Bungo Stray Dogs merupakan anime yang mengisahkan tentang sebuah pertubuhan detektif (Armed Detective Agency) yang terdiri daripada manusia-manusia yang mempunyai kuasa dan kebolehan luar biasa di mana mereka menggunakannya untuk melawan beberapa organisasi lain seperti The Guild, Port Mafia dan Rats In The House of The Dead yang juga terdiri daripada manusia-manusia dengan kebolehan luar biasa.
Apa yang uniknya adalah kesemua karakter dan watak yang direka di dalam anime ini diambil dan diinspirasikan daripada sasterawan-sasterawan ulung yang pernah menempa nama dalam dunia literasi dan kesusasteraan daripada berbagai genre.
Atsushi Nakajima
Atsushi Nakajima dalam kehidupan sebenar
Atsushi
Nakajima
Protagonis utama dalam anime ini ialah Atsushi Nakajima yang diberi julukan “weretiger” atas kebolehannya bertukar menjadi harimau putih. Nama dan wataknya diambil daripada seorang sasterawan Jepun bernama Atsushi Nakajima. Dalam anime pada awalnya Atsushi sendiri tidak menyedari bahawa dia mempunyai kebolehan seperti itu.
Atsushi akan bertukar menjadi harimau putih pada waktu malam tanpa disedarinya. Hanya setelah dia berjumpa dengan Osamu Dazai dan menyertai Armed Detective Agency barulah dia mengetahui akan kebolehannya dan belajar mengawalnya. Nama kuasa Atsushi (dalam anime) iaitu “Beast Beneath The Moonlight” diinspirasikan daripada karya sebenar Atsushi Nakajima yang berjudul The Moon Over The Mountain.
Osamu Dazai dalam anime
Osamu Dazai dalam kehidupan sebenar.
Osamu
Dazai
Watak Osamu Dazai juga diambil sempena
sasterawan sebenar Osamu Dazai atau nama sebenarnya Shuji Tsushima. Di dalam
anime, Osamu Dazai adalah seorang yang berfikiran tajam, simplistik dan sangat
misteri. Dazai mempunyai kebolehan untuk menghilangkan kuasa orang lain buat
sementara waktu dengan hanya menyentuh mereka. Kebolehannya dinamai “No
Longer Human” yang diambil terus daripada tajuk karya terkenal sasterawan
Osamu Dazai dalam dunia sebenar.
Karya No Longer Human (Ningen Shikkaku 人間失格) mengisahkan tentang seseorang yang menempuhi kesengsaraan demi kesengsaraan di dalam hidup sehingga dia merasakan bahawa jiwanya kosong dan dia bukanlah lagi seorang manusia. Ada yang berpendapat bahawa karya ini menceritakan perasaan penulis itu sendiri iaitu Osamu Dazai.
Permulaan hidup Dazai begitu cemerlang sehinggalah idola beliau dalam penulisan iaitu Ryunosuke Akutagawa m4ti akibat bvnuh diri pada 1927. Dazai mula mengabaikan pelajaran, menjadi kaki botol dan terjebak dengan beberapa perkara yang menyanggah moral.
Pada 10 Disember 1929 beliau membuat percubaan untuk membvnuh diri tetapi gagal. Pada 1930 beliau dibuang keluarga. Pada tahun yang sama beliau cuba untuk membvnuh diri bersama seorang perempuan bernama Shimeko Tanabe di pantai Kamakura namun diselamatkan oleh nelayan manakala Shimeko m4ti.
Dazai meneruskan hidup dan berkahwin dengan seorang perempuan bernama Hatsuyo namun sukar untuk bangkit. Pada 19 Mac 1935 beliau cuba untuk menggantung dirinya namun gagal lagi. Pada 1936 Dazai dan isterinya membuat percubaan membvnuh diri dengan memakan pil tidur tetapi tidak memberi kesan. Dazai menceraikan isterinya dan kemudian berkahwin dengan Michiko Ishihara dan mendapat seorang anak. Dazai kemudiannya menceraikan Michiko pula dan berkahwin dengan Tomie Yamazaki.
