Calakmul merupakan sebuah kota purba tamadun Maya yang hilang. Kota ini terletak jauh terceruk di hutan tebal Lembangan Peten, di Semenanjung Yucatan. Sejurus selepas ia ditinggalkan, Calakmul terus sahaja diselubungi tumbuhan sehingga hilang dari pandangan dan pengetahuan manusia.

Tapak arkeologi ini berlokasi di Campeche. Calakmul ditemui pada tahun 1931, dan beberapa penyelidikan telah pun dijalankan di tapak berkenaan pada tahun-tahun berikutnya. Namun, penerokaan di tapak ini terhenti dan hanya disambung semula pada 1980an. Pada hari ini, Calakmul diperakui sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, dan ia terus dikaji oleh ahli-ahli arkeologi.

PENEMUAN SEMULA KOTA CALAKMUL

Pada tahun 1931, seorang ahli botani dari Amerika yang bernama Cyrus Lundell menjumpai runtuhan sebuah kota Maya ketika menjalankan kerja lapangan di sebuah hutan di Campeche. Beliau menamakan runtuhan kota tersebut sebagai Calakmul, iaitu perkataan berbahasa Maya yang membawa maksud ‘Kota Dua Piramid Yang Bersebelahan’. Nama ini merujuk kepada dua buah piramid yang menonjol di tapak runtuhan ini.

Selepas melakukan penyelidikan lanjut, ilmuwan mendapati bahawa kota tersebut dikenali dalam kalangan masyarakat Maya sebagai Ox Te’ Tuun, yang bermaksud ‘Tiga Batu’. Walau bagaimanapun, nama pemberian Lundell terus digunakan bagi merujuk kota berkenaan. Sebagai maklumat tambahan, walaupun Lundell bekerja sebagai ahli botani, beliau turut meminati arkeologi tamadun Maya. Dilaporkan bahawa sepanjang tahun 1931 hingga 1933, Lundell berjaya menemukan sebanyak 16 buah runtuhan tamadun Maya.

Pada tahun berikutnya (1932), satu usaha peninjauan ke atas Calakmul dilakukan oleh Sylvanus Morley dari Institusi Carnegie, Washington. Kerja-kerja arkeologi di Calakmul diteruskan sehingga tahun 1938, di mana ia terhenti selama beberapa dekad. Hanya pada tahun 1982, barulah usaha kajian dilanjutkan di tapak Calakmul, kali ini di bawah pengendalian William J. Foland dari Universidad Autonoma de Campeche.

Kajian oleh Folan di Calakmul diteruskan sehingga tahun 1944, di mana kerja-kerja tersebut diambil-alih pula oleh Instituto Nacional de Antropologia e Historia (Institusi Antropologi dan Sejarah Kebangsaan).

SIGNIFIKASI CALAKMUL

Berkat usaha-usaha arkeologi yang dijalankan di Calakmul, pada hari ini kita dapat mengetahui bahawa tapak berkenaan telah pun dihuni sejak tahun 600 Sebelum Masihi sehingga tahun 900 Masihi. Kebanyakan bangunan yang ada di tapak berkenaan siap dibina menjelang tahun 250M, dan kota ini mencapai zaman kemuncaknya sekitar kurun ke-6 Masihi.

Tempoh kegemilangan ini berpanjangan sehingga kurun ke-9M, di mana penduduknya ketika itu dianggarkan berjumlah seramai 50 000 orang. Di samping itu, Calakmul juga sempat melebarkan pengaruhnya ke beberapa buah petempatan lain, dan bahkan memberikan impak kepada sehingga kira-kira 1.5 juta orang.


Stele 51 dari Calakmul, menggambarkan raja Yuknoom Took’ K’awill, dipamerkan di Muzium Antropologi Kebangsaan di Bandar Mexico

Walaupun demikian, Calakmul tetap berhadapan dengan cabaran perebutan kuasa di rantau berkenaan, di mana seterunya yang dikenal pasti adalah Tikal. Tikal merupakan sebuah lagi kota Maya yang penting. Ia terletak di selatan Calakmul, atau pada hari ini di Guatemala. Ahli-ahli arkeologi meyakini bahawa nama Calakmul ada disebutkan di beberapa buah tapak Maya yang lain, seperti Yaxchilan dan Naranjo.

Kedua-dua kota ini masing-masing terletak di barat dan timur Tikar. Diandaikan bahawa pada kurun ke-6 Masihi, Calakmul membentuk pakatan dengan dua buah kota berkenaan untuk mengepung Tikal, seterusnya membawa kepada kekalahan kota itu pada tahun 562 Masihi.

Tikal berupaya bangkit daripada kekalahan ini, dan menurut bukti epigrafi, mereka berupaya membalas dendam dengan menewaskan Calakmul pada tahun 695M. Namun, keadaan ini tidak memberi kesan yang besar terhadap dominasi Calakmul di rantau berkenaan. Calakmul terus mengekalkan kepentingannya sehingga kurun ke-8 Masihi.

Tikal, tahun 2009

KEJATUHAN KOTA CALAKMUL

Pada awal kurun berikutnya, rekod Calakmul mencatatkan bahawa sejarah kota itu berakhir secara tiba-tiba. Daripada inskripsi-inskripsi yang ditemui di Seibal (sebuah lagi tapak Maya di sekitar kawasan situ), ahli-ahli arkeologi meyakini bahawa Calakmul masih dihuni setidak-tidaknya sehingga pertengahan kurun ke-9 Masihi. Selain itu, Folan mengandaikan bahawa kota itu pernah didiami atau mungkin, disinggahi pada tempoh antara tahun 1450 hingga 1550M – antara lain bagi tujuan upacara keagamaan atau budaya.

Pada tahun 2002, Calakmul diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Memandangkan Calakmul diselubungi dan dikelilingi oleh hutan setelah ditinggalkan, tapak ini turut digolongkan bersama hutan-hutan di sekelilingnya. Hutan ini dianggap signifikan lantaran menjadi kawasan yang memelihara biodiversiti di Mesoamerika. Justeru, selain mengunjungi runtuhan tamadun Maya, para pengunjung yang melawat tapak Calakmul turut berpeluang untuk menikmati pengalaman melihat hidupan liar tempatan, termasuklah pelbagai spesis burung, lelabah dan monyet.

Runtuhan Calakmul

TERJEMAHAN:

Wu Mingren. (29 Julai 2018). Calakmul: Ancient Mayan City of the Two Pyramids and Three Stones. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/calakmul-0010464


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.