Apabila ditanya tentang Perang Dingin kepada sebilangan anak muda terutamanya sekali Gen Y pasti ramai yang tidak mampu menjawabnya. Apatah lagi jika yang ditanya itu jenis yang tak ambil tahu akan hal dunia dan tidak celik geopolitik semasa. Saya merasakan bukan anak muda sahaja, malahan juga termasuk sebilangan generasi veteran di luar sana. Akan tetapi sekiranya diceritakan mengenai Perang Vietnam, Perang Afghanistan serta insurgensi pengganas Parti Komunis Malaya pastinya mereka dapat mengenalpasti apakah yang dimaksudkan dengan Perang Dingin.

Secara umumnya Perang Dingin adalah sebuah pertembungan geopolitik di antara negara-negara komunis Blok Timur di bawah pimpinan Soviet Union menentang negara-negara kapitalis demokratik Blok Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat serta negara anggota Nato seperti United Kingdom, Perancis, Belanda, Jerman dan negara-negara Eropah Barat yang lain. Ianya suatu peperangan yang merangkumi segenap penjuru iaitu propaganda, ekonomi, diplomatik dan ketenteraan.

Para sejarawan dunia sebenarnya masih belum bersepakat mengenai bila tepat masanya konflik geopolitik ini bermula selepas Perang Dunia Kedua. Besar kemungkinan ianya bermula sejak tahun 1947 apabila Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman melancarkan dasar anti komunis.

Fahaman komunisme adalah teori politik yang dibawa oleh Karl Marx, seorang tokoh sosiologi dan falsafah kelahiran Jerman. Menurut istilah politik dan sains sosial, fahaman ini merangkumi aspek falsafah, sosial, politik, dan ideologi ekonomi yang mana matlamat utamanya adalah membentuk sebuah masyarakat berteraskan fahaman komunisme.  Ianya boleh diertikan sebagai teori antarabangsa atau sistem organisasi sosial berdasarkan pemilikan semua harta benda secara saksama, dengan pemilikan sebenar yang ditakrifkan kepada masyarakat atau negara.

Serta penolakan kepada pasaran bebas dan ketidakpercayaan melampau terhadap kapitalisme dalam apa jua bentuk sekalipun. Segala bentuk pemilikan secara peribadi dihapuskan dengan penolakan kepada konsep harta benda dan digantikan dengan konsep umum dan pemilikan dengan “kepenggunaan”.

Pada sudut struktur kepemilikan. Alat pengeluaran dimiliki secara umum, ini bermakna tiada entiti atau individu memiliki harta produktif. Kepentingan dianggap sebagai “kepenggunaan” kepada “kepemilikan”. Manakala menurut sudut struktur sosial pula, segala perbezaan kelas atau darjat dihapuskan menjadikan sebuah masyarakat di mana semua orang adalah pemilik alat pengeluaran dan pekerja mereka sendiri.

Umumnya komunisme merujuk kepada pemilikan hartanah oleh komuniti, yang mana matlamat akhirnya adalah kesaksamaan sosial yang lengkap melalui kesaksamaan ekonomi. Antara ciri-ciri penting sistem pemerintahan berasaskan fahaman ini adalah pemerintahan berpusat, ekonomi terancang, kediktatoran ‘proletariat’ (golongan pekerja marhain), pemilikan bersama jentera pengeluaran, tiada pemilikan persendirian, kesaksamaan antara jantina dan semua orang serta tumpuan penuh kepada hal ehwal antarabangsa. Kebiasaannya corak pemerintahannya anti-demokratik berteraskan sistem 1-parti. Oleh itu jika dilihat menerusi perspektif pemilihan bebas.

Pilihan akan dibuat sama ada melalui ‘pengundian’ kolektif atau penguasa negara membuat keputusan ekonomi dan politik untuk orang lain. Secara praktiknya, segala perhimpunan, kekerasan, propaganda dan sebagainya digunakan oleh pemerintah untuk mengawal penduduk.

Baiklah, saya tidak mahu menjelaskan secara terperinci mengenai fahaman komunisme dan membandingkannya dengan fahaman kapitalisme mahupun sosialisme. Akan tetapi saya mahu menceritakan kepada para pembaca sekalian mengenai rampasan kuasa oleh pihak komunis di bumi kelahiran penulis ternama Franz Kafka pada tahun 1948 yang akhirnya membawa kepada Musim Bunga Prague pada tahun 1968.

Umum mengetahui bahawa sebelum Republik Czech dan Republik Slovak berpisah pada tahun 1992, Czechoslovakia adalah sebuah negara berfahaman komunis yang merupakan negara satelit kepada Kesatuan Soviet semenjak di ambang Perang Dingin selepas Perang Dunia Kedua lagi. Akan tetapi ramai tidak mengetahui akan bagaimana negara ini menjadi negara komunis,  berlakunya Musim Bunga Prague dan perpisahan negara serumpun tersebut.

Pada tahun 1945 di ambang penghujung Perang Dunia Kedua, selepas menerima asakan bertalu-talu balatentera Kesatuan Soviet dibawah pimpinan Joseph Stalin. Jerman Nazi dibawah pimpinan Adolph Hitler sudah tidak terdaya lagi menerima asakan ini lantas kehilangan satu-persatu wilayah timur dan tengah Eropah yang menjadi taklukannya termasuklah Czechoslovakia.

Untuk memahami bagaimana Czechoslovakia berubah menjadi sebuah “negara pekerja”, seharusnya dimulakan dengan Edvard Benes, seorang pemimpin sosialis berhaluan kiri yang digulingkan oleh pengikut fahaman komunis pada tahun 1948. Benes sebelum penggulingannya digambarkan sebagai “sahabat Kesatuan Soviet” dan memandang tinggi Stalin sebagai pemimpin terhormat.

Sehingga 25 Februari 1948, Czechoslovakia adalah negara demokrasi terakhir di Eropah Timur yang menjadi negara komunis sehingga mencetuskan pemerintahan totalitarian selama lebih 40 tahun.

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Czechoslovakia memandang positif perhubungan baiknya dengan Kesatuan Soviet kerana telah membebaskannya dari cengkaman Nazi Jerman. Malahan, parti komunis di sana sudah pun memiliki sokongan yang begitu kukuh semenjak tahun 1920an lagi ketika negara tersebut masih lagi demokratik. Edvard Beneš, dilantik semula sebagai presiden selepas perang tamat, telah menandatangai perjanjian persahabatan dengan Soviet ketika memimpin pemerintahan negara dalam buangan pada tahun 1943. Struktur pasukan tentera dan kerajaan tempatan Czechoslovakia dirangka menggunakan model Kesatuan Soviet.

Pada awal tahun 1946, tiada sebarang kehadiran pasukan tentera Kesatuan Soviet di negara tersebut, akan tetapi komunis sudah pun menguasai kerajaan dengan Klement Gottwald sebagai Perdana Menteri dan para pemimpin komunis lain menjaga kementerian dalam negeri, pertanian, penerangan, pertahanan, dan pendidikan. Hasil pengundian pilihan raya umum pada Mei 1946 mendapati mandat diberikan kepada parti tersebut sebanyak 38% undi.

Dari Mei 1946 sehingga Julai 1947, keadaan kelihatan berjalan lancar di Czechoslovakia. Kemudian negara tersebut memohon bantuan Marshall Aid (sebuah inisiatif bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Eropah Barat yang musnah akibat Perang Dunia Kedua). Walaubagaimanapun, Kesatuan Soviet campur tangan dan melarang sekutu mereka tersebut daripada menerima bantuan Amerika Syarikat, atas sebab melanggari perjanjian persahabatan yang sedia ada.

Campur tangan Kesatuan Soviet ini sekaligus tidak meletakkan pihak komunis sebagai memihak kepada rakyat. Kesukaran ekonomi, bantahan para petani terhadap kolektivisasi dan kekecewaan atas kadar perindustrian yang pantas adalah alasan mengapa rakyat mula melihat Parti Komunis dengan penuh kecurigaan dan kesangsian.

Bibit-bibit ketegangan di antara Benes dan Stalin sebenarnya telah bermula ketika Perang Dunia Kedua lagi. Meskipun amat komited terhadap sosialisme, beliau menolak model yang dicadangkan Stalin. Dalam lawatannya ke USSR (Kesatuan Soviet) pada tahun 1943, beliau amat menyakini atas kebolehpercayaan Stalin dan mengkagumi kemajuan pesat yang dikecapi Soviet serta mengesahkan kepercayaan beliau terhadap sistem Soviet, setelah berjaya diuji dengan pencerobohan besar-besaran Rejim Hitler, dan berharap agar suatu hari nanti melalui transformasi beransur-ansur menuju kepada bentuk sosialisme yang telah diliberalkan.

Secara hakikatnya, amat mudah untuk difahami bahawa dalam erti kata yang nyata komunisme hanyalah mewakili penggunaan program sosial dan ekonomi yang lebih kejam bertentangan dengan apa yang dihajati Beneš. Pada tahun 1945, Stalin menuntut supaya wilayah Ruthenia diserahkan kepada Kesatuan Soviet. Selain itu, jawatankuasa rakyat tempatan juga telah dimansuhkan dan digantikan sepenuhnya oleh anggota parti komunis. Ini adalah masuk akal kerana mereka mendapat perlindungan dari Tentera Merah Soviet. Ianya boleh dianggap sebagai benih-benih rampasan kuasa pada tahun 1948.

Meskipun semakin ditolak rakyat, pihak komunis bertindak balas terhadap sebarang kritikan yang dilemparkan terhadap mereka. Pada November 1947, beberapa orang menteri bukan komunis menerima bungkusan bom, berkemungkinan besar dikirimkan oleh pihak komunis. Kutipan pungutan suara umum yang diadakan pada bulan Januari 1948 menunjukkan bahawa populariti pihak komunis telah menurun sebanyak 25% dan mereka tidak mendapat banyak sokongan daripada golongan pelajar. Namun begitu, dengan keahlian sebanyak 3 juta orang, keanggotaan parti komunis paling terbesar di luar Kesatuan Soviet. Maka tidak menghairankanlah mereka begitu berani untuk merampas kuasa.

Slovakia kemudian menjadi sasaran utama serangan golongan garis keras Parti Komunis, atas cubaan mereka untuk meyakini rakyat kononnya Parti Demokratik Slovakia dan mempunyai kaitan dengan Hlinka Guards pada era pendudukan Nazi dulu. Pihak komunis mendakwa ketika pendudukan Nazi bahawa penyokong kemerdekaan Slovakia berkomplot mengkhianati negara. Atas dakwaan pengkhianatan tertinggi ini, pihak komunis telah menahan 380 warga Slovak, kebanyakan mereka anggota Parti Demokratik Slovakia.

Polis yang dikuasai pihak komunis juga turut mendakwa telah menemui anasir pengintipan yang dilakukan oleh unit risikan angkatan tentera Amerika di kota Prague. Kementerian Dalam Negeri meletakkan ahli politik bukan komunis di bawah pengawasan rapi. Para pemimpin demokratik ditahan tanpa alasan yang jelas. Václav Nosek, Menteri Dalam Negeri memecat lapan pegawai atas polis bukan komunis dan menggantikan mereka dengan pro-komunis.

Para menteri-menteri bukan komunis yang dilantik secara demokratik menjadi semakin hilang sabar akan tindakan Parti Komunis menyalahgunakan polis dan pasukan keselamatan lain. Mereka menuntut supaya para pegawai atasan polis bukan komunis dilantik semula dan serangan bermotifkan politik dihentikan sama sekali.

Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri Gottwald enggan tunduk terhadap tuntutan tersebut. Kesatuan sekerja pula menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pihak komunis dan atas dorangan mereka, “jawatankuasa bertindak” bersenjata ditubuhkan di kilang perusahaan, lading-ladang dan kampong-kampung. Dikenali sebagai militia rakyat, ianya terdiri daripada 7000 anggota dan mula dibentuk pada 20 Februari.

Manakala 12 orang menteri bukan komunis itu pula memilih untuk tidak meletakkan jawatan, ini kerana mereka meramalkan presiden Beneš akan membentuk kerajaan baru dan mengucapkan selamat tinggal kepada Parti Komunis. Walau bagaimanapun harapan mereka tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, demonstrasi ganas dicetuskan pihak komunis. Angkatan bersenjata “jawatankuasa bertindak” kesatuan sekerja tersebut merusuh di jalan raya kota Prague, menyerang pejabat-pejabat parti politik pembangkang.

Satu-satunya angkatan bersenjata yang boleh diharapkan untuk mengekang kebangkitan komunis ini hanyalah pasukan tentera, itupun diketuai oleh Ludvik Svoboda, seorang jeneral berfahaman komunis. Perhimpunan dan demonstrasi secara besar-besaran ini dilakukan bertujuan untuk menyokong perlantikan pegawai-pegawai tinggi polis yang pro-komunis. Di samping juga, menggesa penubuhan “jawatankuasa bertindak” di dalam kesemua jabatan kerajaan.

Oleh kerana sokongan asas sosial Parti Komunis ini terdiri dari kalangan buruh perindustrian, seseorang mungkin secara logiknya mengandaikan bahawa ianya memiliki ciri-ciri perjuangan kelas. Melainkan seseorang itu buta ideologi. Timbalan Menteri Luar Soviet, Valerian Zorin yang melawat Prague kononnya untuk menyelia penghantaran gandum daripada Soviet kepada negara tersebut memberi jaminan kepada tentera Czechoslovakia bahawa USSR akan menghentikan sebarang campur tangan Barat sekiranya ia timbul. Seandainya berlaku, Tentera Merah akan mengambil kedudukan di perbatasan Czechoslovakia.

Presiden Edvard Beneš dirundung dilemma akibat permasalahan yang beliau sukar tangani ini. Beliau berasa amat khuatir akan campur tangan pihak Soviet dan juga ancaman perang saudara yang bakal berlaku. Beneš melakukan kesilapan besar dengan teragak-agak dan tidak cuba meyakinkan golongan bukan komunis untuk bertindak. Hanya beberapa golongan siswa sahaja sanggup berani berdepan dengan pihak komunis dan kemudian dipukul secara beramai-ramai di Jalan Nerudova kota Prague. Lagipun Beneš mahu Kesatuan Soviet memainkan peranan penting di Eropah Timur kerana beliau tidak Jerman kembali berkuasa lagi.

Beliau juga turut meyakini bahawa komunisme gaya USSR akan menjadi sederhana dan tidak ekstrim seperti beliau harapkan. Kemudian Gottwald mengancam untuk mengadakan mogok umum dan mempersembahkan senarai nama penentang yang akan dihukum sekiranya beliau tidak menandatangi cadangan kerajaan komunis. Akhirnya Presiden Beneš terpaksa menerima cadangan tersebut untuk memberikan kuasa kepada Parti Komunis yang akan menyebabkan banyak penderitaan dan keperitan serta memusnah sebegitu banyak nyawa selama lebih dari empat dekad.

Proses rampasan kuasa ini disifatkan oleh Edward Taborsky, pengarang buku Communism in Czechoslovakia, 1948-1960 sebagai:

“Dengan merampas kawalan jawatankuasa rakyat, pihak komunis mendapat pengaruh politik yang luar biasa. Ketiadaan kerajaan pusat yang efektif pada awal bulan-bulan pembebasan, jawatankuasa rakyat yang dikawal komunis muncul sebagai ketua yang sukar digugat di kawasan masing-masing…”

Selang beberapa hari kemudian, Menteri Luar yang dilantik secara demokratik, Jan Masaryk, anak lelaki kepada Presiden Czechoslovakia yang pertama Tomáš G Masaryk meninggal dunia dalam keadaan penuh misteri. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau terjatuh atau ditolak dengan sengaja dari balkoni Istana Czermin sehingga ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di laluan pejalan kaki bawah pejabatnya. Sebuah perlembagaan negara berdasarkan perlembagaan Kesatuan Soviet digubal dan dikuatkuasakan sebagai undang-undang. enggan menandatanganinya. Tiada sebarang bentuk bangkangan terhadap pemerintahan komunis dibenarkan sama sekali.

Ramai rakyat dibuang kerja atau ditahan. Dengan keadaan kesihatan yang semakin tenat, Beneš terpaksa meletakkan jawatan pada 6 Jun 1948. Jawatan presiden kemudian diambil-alih oleh Gottwald sementara jawatan Perdana Menteri pula disandang oleh Antonín Zapotocký. Beneš menghembuskan nafas terakhir beliau pada tanggal 3 September 1948. Pemergian beliau turut dibawa bersamanya sekali harapan demokrasi, impian dan tradisi Czechoslovakia pergi sama sekali. Semangat yang pada hakikatnya tidak pernah pudar sehinggalah pada November 1989.

-Tom Shacklesmith-

Sambungan Musim Bunga Prague, Budaya Pop Disebalik Tirai Besi dan Chapter 77

Sumber :

i. Perang Dingin
http://funfront.net/hist/europe/coldwar.htm

ii. Komunisme
http://www.diffen.com/difference/Communism_vs_Socialism
http://www.columbia.edu/~lnp3/mydocs/state_and_revolution/czechoslovakia.htmhttps://www.private-prague-guide.com/article/the-communist-coup-in-czechoslovakia
/https://www.youtube.com/watch?v=YgNqiPAVVIY

Gambar
i. http://spiritualpilgrim.net/03_The-World-since-1900/09_The-Cold-War/09a_Start-Up-of-the-European-Cold-War-2.htm


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

2 Comments

  1. Cold War hampir hampir jadi perang dunia ketiga. Kemuncak Cold War adalah apabila Soviet menghantar bom nuklear ke Cuba shingga menyebabkan Presiden JFK melancarkan Bay of Pigs Invasion. Betulkan saya jika saya salah

  2. Invasi teluk babi dulu bru krisis peluru berpandu cuba kan? sbb lps rampasn kuasa Batista ke apa dh nma dia, AS xnk komunis di benua Amerika. Lalu gagal, dan Cuba memohon bntuan Soviet. Betulkn saya klu salah, sbb saya skolah smpai form3, jd saya xbelajar apa2 sejarah hal ni, ni pun msa saya kecil saya baca.

Leave A Reply