Ketika ini, terdapat tiga hingga empat juta warga awam Ukraine meninggalkan negara itu susulan konflik Rusia-Ukraine. Kebanyakan mereka meninggalkan tanah air sehelai sepinggang. Bagi seorang kanak-kanak ini, dia terpaksa mengembara lebih 1,000 km untuk sampai ke sempadan Ukraine-Slovakia pada Mac lepas.
Kanak-kanak berusia 11 tahun ini berasal dari Zaporizhzhia – tapak loji nuklear yang ditawan tentera Rusia pada Mac lepas. Kanak-kanak yang bernama Hassan itu menyeberangi sempadan berbekalkan sebuah beg sekolah, beg plastik, pasport dan nombor telefon yang ditulis pada tangannya.
Apabila ditanya tentang perihal ibu bapa atau penjaganya, si kecil ini memberitahu dia dihantar ibunya menaiki keretapi agar sampai ke Slovakia. Ini bagi membolehkannya tinggal bersama saudara-mara sementara konflik Ukraine-Rusia masih lagi tercetus. Sementara ibunya, Yulia Volodymyrivna Pisecka memilih kekal di Zaporizhzhia bagi menjaga ibunya yang uzur.
Selepas mendapat tahu kisah kanak-kanak lelaki berkenaan, Hassan dijaga oleh sukarelawan dan diberi makan dan minum. Tindakan pantas kerajaan Slovakia mengesan nombor telefon dan maklumat pada pasport membolehkan si kecil ini disatukan dengan saudara-maranya di Bratislava.
Bagi mereka, kanak-kanak ini merupakan seorang wira kerana tetap berani dan tabah menempuh perjalanan jauh di sebalik ancaman keselamatan yang melanda Ukraine ketika ini.
Berdasarkan siasatan media, Hassan bukan sekali berpindah akibat situasi perang. Bertahun-tahun sebelumnya, Pisecka membawa Hassan yang masih bayi ketika itu meninggalkan Syria susulan perang saudara dan campur tangan Kremlin yang menyokong rejim Bashar al-Assad. Susulan itu, mereka memilih membina kehidupan baru di Ukraine. Bapanya yang berdarah Syria hilang semasa konflik negara itu tercetus.
Beberapa jam selepas si kecil ini tiba di Slovakia, ibunya menghantar satu mesej video yang dikongsikan oleh Facebook polis Slovakia. Dalam mesej video berkenaan, Pisecka mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Slovakia dan sukarelawan kerana membantu anak lelakinya yang tiba di situ dan menyatukannya dengan saudara-maranya.
Selain Slovakia, negara-negara Eropah Timur lain seperti Poland, Romania, Hungary dan Moldova turut menerima pelarian yang tiba dari Ukraine. Dengan konflik kini memasuki hari ke-50 dan tiada tanda ia akan berakhir, bilangan pelarian juga dijangka akan meningkat.
Tetapi si kecil ini tidak perlu risau tentang nasib ibu dan neneknya. Mengikut rekod pihak berkuasa Slovakia, Pisecka dan ibunya berjaya menyeberangi sempadan beberapa minggu selepas itu dan bersatu semula dengan Hassan di Bratislava.
RUJUKAN
Tanatarova, E. (2022, 7 Mac). Brave Ukrainian refugee aged 11 travels 600 miles on his own to Slovakia with just a telephone number written on his hand to reach safety. Daily Mail.
Zakir-Hussain, M. (2022, 7 Mac). Refugee boy, 11, travels 600 miles alone from Ukraine to Slovakia with phone number written on hand. The Independent.
Sumber gambar: Kementerian Dalam Negeri Slovakia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih