Nietzsche terkenal dengan kata-katanya, “Tuhan telah mati, dan kitalah yang membunuhnya.” Filsuf yang hati kering macam ini pun pernah jatuh cinta dan patah hati. Boleh jadi, hati yang patah itulah inspirasi falsafahnya.
Ada seorang perempuan bernama Lou Andreas-Salomé yang pernah mencuri hatinya. Sebelum bertemu gadis ini, Nietzsche lebih condong ke arah feminisme sampai mengatakan darjat perempuan lebih tinggi daripada laki-laki. Tetapi, setelah patah hati dengan Salomé, dia menulis sebaliknya.
Apa jadi sebenarnya?
Salomé ialah seorang gadis Russia yang cantik menawan. Dia sangat mengagumi Nietzsche yang sudah terkenal dengan esei-esei falsafah. Mereka pertama kali bertentang mata pada April 1882 di Rome. Kononnya, Nietzsche jatuh cinta pandang pertama dengan gadis ini.
Apa yang Nietzsche tak sedar, adalah kawannya, Paul Rée juga meminati Salomé. Kedua-dua filsuf ini pernah meluahkan perasaan kepada Salomé, dan gadis ini menolak cinta mereka. Nietzsche tak berputus asa. Dia melamar pula Salomé untuk dijadikan isteri, tapi masih kena tolak.
Kemudian, Salomé meninggalkan Nietzsche yang remuk-redam. Dikatakan, Nietzsche kemurungan berhari-hari setelah ditinggalkan gadis yang dia sayang. Sehinggalah pada 1883, dia menerbitkan buku pertama “Thus Spoke Zarathustra” yang mengangkat gagasan “The Ubermensch” bagi mengubat hatinya yang lara.
Apa kata Nietzsche tentang patah hati?
Bila Nietzsche putus cinta, dia bertanyakan satu soalan penting iaitu, “Salahku apa?” Sebenarnya, ini merupakan sebuah persoalan falsafah iaitu retrospeksi diri. Dia juga menyalahkan diri sendiri dengan menganggap gagal berusaha sedaya upaya untuk memenangi hati Salomé. Setelah angan-angannya dengan Salomé musnah, Nietzsche mula menggagaskan semangat hidup yang baru dalam falsafah Ubermensch, iaitu manusia super.
Bak kata Nietzsche, “Engkau mesti bersedia membakar dirimu dalam apimu sendiri. Mana mungkin engkau menjadi baru, sebelum menjadi debu?”
Seperti orang yang putus cinta, merasakan hidup ini kosong setelah pemergian orang tersayang, begitulah Nietzsche dengan falsafah Nihilisme. Padanya, aturan agama Kristian sudah mati, dan umat manusia kena membangunkan nilai dan tujuan hidup sendiri.
Begitulah kesan putus cinta kepada seorang filsuf. Kalau sasterawan, tulis novel. Kalau filsuf, tulis falsafah.
Oleh: Zaki Sapuan al-Hafiz
…
Korang yang meminati topik cinta dan falsafah, mesti minat baca RUMI FILSUF CINTA ANATOLIA. Rumi seorang sufi cinta yang terkenal dengan falsafahnya. Klik: https://shp.ee/e6n9puy




No comments yet