“Cinema is the ultimate pervert art. It doesn’t give you what you desire – it tells you how to desire” – Slavoj Žižek

Masyarakat kita sebenarnya mempunyai budaya penontonan filem yang sangat unik tetapi jarang diperkatakan. Kali ini kita mengimbas kembali budaya penontonan filem Melayu di tahun 1950-an dan 1960-an semasa sambutan hari raya Aidilfitri.

Sebelum kewujudan filem cereka, masyarakat Melayu di tanah air kita secara khususnya berhibur dengan hiburan tradisional seperti wayang kulit, pementasan sandiwara dan bangsawan.

Pengaruh filem terhadap masyarakat Melayu secara khususnya sangat besar. Sejak tahun 1950-an, ritual menonton filem di pawagam merupakan satu aktiviti yang sangat popular di Tanah Melayu. Secara umumnya, menonton filem adalah aktiviti masa lapang bagi sebahagian besar masyarakat di negara ini.

Menurut Abdul Wahab Hamzah di dalam eseinya yang bertajuk Audien: Sikap dan Harapan Audien Filem Malaysia, filem ialah media seni hiburan yang menggabungkan keupayaan teknologi dan kemahiran seni persembahan.

Pada masa yang sama, filem juga berusaha memenuhi keperluan penonton dan reaksi daripada penonton telah menjadikan filem sebagai alat hiburan paling popular. Keupayaannya menyalurkan unsur-unsur hiburan kepada khalayak menyebabkan filem mempunyai nilai komersial yang kuat dan berpengaruh.

Menonton filem di pawagam semasa hari raya merupakan aktiviti yang sangat istimewa. Selepas umat Islam selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri dan bermaaf-maafan, para pencandu filem akan beramai-ramai pergi ke pekan atau bandar untuk menonton tayangan pertama yang kebiasaannya bermula pada jam 11 pagi.

Orang-orang Melayu dari segenap kampung akan pergi ke bandar sama ada dengan berbasikal ataupun menaiki bas. Segelintir yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh pula akan datang ke pawagam dengan menaiki kereta.

Suasana di pawagam sangat meriah dengan kehadiran pengunjung. Mereka terpaksa beratur panjang untuk membeli tiket yang berharga 65 sen untuk tempat duduk kelas tiga. Untuk tiket kelas pertama pula, kebiasaannya harga tiket bernilai $1.25 dan $2.80 untuk kelas khas.

Selain dihiasi dengan pelbagai perhiasan sempena sambutan hari raya Aidilfitri, pawagam juga dipenuhi dengan poster dan lobby card filem yang akan ditayangkan. Sebelum memasuki dewan tayangan, penonton akan berlegar-legar di bahagian lobi sambil melihat poster filem serta lobby card ini untuk mendapatkan gambaran awal tentang filem yang bakal ditonton oleh mereka.

Pada masa itu masih belum ada popcorn atau air berkabonat untuk dibawa masuk ke pawagam. Makanan ringan seperti kacang, kuaci dan asam jeruk menjadi teman penonton sepanjang mereka berada di ruang gelap. Malah perokok juga dibenarkan untuk merokok di dalam pawagam ketika itu.

Pendek kata, sambutan hari raya di pawagam sangat meriah dan sentiasa dipenuhi oleh pengunjung. Kebiasaannya pawagam akan dibanjiri oleh pengunjung pada hari raya pertama sehinggalah hari raya yang ketujuh, bergantung kepada filem yang ditayangkan.

Menyentuh sedikit tentang filem ditayangkan semasa hari raya Aidilfitri, berikut ialah senarai filem-filem Melayu terbitan 1955-1965 yang berentap di pawagam ketika takbir raya sedang bergema:

1955 – Selamat Hari Raya arahan L. Krishnan (Cathay Keris)

1956 – Ribut arahan K.M. Basker (Malay Film Productions)

1957 – Pontianak arahan B.N. Rao & Belantara arahan S. Ramanathan (Malay Film Productions)

1958 – Sumpah Pontianak arahan B.N. Rao & Sumpah Orang Minyak arahan P. Ramlee (Malay Film Productions)

1959 – Mahsuri arahan B.N. Rao & Batu Belah Batu Bertangkup arahan Jamil Sulong (Malay Film Productions)

1960 – Noor Islam arahan K.M. Basker (Cathay Keris) & Lela Manja arahan Jamil Sulong (Malay Film Productions)

1961 – Hang Jebat arahan Hussain Haniff (Cathay Keris) & Sri Tanjong arahan Jamil Sulong (Malay Film Productions)

