Ernesto Guevara atau lebih dikenali Che Guevara, merupakan seorang revolusioner yang bersama-sama Fidel Castro dalam memimpin gerakan rakyat mejatuhkan rejim koruptor Batista. Sehingga ke saat ini, beliau dianggap antara figura yang paling berpengaruh dalam politik antarabangsa kerana ia dianggap sebagai simbol Marxism dan perjuangan revolusi menentang kapitalisme.
Che Guevara bukanlah seorang tentera ataupun datang dari latar belakang ketenteraan, beliau merupakan seorang doktor perubatan. Walaupun beliau merupakan aktor penting dalam memimpin gerakan Revolusi Cuba, beliau bukannya seorang anak kelahiran Cuba. Guevara lahir di Rosario, Argentina pada 14 Jun 1928.
Setelah menghabiskan tempoh pengajiannya dalam perubatan selama tiga tahun di Universiti Buenos Aires, beliau hanya menghabiskan masa beberapa bulan sahaja sebagai profesion doktor. Kemudian, beliau mengembara ke seluruh negara di benua Amerika Latin. Episod pengambaraan beliau inilah yang banyak mempengaruhi pemikiran dan cetusan idea beliau melalui pengamatan terhadap sistem kapitalisme yang menjadi ideologi arus perdana pada ketika itu.
Komunis Sebagai Sebuah Solusi
Melalui pengembaraan Che Guevara, beliau telah melihat sendiri pelbagai jenis kesusahan dan tahap kemiskinan yang teruk dialami oleh rakyat marhaen. Beliau mendapati punca kepada segala permasalahan ini bukan terletak pada rakyat itu sendiri, tetapi sistem yang diguna pakai oleh kerajaan yang hanya mementingkan golongan atasan dan membiarkan kemiskinan terus melarat dalam kalangan golongan bawahan.
Rakyat tidak dapat keluar dari kepompong kemiskinan akibat pemerintahan yang dipenuhi amalan rasuah, korupsi dan golongan pemerintah yang hanya mengenyangkan perut mereka sendiri. Bila mana ada sahaja golongan yang ingin menyuarakan pendapat, lantas ditangkap dan disumbat ke dalam penjara.
Melalui pemerhatian ini, Che Guevara percaya hanya sistem sosialis yang mampu menyelesaikan masalah kemiskinan. Beliau merupakan seorang yang anti-kapitalisme serta anti-imperialisme. Menurut beliau hanya ada satu cara bagi menentang golongan keji ini, revolusi berd4rah!.
Pada 1953, beliau telah pergi ke Guatamela untuk melihat sendiri bagaimana Presiden Jacobo Arbenz bertekad mahu melaksanakan revolusi sosial bagi mengatasi masalah kemiskinan. Namun, belum sempat Arbenz melangkah lebih jauh, beliau telah ditumbangkan oleh satu kudeta yang didalangi oleh Amerika Syarikat.
Puncanya kerana AS mengesyaki Arbenz cuba membawa ideologi Marxisme. Saat ini menjadi titik tolak bagi Che Guevara menjadi seorang yang berpegang teguh terhadap ideologi Marxism dan menganggap komunisme harus disebarkan ke seluruh Amerika Latin.
Bertemu Adik-Beradik Castro, Revolusi Bermula
Che Guevara kemudiannya pergi ke Mexico dan di sana, beliau telah menemui Fidel Castro dan adiknya, Raul Castro yang sememangnya sedang merancang plot bagi menjatuhkan rejim Batista di Cuba. Maka sesampainya mereka di Cuba, bermulalah gerakan Revolusi Cuba yang juga dikenali sebagai Gerakan 26 Julai pada tahun 1953.
Pada mulanya, Che Guevara menjadi doktor perang dalam pasukan gerilanya. Kemana sahaja beliau pergi, akan dibawa bersama beg perubatan bagi merawat tentera-tenteranya yang cedera. Namun setelah beberapa kali pertempuran berlansung, Che Guevara sudah mahir dalam mengendalikan senjat4 api. Malah, beliau menjadi orang paling kanan bagi Fidel Castro dan diberi tugas untuk merangka taktikal geril4 dalam menewaskan tentera rejim Batista.
Setelah kejayaannya dalam Revolusi Cuba, Che Guevara telah melakukan bermacam-macam projek nasionalisasi yang dipelajarinya dalam kamus Marxisme. Antaranya adalah projek menasionalisasikan bank negara di mana beliau sendiri dilantik sebagai gabenor bank tersebut. Beliau juga telah banyak memberi peruntukan dalam membina sekolah dan hospital serta amat prihatin dalam isu kebajikan rakyat. Di bawah usahanya, tahap literasi rakyat Cuba telah melonjak kepada kadar 96%, antara yang paling tinggi di dunia pada ketika itu.
Seperti kita sedia maklum, Che Guevara yang merupakan seorang yang berfahaman komunis telah banyak mempengaruhi dasar luar Cuba yang dipimpin oleh Fidel Castro ketika itu. Pada saat ini, Fidel Castro dengan tegas dan berani menyatakan bahawa Cuba merupakan sebuah negara komunis pertama di Amerika Selatan.
Di bawah nasihat Che Guevara, Castro telah mengambil pendekatan berbaik-baik dengan Soviet Union dan membawa masuk peluru berpandu ke dalam Cuba atas tujuan penambahbaikan ketenteraan. Peristiwa ini kemudiannya telah mencetuskan Krisis Peluru Berpandu Cuba yang disifatkan ramai orang sebagai detik paling hampir dunia melangkah ke kancah P3rang Dunia Ketiga pada masa itu.
Pemimpin, Bukan Birokrat
Dasar-dasar Che Guevara telah mendatangkan sedikit masalah kepada ekonomi Cuba oleh kerana beliau sendiri tidak mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam bidang tersebut. Untuk mengelakkan masalah terus melarat, beliau telah bertindak meletakkan jawatannya dalam kerajaan dan meneruskan cita-cita awalnya.
Che Guevara merupakan seorang internationalis, di mana beliau menganggap tugas untuk menyebarkan Marxisme merupakan satu tugas kemanusiaan yang harus disebarkan ke seluruh dunia. Beliau tidak memandang Amerika Latin dari sudut peta politikal, tapi sebagai satu penyatuan budaya dan tamadun.
Berbeza dengan Fidel Castro yang tidak terlalu peduli tentang persoalan ideologi, beliau lebih memikirkan tentang survival kuasa politik di negaranya. Castro tidak berhasrat mahu menyebarkan komunisme.
Bahkan, Castro yang memimpin revolusi rakyat juga pada sebelumnya menekankan bahawa gerakan kebangkitan rakyat ini tiada kena mengena dengan komunis, malah menyebut bahawa demokrasi sebagai intipati perjuangan mereka.
Namun, apabila Castro mendapat kuasa, lain pula ceritanya, siap umum kepada dunia bahawa mereka adalah negara komunis. Hal ini berlaku kerana faktor keterdesakan politik di mana hanya dengan menjadi sekutu rapat Soviet Union sahaja, Castro tidak akan menjadi mangsa AS.
Guerrillero Heroico–Simbol Ikonik Revolusi
Che Guevara telah mensasarkan Republik Congo sebagai target utamanya dalam memangkin revolusi rakyat dalam menentang kerajaan yang dianggapnya korup. Namun, misi di Congo menemui kegagalan kerana menurut Che Guevara, revolusioner di sana tidak mempunyai tekad yang kuat untuk berjuang. Bukan itu sahaja, pengkianatan dalam kalangan revolusioner tempatan telah membantutkan misi.
Seterusnya, pada tahun 1966, Che Guevara memimpin sebuah pasukan gerila di Santa Cruz, Bolivia. Tujuan dan misinya tetap sama, mahu menegakkan Marxisme. Ser4ngan-ser4ngan awal pasukan geril4 Che Guevara berjaya membenamkan pasukan bersejata Bolivia. Namun, pada tanggal 8 Oktober 1967, sebuah operasi khas yang dilakukan oleh pasukan bersenj4ta Bolivia sambil dibantu oleh agensi perisikan CIA telah berjaya menangkap dan menemb4k m4ti Che Guevara. Begitulah pengakhiran seorang revolusioner yang telah meninggalkan legasi yang cukup berpengaruh dalam kalangan masyarakat hingga ke hari ini.
Che Guevara telah diangkat sebagai simbol revolusi kebangkitan rakyat yang ditindas akibat kezaliman pemerintah. Potret wajah beliau yang sangat popular dan ikonik itu dikenali sebagai Guerrillero Heroico yang bermaksud Hero Pejuang Gerila. Potret yang merupakan hasil jurugambar Alberto Korda ini diambil ketika Che Guevara menghadiri satu upacara peringatan khas mengenang kejadian letupan kapal di Havana yang menyebabkan ramai ny4wa terk0rban (ketika Guevara menjadi menteri).
Sehingga kini, potret wajah Guevara dianggap antara foto paling berpengaruh dan sering kali digunakan ketika berdemonstrasi. Penghakiman sejarah berbeza-beza mengikut sudut pandang orang yang menghakiminya. Di sebelah sini mengatakan A, sebelah sana pula mengatakan B. Oleh itu, menjadi tugas kita sebagai pembaca sejarah untuk bijak dalam menghakimi dan memahami sejarah.
Pendokong politik sayap kanan menuduh Che Guevara seorang yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan pengganas yang perlu dihapuskan. Pada sisi yang lain pula, rakyat Cuba menganggap Che Guevara sebagai pejuang dan penegak keadilan yang perlu dihargai serta sesuai dijadikan inspirasi.
RUJUKAN:
Che Guevara: Argentine-Cuban Revolutionary. https://www.britannica.com/biography/Che-Guevara
Che Guevara: The Communist Solution – Fast Facts | History. https://www.youtube.com/watch?v=Q7_kHRytn3k
History vs. Che Guevara – Alex Gendler. https://www.youtube.com/watch?v=tjrvKA4w9-Y
Castro and Guevara face to face. https://www.youtube.com/watch?v=gcqTJlnYtb4
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih