Selepas Dune (1980) arahan David Lynch gagal di pawagam, ramai menyangka siri novel yang dikarang Frank Herbert itu tidak akan diadaptasi ke layar perak. Tetapi ia disangkal menerusi Dune (2021) arahan Denis Villeneuve yang mendapat sambutan baik dalam kalangan penonton dan pengkritik. Tetapi sebaik selesai menonton, pasti ada tertanya-tanya, bolehkah manusia tinggal di Arakkis?
Dalam novel Dune yang diterbitkan pada 1965, Herbert menggambarkan Arakkis sebagai kawasan gurun terpencil yang besar dengan suhu mencecah 70°C. Selain itu, Arakkis turut digambarkan tidak pernah mengalami hujan atau mempunyai sumber air permukaan. Dari segi logik, mustahil untuk manusia menduduki planet dengan pelbagai ciri mencabar.
Bagi menguji hipotesis manusia boleh hidup di Arakkis, sekumpulan saintis iklim dari Universiti Bristol cuba menghasilkan model iklim Arakkis. Pelbagai data dimasukkan dalam model termasuk undang-undang fizik yang mengawal iklim dan cuaca bumi. Ini berdasarkan teori mereka bahawa undang-undang fizik sama mengawal cuaca dan iklim planet Arakkis.
Namun begitu, itu tidak terhenti di situ saja. Bagi menghasilkan model planet Arakkis yang realistik, saintis-saintis ini turut mencari maklumat planet berkenaan sama ada dari novel-novel yang dikarang Herbert atau Ensiklopedia Dune. Ini termasuk topografi planet dan kedudukan orbit Arakkis dari bintangnya – ia mempunyai orbit berbentuk bulat sama seperti bumi.
Mungkin ada tertanya-tanya mengapa maklumat sebegitu penting dalam model iklim sesebuah planet. Hakikatnya, orbit sesebuah planet boleh memberi kesan besar pada iklim dan cuaca sesebuah planet. Contohnya, musim sejuk tidak menentu dan panjang seperti dipaparkan dalam siri televisyen terbitan HBO, Game of Thrones. Akhir sekali, model iklim dilengkapkan dengan komposisi atmosfera yang menyelubungi Arakkis.
Dan hasilnya amat mengejutkan. Dari satu segi, Arakkis hampir sama dengan bumi dan hanya dibezakan dengan bilangan karbon dioksida yang sedikit (350 bahagian per sejuta berbanding 417 bahagian per sejuta).
Tetapi perbezaan terbesar bumi dan Arakkis ialah tahap kepekatan ozon. Bumi hanya mempunyai tahap kepekatan sekitar 0.000001% sekitar atmosfera rendahnya. Manakala Arakkis pula mempunyai kepekatan sekitar 0.5% sekaligus memberi kesan besar kepada iklim planet berkenaan.
Ini kerana tahap kepekatan ozon yang tinggi berupaya memerangkap haba dalam sesebuah planet seperti Arakkis. Ini menjadikannya jauh lebih baik dari segi pemanasan planet berbanding karbon dioksida. Tetapi selepas melihat simulasi dan pengiraan yang dibuat menerusi komputer super selama tiga minggu, kesimpulan model ini mudah: manusia boleh menetap di Arakkis.
Begitupun, ada keterangan dalam novel Dune yang dilihat berlawanan dengan model iklim yang dinyatakan. Misalnya, Herbert menyatakan wilayah-wilayah kutub yang menempatkan kota Arrakeen dan Carthag dilihat lebih sesuai untuk didiami. Ia dianggap berlawanan kerana jika di bumi, kebiasaannya suhu ekstrem berlaku di kawasan kutub dan latitud pertengahan.
Memandangkan model Arakkis dibangunkan mengikut model bumi, perkara sama boleh berlaku. Mengikut perkiraan model, suhu pada musim panas Arakkis boleh mencecah 70°C dengan suhu musim sejuk sekitar -40°C. Di bahagian kutub pula, ia boleh jatuh sehingga -75°C.
Begitu juga dengan ciri hujan tidak pernah turun di Arakkis. Hakikatnya, menerusi model iklim planet tersebut, sedikit hujan dikesan pada altitud tinggi topografi planet seperti kawasan pergunungan dan penara. Selain itu, ia hanya berlaku pada musim panas dan musim luruh sahaja.
Sekiranya benar manusia boleh menghuni Arakkis, mereka berkemungkinan berkongsi ciri ketahanan haba sama seperti manusia moden. Anggapan ini digunakan oleh para saintis bagi menentukan kawasan Arakkis mana yang boleh dihuni. Dan bertentangan dengan dakwaan Herbert bahawa kawasan khatulistiwa merupakan kawasan merba.ha.ya, model iklim menunjukkan sebaliknya.
Selain itu, para saintis melihat pemakaian sut khas yang digunakan oleh manusia di Arakkis sebagai munasabah. Sut tersebut mengambil kelembapan badan daripada bernafas dan membuang air dan ditukar sebagai air minuman untuk pemakainya. Di samping itu, ia turut membantu badan kekal sejuk dalam persekitaran yang kering dan panas.
Ciri ini penting kerana dalam buku, Arakkis digambarkan tidak pernah mengalami hujan, tiada air permukaan dan sedikit lembapan atmosfera yang boleh digunakan semula. Tanpa sut ini, agak sukar untuk manusia hidup dan beradaptasi dengan persekitaran planet.
Menariknya, Dune diterbitkan dua tahun sebelum pemenang bersama Hadiah Nobel Fizik 2021 Syukuro Manabe menerbitkan model iklim dunia yang pertama. Bagi para saintis dari Universiti Bristol, keupayaan Herbert menghasilkan imej Arakkis yang konsisten tanpa akses teknologi dan data hari ini menunjukkan kehebatannya sebagai penulis dan pencetus imaginasi para pembaca.
RUJUKAN
Morrison, R. (2021, 5 November). Humans actually COULD live on Dune’s Arrakis: Scientists simulate a climate model of the fictional desert planet and find it would be habitable despite 158F heat and desolate wastelands. Daily Mail.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih