunakan proses pengayaan uranium U-235 untuk memanaskan air dan menghasilkan stim untuk menggerakkan turbin reaktor dan menjana tenaga elektrik. Kebanyakan reaktor nuklear yang kita lihat hari ini menjadikan air sebagai penyejuk dan mengawal kereaktifan teras nuklear.
Apabila teras tersebut dipanaskan, ia akan menghasilkan lebih banyak stim berbuih dalam air ini sekaligus mengurangkan kereaktifan teras berkenaan. Ini merupakan antara ciri keselamatan utama reaktor nuklear di kebanyakan negara terutama di Barat.
Tetapi reaktor nuklear versi Soviet menggunakan grafit untuk mengawal kereaktifan teras nuklear dan terus menghasilkan reaksi nuklear dalam teras berkenaan. Reaktor sebegini menghasilkan lebih banyak kereaktifan teras nuklear apabila ia dipanaskan dan menghasilkan lebih banyak buih stim, satu kekurangan yang terdapat pada reaktor itu.
Sehari sebelum tercetusnya bencana nuklear Chernobyl, operator-operator loji bersedia menutup reaktor untuk menjalankan proses penyelenggaraan rutin pada reaktor nombor empat. Entah di mana silapnya, operator-operator memilih mematikan semua peralatan termasuk mekanisme penutupan automatik. Perbuatan sebegini dianggap satu perlanggaran keselamatan menurut Jawatankuasa Saintifik PBB berkenaan Kesan Radiasi Atom (UNSCEAR).
Pada pukul 1.23 pagi, apabila rod nuklear yang panas dimasukkan ke dalam air penyejuk, ia menghasilkan sejumlah besar stim dan mencetuskan lebih banyak reaktiviti dalam teras nuklear reaktor nombor empat. Akibatnya, ini mengakibatkan letupan besar yang menanggalkan plat seberat 1,000 tan yang menutup teras reaktor, melepaskan radiasi ke atmosfera dan memotong aliran penyejuk ke reaktor.
Beberapa saat kemudian, satu lagi letupan lebih besar berlaku yang memusnahkan bangunan reaktor dan memuntahkan grafit dan bahagian teras reaktor yang terbakar sekitar kawasan loji. Akibatnya, ia mencetuskan kebakaran besar sekitar reaktor yang rosak dan reaktor nombor tiga yang masih beroperasi ketika itu.
Letupan tersebut membunuh dua orang pekerja, antara pekerja pertama yang mati dalam tragedi berkenaan. Untuk beberapa hari berikutnya, krew-krew kecemasan berusaha memadamkan kebakaran dan mengekang kebocoran radiasi tetapi ia turut menambah bilangan pekerja yang terbunuh kerana mengalami tanda keracunan radiasi yang teruk.
Kebanyakan radiasi yang dilepaskan ke atmosfera ialah iodin-131, cesium-134 dan cesium-137. Cesium menjadi kebimbangan ramai pakar dari UNSCEAR kerana isotopnya mempunyai separuh hayat yang lebih lama dan boleh berada dalam persekitaran untuk tahun-tahun selepas ia dilepaskan ke atmosfera. Iodin-131 pula walaupun mempunyai separuh hayat berusia lapan hari tetapi boleh diinges melalui udara dan boleh masuk sehingga ke kelenjar tiroid.
36 jam selepas kemalangan, populasi Pripyat mula dipindahkan selepas ramai mengadu muntah-muntah, sakit kepala dan pelbagai simptom keracunan radiasi. Mereka diberitahu akan dibenarkan pulang selepas beberapa hari dan ini mendorong ramai membawa sedikit barang semasa berpindah. Kebanyakan mereka tidak akan kembali ke Pripyat.
Bagi Kesatuan Soviet, agak sukar bagi mereka menerangkan apa yang berlaku kepada komuniti antarabangsa dan tiada sebarang kenyataan berkenaan Chernobyl dikeluarkan. Bagaimanapun, semua itu berubah selepas amaran radiasi dikeluarkan oleh loji nuklear di Sweden berkenaan tahap radiasi yang luar biasa direkodkan. Soviet akhirnya mendedahkan apa yang berlaku dan menerangkan cara mereka mengendalikan bencana itu.
Bagi Moscow, urusan berjalan seperti biasa termasuk sambutan Hari Buruh di Moscow, Kiev dan Minsk walaupun Chernobyl terus mengeluarkan asap radiasi. Kebanyakan penduduk Ukraine tidak tahu apa yang berlaku termasuk kematian para pekerja dan pemindahan secara tergesa-gesa dari Pripyat.
Awan radioaktif yang turut mengandungi habuk dan serpihan loji berkenaan ditiup angin ke Ukraine, Belarus, Rusia, Scandinavia dan beberapa bahagian di Eropah. Empat bulan selepas bencana tersebut, 31 orang terbunuh akibat pendedahan radiasi. Sementara 6,000 lagi penduduk mengalami masalah kanser tiroid di Ukraine, Belarus dan Rusia untuk tahun-tahun berikutnya.
Bagaimanapun, jumlah sebenar penduduk yang mengalami masalah sebegini tidak diketahui berikutan kesukaran mengumpul bilangan kes pesakit yang terlibat. Pada tahun 1995, Ukraine menganggarkan 125,000 penduduk terbunuh akibat terdedah secara langsung kepada radiasi Chernobyl. Tetapi khabar tidak benar tentang keracunan radiasi menyebabkan penduduk mengambil langkah tidak sepatutnya seperti menggugurkan kandungan mereka kerana bimbang bayi yang dikandung mengalami keracunan radiasi.
Pada 14 Mei 1989, Gorbachev mengarahkan proses pembersihan dan pembendungan radiasi loji digerakkan dengan segera. Ratusan pekerja, ahli bomba, tentera simpanan dan pelombong digerakkan untuk membantu proses pembersihan walaupun bekerja tanpa peralatan perlindungan yang mencukupi untuk membuang serpihan dan membendung radiasi. Dalam tempoh 206 hari, para pekerja membina satu makam besar untuk menutup reaktor yang rosak dan membendung lebih banyak perlepasan radiasi.
Dalam satu temubual bersama BBC pada tahun 2017, bekas pekerja bernama Yaroslav Melnik mendedahkan mereka bekerja sebanyak tiga syif tetapi selama lima hingga tujuh minit pada satu-satu masa disebabkan bahaya radiasi. Selepas selesai bekerja, mereka terus membuang pakaian mereka dalam tong sampah. Pada tahun 2010, sebuah konsortium antarabangsa ditubuhkan bagi membina sebuah bangunan lebih besar untuk reaktor berkenaan.
Bangunan seberat 35,000 tan itu disiapkan pada tahun 2016 dan diluncurkan bagi menutup makam sedia ada pada November 2016. Struktur baru ini membantu menurunkan kadar radiasi kepada satu persepuluh dari tahap sebelumnya. Struktur ini dijangka dapat membendung serpihan radioaktif untuk 100 tahun.
Di sebalik semua ini, siapa sangka Chernobyl sebenarnya masih dibenarkan beroperasi sehingga reaktor terakhir ditutup pada tahun 2000. Selepas populasi manusia meninggalkan Pripyat, alam semulajadi menuntut semula kawasannya dan ia menjadi kawasan perlindungan hidupan liar yang unik seperti serigala, rusa, beruang, babi hutan dan ikan bersaiz besar. Buktinya, seekor ikan keli bersaiz besar yang berjaya ditangkap pemancing ekstrem dan ahli biologi Jeremy Wade semasa beliau memancing di Chernobyl untuk satu episod River Monsters pada tahun 2013.
Boleh rujuk video episod penuh di sini: https://www.dailymotion.com/video/x5ojvdl
Kawasan ini perlahan-lahan menjadi tumpuan pelancong yang tertarik melihat apa yang dianggap masa yang dibekukan bila melihat tinggalan penduduk di Pripyat (dengan mengikut arahan ketat pihak yang mengawal kawasan berkenaan). Tetapi bagi sesetengah penduduk terutama yang terkesan dengan konflik di Crimea, inilah rumah baru mereka walaupun sedar ia masih tidak boleh didiami untuk 24,000 tahun.
Selain itu, ada yang melihat kawasan berkenaan berpotensi sebagai loji tenaga solar dan potensi ini cuba direalisasikan oleh syarikat tenaga Jerman-Ukraine iaitu Solar Chernobyl. Loji tersebut dijangka menjana tenaga elektrik sebanyak 99 megawatt, tidak sebanyak 1,000 megawatt yang dihasilkan oleh empat reaktor Chernobyl pada tahun 80-an sebelum tragedi itu berlaku.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih