Black Caesar merupakan seorang lanun masyhur yang hidup pada kurun ke-17 dan kurun ke-18 Masehi. Berasal dari Afrika Barat, Black Caesar ditangkap oleh pedagang hamba. Walau bagaimanapun, kapal yang mengangkutnya itu karam di pesisiran pantai Florida dan Black Caesar pula terselamat dari bencana itu. Lantas, beliau pun memulakan kariernya sebagai lanun sehingga menjadi masyhur. Kehuru-haraan yang disebarkan oleh beliau berakhir pada tahun 1718, apabila Black Caesar disabit atas jenayah melanin dan dijatuhi hukuman mati.

Walaupun lanun-lanun berkulit hitam bukanlah suatu perkara yang asing, kebanyakan nama mereka hilang dari rekod sejarah. Salah seorang yang masih diingati sehingga ke hari ini adalah Black Caesar. Menurut legenda, Black Caesar merupakan seorang pembesar Afrika Barat sebelum menjadi lanun.

Beliau dikatakan memiliki tubuh sasa yang tinggi dan seorang yang sangat bijak. Pada masa-masa itu, kolonis-kolonis Eropah di Dunia Baru memerlukan hamba-hamba Afrika untuk mengusahakan perladangan mereka. Keadaan sebegini membawa kepada berkembangnya perdagangan hamba.

BLACK CAESAR DICULIK OLEH PEDAGANG HAMBA


Kisah dilanjutkan dengan Black Caesar bagaimana beliau menjadi sasaran oleh para pedagang hamba. Namun dalam banyak kesempatan, beliau berjaya melarikan diri dari ditangkap. Walau bagaimanapun pada akhirnya, beliau berhasil jua diperdaya dan ditangkap. Segalanya bermula apabila seorang kapten kapal (pedagang hamba) berjaya memancing perhatian pembesar Afrika itu dengan menggunakan jam emas miliknya. Kemudian, beliau menjanjikan kepada Black Caesar untuk memberikan harta-harta karun yang jauh lebih berat.

Dengan helah sedemikian, beliau berupaya mengumpan Black Caesar dan para pengikutnya untuk menaiki kapal hamba miliknya. Ketika berada di atas kapal, mereka yang bakal dijadikan sebagai hamba ini diberikan makan minum sambil diasyikkan dengan kain-kain sutera, permata-permata dan juga mainan muzik.

Di kala semua perkara ini melekakan mereka, kapal tersebut pun mula berlayar. Ketika Black Caesar mula menyedari situasi yang menimpanya itu, keadaan sudah pun terlambat. Walaupun mereka memberikan penentangan, kru kapal tersebut berjaya menundukk dan mendiamkan mereka.

Black Caesar dan para pengikutnya ditangkap oleh pedagang hamba

Maka, bermulalah pengembaraan-secara paksa Black Caesar merentas Atlantik menuju Dunia Baru. Semasa dalam perjalanan, Black Caesar enggan makan dan minum. Beliau mungkin boleh meninggal dunia andai bukan kerana seorag kelasi budiman berkeras memberinya makan. Lantas mereka berdua pun menjadi sahabat.

Kemudian, kapal yang mereka naiki itu dibadai ribut ketika berada di pantai Florida sekaligus mengakibatkannya karam. Hampir kesemua yang menaiki kapal itu terkorban. Hanya dua orang sahaja terselamat, iaitu Black Caesar dan sahabat kelasinya, yang mana mereka berdua sempat melarikan diri dengan menaiki perahu panjang yang dipenuhi dengan persenjataan dan perbekalan.

BLACK CAESAR MEMULAKAN HIDUPNYA SEBAGAI SEORANG LANUN


Black Caesar dan sahabatnya itu menukar haluan hidup dan menjadi seorang lanun. Modus operandi yang digunakan adalah mereka berdua berlakon sebagai kelasi yang telah kekaraman kapal, lalu menarik perhatian kapal-kapal yang lalu-lalang agar memberikan bantuan. Sebaik sahaja mereka berada di atas kapal, mereka akan mula merompak kapal tersebut dan membawa hasil rampasan kembali ke tempat persembunyian. Keadaan sebegini berlanjutan selama beberapa tahun dan mereka berdua berupaya mengumpulkan kekayaan yang amat besar.

Black Caesar dan sahabatnya, si kelasi, bertukar haluan hidup menjadi seorang lanun

Walau bagaimanapun, pada suatu ketika, Black Caesar bersengketa dengan sahabatnya sekaligus mengakibatkan kematian temannya itu. Konflik tersebut tercetus berakibat dari seorang gadis yang diculik dari sebuah kapal. Masing-masing mahu menjadikan gadis tersebut sebagai milik peribadi, lantas membawa kepada pertarungan yang mana mengorbankan sahabat Black Caesar.

Black Caesar melanjutkan aktiviti-aktiviti perlanunannya lalu merekrut beberapa buah kapal dan sejumlah kru dengan menggunakan harta rampasan yang telah dikumpulkan sebelum ini. Keadaan tersebut membolehkan beliau menyerang kapal secara lebih terbuka. Legenda menceritakan bahawa Black Caesar menanam harta karunnya di sebuah tempat di Elliot Key.

BLACK CAESAR MENYERTAI KRU LANUN BLACKBEARD


Kebanyakan sumber mendakwa bahawa pada suatu tempoh, Black Caesar menyertai kru lanun seorang lagi lanun masyhur, iaitu Blackbeard. Beliau dilantik sebagai leftenan di kapal utama Blackbeard, Queen Anne’s Revenge. Pada tahun 1718, Blackbeard dibunuh oleh Leftenan Robert Maynard dari Angkatan Laut Diraja British.Black Caesar merupakan salah seorang kru yang terselamat dalam pertempuran tersebut. Namun, beliau ditangkap dan dibawa untuk didakwa di Williamsburg, Virginia. Black Caesar disabitkan dengan kesalahan melanun dan dihukum gantung sampai mati.

Black Caesar menyertai kru lanun Blackbeard

Terdapat satu perkara yang menarik berkenaan Black Caesar, di mana Cindy Vallar berpendapat bahawa Black Caesar yang merupakan sebahagian dari kru Blackbeard pada hakikatnya bukanlah Black Caesar yang sama yang beroperasi di Florida Keys. Villy menyebutkan bahawa Black Caesar yang pertama itu pada asalnya merupakan seorang hamba milik Tobias Knight dari Carolina Utara sebelum menjadi lanun.

Justeru katanya lagi, wujud kemungkinan bahawa terdapat dua orang Black Caesar dan kisah mereka berdua saling dicampuradukkan. Dalam erti kata lain, berkemungkinan lanjutan kisah tentang Black Caesar yang beroparsi di Florida Keys telah pun hilang dari rekod sejarah.

DITERJEMAH DAN DIOLAH DARI:

Wu Mingren. (13 April 2019). Black Caesar: The African Chief Who Was Captured by Slavers and Became a Pirate. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/black-caesar-0011738


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.