Kisah-kisah hidup Dazai penuh dengan
percubaan membvnuh diri dan karya-karyanya seperti Gyofukuki (魚服記,
1933), Gyakkō (逆行, Against the Current, 1935), dan Kyōgen
no kami (狂言の神, The
God of Farce, 1936) semuanya berkisar mengenai penghinaan diri. Hinggalah
pada 13 Jun 1948, selepas habis menulis karyanya yang ulung iaitu No Longer
Human, Dazai dan isterinya Tomie terjun ke dalam sungai Tamagawa
berhampiran rumah mereka dan m4ti.
Watak
Dazai di dalam anime merupakan seorang yang bersahaja dan rileks. Dazai seringkali
membuat percubaan membvnuh diri menggambarkan kehidupan Osamu Dazai yang
sebenar. Seawal episod pertama, dapat dilihat Atsushi Nakajima menyelamatkan
Dazai yang terjun ke dalam sungai untuk membvnuh diri. Watak Osamu Dazai juga
seringkali berharap agar dipertemukan dengan wanita cantik untuk dia membvnuh
diri bersamanya melambangkan Osamu Dazai sebenar yang beberapa kali membuat
percubaan membvnuh diri bersama wanita.
Ryunosuke Akutagawa dalam anime
Ryunosuke Akutagawa dalam kehidupan sebenar
Ryunosuke
Akutagawa
Ryunosuke Akutagawa merupakan seorang
sasterawan Jepun yang terkenal dengan karyanya yang pelbagai. Beliau mula
menulis setelah tamat belajar di Tokyo Imperial University pada 1913. Beliau
memperjuangkan idea untuk menggabungkan budaya Jepun dan barat dalam literasi
penulisannya.
Di dalam anime Bungo Stray Dogs, watak
Akutagawa ialah seorang yang bersikap dingin. Akutagawa memakai kot hitam labuh
melepasi lututnya, seluar panjang hitam dan kasut berkulit hitam. Dia juga
memakai kemeja putih dan cravat putih. Pemakaian ala barat watak
Akutagawa ini melambangkan sastera Akutagawa sendiri di dalam penulisannya yang
menggabungkan budaya Jepun dan barat.
Di dalam anime Akutagawa mengidolakan
Osamu Dazai sebagai bekas seniornya di dalam Port Mafia sebelum Osamu Dazai
bertindak meninggalkan Port Mafia dan menyertai Armed Detective Agency.
Akutagawa sering berusaha membuktikan kebolehan dirinya di hadapan Dazai. Namun
dalam dunia sebenar, ianya terbalik kerana Dazai yang sebenarnya mengidolakan
Akutagawa dalam penulisannya sehinggakan Dazai seolah-olah putus asa apabila
mengetahui yang Akutagawa membvnuh diri pada 1927.
Dalam bidang sastera Jepun, Akutagawa
pernah bertegang dengan seorang lagi sasterawan sezaman beliau iaitu Junichiro
Tanizaki apabila Akutagawa mengatakan bahawa jalan cerita dan bagaimana cerita
itu digarap adalah lebih penting dan bermutu daripada gubahan ayat yang
berbunga-bunga dalam penulisan manakala Tanizaki mengatakan sebaliknya. Di
dalam anime watak Akutagawa merupakan ahli Port Mafia yang berseteru dengan
Armed Detective Agency di mana watak Junichiro Tanizaki merupakan salah satu
ahlinya.
Watak Akutagawa mempunyai kuasa untuk
menghasilkan seekor raksasa seumpama bayang hitam yang terhasil daripada kotnya
yang dipanggil “Rashoumon”. Rashoumon (羅生門) merupakan judul cerita pendek karya Akutagawa
yang diterbitkan oleh sebuah majalah literasi Jepun, Teikoku Bungaku pada 1915.
Nama Akutagawa juga terkenal melalui The Akutagawa Prize (芥川龍之介賞 Akutagawa
Ryūnosuke Shō) iaitu sebuah anugerah literasi Jepun yang diberikan
kepada para sasterawan Jepun setiap tahun bermula 1935 hingga kini.
Dalam anime
Edogawa Ranpo
dan Edgar Allan Poe
Edogawa Ranpo merupakan sasterawan yang hebat menulis berkaitan fiksyen misteri dan penyiasatan. Beliau menulis siri novel berkaitan seorang hero detektif Kogoro Akechi. Nama sebenar Edogawa Ranpo adalah Taro Hirai. Beliau mengambil nama pena Edogawa Ranpo berdasarkan kepada penulis Amerika yang beliau minati iaitu Edgar Allan Poe.
Edgar Allan Poe ditulis “エドガー・アラン・ポー”(E Do Ga A / A Ra N Po O) manakala Edogawa Ranpo ditulis sebagai “江戸川乱歩”(エドガワ・ランポ E Do Ga Wa / Ra N Po). Nama Edogawa Ranpo adalah berasal daripada Edgar Allan Poe yang disebut laju dalam bahasa Jepun. Edogawa Ranpo juga sangat meminati tulisan-tulisan Sir Conan Doyle yang mencipta watak detektif terkenal iaitu Sherlock Holmes.
Pasti
anda semua pernah menonton siri animasi Detective Conan. Untuk pengetahuan anda
nama Edogawa Conan adalah gabungan daripada Edogawa Ranpo dan Sir Conan Doyle.
Conan mengambil nama tersebut secara spontan apabila terlihat novel-novel
Edogawa Ranpo dan Sir Conan Doyle di rak buku selepas Ran bertanyakannya
tentang namanya.
Conan melihat nama Edogawa Ranpo dan Conan Doyle
Berbalik kepada anime Bungo Stray
Dogs, watak Edogawa Ranpo adalah merupakan ahli Armed Detective Agency dan
mempunyai kebolehan deduksi yang sangat hebat dan mampu menyelesaikan misteri
hanya dalam beberapa saat. Manakala Edgar Allan Poe ialah ahli The Guild sebuah
organisasi Amerika Syarikat yang mempunyai kuasa untuk memerangkap seseorang di
dalam novel misteri pembvnuhannya dan hanya akan dilepaskan setelah orang itu menyelesaikan
misteri tersebut. Kuasa Edgar di dalam
anime ini yang dipanggil “The Black Cat in The Rue Morgue” adalah berdasarkan
karya beliau dalam dunia sebenar iaitu “The Black Cat” dan “Murders
in The Rue Morgue”.
Dalam realiti di mana Edogawa Ranpo
mengidolakan Edgar Allan Poe, watak mereka di dalam anime menjadi vice versa apabila
watak Edgar yang mengidolakan watak Ranpo. Edgar seringkali menulis novel-novel
misteri dan diberi kepada Ranpo untuk membuat deduksi mengenai siapakah pembvnuh.
Edgar berusaha untuk mengkagumkan Ranpo melalui tulisannya dan berusaha untuk
menulis novel misteri yang rumit dengan tujuan supaya Ranpo gagal meneka pembvnuhnya.
Kunikida Doppo dalam kehidupan sebenar.
Kunikida Doppo dalam anime.
Kunikida Doppo dan Katai Tayama
Kunikida Doppo merupakan sasterawan
kelahiran Chiba. Beliau mengasaskan majalah literasi iaitu Seinen bungaku (青年文學 “Literature
for Youth”) pada 1892. Doppo terkenal dengan diarinya dan gubahan
sajak-sajak yang romantik. Pada 1897, Kunikida dan seorang ahli mahir sastera
Katai Tayama menjadi pengarang bersama sebuah antologi Jojoshi (抒情詩 “Lyric
Poems”). Katai Tayama menjadi rakan baik kepada Kunikida dan sering
mengarang dan menulis bersama. Katai terkenal dengan karya beliau iaitu Futon
(蒲団).
Watak
mereka berdua di dalam anime juga adalah merupakan rakan baik yang saling
membantu dan mengenali sikap masing-masing. Kunikida mempunyai kebolehan untuk
menukarkan helaian diarinya menjadi objek yang ditulis perkataannya yang
dinamakan “Doppo Poet” sempena “Doppo Gin” iaitu himpunan
sajak-sajak tulisan Kunikida. Manakala watak Katai Tayama mempunyai kuasa untuk
mengawal peralatan elektronik yang dilihatnya apabila dia berada di bawah
selimut futon miliknya. Jika dilihat kembali Katai Tayama sememangnya terkenal
dengan karyanya yang berjudul Futon.
Koyo Ozaki
Kyoka Izumi
Koyo Ozaki dan
Kyoka Izumi
Koyo Ozaki lahir pada 1868 dan menulis karya ulungnya The Usurer (金色夜叉 Konjiki Yasha) juga dikenali sebagai The Golden Demon pada 1897. Pada 1890 Kyoka Izumi berjumpa dengannya untuk belajar seni literasi dan tinggal bersamanya selaku anak murid dan pembantunya kerana ibunya telah m4ti semenjak beliau berusia 8 tahun.
Dikatakan Koyo Ozaki amat mengambil berat tentang Kyoka sehinggakan di hujung-hujung nyawanya pun Koyo memberi nasihat mengenai teknik seni literasi kepada Kyoka. Selepas Koyo m4ti, Kyoka meneruskan gaya penulisan Koyo di dalam karya dan tulisannya. Karya Kyoka yang terkenal ialah Demon Pond (夜叉ヶ池 Yasha ga Ike).
Kedua-dua watak Koyo Ozaki dan Kyoka Izumi dalam Bungo Stray Dogs walaupun ditukar jantina kepada seorang wanita dewasa(Koyo) dan seorang kanak-kanak perempuan(Kyoka) tetapi kisah mereka berdua memberi gambaran sebenar hubungan di antara mereka di dalam dunia sebenar. Koyo Ozaki mempunyai kuasa untuk menyeru avatar berupa samurai dari dalam dirinya yang dipanggil The Golden Demon.
Kyoka juga mempunyai kuasa yang sama dan avatarnya dipanggil Demon Snow tetapi Kyoka tidak dapat mengawal avatarnya daripada menyerang dan membunuh. Kedua-dua mereka merupakan ahli Port Mafia dan Koyo Ozaki yang melindungi dan memberi tunjuk ajar kepada Kyoka sehinggalah Kyoka meninggalkan Port Mafia dan menyertai organisasi musuh mereka Armed Detective Agency bersama Atsushi Nakajima. Namun begitu, Koyo masih mengambil berat terhadap Kyoka dan secara rahsia menghantarkan dokumen mengenai kematian ibu bapa Kyoka ketika masih kecil agar Kyoka mengetahui siapakah kedua ibu bapanya.
Fukuzawa Yukichi dalam kehidupan sebenar.
Fukuzawa Yukichi dalam anime.
Fukuzawa Yukichi
Fukuzawa Yukichi bukan sahaja seorang penulis bahkan beliau adalah seorang guru, penterjemah dan ahli perniagaan. Beliau juga adalah individu yang mengasaskan Universiti Keio di Minato, Tokyo pada 1858 Beliau merupakan penterjemah dan antara 40 individu yang menyertai delegasi pertama Jepun ke Eropah dan telah berjaya membuat rundingan dengan Perancis, United Kingdom, Belanda, Prussia dan Russia. Fukuzawa juga sangat terkenal di Jepun melalui jasa-jasa beliau dalam reformasi Jepun dan idea-idea beliau dalam gerak kerja pentadbiran. Beliau merupakan salah seorang cerdik pandai semasa era Revolusi Maharaja Mikado Meiji.
Antara
jasa-jasa beliau adalah beliau antara yang terawal menerbitkan kamus Inggeris-Jepun
(“Zōtei Kaei Tsūgo“).
Beliau juga menulis buku teks geografi Sekai Kunizukushi yang memaparkan
kedudukan negara-negara dan benua-benua di peta dunia. Beliau juga menulis
sebanyak 17 jilid Gakumon no Susume ( 学問のすすめ, “An
Encouragement of Learning“) yang menerangkan prinsip-prinsip dan
elemen-elemen dalam pembelajaran. Sumbangan beliau dalam revolusi pendidikan
Jepun amat besar sehingga gambar beliau diabadikan di atas not kertas Jepun
yang paling besar nilainya iaitu 10,000 yen.
Fukuzawa pada sekeping not 10,000 yen
Watak
Fukuzawa Yukichi dalam Bungo Stray Dogs dipaparkan sebagai seorang ketua yang
hebat. Fukuzawa mengasaskan dan mengetuai organisasi Armed Detective Agency.
Karakter beliau memakai yukata berwarna hijau dan haori berwarna
hitam dengan corak zigzag. Beliau memakai sandal zori dan stoking tabi.
Pakaian ala samurai yang dikenakan oleh watak Fukuzawa mengambarkan pakaian
sebenar yang dipakai oleh Fukuzawa Yukichi disebabkan beliau lahir dalam
keluarga kelas samurai.
The Guild
Di dalam
anime, The Guild adalah sebuah organisasi Amerika Syarikat yang diketuai oleh
Francis Scott Key Fitzgerald dan disertai oleh Nathaniel Hawthorne, Margaret
Mitchell, John Steinbeck, Mark Twain, Louisa May Alcott, Herman Melville, Lucy
M. Montgomery, Edgar Allan Poe, dan H.P Lovecraft. Jika anda perasan, kesemua
watak dan karakter ini merupakan nama-nama penulis Amerika yang hebat.
Fitzgerald
merupakan penulis fiksyen Amerika yang terkenal dengan novelnya The Great
Gatsby sehingga The Great Gatsby terkenal dengan gaya pemakaian era
Jazz sekitar 1920-an di mana kaum wanita mengenakan baju flapper dan headband
di kepala manakala para lelaki memakai lounge suit, flatcap dan kasut brogue.
Hawthorne
pula amat menggemari karya sains fiksyen dan misteri Edgar Allan Poe, karya
terkenal beliau Scarlet Letter yang mengisahkan mengenai Arthur Dimmesdale dan
mengetengahkan perihal stigma masyarakat. Hawthorne juga berkawan rapat dengan
Herman Melville walaupun beza umur mereka 15 tahun. Melville banyak
terinspirasi daripada Hawthorne. Karya terkenal mengenai ikan paus Moby Dick
adalah merupakan hasil tulisan Melville dan beliau dedikasikannya kepada
Hawthorne dengan berkata
“In token of my admiration for his genius, this book is
inscribed to Nathaniel Hawthorne”
Novel klasik kanak-kanak terkenal Anne of Green Gables
yang pernah beberapa kali menghiasi kaca televisyen melalui kartun animasinya
dan filem merupakan karya Lucy M. Montgomery. Montgomery telah menulis sebanyak
20 novel, 530 cerpen, dan 500 puisi dan sajak sebelum beliau m4ti akibat
kegagalan jantung pada 1942.
John Steinback pula merupakan pemenang Anugerah Nobel bagi
tulisan-tulisannya yang imaginatif. Karya masterpiece beliau The
Grape of Wrath menggondol Anugerah Buku Kebangsaan Amerika Syarikat dan
Anugerah Pulitzer bagi novel fiksyen. Mark Twain pula merupakan penulis yang
terkenal dengan novelnya The Adventures of Tom Sawyer(1876) dan
sekuelnya The Adventures of
Huckleberry Finn(1884), Tom Sawyer Abroad(1894), Tom Sawyer,
Detective(1896).
H.P. Lovecraft merupakan penulis terawal yang mengetengahkan
genre fiksyen seram dan fantasi misteri. Karya-karya beliau yang epik seperti At
The Mountain of Madness, The Call of Cthulhu, The Shadow over Innsmouth dan
banyak lagi sehingga wujud sebuah universe beliau sendiri yang dipanggil
Cthulhu Mythos membuatkan nama H.P. Lovecraft terkenal dalam genre ini
dan menginspirasi ramai penulis-penulis novel fiksyen seram selepasnya seperti
Stephen King. Malah Stephen King pernah menggelar beliau “the twentieth
century’s greatest practitioner of the classic horror tale.”
Dalam anime Bungo Stray Dogs, kesemua mereka mempunyai kuasa
dan kebolehan masing-masing yang dipanggil “ability user” seperti juga
ahli Armed Detective Agency dan Port Mafia. Bagi Nathaniel Hawthorne, wataknya
digambarkan sebagai seorang paderi berjubah hitam, bercermin mata, memakai tangkal
salib dan sentiasa memegang Bible. Kuasa Hawthorne dipanggil Scarlet Letter
berdasarkan novel Nathaniel Hawthorne sendiri. Hawthorne berupaya mengawal
darahnya untuk menyerang dan mempertahankan diri. Peribadi, karakter dan kuasa
Hawthorne di dalam anime mungkin melambangkan novel beliau Scarlet Letter
yang berkisar mengenai konsep dosa, penyesalan dan taubat yang mana kesemua ini
sangat berkait rapat dengan agama.
Watak John Steinbeck pula mempunyai kuasa The Grape of
Wrath di mana Steinbeck berkeupayaan menghasilkan pokok anggur yang keluar
menjalar daripada anggota badannya. Watak Steinbeck berpakaian seperti petani
Inggeris daripada kawasan countryside terinspirasi daripada watak di
dalam novel The Grape of Wrath tulisan John Steinbeck sendiri. Watak
Mark Twain pula menggunakan kuasa “Huckleberry Finn & Tom Sawyer” di
mana Huck Finn dan Tom Sawyer menjelma menjadi dua anak patung yang membantu
memberi kelebihan untuk Mark Twain menembak tepat dan meneropong dari jauh.
Watak Lucy M. Montgomery mempunyai kuasa “Anne of Abyssal
Red” diolah daripada novel sebenar Lucy iaitu Anne of Green Gables.
Lucy mempunyai kebolehan untuk mencipta alternate reality yang dipanggil
Anne’s Room dan memerangkap seseorang di dalamnya jika mereka ditangkap
oleh Anne The Monster ketika cuba untuk keluar. Watak H.P. Lovecraft
pula mempunyai perwatakan dan sikap misteri di mana beliau hidup seumpama
separa sedar dan kebolehannya mampu bertukar menjadi raksasa seakan sotong
gergasi menggambarkan tulisan-tulisan H.P. Lovecraft sendiri yang bergenre
fiksyen seram dan mistik.
Berdasarkan novel The Great Gatsby yang memaparkan
gaya hidup dan stail era Jazz yang bersifat hedonistik, watak Francis
Fitzgerald mempunyai kebolehan untuk mengumpul kekuatan fizikal berdasarkan
jumlah wang yang dia belanjakan. Makin guna duit makin jadi kuat, melambangkan
budaya sosial masyarakat dalam novelnya sendiri. Manakala ibu pejabat The Guild
yang seumpama kapal udara halimunan gergasi berbentuk ikan paus merupakan
kebolehan watak Herman Melville yang dipanggil “Moby Dick”.
The Rats in The House of The Dead
Pada permulaan episode dalam musim kedua seakan-akan The Guild
merupakan antagonis sebenar dan Armed Detective Agency dan Port Mafia tidak
lain tidak ubah seperti bekas rakan-rakan lama yang bergaduh hanya kerana
berlainan ideologi dan haluan, organisasi The Rats in The House of The Dead
dari Russia adalah merupakan antagonis utama yang diketuai Fyodor Dostoevsky
yang cuba menghancurkan The Guild, Port Mafia dan Armed Detective Agency secara
senyap ketika mereka sedang bertelagah. Fyodor Doestoevsky bersama
konco-konconya Ivan Goncharov, Alexander Pushkin, dan Nikolai Gogol kesemuanya
adalah watak yang diambil sempena nama-nama penulis, pengarang dan juga ahli
falsafah terkenal dan lambang kesusasteraan Russia.
Doestoevsky terkenal di Russia dengan karyanya Crime and
Punishment dan tulisan-tulisan beliau menjadi pemangkin dunia literasi
kepada Pushkin, Gogol dan tidak ketinggalan juga Edogawa Ranpo di Jepun.
Sebenarnya terdapat lebih ramai lagi watak-watak di dalam
anime Bungo Stray Dogs yang diinspirasikan daripada sasterawan sebenar seperti
Chuya Nakahara, Akiko Yosano, Yumeno Kyusaku, Kenji Miyazawa, Ogai Mori,
Sakunosuke Oda, Ryuro Hirotsu dan Ango Sakaguchi. Kesemua kuasa, karakter, dan personaliti
watak-watak ini sedikit sebanyak tidak lari daripada kisah kehidupan dan
karya-karya daripada sasterawan sebenar.
Melihat kepada literasi klasik semakin dilupakan berserta
tokoh-tokohnya maka dengan pengadaptasian dan penyerapan nama watak ini
membuatkan nama-nama yang terkubur ini hidup semula dan meniti di bibir-bibir
masyarakat apatah lagi generasi muda. Apabila ada yang menyebut, ada yang
mendengar, ada yang berfikir, ada yang mengkaji membuatkan nama-nama ini subur
kembali.
Ketika animasi Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal ditayangkan
nama-nama lagenda dan kisah dongeng warisan tempatan dan nusantara seperti Hang
Nadim, Si Tanggang, Bawang Merah Bawang Putih, Mat Jenin, Pak Belalang,
Singapura dilanggar todak dikumpulkan di dalam satu plot cerita dan diolah
untuk menghidupkan kembali nama-nama tersebut. Di celah-celah itu berapa ramai
di antara kita yang tahu menahu mengenai Nakhoda Ragam? Maka apabila filem ini
ditayangkan kajian dan perbahasan mengenai Nakhoda Ragam kembali dikorek dan
hangat diperkatakan membuatkan watak ini ‘hidup’ kembali. Jika tidak, berapa
dari anda yang tahu bahawa Nakhoda Ragam tercucuk jarum isteri sendiri jika
bukan kerana filem ini yang mengkomersilkan watak itu dahulu. Ironinya, Nakhoda
Ragam yang dikatakan berasal dari Brunei itu pelakon suaranya ialah Fakhrul
Razi Ibrahim yang juga merupakan warga Brunei.
Mungkin sudah tiba masanya pula animasi Malaysia mencipta
satu alternate history yang menggabungkan watak-watak sasterawan dan
penulis alam melayu seperti Tun Sri Lanang, Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji,
Za’ba, Abdullah Munsyi, Abdul Rahim Kajai, Dato’ Shahnon Ahmad, A.Samad Said,
Usman Awang dan ramai lagi.
RUJUKAN:
Aston, William George. A history of Japanese literature (NY,
1899)
O’Brien, James A. Dazai Osamu. New York: Twayne Publishers,
1975
Onishi, Norimitsu. Akutagawa Prize Lists: (March 27, 2004)




No comments yet