1962 – Dang Anom arahan Hussain Haniff (Cathay Keris) & Ibu Mertua Ku arahan P. Ramlee (Malay Film Productions)

1963 – Chuchu Datok Merah arahan M. Amin (Cathay Keris) & Kaseh Tanpa Sayang arahan Omar Rojik (Malay Film Productions)

1964 – Ayer Mata Duyong arahan M. Amin (Cathay Keris) & Madu Tiga arahan P. Ramlee (Malay Film Productions)

1965 – Istana Berdarah arahan Hussain Haniff (Cathay Keris) & Ragam P. Ramlee arahan P. Ramlee (Merdeka Filem Studio)

Dua syarikat penerbitan filem gergasi yang berpusat di Singapura ketika itu, Malay Film Productions dan Cathay Keris Film masing-masing bersaing untuk menayangkan filem-filem istimewa mereka setiap kali menjelangnya 1 Syawal.

Ketika penerbitan filem Melayu berada di zaman keemasannya pada dekad 1950-an dan 1960-an, hanya filem yang mempunyai kekuatan tersendiri sahaja yang akan ditayangkan di pawagam semasa Hari Raya Aidilfitri.

Persaingan sengit antara kedua-dua studio gergasi ini berlaku hampir 10 tahun lamanya semasa zaman emas perfileman Melayu. Siapa yang lebih mendapat keuntungan, hanya pihak pengurusan studio sahaja yang mengetahuinya kerana perkara tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum di atas beberapa faktor.

Kekuatan filem terletak kepada keupayannya mencetak waktu di atas seluloid. Hal ini tidak terdapat pada hiburan tradisional seperti wayang kulit, pementasan sandiwara dan bangsawan.

Terdapat juga beberapa filem era 1950-an dan 1960-an yang menunjukkan babak sambutan hari raya seperti Selamat Hari Raya (1955) arahan L. Krishnan, Gerhana (1962) arahan Jamil Sulong, Darah-Ku (1963) arahan Ramon A. Estella, Nafsu Belia (1969) arahan Nordin Ahmad dan Sial Wanita (1969) arahan M. Amin.

Pengarah filem-filem ini sempat merakamkan sedikit sebanyak gambaran sambutan hari raya Aidilfitri di zaman itu walaupun tidak ditayangkan semasa musim perayaan. Mereka seakan-akan memberi penghormatan kepada para penonton yang sanggup datang dari jauh untuk meraikan filem arahan mereka yang ditayangkan di pawagam.

Filem-filem popular juga sering ditayangkan dalam sesi second-run. Kebiasaannya filem-filem second-run ini ditayangkan beberapa bulan selepas ia ditayangkan secara first-run di pawagam yang terletak di bandar-bandar utama seperti Singapura, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan, Melaka, Seremban dan bandar-bandar utama yang lain.

Sebagai contoh, filem Anak-Ku Sazali (1956) telah ditayangkan secara second-run di beberapa buah pawagam kecil semasa sambutan hari raya Aidilfitri namun masih mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

Budaya penontonan filem semasa hari raya Aidilfitri tidak terhenti pada dekad 1960-an sahaja. Ia masih diteruskan sehingga ke hari ini. Suasananya mungkin sudah banyak berbeza kerana pawagam kini sudah dilengkapi dengan kerusi yang empuk, sistem audio yang canggih dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan oleh pengusaha panggung untuk keselesaan penonton.

Mereka yang ingin membeli tiket juga sudah tidak perlu beratur panjang untuk membelinya. Hanya menggunakan aplikasi yang ada di telefon pintar, kita sudah boleh menempah tiket wayang. Selain itu juga kini sudah ada khidmat penstriman seperti Netflix, iFlix, viu dan seumpamanya yang tidak memerlukan penonton keluar rumah untuk menonton filem-filem baharu.

Walaupun terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara pengalaman menonton filem di hari raya, budaya penontonan itu tetap subur dan dekat dengan masyarakat kita tanpa disedari. Selamat menonton filem di hari raya ini, tidak kira di mana anda menontonnya sama ada di kaca televisyen, khidmat penstriman mahupun YouTube.

Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

RUJUKAN:

  1. Ahmad bin Idris (ABI), 1987. Filem Melayu Dahulu dan Sekarang. Shah Alam: Marwilis Publisher Sdn. Bhd.
  2. M. Amin dan WAHBA, 1998. Layar Perak dan Sejarahnya. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.
  3. Ramli Mohamed (ed.), 2003. Sinema dan Penontonan di Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Comments are closed.